KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Mei 12, 2008

BENARKAH Ada LIMA SYARAT KETAT Jadi KETUA KAMPUNG Di Perak?

Lima syarat itu agak keliru dalam konteks politik PAS di Perak apatah lagi PKR. Panduan jelas patut dikeluarkan segera agar tidak ramai lagi "akar umbi" yang kecewa...

Muqqaddimah: Terpanggil untuk menyiarkan Surat Pembaca yang telah disiarkan oleh Harakahdaily bertarikh 23 April 2008 (masih tersimpan dalam arkib) berkenaan syarat-syarat perlantikan Ketua Kampung di Perak. Ia dikirim oleh Abufaris. Barangkali anda boleh menilai dan memberikan komen mengikut waqi' atau senario politik di negeri Perak.

Saudara Pengarang,

Semenjak (Barisan Rakyat) BR mengambil alih teraju pemerintahan di Perak, ramai yang datang ke pejabat MB meminta habuan, jawatan, projek dsb.

Mereka menyangka apabila pimpinan kerajaan negeri yang baru melaksanakan dasar terbuka, maka ianya bererti mereka boleh mendapat dapat faedah, projek, habuan atau sebutharga atau tender secara terus dengan mudah.

Perkara ini diceritakan oleh Ustaz Misbahul Munir Masduki iaitu Setiausaha Politik kepada MB Perak semasa menyampaikan kuliah maghrib di surau Taman Meru 2C, Ipoh pada 15 April 2008 yang lalu.

Mengikut Ustaz Misabahul, ada seorang hamba Allah yang datang ke pejabat MB meminta surat perlantikan sebagai Ketua kampung.

Hamba Allah ini mengatakan penduduk kampung menyokong beliau menjadi Ketua kampung. Beliau datang tanpa sebarang dokumen kelayakan dan surat keterangan.

Hamba Allah ini mengaku beliau adalah seorang pesara (askar pencen) dan pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan @ jaga dan juga beberapa kerja-kerja lain. Beliau sanggup menunggu sehingga surat perlantikan diberi barulah beliau akan pulang.

Ustaz Misbahul lalu menyatakan kepada hamba Allah untuk menjadi Ketua kampung mesti ada lima syarat yang perlu dipenuhi:

SYARAT 1- BOLEH MENJADI IMAM

Untuk menjadi Ketua Kampung, seseorang mestilah boleh memimpin dalam solat atau menjadi imam yang baik kerana Menteri Besar yang baru (Ir. Mohammad Nizar) boleh menjadi Imam dalam solat (lengkap zikir dan doa selepas solat).

SYARAT 2- BOLEH BERKHUTBAH (BUKAN SETAKAT MEMBACA KHUTBAH)

Untuk menjadi Ketua Kampung, seseorang mestilah boleh berkhutbah sebelum solat Fardu Jumaat dan solat sunat Hari Raya kerana Menteri Besar boleh berkhutbah dan bukan setakat membaca teks khutbah.

SYARAT 3- BOLEH MEMBERI CERAMAH

Untuk menjadi Ketua Kampung, seseorang mestilah boleh memberi ceramah seperti Maulidur Rasul, Israk dan Mikraj dsb kerana Menteri Besar boleh memberi ceramah.

SYARAT 4- BOLEH MEMIMPIN TAHLIL

Untuk menjadi Ketua Kampung, seseorang mestilah boleh memimpin tahlil hingga selesai lengkap dengan doanya sekali kerana Menteri Besar boleh memimpin tahlil.

SYARAT 5- BOLEH MEMIMPIN BACAAN TALKIN

Untuk menjadi Ketua Kampung, seseorang mestilah boleh memimpin bacaan Talkin untuk orang yang meninggal dunia kerana Menteri Besar boleh memimpin bacaan Talkin dan bukan setakat membacanya sahaja.

Selepas mengemukakan lima syarat di atas, maka hamba Allah itu terdiam. Beliau lalu pulang dan tidak datang semula untuk meminta jawatan (sebab dia tahu tak layak dan tak boleh memenuhi lima syarat ini).

Syarat keenam (yang ni saya tambah) yang tidak diberikan kepada hamba Allah tersebut adalah:

SYARAT 6- BOLEH BERTUTUR DALAM BERBAGAI BAHASA

Untuk menjadi Ketua Kampung, seseorang mestilah boleh bertutur dalam berbagai bahasa kerana Menteri Besar boleh bertutur dalam Bahasa Mandarin, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, Bahasa Tamil, loghat Jawa, Kampar, Mendeling, loghat tempoyak (Perak) dsb.

Tiada ulasan: