KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, September 17, 2009

Menekuni ibadat 10 malam terakhir Ramadan - Dato' Abu Hassan Din


KITA berhasrat dan bercita-cita untuk mendapatkan malam Lailatul Qadar, ini berpandu kepada hadis Rasulullah SAW yang bermaksud "Intai-intailah dan cari-carilah pada malam-malam sepuluh yang terakhir".

Daripada hadis ini seolah-olah tidak akan berlaku melainkan pada malam sepuluh yang terakhir. Dalam pada itu disebut pula dalam riwayat lain, yakni Nabi berkata "Lailatul Qadar akan berlaku melainkan pada malam-malam ganjil".

Jadi berdasarkan hadis-hadis ini, Lailatul Qadar tidak akan berlaku melainkan pada malam sepuluh malam terakhir dan malam-malam ganjil.
Janganlah pula kita semata-mata memilih pada malam-malam ganjil sahaja. Jadi ulama-ulama berkata barang siapa hendakkan lailatul qadar maka dia kena berusaha daripada awal Ramadan lagi.

Berpuasa di siang hari, beribadat di malam hari jadi dengan harapan amalan ini diteruskan sehingga malam terakhir insyallah dia akan dapat Lailatul Qadar.

Adapun kelebihan malam itu yang sudah sedia maklumlah, kelebihan dan kebaikan pada malam itu adalah lebih baik dari 1000 bulan. Ertinya, 1000 bulan bersamaan dengan 83 tahun lebih. 83 tahun itu biasanya umur maksimum seorang manusia.

Barang siapa mendapat Lailatul Qadar dengan beribadat iaitu sembahyang, baca al quran, berzikir, qiamulail dan beriktikaf di masjid. Maka ibadat dia pada malam itu dianggap lebih baik daripada ibadat yang dilakukan seumur hidupnya. Maka sebab itulah diletakkan sepuluh malam yang ada kebaikkanya.

Lailatul Qadar akan berlaku malam, sebab itu di sepuluh malam terakhir disuruh berjaga malam kerana beribadat tidak kiralah di rumah atau di masjid tetapi lebih baik di masjid. Malah ini juga menjadi amalan Rasulullah dan para sahabat.

Tetapi malangnya orang kita pada hari ini semakin akhir Ramadan semakin kurang orang beribadat. Kalau di awal Ramadan, masjid-masjid penuh di akhir-akhir sudah berkurangan.

Bagi saya keadaan ini tidak sepatutnya berlaku. Seolah-olah kita menganggap kebaikan Ramadan hanya diawal bulan itu sahaja. Tetapi sebenarnya kelebihan Ramadan adalah di akhirnya lebih-lebih lagi malam sepuluh yang terakhir.

Harapan saya, kita kena faham betul-betul kelebihan lailatul qadar, kebaikannya, ganjaran pahalanya, kita kena cari dalam sepuluh malam terakhir. Jangan cari di awal, tidak ada.

Nabi ada menyebut malam itu berlaku pada malam ganjil tetapi tidak menyebut sebarang tanda. Cuma ada hadis yang di riwayatkan oleh Abdullah Ibni Abbas, "tanda-tanda yang berlaku Lailatul Qadar itu hanya akan diketahui esok paginya. Kalau ada matahari keluar cahayanya lemah", itu sahaja yang diberitahu.

Ada orang kata, air menjadi beku dan pokok sujud, adalah bohong. Itu tidak ada nas.

Harapan saya jangan semata-mata memilih pada malam itu. Sebenarnya siapa yang menentukan ganjil ataupun genap? Sebab itu seelok-eloknya kita ambil sepuluh malam terakhir dan rebut peluang sehingga sehabis-habisnya untuk beribadat.

Kalau kita sudah target pada malam ganjil dibimbangi jika kita ada hal yang boleh membantutkan amal ibadat kita misalnya, sakit perut atau sebagainya akan merugikan kita. Jadi kita digalakkan beriktikad sepuluh malam terakhir.

Insyallah sesiapa yang menghidupkan malam-malam Ramadan dengan beribadat tiap-tiap malam, pasti dia akan dapat lailatul qadar.

Ditulis oleh DATO' ABU HASSAN DIN AL-HAFEZ
Penulis adalah bekas Pegawai Agama Istana Negara dan bekas Imam Besar Masjid Negara

Jangan remehkan zakat fitrah - Ustaz Shukri Yusof


KUALA LUMPUR: Bulan Ramadan sudah hampir ke penghujungnya yang mana di situ Allah telah menjanjikan satu malam yang penuh keistimewaan, dalam kerancakan itu satu lagi kewajipan yang harus di tunaikan umat Islam iaitu zakat fitrah.

Pendakwah bebas, Ustaz Shukri Mohd Yusof menasihat dalam kesibukan bekerja di samping mengerjakan amal ibadat janganlah lupa untuk menunaikan satu lagi kewajipan sebagai umat Islam iaitu zakat fitrah.

Katanya, walaupun masa yang lebih afdal menunaikan zakat sebelum solat sunat Aildilfitri tetapi umat Islam digalakkan melakukannya lebih awal.

"Kalau bercakap waktu yang lebih afdal menunaikan zakat adalah sebelum solat raya Aidilfitri, pada masa yang sama kita harus memahami mungkin dalam kesibukan agak sukar kerana imam mungkin tidak berkesempatan untuk menguruskan penerimaan zakat waktu itu," katanya ketika dihubungi.

Beliau yang juga bekas Ketua Unit Syariah Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan mencadangkan pada penghujung Ramadan adalah tempoh yang sesuai untuk menunaikan zakat.

"Yang paling baik, adalah ketika kita teringat ini kita tunaikan dengan sesegera mungkin. Memang ada kes orang yang terlupa bayar zakat kerana kesibukan, jadi ini adalah satu kesalahan yang besar, "katanya.

Katanya, setiap umat Islam harus ingat zakat fitrah adalah pelengkap kepada ibadat puasa yang dijalani sepanjang Ramadan.

"Saya nasihatkan kepada umat Islam, janganlah kita buat di saat-saat akhir sebaliknya gunakan masa yang ada ini kita laksanakan kewajipan tersebut," katanya.

Tambahnya, adalah lebih afdal seseorang itu membayar zakat fitrah di tempat tinggalnya supaya mereka memahami dan mengambil berat masyarakat sekelilingnya.

"Zakat fitrah hanya sebagai pengingat kepada kita harus mengingati orang yang susah di sekeliling kita, yang mana kadang-kadang kita lebih prihatin mereka yang jauh," katanya.

Justeru, katanya urusan zakat merupakan tanggungjawab pihak berwajib di umpamanya di Selangor, umat Islam wajib membayar pada amil yang telah dilantik oleh pihak berkuasa agar pungutan zakat itu lebih terurus oleh pihak berkuasa sama ada Majlis Agama Islam atau Pusat Pungutan Zakat.

Daripada Ibnu Abbas, baginda s.a.w bersabda, “Difardukan zakat fitrah untuk membersihkan jiwa orang yang berpuasa daripada perkara yang sia-sia dan bersifat dusta, ia juga sebagai makanan dan kelazatan kepada fakir miskin. Bagi sesiapa yang menunaikannya sebelum solat Aidilfitri maka zakatnya diterima dan barang siapa yang menunaikannya selepas daripada itu, ia hanyalah sedekah”. (riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

Tok Guru Nik Aziz sifatkan ajakan Najib kerjasama sebagai umpan Bagan Pinang

KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyifatkan soal kerjasama antara PAS dan Umno sebagaimana yang ditimbulkan semula oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak itu sebagai ‘umpan’ untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil Dun Bagan Pinang, Negeri Sembilan.

Katanya, hasrat Umno ingin berunding dengan PAS tidak perlu dilanjutkan lagi kerana ianya perkara lama dan selalu berulang. Tidak ada perkara yang perlu dirunding antara PAS dan Umno kerana ianya perkara berulang yang pernah ditimbulkan sejak sekian lama.

"Soal kerjasama (antara PAS dan Umno) ni cerita lama. Pemimpin Pusat acap kali sebut perkara ni. Nak berunding apa lagi, kalau nak berunding juga tukar dasar kepada Islam. Kiranya benar pentingkan umat Islam, baru nampak ikhlas," jelas beliau.

Tok Guru Nik Aziz berkata demikian kepada media di pejabatnya sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak, yang menyatakan kesediaan Umno untuk berunding dengan PAS demi untuk kepentingan Islam di negara ini dengan syarat tidak ada pihak yang cuba mempersoalkan akidah parti itu.

Beliau memberitahu, kecuali perundingan untuk penyerahan royalti minyak, kerajaan negeri bersedia pada bila-bila masa untuk berunding kerana ianya juga untuk kepentingan rakyat.

Ujarnya, kerajaan negeri akan sentiasa menunggu jemputan dari Kerajaan Pusat bila tarikh untuk diadakan perundingan berhubung perkara itu.

Bagaimanapun, Menteri Besar Kelantan itu mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pusat kerana membantu Kelantan khususnya dalam pembangunan walaupun negeri itu ditadbir oleh PAS sejak 20 tahun lalu.

Katanya, kerana konsep fedralisme yang ada, Kerajaan Pusat turun untuk membantu Kelantan sebagaimana yang terkandung dalam perlembagaan.

Pemimpin Umno juga, tegasnya, harus memperlihatkan keikhlasan untuk berunding dengan PAS, dengan mengubah dasar perjuangan parti itu kepada Islam.

"Kerajaan PAS Kelantan telah memasuki tahun ke 20 dengan dasar Islamnya dengan menutup dasar yang diperkenalkan Eropah melalui ajaran Rasulullah.

"Akhirat nanti ialah tempat di mana Allah memberi balasan terhadap perilaku manusia di dunia ini tidak kira mereka itu pendokong parti mana, PAS, Umno, bangsa Cina, India dan lain lain lagi," ujarnya.

Bagi Naib Presiden PAS. Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man pula, Sekiranya Umno benar-benar mahu mengadakan perundingan dengan PAS bagi kepentingan ummah dan agama Islam, tiada sebarang syarat harus dikenakan untuk menjayakannya apatah lagi jika ia melibatkan soal pegangan dan akidah Islam.

Tambah beliau, jika Umno meletakkan syarat tertentu bagi sesuatu rundingan, sudah jelas ia menunjukkan parti itu tidak ikhlas dan tidak bersedia untuk berbincang dan menerima pandangan dengan baik.

"Kenapa Umno mesti meletakkan syarat tertentu, khususnya melibatkan soal akidah? Apabila letak syarat itu, seolah-olah Umno sedar bahawa perjuangan parti itu memang tidak selaras dengan Islam hingga tidak mahu ia dibangkitkan," tegas beliau.

Mengulas lanjut, Ustaz Tuan Ibrahim berkata satu rundingan yang bersifat jujur dan ikhlas juga harus dilakukan secara terbuka, tanpa dirahsiakan mana-mana pihak bagi mengelakkan salah tanggapan pihak lain.

Beliau tidak menolak kemungkinan Umno kini dalam keadaan terdesak sehinggakan begitu teruja dan bersungguh-sungguh menghulurkan tangan bagi mengadakan rundingan bersama PAS.

Tidak mustahil BN kalah di Bagan Pinang - Mahfuz

KUALA LUMPUR: Tidak mustahil PAS memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Bagan Pinang sekiranya parti itu dan Pakatan Rakyat berjaya menembusi sokongan pengundi pos di kawasan berkenaan.

Berasaskan kepada keputusan pilihan raya umum ke-12 Mac lalu, PAS hanya kalah sebanyak 500 undi jika ditolak undi pos yang hampir 40 peratus bilangannya di kerusi Dun tersebut.

Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar, berkata berdasarkan kajian tersebut, jelas menunjukkan PAS mempunyai kekuatan di kalangan pengundi awam, sekaligus dengan peratusan undi pos kepada Pakatan Rakyat yang turut menyumbang.

"Barisan Nasional (BN) bergantung kepada undi pos yang mempunyai berbagai bentuk 'bantuannya' kepada parti itu, khususnya tentang operasi tentera yang akur dan patuh dengan arahan pihak atasan. Justeru, Pakatan Rakyat perlu berusaha menembusi golongan tersebut untuk meningkatkan sokongan kepada Pakatan Rakyat," kata beliau kepada Harakah.

