KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Mac 26, 2011

21 tahun PKM lucut senjata berdamai: Selongkar 'Kg Perdamaian Komunis' di Sukhirin, Narathiwat temui Che Dat atau Abdullah CD

Abdullah CD sedang menceritakan kandungan buku dan sejarah berkiatan kepada Pengarang Berita Harakah

Tugutanda pintu masuk utama ke Ban Chulabhorn Patana 12 atau Kg Perdamaian  yang tersergam indah

Inilah rumah kecil Abdullah CD yang dianuegrahkan Kerajaan Thailand kepadanya sebagai tempat berteduh dan menerima tetamu

Karimas (tengah) adalah anak Che Dat hasil perkongsian hidupnya dengan Suriani dan berkahwin dengan Anas Inderajaya (kanan) anak Abdullah Sudin

Ban Chulabhorn Patana 12 adalah sebuah perkampungan baru yang dibina terletak di Daerah Sukhirin, Wilayah Narathiwat, Thailand. Penduduk asasnya terdiri daripada bekas pejuang kemerdekaan Malaya dari Rejimen ke-10 Tentera Rakyat Malaya (TRM).

Sejarah kewujudan kampung ini menarik perhatian ramai, pengunjung, pengkaji sejarah dan mereka yang berjiwa anti penjajah dan sekutunya.

Selepas termeterainya Penandatangani Persetujuan Damai Hadyai pada 2 Disember 1989 antara tiga pihak - Kerajaan Thailand; Kerajaan Malaysia dan Partai Komunis Malaya (PKM), maka bermulalah kehidupan bermasyarakat di kampung ini atas bantuan Kerajaan Thailand. (Gambar: Abdullah CD menceritakan pahit maungnya berjuang memikul senjata di dalam hutan sejak dharurat 1948 diistiharkan penjajah)

Pada awalnya, kampung ini dikenali dengan nama "Kampung Perdamaian ke-4" atau Ban Rattana Kitti 4. Kemudian ia diletakkan di bawah kelolaan Institut Penyelidikan Chulabhorn.

Pada tahun 1993, Prof. Dr. Her Royal Highness Princess Chulabhorn secara rasmi membuka perkampungan ini dan sejak dari itu, kampung ini dikenali sebagai Ban Chulabhorn Patana 12.

Dari Pekan Golok, mengambil masa kira-kira satu jam perjalanan ke kampung ini. Jaraknya 60km. Kedatangkan saya sudah dimaklumkan terlebih dahulu kepada pejuang kemerdekaan yang juga bekas Pengerusi Partai Komunis Malaya (PKM), Haji Abdullah CD atau Che Dat, 88 tahun. 

Saya menaiki pacuan empat roda milik menantu Che Dat, Anas Indera Jaya (Pak Anas) yang menjemput saya di Pekan Golok. Kami terus menuju ke rumah Che Dat di No 54M. 13 Ban Chulabhorn Pataya 12, T.Sukhirin, C. Narathiwat, Thailand dan terpaksa melalui hampir 12 sekatan tentera di sepanjang jalan. 

Ini kerana Wilayah Naratihiwat, Songkla dan Petani ketika ini, dalam perintah dharurat. 

Saya disambut seorang tua yang bertongkat dengan senyum lebar. Barangkali, beliau telah diberitahu terlebih dahulu oleh pembantunya, Yaakob Ibrahim atau Pak Akob, 54, tentang kedatangan saya "orang sekampung" dengan Che Dat akan tiba sebentar lagi. Kami masing-masing anak Lambor, Parit, Perak.

Che Dat dalam bukunya "Zaman Pergerakan Sehingga 1948" ada menulis beliau berasal dari keturunan Maharaja Lambor. Dan beliau juga "cucu-cicit" Dato Sagor, pahlawan terbilang yang menghalau penjajah Bristih di tebing Sg Perak.

