KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, Mei 23, 2008

BIROKRASI Melampau KEKANG Perlaksanaan Pertanian Suatu Perniagaan

Encik Baherom (berbaju biru) bersama salah seorang ahli PPUMM yang mengusahakan penternakan kambing di ladangnya di Perak

Muqqadimah: Editor Eksekutif Majalah Iktisad, TARMIZI MOHD JAM terus memburu Pengerusi Persatuan Peniaga & Usahawan Melayu Malaysia (PPUMM), ENCIK BAHEROM MT HASYIM sekalipun beliau sibuk dengan rutin hariannya. Demi untuk berkongsi pengalaman dan menyuntik motivasi bisnes kepada pembaca Majalah Iktisad, anak bangsa; beliau membicarakan isu bisnes dan hambatannya satu persatu. Ikuti interbiu ringkas ini yang telah diadakan di Pejabat PPUMM, di Sri Manjung, Perak. Anda boleh hubungi PPUMM ditalian 05-6922151 / 019-5574711 atau talian SMS 017-5327478.

TARMIZI: Boleh cerita sedikit tentang matlamat dan tujuan penubuhan Persatuan Peniaga & Usahawan Melayu Malaysia (PPUMM)…

BAHEROM: Saya dan kawan-kawan menubuhkan PPUMM. Apa dia PPUMM? Iaitu Persatuan Peniaga & Usahawan Melayu Malaysia. Ditubuhkan adalah untuk membuat atau mewujudkan jaringan antara ahli-ahli di seluruh Malaysia dalam bidang perniagaan. Kalau tidak ada jaringan atau networking, susah kita nak meluaskan perniagaan. Pasaran kita tidak akan besar. Ini menyebabkan kita terus dibelenggu dengan perniagaan sara diri. Kita tidak akan maju ke depan jika tiada networking ini. Sebab itu saya menjadikan PPUMM sebagai jaringan usahawan dan peniaga khususnya orang Melayu Islam di negara ini.
PPUMM juga bertindak menjadi mentor dalam membantu ahli-ahli menjayakan pelbagai projek pertanian termasuklah penternakan. Dorongan dan motivasi amat penting dalam menjana semangat ahli-ahli dalam perniagaan yang mereka ceburi. Tanpa bekalan semangat, jika mereka berdepan dengan masalah, perniagaan boleh tutup. Sebab itu PPUMM membimbing mereka dalam pelbagai cara dan pendekatan. Kita sediakan pelbagai kursus…

PPUMM ada anjur kursus? Jelaskan. Macam mana nak tahu jadualnya…

Ya! PPUMM ada menyediakan kursus-kursus sangkut untuk ternakan dan pertanian kepada para peserta yang minat menjalankan projek-projek penternakan dan pertanian. Ia juga untuk ahli-ahli. Tetapi ramai yang terlibat dalam kursus-kursus anjuran PPUMM ini terdiri dari mereka yang bukan ahli. Mereka sangat berminat dalam perniagaan penternakan dan pertanian. Ini barangkali ekoran dari kempen dan galakan pihak kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Rakyat digalakkan menceburi bidang pertanian dan penternakan. Bukan itu sahaja, kerajaan juga menggalakkan rakyat terlibat dalam indusrtri berasaskan pertanian termasuklah dalam bidang pemasaran hasil-hasil produk pertanian itu. Cukup banyak kursus-kursus yang disediakan oleh PPUMM. Antaranya seperti kursus penternakan lembu fidlot, kambing pedaging, penternakan ikan dalam kanvas dan ada juga yang dalam sangkar, ayam pedaging, kambing tenusu, dan ternakan arnab. PPUMM juga memperkenalkan beberapa kursus baru macam penternakan cacing kompos, lintah dan belut. Untuk kursus pertanian pula, PPUMM turut menyediakan kursus tanaman cendawan secara komersial, penanaman jagung manis dan memperkenalkan sistem pertanian secara fertigasi.
Bagi memenuhi hasrat semua peserta yang terlibat dengan kursus-kursus penternakan, PPUMM juga menyediakan kursus praktikal memproses makanan ternakan, bagi mengelakkan para penternak bergantung penuh dengan pembelian makanan ternakan dari pasaran. Sekaligus, jika mereka mahir menyediakan bekalan makanan ternakan ini, sudah tentu lebih banyak kos dapat dijimatkan. Itulah hasrat persatuan. Anda boleh layari website PPUMM di www.ppumm.com.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Sambutan masyarakat peniaga macam mana? Apakah bentuk-bentuk bantuan yang ditawarkan oleh PPUMM kepada ahli-ahlinya?

