KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Januari 12, 2012

Siswa Menggugat: "Tragedi Berdarah" Tanjung Malim mampu goncang Najib?

>> MENUNG SELEPAS SUBUH


BELUM pun reda, cerita seorang anggota Polis bernama Roslan Mokhtar mengancam dan cuba untuk menumbuk pemimpin Legasi Mahasiswa Progresif (LMP) Adam Adli Abdul Halim (gambar bawah), kini timbul kontroversi baru di Tanjung Malim.

Polis menahan kira-kira 20 aktivis pelajar yang berani, bersemangat dalam Himpunan Mahasiswa Membantah Auku di hadapan Universiti Pendidikan Sultan Idris atau UPSI pagi 1 Januari lalu. 

Tokoh pelajar, Muhammad Safwan Anang, antara yang parah, dibawa ke Hospital Tanjung Malim setelah gagal mendapat rawatan di klinik berdekatan. Beliau ialah Presiden Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik.

Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dalam Twitter mereka mengesahkan Muhammad Safwan dibawa ke Hospital Tanjung Malim sebelum dipindahkan ke Hospital Slim River.

Muhammad Safwan dikatakan dipukul oleh lapan anggota polis menyebabkan "beliau mula-mulanya koma dan mengalami tulang pipi yang patah sebelum beliau akhirnya sedar diri."

Antara yang ditahan pagi sinar tahun baru 2012 itu ialah Presiden Kumpulan Aktivis Independen Mahasiswa (KAMI) Haziq Abdullah Abdul Aziz dan aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) Mandeep Singh.

Kisah "keganasan" Polis, sudah jadi perkara biasa di negara ini. Namun Polis bersungguh-sungguh menafikannya. Tetapi setiap kali ada perhimpunan aman, maka akan berlakulah "kekacauan" dan akhirnya yang dipersalahkan ialah mereka yang berhimpun.

Tindakan Polis di Tanjung Malim itu dianggap sebagai tidak demokratik, bersifat "negara polis" dan memalitkan titik hitam di awal sinar Tahun Baru 2012.

Pihak polis yang didakwa melakukan kekasaran dalam perhimpunan mahasiswa menuntut prokebebasan akademik di Tanjung Malim telah diingatkan supaya bersedia menghadapi tindakan saman di mahkamah.

Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Pemuda PAS Pusat menyifatkan tindakan tersebut jelas zalim, tidak munasabah dan bertentangan dengan norma-norma hak asasi manusia.

(Gambar: Muhammad Safwan Anang antara yang tercedera dalam insiden malam 1 Januari 2012 di hadapan UPSI, Tanjung Malim).

Juham yang terdiri daripada barisan peguam-peguam di seluruh Malaysia berikrar akan membela dan menyokong para Mahasiwa ini sekiranya mereka didakwa di Mahkamah, kata Pengarahnya Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi.

Hari pertama tahun 2021 itu cukup memberikan mesej jelas kepada rakyat Malaysia tentang "kerakusan" kerajaan menggunakan Polis untuk mengekang hak dan kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan.

Malah, ia juga amat bertentangan dengan Akta Perhimpunan Aman 2011 yang diumumkan oleh Perdana Menteri dan seterusnya diluluskan oleh Parlimen Malaysia baru-baru ini.

Apa yang boleh dikatakan ialah kejadian itu menjadi saksi bahawa pentadbiran Najib Razak tidak ada iltizam politik untuk melaksanakan transformasi yang diuar-uarkannya.

Sekali lagi diulang, ditegas dan dipacakkan bahawa transformasi yang diumumkan Najib muktahir ini tidak lebih dari kosmetik politik bertujuan mengaburi rakyat dari kenyataan yang sebenar.

Najib cuba membungkus pentadbirannya yang lemah serta tidak berdaya mengotakan janji yang dibuat dengan menggunakan segala instrumen kerajaan untuk mengekang kemaraan rakyat, dalam usahanya mempertahankan kuasa dan Putrajaya.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Siswa tugasnya belajar dulu, biar yang habis belajar tu berdemonstrasi. Mungkin yang berdemo tu malas belajar sebab tu mereka suka berdemo - seronok seronok.

Tanpa Nama berkata...

terlalu dangkal hujah tu.