Mengulas lanjut kemenangan Pakatan Rakyat dalam tujuh pilihan raya kecil di Semenanjung sejak Mac lalu dan kemungkinan untuk mengulanginya di Bagan Pinang, Mahfuz berkata biarpun Bagan Pinang merupakan kerusi BN, tidak mustahil Pakatan Rakyat boleh merampas kerusi tersebut sekiranya momentum rakyat yang mahukan perubahan berterusan.

Jika kalah sekalipun, kata beliau Pakatan Rakyat berharap dapat menurunkan majoriti yang diperoleh BN dalam pilihan raya kecil ini, memandangkan PAS terpaksa berdepan dengan pengundi pos yang berjumlah hampir 5000 orang.

"Jika pendekatan dan strategi yang digunakan Pakatan Rakyat, khusus di kalangan pengundi pos berjaya, tidak mustahil PAS akan menang. Jika tidak sekalipun, kita berharap dapat mengurangkan majoriti BN, itu sudah cukup kerana kita berdepan dengan pengundi pos yang ramai," kata beliau lagi.

Tambah Mahfuz, jika dilihat pengalaman pilihan raya kecil di Manek Urai dan Permatang Pasir, BN menggunakan tentera bagi 'menjana' kemenangan, tidak mustahil di Bagan Pinang, undi pengundi tentera akan 'dimanfaat' sepenuhnya BN bagi memastikan kemenangan.

Beliau juga berkata sekiranya BN gagal mengekalkan kemenangan di kerusi Bagan Pinang dalam pilihan raya kecil akan datang, ia bererti BN akan kehilangan kuasa pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Bonus Felda RM350 tak berbaloi untuk peneroka - Mazlan

KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Mazlan Aliman berkata, bonus sebanyak RM350 kepada peneroka Felda tidak berbaloi dengan hasil pendapatan yang mereka perolehi sekarang.

Bahkan katanya, beliau melihat pembayaran bonus sebanyak RM150 sebagai satu diskriminasi kepada peneroka yang tidak bersama Felda.

Beliau berkata, antara kedua-dua peneroka tersebut sama saja kerana peneroka yang tidak bersama Felda pun menjual hasil komoditi di kilang Felda juga.

Soalnya, bagaimana kerajaan boleh memisahkan antara peneroka bersama Felda dengan peneroka yang buat secara bersendiran dan ini katanya, menunjukkan wujud sikap berat sebelah.

"Apa yang boleh peneroka buat dengan pembayaran sebanyak itu lebih-lebih lagi untuk menyambut hari raya nanti," katanya yang juga Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) kepada Harakah.

Beliau berkata, sepatutnya kerajaan membayar bonus mengikut pendapatan yang diperoleh peneroka sebagaimana dibayar kepada kakitangan kerajaan.

Sekiranya kerajaan memberi bonus mengikut perkiraan seperti dibayar kepada kakitangan kerajaan, rata-rata peneroka sepatutnya menerima RM2000 hingga RM5000.

Ini katanya, pendapatan peneroka sekarang sekitar RM2000 hingga RM5000 sebulan.

"Sebab itu saya rasa bonus yang bakal diberikan kepada peneroka Felda sangat tidak berbaloi, jika pembayaran tersebut dianggap sebagai bonus. Peneroka dibayar hanya sebanyak RM150 sempena hari raya ini," katanya.

"Apa yang boleh peneroka beli dengan wang RM150 untuk menyambut hari raya?" katanya.

Khamis lalu Bernama melaporkan, Dato' Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemberian wang Raya berjumlah RM37.23 juta kepada 112,635 peneroka Felda di seluruh negara mulai minggu depan.

Najib berkata seramai 101,672 peneroka bersama Felda akan menerima RM350 seorang, berjumlah RM35.59 juta. Manakala 10,963 peneroka peneroka yang tidak bersama Felda pula akan menerima RM150 seorang.

Mazlan menyifat pemberian bonus itu hanya untuk menunjukkan seolah-olah kerajaan prihatin kepada peneroka.

"Memang saya akui kerajaan memberi perhatian lebih kepada masyarakat Felda sebab warga Felda talian hayat bagi Barisan Nasional (BN).

"Kalau dia tak jaga peneroka Felda BN boleh 'bungkus' kerana selama ini peneroka Felda dianggap memenangkan BN, jadi kerajaan akan buat pelbagai insentif kepada peneroka Felda untuk menjamin sokongan kepadanya," katanya.

Bagaimanapun katanya jika sekadar RM350 untuk digunakan sebagai hujah kerajaan membela peneroka ia satu pendekatan yang kebelakang.

Ini katanya, bayaran tersebut sememangnya hak peneroka yang menjadi tanggungjawab kerajaan.

Sidang DUN Perak 2 September sah - Dr Aziz Bari

KUALA LUMPUR: Tindakan Speaker DUN Perak V. Sivakumar bersama 24 Adun Pakatan Rakyat mengadakan Sidang DUN pada 2 September lalu di Hotel Herittage adalah sah dari segi perlembagaan.

Pakar Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Abdul Aziz Bari berkata usul yang dikemukakan pada Sidang berkenaan juga merupakan usul yang sah.

Beliau berkata, V. Sivakumar masih lagi Speaker Dewan kerana ia diangkat keluar dari Dewan secara paksa pada Mei lalu dalam cubaan rampasan kuasa Umno-BN.

"Ganesan hingga kini masih lagi tidak sah dan tidak jelas. Dan beliau telah melanggar Perlembagaan Negeri yang melarang seseorang memegang dua jawatan dalam satu masa. Beliau masih jadi peguam sewaktu dilantik jadi Speaker Dewan. Sebenarnya yang bermasalah adalah Datuk Ganesan bukannya Sivakumar.

"Apa yang diputuskan dalam Sindang DUN itu adalah sama statusnya dengan yang di bawah pokok hari itu sah kerana pada satu-satu masa hanya boleh ada satu DUN sahaja. DUN di pengerusikan Ganesan tidak sah dan ia masih di bawah Sivakumar," katanya.

Aziz yakin pihak setiausaha kerajaan negeri dan polis sedar, sidang Dun Pakatan Rakyat itu adalah sah kerana pihak berkuasa kelihatan teragak-agak untuk mengambil tindakan.

"Ini dikutuk oleh sebuah laman web penyokong Umno berasa tidak senang dengan tindakan yang dianggap lembut oleh pihak polis di Ipoh walaupun sebenarnya kalau diperhatikan sudah kasar apa yang dilakukan oleh polis terhadap Nizar dan Nge Khoo Ham," katanya.

Mengulas mengenai kemelut politik di Perak, Aziz berkata Umno-BN mengheret mahkamah dalam kancah politik negara bagi merealisasikan rampasan kuasa yang dilakukan di Perak.

Mahkamah tegasnya, tidak seharusnya mencampuri hal ehwal Dewan Negeri mahupun Dewan Negara, sejajar dengan konsep pemisahan kuasa legislatif-eksekutif-kehakiman.

"Kalau mahkamah telah melanggar Perlembagaan siapa lagi yang kita harapkan untuk jaga Perlembagaan kerana hakim-hakim harus menjunjung dan pertahankan Perlembagaan.

"Perlembagaan kata mahkamah tidak ada kuasa untuk campur atau kaji atau periksa prosiding Dewan, dia buat juga maknanya mahkamah telah melanggar Perlembagaan. Jadi sekarang dalam keadaan kelam-kabut dan keputusan mahkamah dipersoalkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan Putrajaya memutuskan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak V. Sivakumar tidak mempunyai kuasa menggantung Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan enam Exconya daripada menghadiri sidang Dewan Negeri berkenaan.

"Umno heret Istana untuk sahkan kedudukan ini satu tindakan yang tidak betul dan mengkompromikan kedudukan neutral dan atas politik istana," katanya.

Katanya DUN Perak perlu dibubar demi kepentingan negeri berkenaan khususnya dari segi kestabilan politiknya.

"Siapa Istana untuk menentang ini, kita harus faham latar belakang mengapa kuasa budi bicara diberikan pada Sultan bukan kuasa mutlak, apa yang berlaku di Perak jelas keengganan Sultan membubarkan Dewan telah memalitkan Istana dengan politik. Ia jelas dan semua nampak ia tidak boleh dinafikan," kata Aziz lagi.

Berapa juta pula untuk Permatang Pasir BN nak labur?


KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad menyindir Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak tentang jumlah peruntukan yang bakal ditabur di Dun Permatang Pasir selepas menyalurkan RM8.9 juta di Dun Manek Urai sebagai 'janji-janji' pilihan raya, kononnya.

7 September lalu, Najib yang juga Presiden Umno, mengumumkan beliau telah meluluskan projek pembangunan untuk penduduk Manek Urai berjumlah RM8.9 juta sebagai menepati janji pada pilihan raya kecil DUN tersebut pada 14 Julai lepas.

Umno yang ketika itu mengistiharkan Manik Urai sebagai anak emas, hari ini kelihatan tertekan untuk menunaikan janji mereka kepada penduduk Manik Urai.

Mereka kata Ustaz Idris, terpaksa melaksanakan janji berkenaan kerana khuatir jika kegagalan mereka akan dijadikan modal kempen pihak kerajaan PAS di Kelantan.

"Najib rupanya buta sebelah mata, pekak sebelah telinga kerana selepas tewas dalam keadaan memalukan di Permatang Pasir beliau masih belum menunaikan apa-apa janji kepada penduduk di sana.

"Walhal jika diimbas kembali, sepanjang kempen di Permatang Pasir, Umno-BN mengistiharkan Permatang Pasir sebagai anak emas kedua mereka," soal beliau.

Ustaz Idris berkata, janji pembangunan ditabur sana-sini sama ada di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau mahupun Batang Ai, semata-mata untuk memancing undi.

Malangnya, tegas beliau, hanya DUN Manik Urai sahaja mendapat layanan kelas pertama kerana Umno begitu bangga selepas berjaya mengurangkan majoriti kemenangan PAS dengan banyak.

"Nampaknya Umno ghairah canangkan satu negara bahawa mereka sudah laksanakan janji pilihan raya. Tetapi, mereka lupa rakyat kini semakin cerdik dan PAS tetap yakin, Manik Urai akan terus dalam gengaman dengan majoriti yang lebih besar dalam pilihan raya akan datang," tegas beliau.

Dr Halimah sifatkan "gagal tadbir Selangor" hanya tuduhan Umno

KUALA LUMPUR: Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr Halimah Ali menafikan dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor gagal mentadbir selepas timbul kekecohan sejak akhir-akhir ini.

Beliau mendakwa segala kekecohan tersebut merupakan perancangan Umno bagi menunjukkan kononnya Pakatan Rakyat tidak mampu menguruskan negeri yang kaya dengan hasil itu.

"Kekecohan tersebut adalah perancangan pihak Umno-BN yang sengaja direka-reka dengan tujuan untuk menggugat kepercayaan rakyat terhadap Pakatan Rakyat," katanya kepada Harakah.

Kerajaan negeri Selangor sejak berubah tampuk pentadbiran ujarnya telah melaksanakan pelbagai program menerusi misi merakyatkan ekonomi bagi mengubah nasib rakyat negeri itu.

Walau bagaimana pun kata Dr Halimah, pelbagai agenda dirangka Umno bagi menutup segala kebaikan yang dibuat Pakatan Rakyat.

"Mereka sengaja membuat isu-isu untuk menimbulkan keadaan yang tidak stabil bagi menggambarkan kegagalan kita.

"Ini semua didalangi Umno-BN sehingga ia dilihat seperti sebuah drama tetapi saya yakin rakyat Selangor bijak menilai kebenaran," ujarnya yang juga AJK Dewan Muslimat PAS Pusat.

Menurut kajian yang dijalankan oleh Merdeka Centre, majoriti rakyat Selangor gembira dengan pentadbiran Pakatan Rakyat. Dalam kajian yang dijalankan antara 5 dan 15 Jun baru-baru ini menunjukkan 60 peratus daripada rakyat Selangor merasakan kerajaan negeri kini menuju ke arah yang betul dalam membangunkan negeri dan membela nasib rakyat.

Kira-kira 63 peratus melahirkan rasa puas hati dengan pencapaian yang ditunjukkan Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim manakala 19 peratus merasakan sebaliknya.

Sementara itu, 64 peratus rakyat Selangor berpuas hati dengan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor selepas memenangi pilihan raya Umum ke-12 Mac 2008 lalu , manakala 22 peratus tidak berpuas hati.

Jika dapatan kajian tersebut dihuraikan dalam bentuk pecahan kaum, menunjukkan 59 peratus rakyat berbangsa Melayu, 69 peratus bangsa Cina dan 69 peratus penduduk kaum India menyatakan rasa puas hati tersebut.

Manakala berdasarkan maklum balas responden, faktor yang didapati menyumbang kepada keputusan itu termasuklah program kebajikan yang dijalankan, pentadbiran yang telus dan berkesan serta terhakisnya amalan korupsi.

Kerajaan Selangor brani berdepan rakyat, berbanding Umno baling batu sembunyi tangan

KUALA LUMPUR: Senario yang berlaku di Selangor memperlihatkan keberanian kerajaan Pakatan Rakyat berdepan dengan rakyatnya melalui pendekatan politik terbuka walaupun dalam isu sensitif.

AJK PAS Pusat, Dr Mujahid Yusuf berkata, apa yang membezakan Pakatan Rakyat dengan Umno adalah keberanian membuat perundingan dengan umum walaupun kena 'boo'.

"Walaupun kena 'boo' tetapi kita bersedia untuk berunding dan mencari jalan penyelesaian secara terbuka tidak seperti Umno yang mengambil pendekatan lari daripada masalah akhirnya membuat keputusan secara senyap," katanya kepada Harakah.

Mengulas kenyataan Umno yang menyifatkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor gagal menguruskan perpaduan, Mujahid berkata, Umno seharusnya 'mengukur baju sendiri' sebelum menuduh orang lain.

Katanya, walaupun Umno sudah berpuluh-puluh tahun memerintah negara ini tetapi masih lagi gagal untuk membentuk perpaduan yang utuh dalam parti komponen BN.

"Kalau mereka nak sebut gagal, ukur baju sendiri la. Kalau kata kita gagal mereka tu apa? Sudah berpuluh tahun memerintah, mereka berpecah sana sini baik MCA, MIC dan Umno sendiri. Apakah ini contoh perpaduan yang baik yang kami nak kena ikut," tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar.

Justeru, Mujahid membidas Umno agar mereka menyelesaikan isu perpecahan dalam BN sendiri yang sarat dengan kes-kes rasuah yang tidak pernah selesai.

Katanya, kuil di Seksyen 23 Shah Alam bukanlah masalah baru tetapi ia sudah lama semasa dalam pemerintahan BN, malangnya kerajaan Khir Toyo sebelum ini tidak berani berdepan dengan rakyat dalam menyelesaikan perkara itu.

"Jadi bagi kami inilah pendekatan Pakatan Rakyat yang baru dan kami hendak keluar daripada pendekatan BN yang berpura-pura selama ini," katanya.

Bukti BN bersalah, terpaksa bayar gantirugi kepada Mustafa Ali RM50 ribu


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 8 September lalu merekodkan persetujuan Polis dan kerajaan Malaysia membayar gantirugi sebanyak RM50,000 kepada Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali kerana menahan beliau di bangunan Parlimen dua tahun lalu.

Hakim P.S. Nathan merekodkan persetujuan itu ekoran saman yang dikemukakan oleh Mustafa kepada Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia.

Mustafa diwakili peguam Mohamed Hanipa Maidin yang juga Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS Pusat manakala pihak defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan Tuan Rosli Ahmad.

Menurut Hanipa, polis dan kerajaan Malaysia bersetuju untuk membayar gantirugi walaupun tidak mengaku liabliti kepada Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali.

Musatafa pada 11 Disember 2007, datang ke Dewan Rakyat untuk mendengar perbahasan untuk menolak cadangan melanjutkan tempoh jawatan Pengerusi SPR, Tan Sri Rashid Abdul Rahman.

Beliau (ketika itu Pengarah Pilihanraya PAS) telah ditahan dan dibawa ke balai polis Dang Wangi dan ditahan selama tiga jam setengah mulai jam 1 tengahari hingga 4.30 petang.

Dalam insiden penangkapan itu, Mustafa telah diheret dengan kasar dan secara kurang ajar oleh dua anggota polis.

Mustafa dan beberapa orang pimpinan PAS serta aktivis Bersih berada di hadapan bangunan Parlimen ketika itu untuk menyerahkan satu memorandum kepada Anggota Parlimen mengenai tuntutan pilihanraya yang bersih dan adil.

Selain beliau, turut ditahan adalah Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli; Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Salleh, Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Tantawi, Dr Lo' Lo Haji Ghazali; Setiausaha Agung KeADILan, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Dr Mohd Nasir.

Terdahulu, Ketua Penerangan PKR, Tian Chua telah ditangkap dalam jarak 200 meter dari tempat kawalan pihak polis.

Mustafa yang ketika itu sedang memasuki pintu Parlimen, telah ditahan oleh dua anggota polis berpakaian preman dan meminta beliau menyerahkan diri kerana didakwa terlibat dengan pelanggaran satu perintah mahkamah.

Bagaimanapun Mustafa yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu menyatakan kehadirannya di Parlimen adalah sebagai tetamu Ahli Parlimen Tumpat, Dato' Kamaruddin Jaffar dan sekadar memerhati perbahasan yang berlangsung.

Desak Kerajaan BN ajar Sains, Matematik mulai tahun depan, jangan dolak-dalik lagi! - Prof. Dr Nor Hashimah


KUALA LUMPUR: Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) mendesak agar kerajaan menyegerakan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu pada tahun hadapan terutama kepada pelajar-pelajar yang bakal memasuki tahun 1 dan tingkatan 1.

Presiden PLM, Prof. Dr Nor Hashimah Jalaluludin menegaskan, peralihan semula daripada PPSMI kepada pengajaran berbahasa Melayu tidak boleh dikatakan sama seperti peralihan daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu seperti pada awal tahun 1970-an dahulu semasa Dasar Pelajaran Kebangsaan dilaksanakan.

Namun katanya, PLM tetap merasakan kesukaran jika pun ada untuk beralih kepada bahasa Melayu tidak sama seperti kesukaran ketika dipaksa beralih kepada PPSMI pada tahun 2003 dahulu.

Jelasnya, beralih kepada keadaan yang “amat sukar” kepada PPSMI pada 2003 itupun cuma diberi masa kira-kira lima bulan sahaja.

"Mengapa untuk kembali menggunakan bahasa Melayu, yang telahpun pernah digunakan selama 20, 30 tahun bukan sekadar di peringkat sekolah menengah malah sehingga di universiti perlu mengambil masa sehingga 6 tahun.

"Melengahkan usaha yang “mudah” ini bermakna menambahkan lagi jumlah pelajar yang menjadi “mangsa” PPSMI yang diakui sendiri oleh Menteri Pelajaran sudah menjangkau angka tiga juta orang. Kita sering mendengar kata-kata, “justice delayed is justice denied” atau keadilan yang ditangguhkan merupakan penafia.n," katanya.

Jelas Nor Hashimah, pelajar tidak akan menghadapi masalah apabila PPSMI dimansuhkan kerana realitinya PPSMI selama ini memang diajar oleh para guru dengan menggunakan Bahasa Melayu secara meluas atau bercampur-campur demi kepentingan pemahaman pelajar.

Malah katanya, banyak sekolah memilih untuk mengajar dalam Bahasa Melayu. Tambahan pula soalan peperiksaan berbentuk dwibahasa.

Beliau menegaskan, mengajar semula dalam Bahasa Melayu menjadi sangat mudah kerana persekitaran pelajar memang membantu pembelajaran tersebut berbanding jika beralih ke dalam bahasa Inggeris.

Ini kerana katanya, Bahasa Melayu merupakan bahasa yang difahami oleh rakyat pelbagai bangsa dan keturunan. PPSMI perlu dimansuhkan sepenuhnya dalam sistem pendidikan di Malaysia termasuk Tingkatan 6 dan Matrikulasi.

"Tiada sebab untuk pengecualian hanya bagi tingkatan 6 dan matrikulasi kerana sekurang-kurangnya selama kira-kira 20 tahun, Bahasa Melayu telah pun digunakan dalam semua mata pelajaran termasuk sains, matematik dan teknologi bukan sahaja di sekolah rendah dan menengah.

"Malah Bahasa Melayu digunakan sehingga di peringkat universiti dalam pelbagai bidang termasuk perubatan, pergigian, kejuruteraan dan sebagainya tanpa menghadapi sebarang masalah besar," katanya kepada Harakah.

Nor Hashimah berpendapat semua pihak perlu proaktif daripada sekarang dengan menghormati “kedaulatan undang-undang” dan “keluhuran Perlembagaan” dengan menjadikan undang-undang dan Perlembagaan Negara tersebut sebagai pegangan seperti yang turut ditekankan dalam gagasan “1Malaysia”.

Katanya, jika bahasa Inggeris diwajibkan kelulusannya dalam SPM, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara Malaysia perlu diwajibkan lulus peringkat kepujian bagi mendapat sijil SPM.

"Jika tidak tiadalah bezanya taraf bahasa rasmi negara ini dengan bahasa Inggeris walaupun sebagai bahasa asing atau bahasa kedua yang penting."

Beliau juga mengingatkan istilah Bahasa Melayu adalah istilah yang paling tepat, sah dan benar di sisi Perlembagaan, undang-undang dan secara akademik.

Bahasa Melayu tegasnya hanya akan benar-benar bermartabat jika digunakan dalam semua bidang pengajian di negara ini seperti sebelum tahun 2003 dahulu.

"Janganlah membenarkan diri kita menjadi pengkhianat kepada bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara sendiri dengan menafikan dan menyekat keupayaan bahasa tersebut sebagai bahasa ilmu dan tamadun bagi negara ini," tegas Nor Hashimah lagi.

Skandal PKFZ: Penglibatan Umno cuba ditutup


KUALA LUMPUR: Demi menyelamatkan banyak lagi jerung besar Umno dan BN dari terdedah, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak terpaksa mempercepatkan drama siasatan kes skandal PKFZ dari terus mendapat perhatian rakyat Malaysia.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar tengahari tadi mendakwa tidak mustahil Umno mengaut rasuah yang lebih besar dari MCA di sebalik skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

"Sebelum ini, kita banyak membincangkan watak-watak pemimpin MCA, sehingga menenggelamkan watak sebenar (serta) kepentingan politik Umno itu sendiri. Keyakinan saya, Umno lebih banyak mendapat faedah dari skandal PKFZ terbabit berdasarkan beberapa pendedahan sebelum ini.

"(Antaranya) membabitkan Datuk Abdul Rahman Palil (bekas exco Selangor) iaitu Pengerusi Koperasi Pembangunan Pulau Lumut (KPPL) menjual tanah hanya RM3 sekaki persegi kepada Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB). Kemudian, beliau (Rahman) juga selaku ahli Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) bersetuju untuk membeli (semula) tanah tersebut daripada KDSB dengan harga RM25 sekaki persegi.

"Ini bermakna dia (Rahman) dapat keuntungan lapan kali ganda (lebih kurang RM1.8 billion, termasuk faedah) dari skandal pembelian tanah tersebut," jelasnya.

Bercakap pada sidang media di Pejabat Agong PAS, Mahfuz turut menjelaskan, Bekas Bendahari Umno Tan Sri Abdul Azim Mohamad Zabidi merupakan orang kepercayaan kepada (Pengerusi Kelab Anggota Parlimen BN) Datuk Seri Tiong King Sing yang juga merupakan Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) KDSB. Azim Zabidi ini sebenarnya Pengarah syarikat Wiramaju Sdn. Bhd, (iaitu) anak syarikat KDSB.

"Timbalan CEO KDSB ini, Haji Faizal Abdullah dahulunya merupakan Ketua Pemuda Umno; dan sekarang ini merupakan Timbalan Pengerusi Umno Bahagian Kapar. Saya difahamkan sekarang ini Faizal menjawat jawatan Bendahari Barisan Nasional Selangor," kata Mahfuz.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena mempersoal kengganan Perdana Menteri Malaysia itu menubuhkan suruhanjaya diraja yang bebas demi membongkar penyelengan serta rasuah di PKFZ itu.

"Kita (rakyat) tidak ada satu jaminan bahawa badan siasatan sedia ada (iaitu) Polis dan Suruhanjaya Penjegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mampu menyiasat kes ini (PKFZ); kerana berasaskan pada beberapa insiden sebelum ini; Polis dan SPRM terus dipersoalkan semua pihak.

"Walaupun baru-baru ini (Ketua Polis Negara) Tan Sri Musa Hassan sendiri membekukan akaun KDSB, kerana ada kaitan dengan beberapa kes dalam tangannya, tetapi saya masih meragui tindakan-tindakan ini kerana penyambungan kontrak Musa sendiri yang dipertikai.

"Bagaimana Musa boleh menyesaikan kes skandal PKFZ yang dikatakan bahawa dilindungi beberapa kongsi gelap, sedangkan dia sendiri dikaitan dengan beberapa peribadi misteri seperti BK Tan dan (Tengku) Goh Cheng Poh. Sebab itu, di Parlimen kita (Pakatan Rakyat) cadangan ditubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja yang bebas," kata Mahfuz lagi.

Dakwa Mahfuz, kerajaan sebenarnya cuba melindungi beberapa pemimpin Umno yang lain, dengan menyuruh Menteri Pengangkutan, Ong dan Ahli Parlimen Bintulu Tiong tidak menggunakan media massa untuk menyelesaikan masalah dalaman MCA sebelum ini.

"Seperti laporan media yang mendakwa Presiden MCA Ong (Tee Keat) menerima RM10juta dari Pengarah KDSB Tiong serta saman balik (oleh Ong) RM500 juta sebelum ini (24 Ogos) hanyalah sebahagian dakwaan rasuah yang melibatkan pemimpin-pemimpin MCA (dan) Barisan Nasional. Sebenarnya banyak lagi yang terlibat di kalangan Umno, cuba dilindungi," dakwanya.

Beliau juga mempertikai keputusan Najib yang mengarahkan Pasukan Khas yang dibentuk PKA sendiri supaya membentangkan laporan lengkap skandal PKFZ itu dalam Kabinet Rabu ini.

"Kalau Najib serius, seharusnya ia mendahulukan laporan PAC dalam sidang Parlimen depan seterusnya membentuk sebuah suruhanjaya diraja yang bebas. Skandal rasuah itu melibatkan beberapa individu dalam Lembaga (PKA) sendiri, bagaimana sebuah jawatan kuasa di bawahnya boleh melaporkan sesuatu tentang 'Tuan Lembaga'nya sendiri. Ia sesuatu yang mustahil dan diragui," katanya.

Turut menyertai Mahfuz, Naib Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salehuddin Ayub.

Julai lepas, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Seri Azmi Khalid berjanji untuk menyerahkan laporan lengkap berhubung skandal PKFZ sebelum sidang Parlimen depan.

Dalam kenyataannya, Azmi mengakui 405 ektar tanah yang menempatkan gudang, blok, pejabat dan hotel bertaraf empat bintang itu menjadi pertikaian khalayak sejak 2003, apabila kos pembangunannya RM2.5 billion telah melambung pada RM4.6 billion secara misteri.

Disebabkan itu, Azmi sendiri meminta Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail tidak membuat apa-apa penjelasan, sehinggalah siasatannya selesai.

Dalam pada itu, Azmi bersama-sama Abdul Ghani memanggil dua bekas Menteri Pengakutan Tun Dr. Ling Liong Sik (berjawatan 1986-2003) dan Datuk Chan Kong Choy (berjawatan 1 Julai 2003 ? 18 Mac 2008) untuk melengkapkan siasatan skandal tersebut, tetapi menafikan keterlibatan kedua-dua menteri terbabit dalam skandal itu.

Dalam pra laporan, Azmi telah memanggil lima syarikat yang disyaki, termasuk PricewaterhouseCoopers (PwC) yang dikatakan khalayak mendalangi skandal rasuah PKFZ tersebut.

Timbalan PAC yang juga Ahli Parlimen Kepong/Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Dr. Tan Seng Giaw pula sebelum ini turun mendapatkan keterangan daripada beberapa pemimpin Barisan Nasional terbabit yang lain; seperti Pengerusi Tetap Umno Tan Sri Onn Ismail, Bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Chor Chee Heung (MCA) dan sebagainya.

Sumber lain melaporkan bekas Menteri Pengangkutan sebelum ini, Tun Dr. Ling Leong Sik (mantan Presiden MCA) dan Tan Sri Chan Kong Choy juga pernah dikatakan terbabit melindungi watak-watak misteri di sebalik skandal PKFZ dari tahun 2003 hingga 2006.

Isu skandal PKFZ yang berleluasa sejak penghujung 1990an lalu kembali menggamit perhatian khalayak apabila Najib sedaya upaya cuba menutup dakwaan berani Tiong ke atas Presiden MCA Ong Tee Kiat baru-baru ini; bahawa MCA mendapat kepentingan RM10 juta dari faedah PKFZ.

Pelbagai isu berpihak ke Pakatan, peluang PAS di Bagan Pinang cerah


POLITIK Negeri Sembilan sebenarnya tidak stabil seperti politik jirannya, Melaka. Selain dari BN kalah di Selangor, Wilayah Persekutuan, Perak, Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12, Negeri Sembilan adalah negeri yang berjaya dinafikan majoriti 2/3 di Dewan Undangan Negeri oleh Pakatan Rakyat.

Perbalahan antara Menteri Besar, Dato' Seri Mohamad Hassan dengan Tan Sri Isa Samad yang juga Ketua Bahagian Umno Telok Kemang, sudah menjadi rahsia umum.

Mohamad mempunyai reputasi kurang baik dengan Ketua Umno Bahagian Seremban, Dato' Ishak Ismail dan tidak pernah mahu berbaik dengan bekas Ketua Puteri Umno Negeri Sembilan, Bibi Shaliza Mohd Khalid.

PRU lalu, Mohamad telah menyingkirkan 13 wakil rakyat yang menjadi proksi Isa walaupun akibatnya, 15 calon dari Pakatan Rakyat berjaya membolos Dun tersebut hingga menyebabkan hilang majoriti 2/3 DUN.

BN yang baru tewas di Permatang Pasir, Pulau Pinang, kini terpaksa berhadapan dengan satu lagi pilihan raya kecil (PRK), DUN Bagan Pinang yang tentunya undi pemilih India menjadi undi penentu.

Dengan mewakili 19.9 peratus pengundi dari 14,192, iaitu sekitar 2,800 undi, menyebabkan BN betul-betul risau jika keputusan PRU ke-12 dijadikan kayu ukur.

DUN Bagan Pinang kosong berikutan kematian penyandangnya, Azman Mohammad Noor, 54 pada Jumaat lalu akibat jangkitan dalam darah.

Azman menang dengan undi 6,430 menewaskan calon PAS, Ramli Ismail yang memperolehi 4,097 undi.

Pada PRU itu, Bagan Pinang mempunyai 14,192 pengundi berdaftar di mana 66 peratus darinya Melayu, 10.5 peratus Cina, 19.9 India dan 3.5 peratus bangsa-bangsa lain dengan sembilan daerah mengundi iaitu empat majoriti India, empat kawasan Melayu dan satu campuran Cina serta undi pos.

PAS hanya menang di tiga daerah mengundi iaitu Ladang Atherton, Pekan Siliau dan Sua Betong. Ketiga-tiga kawasan itu adalah majoriti pengundi India.

Berdasarkan post mortem PRU ke-12 lalu, antara punca PAS tewas adalah disebabkan undi pos. Dari 5, 191 kertas undi yang dikeluarkan, PAS hanya mendapat 1,189 undi manakala calon BN 3,080 undi.

Berdasarkan rekod PRK sebelum ini, PAS dijangka akan meningkatkan undinya di kalangan orang India. Isu pembinaan kuil di Seksyen 23, Shah Alam, Selangor dan perarakan sekumpulan penyokong Umno mengheret kepala lembu berdarah dijangka menarik perhatian.

MIC, PPP dan IPF pula dilihat sedang dilanda masalah. BN tentunya berserabut memikirkan strategi untuk menguasai undi India.

Ini ditambah pula, krisis yang melanda MCA juga menyukarkan Umno untuk memulihkan sokongan masyarakat Cina terhadap BN di DUN tersebut.

Dengan kemenangan Azman sebelum ini, dengan majoriti 2,333 undi, menyebabkan pengundi India akan menjadi ‘anak emas’ di dalam pilihan raya kecil ini.

Perbalahan Isa Samad dengan Mohamad masih belum pulih. Walaupun terdapat cadangan Isa menjadi calon di DUN Bagan Pinang, tetapi tidak semudah itu laluan diberi oleh Mohamad atas banyak sebab yang memungkinkan akhirnya beliau terpelanting dari kerusi Menteri Besar, jika Isa dicuba.

Pada PRU ke-11 (2004), BN menang Parlimen Teluk Kemang diwakili Sothianathan (MIC) dengan majoriti 17, 777 undi tetapi kalah 2,804 di tangan PKR pada pilihan raya lepas. Sothianathan mendapat hanya 20,544 sedangkan Kamarul Baharin mendapat 23,348 undi.

DUN Chuah, calon BN, Foo Ming Chee yang menang dalam PRU 11, 2004 menang kerusi itu dengan majoriti 3234 undi tetapi tewas dalam PRU 12 yang lalu apabila mengutip hanya 3,091 undi sementara Chai Tong Chai dari PKR mendapat 4,415 undi dengan kelebihan 1,324.

Bagi DUN Lukut, kemenangan Dr. Yeow Chai Thiam dalam PRU 11 lalu dengan majoriti 1,504 bukan sahaja gagal dikekalkan calon BN yang baru, Check Leong Huat, malah dia kalah di tangan calon DAP, Ean Yong Tin Sin dengan kekurangan undi 2,418.

Bagi kerusi DUN Port Dickson, Datuk T. Rajagopalu gagal mempertahankan kerusi yang dimenanginya dalam PRU 11, 2004 dengan majoriti 1,893 undi apabila tewas di tangan calon PKR, Ravy Munusamy dengan majoriti 733 undi.

Dua kerusi yang dimenangi BN, Bagan Pinang juga memperlihatkan kemerosotan undi yang pernah dimenangi BN melalui Faizal Ramli dengan majoriti 4,411 tetapi Allahyarham Azman hanya menang dengan majoriti 2,333.

Sementara kerusi DUN Linggi, calon BN, Datuk Ismail Taib hanya menang dengan majoriti 1,575 mengalahkan Ramlan Roes dari PKR sedangkan dalam PRU 11, calon yang sama menang kerusi ini dengan majoriti 5,282 undi.

Siri kemerosotan undi yang dicapai BN di lima kerusi DUN dalam Parlimen Telok Kemang cukup mencemaskan untuk BN hadapi PRK DUN Bagan Pinang kali ini, sekalipun faktor undi pos akan berpihak kepada BN.

Iktikaf di masjid 10 hari akhir Ramadan - Mursyidul Am PAS


SAYA hendak tekan dunia ini bukan kita yang punya. Bumi, langit, udara, air hujan dan segalanya dicipta Allah Taala untuk manusia. Dan ia bukan terjadi sendiri. Kita tanpa mengira bangsa apa sekali pun hanya menumpang di atas bumi Allah.

Kalau semua kemudahan itu tidak ada maka mati semua manusia. Tidak ada satu pun syarikat yang boleh buat bumi, udara, gandum, beras dan segala kemudahan asas bagi keperluan manusia untuk hidup.

Hatta seekor anak bilis pun tidak ada kerajaan yang boleh buat. Dari segi sains pun kata begitu, lebih-lebih lagi al Quran. Kita menumpang segala kemudahan itu dan bukan mendapat percuma. Segala itu akan dituntut bayaran. Tuntutan bukan bayaran dengan duit tetapi tuntutan takwa kepada Allah Taala.

Perkataan takwa mengandungi positif dan negetif. Kita kena buat apa Tuhan suruh dan tinggal apa yang dilarang. Misalnya saya sebagai Menteri Besar kalau pergi ke rumah orang tidak boleh pandai-pandai naik ke atas rumahnya tanpa izin. Inilah kelemahan kita apabila sudah menjadi orang besar mahu berlagak seperti Tuhan.

Inilah kesilapan yang perlu kita renungi. Kewajipan kita sedar kerana menumpang di atas bumi Allah. Di akhirat kelak akan dihancur semua dunia ini dan diganti dengan alam akhirat.

Pembalasan di akhirat kelak sebagaimana disebut dalam al Quran. Buku yang digunakan Tuhan bagi menjatuhkan hukuman ke atas manusia di akhirat kelak ialah Quran.

Ini perkara pokok yang perlu rakyat Kelantan tanpa mengira bangsa memikirkan. Kita mesti mati dan selepas mati kita akan hidup balik. Dan selepas hidup balik kita akan dihakimi sebelum dijatuhkan hukuman syurga dan neraka.

Iktikaf di masjid 10 hari akhir Ramadan adalah ajaran agama. Iktikaf maksudnya kurung diri dalam masjid. Seumpama ayam, lembu dan kambing kita kurung supaya menjadi jinak.