Dari segi sambutan memang mengalakkan. Mereka yang datang berkursus bukan warga Perak semata-mata, tetapi dari seluruh negara. Setiap minggu PPUMM menganjurkan kursus di pejabat ini (Bandar Seri Manjung, Lumut). Ramai yang datang dari jauh. Kursus diadakan sehari suntuk. Sekarang ini, sudah ramai ahli telah memulakan projek masing-masing sama ada terlibat dalam pertanian mahupun penternakan. Apa lebihnya PPUMM kepada ahli-ahli? Ini yang telah menggamit ramai orang menyertai PPUMM.
Untuk pengetahuan Saudara dan orang ramai yang berminat dengan perniagaan berasaskan pertanian dan penternakan, PPUMM sedia membantu anda. Sejak ianya ditubuhkan hingga kini tugas kami di PPUMM memang membantu ahli-ahli daripada semua segi seperti mendapatkan modal perniagaan, menyelesaikan masalah pasaran yang sering menghambat para petani dan penternak kita. Tetapi apa yang paling penting di PPUMM ialah jaringan perniagaan di seluruh Malaysia antara ahli-ahli yang diutamakan. Ini yang menyebabkan apa jua perniagaan di kalangan ahli baik pertanian, penternakan dan lain-lain bidang dapat bantu-membantu antara sesama ahli dalam mengembang dan membesarkan perniagaan mereka.

Encik Baherom sendiri terlibat dalam pelbagai bisnes sebelum ini. Jadi apa pandangan Saudara tentang “Pertanian Suatu Perniagaan“ seperti yang sedang diuar-uarkan oleh pihak kerajaan.

Saya sememangnya menganggap pertanian adalah satu perniagaan sebab saya sendiri berada dalam perniagaan pertanian. Saya sedar, memang bidang pertanian dan penternakan adalah skop perniagaan yang tidak diminati oleh anak-anak muda. Tetapi, jika mereka tahu, perniagaan yang paling lumayan itu datangnya dari pertanian, sudah tentulah mereka akan menceburi bidang ini. Masalahnya, mereka lebih suka bekerja makan gaji di kilang-kilang. Bagi saya, slogan “Pertanian Suatu Perniagaan” amat tepat sekali dalam menggambarkan betapa berbudi kepada tanah pasti akan mengeluarkan hasil yang lumayan.
Sebagai contoh diri saya sendiri. Dulu saya seorang peniaga kacang rebus dan buah-buahan di tepi jalan. Saya usahakan perniagaan ini hingga berjaya. Kemudian terlibat dalam perniagaan pengakutan. Saya sendiri mempunyai lapan buah lori trailer dan sekarang saya masih tidak rehat-rehat tetapi terus berusaha dalam penanaman kelapa sawit di negeri Perak ini. Sebabnya saya yakin, pertanian itu satu perniagaan yang paling lumayan. Syaratnya, kita kena rajin dan terus berusaha untuk berjaya. Bukan kerja main-main. Kena buat dengan serius. Saya nak bagi satu contoh seorang yang menanam cendawan di Taiwan. Dia memasarkan produknya sendiri dan tidak melalui orang tengah seperti kita di sini. Budaya positif ini mesti diterapkan. Tiada pergantungan dengan orang tengah.
Contohnya, kalau kita terlibat dalam penanaman mangga, maka sudah tentu mangga itu dipasarkan terus ke Pasar Tani, Pasar Borong atau kedai dan gerai di tepi-tepi jalan. Malah melalui FAMA, mangga itu boleh dilonggokkan ke pasaraya-pasaraya besar macam Giant Supermarket, Carrefour dalam banyak lagi. Selebihnya, buah mangga ini mesti diusahakan menjadi produk industri hiliran seperti mengeluarkan kerepek mangga, gula-gula mangga atau jeruk mangga. Dengan bungkusan dan labeling yang kreatif, semua produk hiliran ini boleh dieksport ke luar negara dan memenuhi pasaran tempatan. Oleh sebab itu, tiada alasan mereka tidak boleh berjaya mendapatkan keuntungan yang lebih besar berbanding petani yang menjual produk melalui orang tengah.