Saya menaiki kereta berasingan dengan Cikgu Ishak Surin; Radhi Hashim dan Ali Maidin. Mereka menaiki kereta Ali, diiringi oleh Pak Akob dan tiba lebih awal. (Gambar: Di dalam Muzium Ban Chulabhorn Patana 12 ini, sarat menempatkan perkakasan senjata, bahan bacaan, alat perubatan, carta organisasi, alat penerangan dan lain-lain)

Pak Anas adalah menantu Che Dat, anak kepada Abdullah Sudin. Beliau berkahwin dengan Karimas, satu-satunya anak Che Dat hasil perkongsian hidupnya dengan wanita Tionghua bernama Eng Miing Ching atau nama Islamnya Suriani Abdullah.

Sepanjang perjalanan dari Pekan Golok menuju Sukhirin, banyak cerita yang dikisahkan kepada saya. Pelbagai soalan juga diajukan  bagi mencungkil sejarah silam, yang bagi saya amat berharga untuk dicerahkan semula. 

Dari jalan utama, masuk ke dalam hutan sejauh 17 km untuk tiba ke perkampungan yang cukup diberi perhatian oleh Princess Chulabhorn, Intitut Penyelidikan Chulabhorn dan Kerajaan Thailand. Kampung ini secara beransur-ansur dilangkapkan dengan kemudahan asas.

Berbagai rancangan kemajuan seperti pembanguna ekonomi, pembangunan kampung termasuk pendidikan untuk para penduduk dan generasi barunya disedaikan.

Walaupun keadaan sedang gawat ketika saya tiba ke sini, alhamdulillah, sepanjang perjalanan yang menerujakan itu, tiada perkara yang tidak diingini terjadi. 

Sambil tersenyum girang, Che Dat menghulurkan tangan bersalam dengan saya, sebaik melangkahkan kaki masuk ke rumahnya. Di situ telah ada Pak Akob serta Karimas.

"Apa khabo orang Lambo?" tanya Che Dat mengusik saya. "Alhamdulillah baik semuenye..." saya menjawab dalam loghat Parit.

Kedatangan saya ke sini, untuk menziarah Che Dat dan meninjau perkampungan ini setelah lebih 20 tahun PKM meletakkan senjata dan berdamai. 

Pada tahun 1993 terdapat empat kampung perdamaian (Ban Rattana Kitti) telah diserahkan di bawah pengelola Intitut Penyelidikan Chulabhorn. Kampung Rattani Kitti 4 di tukar nama kepada Ban Chulabhorn Patana 12.

Ia dirasmikan oleh Prof. Dr. Her Royal Highness Princess Chulabhorn.   Ini menjadikan ia berkembang dengan pesatnya. Di sinilah Che Dat dan isterinya Suriani tinggal bersama bekas perajurit TRM yang lain. 

Persetujuan damai Hadyai telah ditandatangani pada 2 Disember 1989.   Peristiwa bersejarah itu telah memberi sumbangan besar kepada perdamaian dan kemakmuran Malaysia dan kawasan sempadan.

Perjanjian ini menamatkan persengketaan bersenjata secara berunding dan bertolak ansur dan bukanlah dalam bentuk menyerah diri. Ketiga-tiga pihak berikrar melaksanakan persetujuan dengan sebaik mungkin.

Kerajaan Tahiland telah memberikan sebidang tanah, sebuah rumah, bantuan pembangunan kampung dan lain-lain kepada bekas pejuang kemerdekaan Malaya ini. 

Kerajaan Malaysia juga ada membuat tawaran mengizinkan mereka pulang ke tanah air dan memberi bantuan kewangan selama tiga tahun. Ada yang pulang dan ada yang menetap terus di kampung ini.

PKM membubarkan pasukan bersenjatanya dan memusnahkan berbagai jenis senjata termasuk senjata buatan sendiri seperti meriam carbine; meriam katak; periuk api; dan membersihkan periuk api di kawasan sempadan. (Gambar: Di Masjid Darul Aman inilah, pelbagai aktiviti kegamaan seperti sambutan Maulidur Rasul dan bacaan Yassin diadakan).

Pada tahun 1999, pimpinan penting daripada Ban Chulabhorn 9, Ah Ho; Ban Chulabhorn 10, Ah Chen  dan Ban Chulabhorn 11, Rashid Maidin telah datang ke perkampungan ini dalam satu pertemuan antara empat kampung dengan Mejar Jeneral Narong Den-udom.