Ini kerana nafsu kita bermuka dua, iaitu mendorong kepada kejahatan dan satu lagi kepada kebaikan. Dan melalui cara iktikaf di masjid kita dapat kawal dengan cara iktikaf di masjid.

Rasulullah saw pada 10 hari terakhir Ramadan iktikaf di masjid. Sebelum Rasulullah saw menjadi nabi baginda bertapa di dalam Gua Hiraq.

Dan selepas baginda menjadi nabi sistem bertapa di dalam gua tidak lagi diamalkan dan Rasulullah saw bertapa pula dalam masjid. Bertapa di dalam masjid lebih praktikal. Ini kerana kita didatangkan ke dunia ini bukan untuk kita seorang sebaliknya untuk kita dan masyarakat.

Kalau kita duduk di masjid kita boleh tegur orang dan orang juga boleh tegur kita, tetapi kalau di dalamm gua tidak ada orang yang hendak tegur.

Kalau kita ada masa, iktikaf 10 hari lebih baik, tetapi kalau tidak setiap kali masuk masjid hendak sembahyang berjemaah lima waktu kita niat iktikaf.

Bila niat iktikaf kita merasakan diri kita dikurung di hadapan Allah Taala. Amalan tadarus dan tarawih tidak ada dalam agama lain. Nabi Muhammad saw bertadarus dengan Malaikat Jibrail tiap-tiap tahun.

Oleh itu saya nasihatkan semua ahli dan penyokong PAS mesti bertadarus. Saya sendiri ada tiga al Quran yang digunakan setiap hari iaitu di masjid, pejabat dan rumah.

Oleh TUAN GURU DATO' ANIK ABDUL AZIZ NIK MAT

Bersama Umno untuk pertahankan perkauman?


KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan, perlawaan Umno bertalu-talu kepada PAS agar bekerjasama dengan parti yang kini terjebak dengan isu perkauman sebagai satu tindakan tersepit.

Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub berkata, Umno kini terlalu tertekan dengan isu perkauman ini dan sangat memerlukan PAS untuk mengesahkan tindakan mereka.

Jika PAS tidak menyokong tindakan Umno maka masyarakat akan menganggap tindakan Umno sebagai berdasarkan perkauman dan bukannya berasaskan Islam.

Salahudin mengulas ucapan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak di Manek Urai, 7 September lalu. Dalam ucapan itu sekali lagi pemimpin Umno mempelawa PAS berunding dengan mereka demi kepentingan ummah dan Islam tetapi menegaskan "tidak rela Umno dihina".

Ini adalah huluran tangan yang kesekian kalinya oleh pemimpin Umno agar PAS bersama-sama dengan mereka sejak pilihan raya umum 2008 lalu.

Bagi Salahudin, Umno hanya akan menghulurkan tangan ketika mereka tersepit tetapi selepas selesai masalah mereka, PAS akan ditendang sebagaimana yang dialami oleh PAS sebelum ini.

"Ketika negara hadapi isu perkauman 1969, PAS diajak bersatu demi Melayu dan Islam. Tetapi apa berlaku selepas Umno kuat kembali?" soal Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Bagi beliau, Umno tersepit sekali lagi, selepas kalah teruk dalam pilihan raya 2008, Umno menjadikan isu perkauman sebagai pendekatan untuk mengikat sokongan orang Melayu kepada mereka. Kononnya bangsa Melayu tertekan kini.

"Yang tertekan bukan bangsa Melayu tetapi Umno," kata beliau.

Apabila aktivis-aktivis Umno di Seksyen 23, Shah Alam memainkan isu perkauman dan agama sempit sehingga sanggup membawa kepala lembu yang masih berdarah ke Pejabat SUK Selangor, Umno sekali lagi tersepit.

"Mereka ingat PAS akan menyokong mereka atas dasar mereka memperjuangkan Islam dan Melayu dan melawan agama Hindu.

"PAS berpendirian tidak menyokong mereka kerana Islam tidak mengajar begitu. Hampir kesemua pemimpin PAS mengambil pendekatan yang diajar Al Quran iaitu jangan kamu menghina tuhan-tuhan mereka kerana dibimbangi mereka juga akan menghina Allah," kata Salahudin.

Kini, katanya Umno tersepit dan mengharapkan PAS bersama-sama mereka.

"Umno kini telah menjadikan perkauman sebagai makanan ruji mereka. Kita tidak akan bersama dengan mereka," kata Salahudin.

Kembali kepada Al-Quran: Pragmatisme masih kuat selubungi Umno

KUALA LUMPUR: Intipati ucapan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak yang memperakui kemampuan Al-Quran dalam memperkasakan bangsa dan negara tetapi tidak dipraktikkan membuktikan aliran pragmatisme masih menebal dalam kerajaan Umno-BN.

Naib Presiden PAS, Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man berkata apa yang diungkapkan Najib itu, bukanlah suatu perkara baru. Najib bercakap mengenai transformasi menggunakan Al-Quran dalam membangunkan peradaban sesebuah negara ketika merasmikan Majlis Nuzul Quran baru-baru ini.

"Ini bukan kali pertama pemimpin Umno khususnya PM bercakap mengenai Islam dan Al-Quran. Tetapi, mereka tidak terjemahkan kepada praktikal," katanya kepada Harakah.

Jelasnya, ucapan tersebut tidak memberikan sebarang makna melainkan ianya diterjemahlkan dalam bentuk yang praktikal.

"Malangnya, selama ini kerajaan Umno-BN tidak melaksanakan sebagaimana yang dikehendaki al-Quran. Ini bukan kali pertama mereka menggabungkan elemen yang kononnya Islam dalam kata-kata mereka atau lebih tepat dikatakan sebagai unsur pragmatisme," ujar Ustaz Tuan Ibrahim.

Tambahnya, segala tutur kata pemimpin Umno-BN masih mengekalkan elemen pragmatisme menjelang hari kebesaran Islam.

"Waktu Nuzul Quran baru sebut tentang elemen Islam tetapi pada lain masa mereka melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran Al-Quran.

"Padahal selama ini mereka begitu berani melanggar perintah Allah dan ajaran Al-Quran dengan menghalalkan apa yang diharamkan Allah, ditambah pula dengan dasar perjuangan Umno yang selama ini tidak menjadikan Islam sebagai landasan," katanya lagi.

Ustaz Tuan Ibrahim menegaskan, apa yang disebutkan Najib itu tidak lebih daripada sekadar omongan kosong dan bersifat pragmatisme.

Sementara itu, AJK PAS Pusat, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin menyeru Umno agar segera kembali kepada ajaran al-Quran dan meninggalkan segala bentuk amalan yang bertentangan dengan ajaran Islam.

"Saya berharap Umno yang selama ini tebal dengan fahaman keMelayuan segera kembali kepada ajaran Islam yang sebenar," katanya kepada Harakah.

Beliau menempelak sikap pemimpin Umno yang hanya pandai bercakap tetapi tidak melaksanakan apa yang dikatakan.

Ustaz Abdul Ghani turut memetik mafhum al-Quran ayat ketiga surah As-Saff yang bermaksud: "Amat besar kebenciannya di sisi Allah bahawa kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya."

Hal tersebut jelasnya merupakan suatu peringatan khususnya kepada para pemimpin Umno-BN yang mahu mempergunakan Islam untuk kepentingan politik mereka.

Terdahulu, dalam satu majlis bersama penduduk Kuala Krai dan Manek Urai baru-baru ini, Najib berkata pendirian Kerajaan Pusat tentang untung nasib rakyat Kelantan dan Malaysia bergantung kepada pengarahan serta halatuju kerajaan.

Pengarahan dan halatuju kerajaan adalah berdasarkan ajaran Islam yang berteraskan al-Quran dan Hadis, katanya.

Najib berkata berdasarkan teras itu, Umno yang merupakan parti utama mentadbir negara, telah menjadikan Islam sebagai agama rasmi dalam Perlembagaan Negara.

Katanya berlandaskan pegangan itu, Umno terus berusaha untuk menjadikan Malaysia sebagai negara Islam yang maju.

PAS tetap meragui undi pos di Bagan Pinang - Presiden PAS

IPOH: PAS tetap meragui undi pos dan menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan pengundi pos membuang undi seperti pengundi biasa dalam dalam pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang, kata Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Kami meragui undi pos kerana kami tahu undi pos seperti askar dan polis tidak diberikan kebebasan dalam mengundi.

"Inilah sebabnya kenapa undi pos sentiasa dianggap undi yang kotor," kata beliau ketika ditemui semasa pertemuan dengan pemimpin PAS Perak di sini.

Berikutan itu, beliau menggesa SPR membenarkan pengundi pos membuang undi seperti pengundi biasa dalam pilihan raya kecil itu yang akan diadakan berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan itu dari Barisan Nasional (BN), Azman Mohd Noor.

Bagan Pinang mempunyai 4,925 pengundi yang mengundi melalui undi pos. Selain menuntut pengundi yang mengundi melalui undi pos itu dibenarkan mengundi seperti pengundi lain, Presiden PAS juga mahu para pengundi pos itu mendapat peluang yang saksama untuk mendengar penjelasan dari semua pihak yang bertanding.

"Kami juga mahukan mereka (pengundi pos ) diberi kebenaran untuk menghadiri kempen politik dan ceramah tanpa dihalang oleh pihak tertentu. "Jika boleh, kami mahu wakil parti politik dibenarkan hadir dan memantau ke atas proses pengundian dan kami mahu undi mereka benar-benar dirahsiakan," kata beliau.

Pengundi pos tidak harus berada di bawah tekanan, diugut atau berasa bimbang dan tertekan apabila mereka membuang undi untuk calon yang benar-benar mereka sokong, katanya. Bagi beliau, sistem undi pos sebelum ini perlu diubah untuk bagi memulihkan kepercayaan terhadap sistem yang begitu diragui itu.

"Saya menggesa Pengerusi SPR yang baru supaya melakukan beberapa perubahan keatas sistem tersebut dan saya bukan bercakap mengenai perbahan kosmetik sahaja," tegas beliau. Beliau juga menyifatkan jumlah pengundi yang mengundi melalui undi pos di Bagan Pinang terlalu tinggi jumlahnya.

"Ini adalah sangat tinggi bilangannya. Pilihanraya yang lalu, BN menang dengan 6,000 lebih undi sementara calon kami mendapat lebih kurang 4,000 undi. "Siapa tahu, jika bukan disebabkan undi pos, jurang mungkin sekitar 1,000? Atau mungkin kurang dari itu?" katanya.

Dalam pilihan raya umum 8 Mac tahun lalu, calon PAS Ramli Ismail berjaya memperolehi 4,097 undi, hampir kesemuanya dipercayai dari 9,267 pengundi yang tidak mengundi melalui undi pos.
Calon BN, Allahyarham Azman memenangi kerusi itu dengan mendapat 6,430 undi dengan majoriti 2,333 undi.

Dengan tuntutan supaya dilakukan perubahan terhadap sistem undi pos itu, Presiden PAS menegaskan PAS akan tetap bertanding dalam pilihan raya kecil tersebut. "Kami akan mengadakan mesyuarat pada Isnin akan datang ini untuk mendengat taklimat oleh PAS Negeri Sembilan. Insya Allah, kami akan bertanding," tegas beliau.

Bagan Pinang mempunyai 14,192 pengundi di mana 66 peratus darinya Melayu, 10.5 peratus Cina, 19.9 India dan 3.5 peratus bangsa-bangsa lain.

Apakah muslihat Ong Tee Keat singkit Dr Chua Soi Lek?



HASRAT MCA mahu membersihkan kepimpinan parti dari dibarisi mereka yang terjejas akhlak dan moralnya seharus dipuji. Apabila Majlis Presiden mengenakan tindakan memecat Timbalan Presiden, Dato' Seri Dr. Chua Soi Lek, sepatutnya semua pihak menyokong dan tidak menimbulkan suasana kurang tenteram.

Malangnya, ada beberapa bahagian di Johor tidak dapat menerima pemecatan tersebut. Desakan mengadakan EGM akhirnya disambut oleh Presiden, Dato' Seri Ong Tee Keat. Ketika Tee Keat mengambarkan bahawa MCA tidak akan berpecah dalam isu pemecatan Timbalan Presiden parti ini, rakan-rakan komponen BN ‘membacanya’ dalam sudut yang berbeza.

Cuma satu pertanyaan timbul, bagaimana dengan dakwaan dan aduan polis yang dibuat Ahli Parlimen Bintulu, Dato' Seri Tiong King Sing mengenai sumbangannya kepada Tee Keat berjumlah RM10 juta.

Adakah ini bukan isu moral? Walaupun masing-masing saman-menyaman, tetapi jika isu moral mahu diperkatakan di sini, kenapa Majlis Presiden MCA tidak berani untuk memecat Presiden?

Bagi yang sedang memegang jawatan, kesemuanya dilihat menyokong Tee Keat. Malahan, Tee Keat memang kurang senang jika Soi Lek dapat jadi pemangku Presiden jika berlaku apa-apa terhadap dirinya. Itulah sebabnya, Tee Keat kena pastikan, sebelum dia terhukum dengan isu RM10 juta ini, adalah lebih baik dia ‘menyingkirkan’ Soi Lek.

Dulu, ketika Tun Dr. Ling Liong Sik memimpin MCA, cerita kekayaan anaknya yang amat luar biasa menyebabkan tarikh persaraannya dipercepatkan. Dalam era Liong Sik, Dato' Lee Kim Sai ‘dikorbankan’ awal kerana Liong Sik tidak sehaluan dengan Kim Sai. Tee Keat ialah bekas Setiausaha Politik kepada Kim Sai.

Liong Sik juga tidak mahu Tan Sri Lim Ah Lek menggantikannya sebagai Presiden. Itulah sebabnya, dia sanggup berhenti asalkan Ah Lek juga berhenti sama. Ketika Liong Sik mahu bekas Setiausaha Politiknya, Ong Ka Ting menggantikannya, Ah Lek pula mahukan Chan Kong Choy mengantikan tempatnya sebagai timbalan.

Kong Choy dilihat mahu bersara awal dengan alasan kesihatan. Tetapi ada juga dakwaan mengatakan Kong Choy yang juga Menteri Pengangkutan ketika itu menghadapi masalah PKFZ juga, sama dengan apa yang dihadapi Tee Keat sekarang. Bezanya, Kong Choy tidak mahu menjemput mana-mana badan bebas menyiasat akaun PKFZ tetapi Tee Keat mahu menunjukkan kelainan.

Disebabkan mahu menunjukkan kelainan, walaupun isu PKFZ ini bermula sejak era Liong Sik dan Kong Choy menjadi Menteri Pengangkutan, maka timbullah cerita RM10 juta ini. Jumlah ini mungkin kecil bagi masyarakat Cina di Malaysia, tetapi ia sebenarnya jauh lebih besar dari isu yang membelenggu SPRM dan mendiang Beng Hock yang ditemui mati di Plaza Masalam, Shah Alam.

Bagaimana Tee Keat mahu membersihkan namanya dari palitan cerita ini? Adakah dengan menyaman King Sing akan membersihkan citranya, jauh lebih bersih dari sehelai kain putih? Atau, ia sekadar usaha menangguhkan malu besar yang dipikulnya?

Seorang kawan rapat King Sing memberitahu, jika Tee Keat menyamannya RM500 juta, dia pula mahu menyaman Tee Keat RM10 juta. Dia hanya perlukan RM10 juta sahaja duit yang didakwanya diberikan kepada Tee Keat.

Tee Keat dan Soi Lek bermasalah. Ketika Soi Lek menafikan dia kepingin menjadi menteri semula jika Tee Keat jatuh, sudah dinafikan tetapi sindiran Tee Keat bahawa ada orang dalam MCA yang terkejar-kejar jawatan menteri, menyebabkan jantung Soi Lek rasa terhiris.

Ketika MCA diharapkan dapat menyelesaikan masalah masyarakat Cina yang dilihat terlalu kuat menyokong DAP, kepimpinan MCA pula bertelagah teruk. Mereka sibuk dengan cerita ‘dalam kelambu’ dan tidak ada masa untuk memikirkan soal rakyat yang menghadapi tekanan hidup denga palbagai masalah kenaikkan harga barang, kekurangan bekalan gula dan keperluan asas untuk terus hidup.

MCA merupakan rakan komponen BN yang paling kanan. Jika tiada Umno, merekalah yang ‘boleh diharapkan’ menggantikannya seperti yang pernah berlaku apabila Umno diharamkan, MCA menjadi Pengerusi BN buat seketika dan menerima semula Umno (baru) menjadi komponen BN.

Hari ini, MCA bukan sahaja tidak boleh diharapkan, malahan, kekalahan mereka di dalam PRU 12 yang lalu menyebabkan Umno kecundang di beberapa negeri.
Disebabkan Umno mahu menjaga hari mereka, maka MCA masih dapat empat kerusi menteri penuh yang kini disandang oleh Tee Keat, Ng Yen Yen, Liow Tiong Lai dan Kong Cho Ha.

Dari segi logiknya, MCA tidak sepatutnya diberikan empat kerusi menteri penuh tetapi Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak barangkali berada di dalam kerisauan kalau-kalau MCA bertindak meninggalkan BN.

Kalau Tee Keat tidak sukakan Soi Lek, siapakah calon Timbalan Presiden MCA yang Tee Keat mahu? Adakah Ong Ka Chuan abang kepada Ka Ting?

Jika Tee Keat tidak mahu Soi Lek kenapa Tee Keat tidak melakukannya secara terbuka menyokong calon Timbalan Presiden, seperti mana yang dilakukan Dato' Seri S. Samy Vellu terhadap G. Palanivel dalam pemilihan pucuk pimpinan MIC?

Andai kata Tee Keat ‘menang’ kes RM10 juta ini, apakah beliau akan boleh memenangi hati pengundinya di Parlimen Pandan? Dalam suasana politik Selangor yang semakin mirip kepada Pakatan Rakyat, rasanya Tee Keat juga tidak akan mampu untuk menang sekali lagi sekiranya beliau bertanding di situ dalam PRU 13 akan datang.

Dua hari berturut-turut ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan sudah cukup mengambarkan betapa beratnya tekanan yang diterimanya. Ketika Soi Lek bercuti dan hidup bebas sebagai seorang yang tidak berparti, Tee Keat berhempas pulas menyusun EGM bagi memenuhi tuntutan grassroot yang mendesak perwakilan untuk memutuskan kedudukan Soi Lek dan jika perwakilan menerima semula Soi Lek, bermakna, Tee Keat kena pergi.

Tidak ada sebab Tee Keat boleh bertahan di situ walaupun agenda memecatnya tidak mungkin disusun dalam EGM kali ini tetapi, ‘signal’ perwakilan yang menolak keputusan Majlis Presiden memberi gambaran, kepimpinannya tidak diterima.

Perpecahan yang berlaku dalam MCA sebenarnya bukan berlaku di peringkat tertinggi sahaja malahan, turut berlaku di bawah. Di bahagian-bahagian, puak-puak yang menyokong Tee Keat dan menyokong Soi Lek tidak boleh duduk semeja. Malahan, mereka secara terbuka tidak dapat menerima antara satu sama lain.

Najib sudah mengatakan Umno tidak berhasrat mencampuri urusan MCA tetapi dalam masa yang sama, beberapa pemimpin Umno mahukan krisis dalam MCA ini perlu diselesaikan segera supaya persiapan BN menghadapai PRU 13 tidak terganggu.

Sebenarnya, MCA mungkin tidak tahu, gelagat Tee Keat dan Soi Lek menjadi bahan jenaka orang-orang politik. Dalam Umno, kalau mereka berbual pasal politik, cerita Tee Keat dan Soi Lek tetap menjadi bahan sendaan.

Dari segi keyakinan, Umno sebenarnya sudah kurang yakin dengan kepimpinan MCA secara keseluruhannya tetapi untuk menyingkirkan mereka, dalam keadaan Umno sendiri tenat, memang tidak mungkin.

Di Johor, di mana Umno dan MCA dilihat menjadi gandingan yang cukup mantap, sudah memperlihatkan sebaliknya. Calon MCA di Parlimen Bakri, Tay Puan Chuan tumpas di tangan DAP, Er Teck Hwa. Inilah buat pertama kalinya dalam sejarah politik MCA Johor, calon Parlimen MCA kalah selepas 30 tahun lalu, Lee Kaw dari DAP pernah menang di Parlimen Kluang.

Ketika sudah ada cadangan dari luar mahukan Tee Keat dan Soi Lek berdamai dan berhenti serentak, mengikut jejak Liong Sik-Ah Lek, Ka Ting-Kong Choy supaya kemelut ini betul-betul boleh dibereskan serentak dengan perubahan baru kepada kepimpinan MCA.

Tee Keat yang menafikan dia ada menerima RM10 juta dari King Sing tentunya tidak mudah menerima cadangan dan pandangan ini kerana sekiranya dia berundur seolah-olah dia mengaku dakwaan yang dibuat King Sing manakala Soi Lek pula tidak mungkin mahu berundur kerana dia tidak mahu menafikan sokongan perwakilan yang memberi kemenangan kepadanya ketika dia tidak lagi bergelar YB dan tidak lagi menjadi menteri.

Setiausaha Agung MCA, Dato' Wong Foon Meng yang mengesahkan hanya satu EGM sahaja akan diadakan sudah pun mengadakan pertemuan dengan Ketua Koordinator Jawatankuasa Bertindak EGM Kerja Pusat, Dato' Seri Tan Chai Ho dan timbalannya Loh Seng Kok demi kepentingan perwakilan.

Rasanya selepas krisis Dr. Neo Yee Pan-Tan Koon Swan melanda MCA, inilah krisis kedua yang paling rumit pernah ditempuh MCA yang memungkinkan MCA kehilangan ramai pemimpin disebabkan moral dan imej.

Ditulis Oleh IDRIS SAMAD

Bagan Pinang bakal ubah senario politik Negeri Sembilan


MUQADIMMAH: Dun Bagan Pinang sebelum ini dimenangi BN kerana undi pos yang besar sehingga memperoleh majoriti 2,333. Bagi PAS, kemenangan BN itu tidak dianggap 'gentlemen' kerana sedia maklum undi pos boleh dimanipulasi dengan mudah. Apakah undi pos kali ini boleh membantu mengubah lanskap politik di Negeri Sembilan jika memihak kepada PAS? Ikuti wawancara SALMIYAH HARUN bersama Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Zulkefly, Mohammad Omar yang memperkata tentang politik di negeri itu, di Pejabat Agung PAS. Jurufoto WAN ZAHARI SALLEH.

Nampaknya BN akan berentap dengan PAS sekali lagi selepas Manek Urai dan Permatang Pasir. Apakah momentum lapan pilihan raya kecil lalu yang menyebelahi Pakatan Rakyat akan dibawa ke Bagan Pinang?

ZULKIFLI OMAR: Angin perubahan itu nampaknya terus menerus sebab isu yang berlaku hari ini semakin panas. Isu berkaitan dengan masyarakat India, kepimpinan MIC, termasuk juga masalah yang berlaku dalam MCA dan Umno sendiri.Ini adalah faktor dalaman pihak lawan.
Faktor luaran, jelas rakyat masih bersama lagi dengan Pakatan. Kita lihat khususnya orang bukan Islam merupakan penentu di Bagan Pinang iaitu 20 peratus India, Cina 10 peratus dan bangsa-bangsa lain 4 peratus.

Dalam PRU 2004, majoriti BN menang kita-kira 5,000 undi. 2008 pula majoriti itu berkurangan menjadi 2,333 undi. Apakah dalam PRK kali ini saudara percaya majoriti itu akan terus berkurangan sekaligus akan memberi lonjakan kepada kemenangan PAS?

Daripada pengalaman PRU lepas dan keaadan politik yang sedia ada kali ini, kita yakin undi Melayu dan Cina akan meningkat. Yang paling besar ialah pengundi Cina, India dan orang Melayu juga akan berubah sebab kawasan ini adalah pinggir bandar, bukan luar bandar.
Pengundi adalah 'middle class' dan di kalangan yang bekerja ada tentera, bekas tentera, pekerja syarikat multi nasional yang ada di sana, maka mudah untuk kita menyampaikan maklumat sebab mereka ini celik IT dan boleh mendapatkan maklumat bila-bila masa.

Bagan Pinang mempunyai undi pos yang agak besar, dalam pilihan raya lalu BN menang disebabkan undi pos. Apakah langkah-langkah PAS untuk menangkis kemenangan BN melalui cara itu?