Apakah fokus utama PPUMM hanya untuk membantu ahli peniaga yang terlibat dalam bisnes pertanian semata-mata...

PPUMM membantu semua orang. Tidak mengira bangsa dan agama. Walaupun namanya Persatuan Peniaga & Usahawan Melayu tetapi bukan sahaja orang Melayu yang kami bantu, kaum India dan orang Cina juga kami tolong. Kita cuma mahu bersatu. Berpakat dalam membantuk networking perniagaan. Setiap orang ada kelebihannya. Jadi, untuk mencapai kejayaan dalam perniagaan, penternakan dan pertanian, kita kena berpadu dan menjalinkan kerjasama erat dengan semua orang. PPUMM tidak hanya membantu orang yang sudah dan ingin berjaya tetapi kami tetap memberi khidmat nasihat dan memberi sokongan moral kepada orang yang pernah gagal dalam perniagaan. Kita bantu hingga mereka berjaya dan keluar dari senarai hitam bank. Tidak tertumpu kepada peniaga dalam bidang pertanian semata-mata…

Kami difahamkan, masih banyak birokrasi dalam urusan mendapatkan pembiayaan dalam bisnes pertanian termasuk Bank Pertanian sendiri. Apa komen?

Ada banyak pengalaman yang saya tempuhi. Kita tolong ahli-ahli dapatkan pinjaman bank. Mereka sediakan kertas kerja. Bagi saya, kertas kerja itu sudah cukup lengkap. Saya akui ada juga yang diterima. Tetapi banyak yang ditolak. Apa masalahnya? Berdasarkan pengamatan saya, masalah yang paling utama di mana-mana bank ialah sikap pegawai-pegawainya yang langsung tidak mahu memberikan pembiayaan kepada penternak, petani dan peniaga Bumiputera. Mereka macam ada satu tanggapan nagetif kepada Bumiputera. Agaknya tak percaya… Takut-takut, projek atau perniagaan itu lingkup akhirnya.
Pada saya, pegawai-pegawai bank hanya “mempermainkan” pemohon sampai mereka putus asa. Buat pinjaman, tak pernah dapat. Dan isu ini rasanya sudah menjadi rahsia umum kepada peniaga dan usahawan di negara kita. Ada sesetengah pemohon sudah menyediakan syarat-syarat yang ditetapkan oleh bank tetapi pihak bank hanya menolak permohonan tersebut dengan alasan dangkal “tidak yakin dengan projek” disediakan atau yang bakal dijalankan. Oleh sebab itu matlamat kerajaan menjadikan “Pertanian Suatu Perniagaan” tidak tercapai. Agak lembab. Peruntukan banyak tetapi tidak sampai kepada mereka yang berkehendak. Akhirnya, mereka yang mahu menjadikan “Pertanian Suatu Perniagaan” terpaksa melupakan hasrat itu dan kembali bekerja makan gaji atau menganggur.

Ini bercanggah dengan hasrat kerajaan menjadikan “Pertanian Suatu Perniagaan“ jika pembiayaan (modal) sukar diperolehi...

Memanglah! Macam salah seorang ahli PPUMM, seorang penternak (wanita) yang sudah mengusahakan penternakan lembu selama tiga tahun dan sekarang sudah menternak 100 ekor lembu tetapi pihak Kementerian Luar Bandar dan Bank Kerjasama Rakyat menolak permohonan pembiayaan beliau dengan alasan “TIADA PENGALAMAN”. Jadi sikap pegawai kementerian dan bank itu memang bercanggah dengan hasrat kerajaan menjadikan “Pertanian Suatu Perniagaan”. Kalau orang seperti penternak (wanita) itu, yang memang layak mohon pembiayaan demikian dikatakan tiada pengalaman, jadi orang yang macam mana yang dikira layak? Inilah kekangan yang patut ditangani semua pihak.
PPUMM mengambil masa dua tahun memperjuangkan pinjaman untuk penternak (wanita) ini dan sekarang permohonannya itu baru berjaya diluluskan. Daripada pengaduan ahli kepada PPUMM, lebih 60% pegawai kerajaan dan bank memang kurang memberi komitmen dan kerjasama kepada penternak, petani dan peniaga. Inilah yang merumitkan keadaan, dan kesannya umum melihat “orang Melayu malas berniaga” tetapi mereka tidak tahu perit dan payahnya untuk mendapatkan pinjaman modal. Pelbagai skim pinjaman disediakan kerajaan tetapi bila dipohon, pihak bank menyekat dengan persepsi negatif dijadikan asas keputusan.