Tapak kampung ini asalnya ialah tapak perkhemahan Pasukan Rejimen ke-10. Setelah tanah siap diukur, setiap dari mereka diberi elaun sara hidup selama tiga tahun; rumah dan tanah seluas 15 rai sekeluarga serta bantuan alat-alat pertanian seperti baja; benih; dan perbelanjaan membangunkan kampung.

Tiga tokoh PKM iaitu Che Dat atau Abdullah CD; Suriani Abdullah dan Abu Samah Mohd Kasim  diberi penghormatan sebagai pimpinan kehormat Ban Chulabhorn Patana 12. 

Mereka banyak menyumbang terhadap pembangunan "Kampung Perdamainan" ini. Tidak lama kemudian mereka menunaikan fardu haji     dan sempat meluangkan masa mengunjungi beberapa tempat seperti mengadap Sultan Perak di Malaysia; Hong Kong dan China. 

Che Dat dilahirkan 2 Oktober 1923  di Kg Lambor Kiri, Parit, Perak. Dia  terus menetap di kampung ini bersama isteri dan anak menantunya. 

Katanya, ibunya sangat bekehendakkan anak lelaki setelah dikurniakan seorang anak perempuan. Keluarganya sudah merancang nama anak itu nanti ialah "Dat". Atas keinginan inilah maka apabila beliau lahir, dia dinamakan "Che Dat".     

Ceritanya lagi, ada dua kemungkinan dengan kelahiran beliau waktu itu. Satu, umurnya tak panjang dan kedua, dia akan menimbulkan banyak masalah di kemudian hari. Ini ekoran sewaktu ibunya mengandungkan beliau, sang belang selalu menghampiri rumahnya dan ia menggemparkan jiran-jirannya.

"Mereka hairan macam mana harimau boleh sampai ke tengah-tengah kampung yang jauh daripada hutan," ujar Che Dat.

Ayah Che Dat bernama Anjang Abdullah bin Kulop Ali. Kata orang-orang tua Lambor, ayahnya keturunan Maharaja Lambor yang berasal dari Sumatera, Indonesia. Maharaja Lambor ialah pengasas dan orang yang membuka Lambor di Parit, Perak.

Cerita Che Dat, ayahnya sangat membenci (getik) dengan Inggeris. Dia pernah terlibat dalam gerakan menentang Inggeris secara rahsia di Perak yang dipimpin oleh Raja Chulan pada 1930-an.

Ayahnya bercerita padanya, kumpulannya ada banyak ahli terdiri daripada orang Melayu dan Tionghua. Mereka gunakan isyarat sulit untuk mengenali sesama sendiri dan nbekerjasama antara satu sama lain.

Tetapi kumpulan ini telah diharamkan oleh Inggeris, kata Che Dat. Sultan Perak umumkan pengampunan terhadap orang-orang Melayu dalam kumpulan ini. 

Maka ramailah orang pergi ke Kuala Kangsar mengadap Sultan dan barulah diketahui bahawa kebanyakan orang lelaki di sepanjang Sg Perak menjadi anggotanya. (Gambar: Inilah adalah dewan makan untuk tetamu 5 - 6 orang yang dijaga rapi oleh seorang tukang masak perempuan).

"Jemputlah minum," tiba-tiba suara Karimas menerpa. 

Lidah rasmi PAS, Harakah Bil 1615 terbitan 18 - 20 Februari 2011 (Edisi Jumaat) telah memberi ruang di halaman belakangnya kepada Che Dat muncul menemui peminat dan pencinta kemerdekaan di negara ini. 

Beliau yang sering ditohmah dan dicop sebagai penjenayah, petualang dan pengkhianat bangsa dan tanahair selama ini, sedang giat mencerahkan sejarah hitam yang diturap oleh penjajah dan sekutunya di negara ini.

Che Dat masih memiliki daya ingatan yang sihat dan upaya mengingati banyak perkara tentang sejarah perjuangan PKM yang diketuainya selepas Musa Ahmad belot dalam perjuangan. 

Che Dat bersama isterinya, Suriani Abdullah bergerak aktif dalam memimpin Tentera Rakyat Malaya (TRM) Rejimen ke-10 sehingga rejimin ini cukup-cukup digeruni oleh penjajah British.  

Beliau merupakan pembaca setia Harakah sejak sekian lama. Melalui akhbar ini, beliau dapat mengetahui perkembangan politik tanahair di Malaysia.