Kalau undi pos dapat dijalankan secara telus dan kita dibenarkan untuk melihat proses undi pos diadakan pada hari tertentu dan boleh dipantau, kita yakin undi pos akan dapat banyak di pihak PAS. Mungkin kita boleh tambah undi daripada undi sebelum ini.
Sebab itu, kita minta SPR membenarkan kita melihat pengendalian undi pos ini. Kita mahu lihat sendiri daftar pemilih untuk undi pos, kita mahu orang yang betul-betul layak mengundi pos di kawasan berkaitan ataupun pengundi yang dibawa masuk.
Kita tidak mahu pengundi yang dibawa masuk khususnya untuk pilihan raya. Kita akan lihat secara teliti dan kita akan pastikan SPR dapat memberi ruang yang seada-adanya kepada kita. Kalau ruang seadanya diberikan, kita yakin akan menang. Bukan satu jumlah yang kecil tetapi jumlah yang agak selesa juga.

Berapa banyak undi pos di Bagan Pinang ini?

Undi pos lebih kurang 5,200 undi. Kalau PRU 2008 BN dapat 3,080 dan PAS dapat 1,189. Kita akan desak SPR untuk memberi ruang kepada kita. Jika BN menang bukan kerana pilihan raya tetapi undi pos yang kita tidak tahu kedudukannya siapa sebenarnya yang mengundi undi pos.
Adakah kemenangan itu kemenangan mutlak BN atau kemenangan undi pos yang dianggap kemenangan yang tidak 'gentlemen'. Kita mahu kali ini biar 'gentlemen'. Kita pun dapat pantau undi pos dan yang penting pengundi mesti benar-benar bertugas di kawasan itu.
Bukannya hantar batalion yang baru semata-mata untuk mengundi. Ada di kalangan undi pos yang lalu berpindah ke tempat lain. SPR kena kemas kini semula daftar pemilih untuk pengundi pos di Bagan Pinang.

Macam mana dengan pengundi India dan Cina?

Untuk undi Cina dan India kita boleh pertingkatkan undi mereka sebagaimana senario di Bukit Gantang atau di Permatang Pasir. Besar kemungkinan kita boleh rapatkan jurang ini mengatasi sedikit undi Melayu sekali gus akan mencipta sejarah untuk Negeri Sembilan dan negara ini.
Sebenarnya undi Melayu di Bagan Pinang lebih kurang sahaja dengan BN, dulu kita dapat 43 peratus undi Melayu yang menyebabkan kita ketinggalan bukan disebabkan undi Melayu, tetapi sebab undi pos.
Kalau penduduk tempatan yang tidak mengundi pos saya rasa kemenangan itu lebih mudah berpihak kepada kita. Sebab 'trend' yang lepas bila kita campurkan pengundi-pengundi, kita cuma kalah 444 undi sahaja, kalau tidak termasuk undi pos. Hari ini kita memerlukan 1,200 sahaja lagi seterusnya akan memberikan kemenangan kepada kita.

Apakah sudah ada calon yang disenarai pendek ataupun mahu meletakkan calon asal sebelum ini?

Kita pilih calon sesuai dengan kawasan itu dan masa iaitu bergantung kepada isu setempat, nasional dan yang penting selera rakyat waktu itu hendak calon yang macam mana. Kita tidak kekeringan calon, kita ada ramai calon.
Bagi PAS kita akan beri peluang untuk 'grass root' pilih calon terlebih dahulu. Setakat ini kawasan akan hantar kepada PAS Perhubungan senarai calon yang disenaraikan oleh kawasan.
Perhubungan akan berbincang kemudian kita akan bawa ke mesyuarat dan akhirnya PAS Pusat akan memilih calon yang terbaik. PRK bukannya PRU ia berbeza ia mesti dari 'nasional level', calon pun akan jadi 'national level' juga. Ia tidak jadi bentuk lokal, mesti ada 'value'.

Ada calon yang sudah dikenalpasti setakat ini?

Kita juga sudah kenal pasti calon, tetapi belum terima daripada kawasan. Kita akan buat 'survey' juga, biasanya akan meletakkan calon yang berwibawa, dan kesesuaian dengan kawasan berkenaan.
Dari segi pendidikan tinggi itu tidak menjadi keutamaan. Kita kena tahu rakyat kawasan itu mahukan calon wakil rakyat mereka yang macam mana. Calon adalah orang yang berkebolehan, boleh berkomunikasi dengan baik dengan masyarakat serta memberi ide-ide yang baik.
Bagi kawasan yang majoriti penduduk yang berpendidikan akan melihat calon itu mesti bersih. Bersih dalam erti kata bebas daripada rasuah, bebas daripada masalah yang melibatkan isu moral.
Kalau kita salah memilih calon ia akan menjejaskan pengundi. Setakat ini pemimpin PAS bersih. Kita mahukan yang terbaik daripada yang terbaik. Dalam Perhubungan PAS kita terbuka dan boleh menerima sesiapa sahaja calon dan kita tidak seperti Umno. Kita akan pilih, bukan berdasarkan puak-puak, kita pilih orang yang betul-betul berkelayakan dan boleh diterima masyarakat bukan orang Melayu sahaja bahkan Cina dan India serta lain-lain.
BN sendiri kalau mereka menang dengan undi pos ianya satu petanda 'moral' untuk BN, sekali gus akan memberi impak kepada Pakatan Rakyat Negeri Sembilan dan seluruh Malaysia.
Selama ini BN dakwa kita bertanding di tempat kubu kuat Pakatan Rakyat misalnya di Kuala Terengganu, Permatang Pasir, Manek Urai, tetapi kini kita bertanding di negeri pemerintahan BN. Kalau mereka kalah, kita dapat gambaran Umno mungkin menghadapi masalah besar.

Jika dilihat dalam PRK Permatang Pasir SPR meletakkan hari bekerja sebagai hari mengundi. Ternyata kemerosotan peratusan keluar mengundi telah mempengaruhi keputusan mengundi. Apakah reaksi saudara?

Kita akan desak SPR. Sebab kita sudah nampak itulah isunya seolah-olah menghalang orang menjalankan tangungjawab. Tujuan kita adakan pilihan raya supaya seberapa ramai pengundi keluar mengundi.
Kalau dibuat pada waktu bekerja maknanya SPR sudah menghalang hak pengundi untuk mengundi. Jika SPR meletakkan hari mengundi pada hari bekerja sukar untuk mereka keluar mengundi.

KeADILan ada ura-ura untuk meletakkan calon di Bagan Pinang, apa komen Saudara?

Biasanya orang bawah macam-macam pandangan, tetapi di peringkat Badan Perhubungan PAS tidak ada masalah. Kita masih ada hubungan yang baik, bahkan di peringkat pusat sudah jelas status di Bagan Pinang kekal dengan PAS. Maknanya daripada KeADILan dan DAP bersedia untuk membantu PAS dalam pilihan raya nanti.

Apa harapan saudara selaku Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan kepada para pengundi di Bagan Pinang? Add Image

Pengundi di Bagan Pinang diberi satu tanggungjawab besar dalam senario politik negara. Mereka akan menentukan masa politik negara. Kalau mereka bijak bertindak, tahu menggunakan hak mereka sebaik mungkin, kita akan mencapai kemenangan.
Insyallah sekali gus kita boleh mengubah lanskap politik. Harapan saya, para pengundi berilah peluang kepada PAS untuk menerajui kawasan ini. Kita akan tampilkan calon yang berwibawa yang bukan sekadar pemimpin tetapi sebagai rakan kongsi rakyat di kawasan Bagan Pinang.

PAS optimis mampu tewaskan BN di Bagan Pinang


KUALA LUMPUR: PAS tetap yakin dan optimis dapat menawan Bagan Pinang yang dianggap sebagai kubu kuat BN pada pilihan raya kecil yang akan diadakan tidak lama lagi.

Pengarah Jentera Operasi Pilihan Raya PAS Negeri Sembilan, Taufek Abdul Ghani berkata kekuatan pengaruh BN di kawasan tersebut hanyalah bersandarkan kepada undi pos yang berjumlah 5,191.

"Saya yakin PAS akan menang pada pilihan raya kecil ini kerana selama ini pun tradisi yang disebut-sebutkan sebagai kubu kuat BN adalah kerana bilangan undi pos yang banyak di kawasan tersebut," katanya kepada Harakah.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-12, Bagan Pinang mempunyai 14,192 pengundi berdaftar di mana 66 peratus darinya Melayu, 10.5 peratus Cina, 19.9 India dan 3.5 peratus bangsa-bangsa lain.

Bagan Pinang mempunyai sembilan daerah mengundi iaitu empat majoriti India, empat kawasan Melayu dan satu campuran Cina serta undi pos.

Dalam pilihan raya lalu, PAS hanya menang di tiga daerah mengundi iaitu Ladang Atherton, Pekan Siliau dan Sua Betong. Ketiga-tiga kawasan itu adalah majoriti pengundi India.

Berdasarkan post mortem pilihan raya umum ke-12 lalu, antara punca PAS tewas adalah disebabkan undi pos.

Dari 5, 191 kertas undi yang dikeluarkan, PAS hanya mendapat 1,189 undi manakala calon BN 3,080 undi.

PAS paling banyak menang di Ladang Aterton di mana calon PAS, Ramli Ismail menang dengan majoriti 84 undi.

Berdasarkan rekod pilihan raya kecil sebelum ini, PAS dijangka akan meningkatkan undinya di kalangan orang India. Tambahan lagi dengan krisis pembinaan kuil di Seksyen 23, Shah Alam, Selangor baru-baru ini apabila sekumpulan penyokong Umno mengarakkan kepala lembu berdarah ke Pejabat Menteri Besar Selangor.

"Walau bagaimanapun, kebimbangan terhadap undi pos tetap wujud. Cuma jika kita berjaya mengekalkan sokongan yang diterima sebelum ini mungkin keadaan akan menjadi bertambah baik," ujar Taufek yang juga Adun Paroi.

Parlimen Telok Kemang kini dimenangi KeADILan dengan lima DUN di dalam kawasan parlimen tersebut. Tiga dikuasai oleh Pakatan Rakyat iaitu dua KeADILan, satu DAP manakala BN dua kerusi.

Kerusi-kerusi yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat ialah Dun Chuah (PKR), Dun Lukut (Dap) dan Dun Port Dickson (PKR). Manakala Dun yang dikuasai BN pula selain Bagan Pinang ialah Dun Linggi.

Undi itu rahsia tiada pada undi pos - Mahfuz

KUALA LUMPUR: PAS mendesak agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menghapuskan borang untuk pengundi pos kerana ia boleh menyebabkan rahsia pengundi akan diketahui dan seterusnya membolehkan pengundi berkenaan kemungkinan akan dikenakan tindakan.

Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar menegaskan penggunaan borang untuk pengundi itu menyebabkan pengundi di kalangan tentera dan polis takut untuk memberikan undi kepada pembangkang kerana undi mereka bukan lagi rahsia.

Tegas beliau lagi, undi yang sepatutnya menjadi rahsia dapat diketahui dan menjadi tradisi BN akan mengambil tindakan kepada kakitangan awam yang tidak menyokong mereka.

"Adanya borang ini menyebabkan anggota tentera dan polis takut untuk mengundi pembangkang kerana bimbang kemungkinan akan dikenakan tindakan bila tidak menyokong kerajaan.

"Sepatutnya sebagai sebuah negara demokrasi, mereka (BN) tidak boleh menghalang atau mengambil sebarang tindakan jika ada kakitangan awam yang tidak menyokong mereka.

"Tetapi malangnya di Malaysia, sistem demokrasinya lebih berpihak kepada BN dan kerana itu mereka (BN) menakut-nakutkan penjawat awam dari menyokong atau memberikan undi kepada pembangkang dengan adanya borang tersebut," tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Pkok Sena.

Mahfuz juga menegaskan, dalam pertemuan beliau dengan Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman sebelum ini, bekas Pengarah SPR itu mengakui borang untuk pengundi pos itu sudah tidak relevan dan tidak sepatutnya digunakan lagi.

Selain masalah borang untuk pengundi pos yang dimasukkan bersama dengan kertas undi ke dalam satu sampul sebelum dipindahkan ke dalam peti undi, Mahfuz juga mendesak agar proses pengiraan undi diadakan sebaik saja proses membuang undi selesai diadakan.

Kata beliau, jika kaedah lama, mengira undi pos di hari pengundian, masih diguna pakai, dibimbangi akan berlaku penyelewengan dalam tempoh sebelum undi pos itu dikira kerana proses undi pos diadakan dua hari sebelum hari pengudian biada dijalankan.

Mengulas perkara yang sama, Pengarah Strategik KeADILan, Tien Chua juga berpendapat SPR perlu mengadakan satu mekanisme khas yang lebih telus dalam mengadakan undi pos supaya ia dapat memberi keyakinan kepada pengundi dan juga parti-parti yang bertanding.

Tegas beliau lagi, sehingga kini proses undi pos yang dijalankan oleh SPR amat meragukan dan banyak penyelewengan telah berlaku menyebabkan ada pihak-pihak yang tidak berpuas hati.

"SPR perlu adakan satu mekanisme khas bagi menangani masalah undi pos supaya ia dapat menyakinkan pengundi dan parti-parti yang bertanding," kata beliau.

Ahli Parlimen Batu itu menegaskan, untuk pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Bagan Pinang, Pakatan Rakyat akan memastikan undi biasa akan ditingkatkan bagi mengatasi masalah undi pos.

Bagi Pengerusi Mafrel, Syed Ibrahim Syed Noh pula menegaskan, SPR perlu memastikan proses undi pos dijalankan secara telus dan seterusnya dapat menyakinkan parti-parti yang bertanding.

Beliau turut sependapat dengan Mahfuz supaya proses pengiraan undi dibuat terus sebaik proses pengundian tamat supaya tidak berlaku penyelewengan.

"SPR perlu wujudkan satu mekanisme yang boleh menyakinkan pengundi dan juga parti-parti yang bertanding.

"SPR juga perlu memastikan pengiraan undi dijalankan sebaik saja proses undi selesai bagi mengelakkan penyelewengan yang mungkin boleh berlaku jika ia dikira pada hari pengundian sebenar," kata Syed Ibrahim

SPR juga tegas beliau perlu memastikan aspek kerahsiaan sesuatu undi perlu dilindungi bagi memastikan pengundi tidak rasa tertekan.

Khamis, September 10, 2009

Bakal jejaki LDP: Momentum rakyat perlu ditingkatkan lagi

KUALA LUMPUR: Tumbangnya kerajaan Liberal Democratic Party (LDP) setelah 54 tahun memerintah Jepun dilihat membuka lebih peluang kepada Pakatan Rakyat untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, sekiranya momentum rakyat hari ini berterusan.

Namun, dalam masa sama, ia juga bergantung kepada kepada faktor-faktor dalaman negara dan juga parti-parti yang bertanding bagi mencorakkan keputusan pilihan raya umum itu nanti.

Penganalisis politik, Ghazali Mayudin berkata, soal kemungkinan BN yang memerintah 52 tahun itu akan tumbang atau sebaliknya pada pilihan raya umum nanti tidak timbul kerana ia lebih bergantung kepada faktor dalaman negara.

Beliau ketika dihubungi Harakah berkata, keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 nanti bergantung sejauh mana BN bergerak untuk memenuhi tuntutan rakyat, yang kini dilihat tidak mempunyai banyak perubahan.

"Jika mahu dikatakan apa yang berlaku di Jepun itu boleh 'berjangkit' ke Malaysia, itu soal lain. Yang pentingnya sejauh mana BN dapat memenuhi tuntutan rakyat dan dalam masa sama Pakatan Rakyat juga bertindak serupa untuk memenangi hati pengundi," kata beliau ketika diminta mengulas peluang Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan pada pilihan raya umum akan datang berdasarkan jatuhnya LDP di Jepun.

Ghazali berkata, kerjasama antara Pakatan Rakyat, iaitu PAS, DAP dan KeADILan perlu dimantapkan, bukan sahaja di peringkat atasan tetapi juga di peringkat akar umbi.

Kata beliau lagi, bagi memastikan rakyat terus bersama Pakatan Rakyat, wakil-wakil rakyat yang berkhidmat perlu menunjukkan kepada rakyat mereka boleh menjadi pemimpin yang baik dan mampu memerintah.

"Jangan hanya ketika pilihan raya baru berbaik-baik, sedangkan sebelum ini tidak. Biar rakyat melihat wakil mereka adalah yang boleh diharapkan, khususnya membabitkan kebajikan dan hal-hal yang dekat dengan rakyat," kata beliau.

Mengulas lanjut pendekatan yang harus dimainkan Pakatan Rakyat untuk memastikan momentum sokongan berterusan, Ghazali menyarankan tuntutan-tuntutan rakyat secara akar umbi perlu disantuni sebaik mungkin.

BN akan senasib LDP di Jepun - Mustafa Ali

KUALA LUMPUR: Kekalahan Liberal Democratic Party (LDP) dalam pilihan raya umum minggu lalu, setelah menerajui Kerajaan Jepun selama 54 tahun menjadi pendorong kepada Pakatan Rakyat untuk berhadapan dengan BN dalam Pilihan Raya Umum ke-13.

Demikian ditegaskan oleh Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali kepada Harakah.

Katanya, dorongan itu akan dijadikan usaha untuk memenuhi tuntutan rakyat yang selama ini muak dengan pemerintahan BN sejak 52 tahun lalu.

Bagaimana pun, beliau berkata, Pakatan Rakyat perlu bekerja keras bagi memastikan momentum rakyat bersama Pakatan sejak pilihan raya umum lalu berterusan bagi memastikan kekalahan BN.

"Sudah tentu bagi mencapai hasrat itu (menumbangkan BN), Pakatan Rakyat perlu berusaha untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat sendiri, di samping memberi contoh terbaik kepada rakyat untuk melihat keupayaan Pakatan Rakyat memerintah," kata beliau ketika dihubungi Harakah.

Mengulas harapan Pakatan Rakyat untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-13, Mustafa menegaskan, berdasarkan kekalahan LDP pimpinan Taro Aso yang telah berkuasa selama 54 tahun, yang disinonimkan dengan pemerintahan 52 tahun BN di negara ini, tiada mustahil BN juga boleh tumbang pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, sudah menjadi perkara biasa bagi mana-mana parti yang memerintah terlalu lama, ia akan berasa selesa sehingga tidak mempedulikan nasib rakyat terbanyak.

"Parti yang memerintah lama ini bukan sahaja di Jepun, di India juga jatuh. Apabila satu-satu parti itu memerintah terlalu lama, mereka rasa selesa, tidak terancam hingga tidak mempedulikan orang lain. Begitu juga BN," kata beliau.

Namun, katanya akhir-akhir ini, BN sudah mendapat 'wake-up call' yang agak kuat selepas beberapa siri kekalahan parti itu dalam pilihan raya kecil sebelum ini, yang menjadikan mereka sudah tidak berasa dalam keadaan selesa dan selamat lagi.

Justeru, tegas Mustafa, sudah tentu ia merupakan satu cabaran kepada Pakatan Rakyat untuk mengekalkan tahap pencapaian di negeri-negeri pimpinan Pakatan Rakyat, selain memenuhi tuntutan rakyat secara berkesan.

Dalam pada itu, beliau menyeru agar kesepakatan antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat diperkuatkan lagi dengan pelbagai pendekatan bijak yang perlu diambil bagi mengelakkan dimanipulasi BN.

"Pakatan Rakyat sudah bermula dengan mengadakan satu seminar antara pimpinan Pakatan Rakyat, yang akan diikuti tindakan-tindakan lain bagi memberikan kefahaman di setiap peringkat tentang kepentingan mengurus kemenangan dan perbezaan pendapat bagi mengelakkan mainan media dan BN," tegas beliau.

Semangat perpaduan dan kesepakatan dalam Pakatan Rakyat sudah terbukti dalam setiap kempen pilihan raya kecil yang berlangsung, dan dalam masa sama perlu dimantapkan lagi dari peringkat atasan hingga akar umbi, ujarnya.

Jelas Mustafa, segala perbezaan pendapat yang timbul antara Pakatan Rakyat perlu diselesaikan sebaik mungkin, dan para pemimpin perlu peka sebelum mengeluarkan kenyataan yang boleh dilihat sebagai perpecahan oleh pihak musuh.

Krisis Dun Perak: Polis digunakan untuk halang Adun Pakatan bersidang






IPOH: ADUN Pakatan Rakyat Perak nekad untuk meneruskan rancangan mereka untuk mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini walaupun pihak polis melarang semua pihak daripada berhimpun di bangunan sekretariat kerajaan negeri.

Menteri Besar Pakatan, Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan beberapa ADUN Pakatan mula tiba di bangunan tersebut pada kira-kira jam 8.45 pagi. Turut hadir ialah kira-kira 150 penyokong mereka, lapor Malaysiakini.

Manakala pihak polis mengadakan kawalan ketat di sekitar bangunan tersebut oleh anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan trak meriam air digunakan untuk menutup pintu belakang.

Polis juga menutup kawasan berpokok di mana ADUN Pakatan mengadakan sidang DUN Mac lalu. Kira-kira 100 anggota polis ditempatkan berkawal di situ.

Pada jam 9.45 pagi, semua wakil rakyat Pakatan dan Speaker V Sivakumar mula berjalan dari pejabat DAP Perak menuju ke bangunan sekretariat. Mereka disertai oleh kira-kira 50 penyokong.

Apabila dihalang oleh pihak polis, Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham bertengkar dengan mereka mengenai perintah mahkamah melarang perhimpunan itu diadakan.

"Perintah mahkamah melarang orang awam berada di situ, tetapi tidak menyebut tentang ahli dewan undangan negeri. Adalah salah untuk menghalang ADUN menjalankan tugas mereka...

"Lagi pula, Seksyen 90 Kanun Prosedur Jenayah menyebut perintah tersebut mesti diwartakan,” tegasnya.

Mereka kemudiannya cuba meneruskan perarakan itu tetapi dihalang oleh anggota polis mencegah rusuhan. Ngeh ditangkap pada jam 10 pagi.

Turut ditangkap ialah Stanley Tan, seorang jurugambar akhbar Nanyang Siang Pau, yang dikatakan turut disepak ketika ditahan.

Dia kedengaran menjerit kepada polis: "You nak kerja, kita pun nak kerja."

Turut ditangkap ialah ADUN Malim Nawar Keshvinder Singh dan ADUN Simpang Pulai, Chang Ming Kai. Tiga lagi yang ditangkap ialah orang awam.

Pada jam 10.20 pagi, ADUN Pakatan dan penyokong mereka berundur semula ke ibupejabat yang terletak di belakang bangunan SUK.

Di situ, Sivakumar memberitahu wartawan bahawa sidang DUN itu akan diadakan di Hotel Heritage dekat situ berasaskan kepada doktrin keperluan.

Manakala Nizar mengecam polis yang didakwanya bertindak keras ketika menangkap tiga ADUN Pakatan dan orang awam.

Difahamkan, Keshvinder tercedera ketika ditangkap dan telah dibawa ke hospital besar Ipoh untuk rawatan.

Kumpulan Pro-BN

Sementara itu, kumpulan kedua - penyokong BN yang memakai baju kuning - juga mula tiba di kawasan tersebut pada kira-kira jam 10 pagi, sambil melaungkan slogan menyokong kerajaan negeri BN, Sultan Perak dan kesucian DUN.

Bagaimanapun, anggota polis bertindak menyeleraikan mereka. Mereka bersurai tetapi sempat menayangkan sepanduk menyokong Menteri Besar BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan kerajaan negeri, berhampiran penyokong Pakatan.

Satu daripada sepanduk itu bertulis Dr Zambry dan kerajaan BN adalah pilihan rakyat. Saksi mendakwa pihak polis bertindak lembut ketika meleraikan kumpulan penyokong BN itu.

Dalam satu lagi perkembangan, peguam Pakatan dijangka memfailkan permohonan di mahkamah pagi ini untuk membatalkan perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Ipoh semalam, melarang sebarang perhimpunan diadakan dalam kawasan sekitar 30m dari bangunan sekretariat.

Perintah diperolehi pihak polis bagi menghalang perhimpunan ADUN Pakatan itu berkuatkuasa dari jam 1 pagi ini hingga 11 pagi Khamis (3 September 2009).

Rabu (2 September), Ketua Polis Ipoh, ACP Azisman Alias berkata hanya kakitangan kerajaan yang bertugas di bangunan itu dibenarkan masuk.

Notis untuk mengadakan sidang DUN dikeluarkan minggu lalu oleh Speaker Pakatan, V Sivakumar, yang juga ADUN Tronoh.

Speaker BN, Datuk R Ganesan bagaimanapun meminta para ADUN supaya mengenepikannya kerana ia dikeluarkan oleh sumber yang tidak sah.