Ketika kunjungan saya, Che Dat kelihatan sedikit uzur. Beliau sedang tekun membaca lidah rasmi PAS yang terkini, Bil 1612 bertajuk "Turun Mubarak". Di sudut sebelah kiri pintu masuk ke rumahnya, ada banyak Harakah terdahulu yang disusun. 

Kata Che Dat, Harakah dibeli dari seorang agen akhbar di Pekan Golok, setelah ianya dikumpulkan dua keluaran untuk satu minggu. Kemudian baru diambil. Anak menantunya yang mendapatkannya di Pekan Golok. 

"Nak langgan  dengan pos boleh ka?" tanya Cik Dat kepada saya. Boleh! Tak ada masalah, tapi sampai ke sinikah? balas saya balik. 

Lebih 30 tahun Che Dat dan rakan-rakanya menghabiskan usia tuanya di kampung ini. Ada rakan akrab juga bekas pimpinan tertinggi sudah meningal dunia seperti Abu Samah; Abdullah Sudin dan Kamaruddin Teh. (Gambar: Pusat Kesihatan ini banyak membantu penduduk di sini dalam mengekalkan kualiti kesihatan mereka).

Untuk pengetahuan, di kampung ini terdapat sebuah rumah tamu yang boleh menempatkan 10 hingga 20 orang untuk satu-satu masa. Ia dibina tidak jauh dari Masjid Darul Aman dan Muzium Ban Chulabhorn Patana 12. 

Masjid ini asalnya ialah madrasah dan kemudiannya didaftarkan di Pejabat Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat.  Ia didirikan pada tahun 1988 dengan belanja dari sumbangan Che Dat dan Suriani 500,000 baht; Abu Samah 100,000 baht; penduduk kampung 114,600 baht dan derma pelbagai pihak 9,300 baht.  Pelbagai aktiviti keagamaan diadakan di sini.

Sempena sambutan 50 tahun dharurat (Jun 98), mereka mendirikan tugu peringatan di tapak bekas perkhemahan Rejimen ke-10, kira-kira 1km dari Ban Chulabhorn 12. 

Di sini terdapat kesan-kesan sejarah seperti terowong, pertahanan, dapur tak berasap dan lain-lain lagi.

Banyak juga kemudahan yang disediakan di sini seperti bekalan air paip ke setiap rumah; Pejabat Kesihatan; Sekolah Rendah; Pusat Asuhan Kanak-kanak; jalan raya; bekalan elektrik; dewan serbaguna dan lain-lain lagi.  

Sewaktu mahu berangkat pulang, saya dibawa Pak Akob melihat Sekolah Dasar (sekolah rendah) dan Pusat Asuhan Kanak-kanak yang disediakan. 
Semuanya percuma. Buku teks, yuran malah ada bantuan pakaian. Ia dibiayai oleh Kerajaan Thailand. Dalam masalah kesihatan, di sini ada didirikan Pusat Kesihatan.

Sehari sebelum itu, Pak Akob mengajak kami menjengah muzium yang sarat dengan kenangan lama sewaktu Rejimen ke-10 masih bernafas. Pelbagai tinggalan dan bahan sejarah tersusun indah, termasuk pelbagai buku berkaitan perjuangan PKM dan TRM Rejimen ke-10. 

Di benak fikiran saya, jenuh membayangkan kehidupan anggota Rejimen ke-10 TRM berjuang di dalam hutan lebih 41 tahun lamanya. (Gambar: Di isilah anak-anak bekas perajurit TRM mendapatkan pendidikan rendah)

Malah, ketika "Opp Undur", tempoh berundur dari Temerloh menuju ke Selatan Thai yang mengambil masa selama setahun melalui hutan belantara itupun, cukup memilukan hati saya.          

Cuba bayangkan kehidupan di dalam hutan belantara. Nyamuk, cengkerik, binatang buas, amat bahaya. Hujan panas, embun dan lapar dahaga. Curam, gaung, lumpur. Tempat tidur entah ke mana, hiburan dan lain-lainnya "keseronokan" di ketepikan begitu sahaja.

Mereka sanggup menghabiskan umur lebih daripada 41 tahun kerana mahu membebaskan negara ini dari cengkaman penjajah Inggeris.

Ketika ini, Umno belum wujud lagi. Hanya PKM yang memekik untuk membebaskan tanahair dari penjajah. Sehinggalah Bristish mengharamkan PKM setelah dharurat dilambung tinggi. 

Ramai pemimpin rakyat marhain ditangkap dan dipenjara. Hanya PKM yang yang mengambil tindakan memikul senjata ke dalam hutan bagi memerdekakan Malaya ketika itu.   

Di perkampungan ini tiada perkhidmatan internet seperti di Malaysia. Mereka terpaksa membeli alatan khas bagi membolehkan internet dilayari.  

Di bumbung rumah mereka, ada banyak para bola. Mereka boleh menonton beratus saluran tv melalui setalit tidak berbayar. Di Malaysia, Astro mengenakan bayaran, tetapi ini tidak terjadi di Thailand.

Isterinya Hajjah Suriani Abdullah, 87, kini terlantar sakit tua, dijagai oleh anak menantunya Karimas (anak Che Dat dengan Suriani) dan Anas Indera Jaya atau Pak Anas (anak Abdullah Sudin).

Rumah mereka bersebelahan sahaja. Tidaklah besar, diperbuat dari kayu dan diubahsuai bahagian bawahnya dengan batu-bata. Di sebelah kanan rumah Che Dat ialah rumah Pak Anas, menantunya. Dan di sebalah kiri pula rumah Allahyarham Abu Samah Mohd Kasim, salah seorang pimpinan tertinggi PKM. (Gambar: Tarmizi menyampaikan sumbangan 50 naskah al-Quran kepada Abdullah CD sebelum berangkat pulang).

Kini bekas pejuang-pejuang kemerdekaan Malaya, menetap di "Kampung Perdamaian" sudah 21 tahun, selepas termerai Penandatanganan Persetujuan Damai Hadyai, 2 Disember 1989 antara Thailand, Malaysia dan PKM. 

Sebelum berangkat pulang, Ishak dan Ali turut menyumbangkan sedikit wang untuk pembangunan masjid dan muzium kepada Che Dat dan kami semua turut menerima beberapa buah buku "Memoir Abdullah CD" dari beliau sebagai buah tangan.


6 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Pejuang Melayu sebenar....terbilang tapi terbuang...Dipinggir dan terpinggir oleh MELAYU yang mudah lupa...Apakah Inggeris yang menjajah sekian lama lebih layak dimartabatkan berbanding PEJUANG yang dituduh penderhaka oleh Penjajah? Sayang....KITA mudah lupa

Tanpa Nama berkata...

Semasa hayat Arwah Abu Samah yang kami sebut sebagai 'Aki Alang' byk cerita yang dikongsikan.

bukan mudah untuk menjadi berani & kental seperti mereka.

Moga2 segala usaha murni & pengorbanan mereka mendapat tempat disisi-NYA.. amin..

Al-fatihah untuk arwah aki alang

Renjer Hutan berkata...

perjuangan apa kalau membunuh sesama islam.. dia bukan pejuang tetapi penjenayah.. aku harap dia ebrtoaubat ke atas nyawa nyawa orang Islam yang dibunuh.. tidak eprnah aku dengar kata-kata penyesalan dari pembunuh ini..

Tanpa Nama berkata...

Siapa yang dia bunuh? Orang Melayu mana?Ada membaca tak buku2 sejarah sebenar atau terpedaya dengan tipu dakyah Umno bagi mengiyakan merekalah kononnya pejuang kemerdekaan tulen. Akal ada berfikirlah...

Tanpa Nama berkata...

It's the best time to make some plans for the future and it's time tо bе hapру.
I've read this post and if I could I desire to suggest you some interesting things or suggestions. Perhaps you could write next articles referring to this article. I desire to read even more things about it!

My blog post - payday loans no credit check
my web page > payday loans no credit check

Tanpa Nama berkata...

Α fascinating discussion iѕ woгth comment.
I do belieνe that you need to publish more about thіѕ tοpіc, it mіght nοt be a taboo subjeсt but
usually peoplе don't speak about these topics. To the next! Cheers!!

my weblog: payday loans