Apa agaknya kelemahan peniaga muslim kita yang ketara dalam bisnes pertanian ini? Mungkin modal? Pengetahuan? Atau apa?

Yang paling mendasar, pada saya, mereka tidak ada ilmu perniagaan yang nak dijalankan. Ada idea untuk menternak dan bertani atau berniaga tetapi tiada ilmu. Ini masalah utamanya. Selain itu, penternak, petani dan peniaga muslim kurang membuat jaringan perniagaan antara satu sama lain. Tak minat berpersatuan. Tiada networking. Akibatnya, perniagaan tidak berkembang dan pasaran statik. Mereka juga kurang mahir dalam mengurus kewangan perniagaan. Ini menyebabkan timbul masalah salah urus tadbir, hutang, tidak cukup modal pusingan dan macam-macam lagi. Itu yang membuatkan mereka tidak boleh bersaing dengan peniaga, penternak dan petani bukan Bumiputra. Sebab utama saya lihat, kekuatan asas bukan Bumiputra ialah kerana mereka bersatu dan perniagaan mereka telah bermula sejak dari turun temurun lagi. Oleh kerana telah terlibat lama dalam perniagaan, maka tidak timbul soal tak tahu urus kewangan. Peniaga muslim kena tingkatkan ilmu apa sahaja berkaitan perniagaan…

Kecekapan dalam pemasaran bagaimana?

Soal memasarkan produk atau hasil pertanian dan penternakan memang menjadi isu utama. Kalau buat perniagaan mesti tahu memasarkannya. Bumiputera memang lemah dalam dunia pemasaran sebab itu ia bergantung kepada orang tengah. Di Malaysia, kebanyakan pasaran dikawal oleh peniaga bukan Bumiputra. Ini menyebabkan kita bergantung kepada mereka dalam apa jua perniagaan. Kita tidak tahu bagaimana nak jual produk kita. Tapi sekarang, kerajaan tolong dalam banyak hal. Ada FAMA dan lain-lain. Bagi saya, kalau peniaga Bumiputra masih mempunyai sikap tidak ambil berat tentang harga pasaran dan sesetengah peniaga tidak bercita- cita untuk membesarkan perniagaan, maka sampai bila-bila perniagaan mereka berada pada tahap yang sama. Sebab itu PPUMM menekankan soal networking! bagi memecah kebuntuan pasaran…

Pada pandangan Encik Baharom, sejauh mana Pasar Tani mampu bertindak memasarkan produk pertanian secara terus kepada pengguna?

Saya berpendapat, Pasar Tani cuma tolong memasarkan segelintir produk pertanian sahaja. Ini kerana Pasar Tani tidak mampu merealisasikan hasrat kerajaan untuk memasarkan hasil mahsul pertanian di negara kita. Sebabnya, semua Pasar Tani di seluruh negara kecil-kecil. Hasil pertanian terlalu banyak. Jumlah tempat Pasar Tani sedikit. Ia tidak mampu menampung keperluan ruang pasaran sebenar. Tetapi, memang diakui Pasar Tani sebahagian dari strategi pemasaran produk pertanian dan penternakan.
Bagi saya, peniaga yang berjaya adalah terdiri daripada pembekal, pemborong dan peruncit. Sedangkan sesetengah peniaga kita masih di tahap bawah dan tidak bersungguh-sungguh untuk mencapai tahap pembekal, pemborong dan peruncit ini. Kebanyakan mereka hanya berfikir perniagaan hanya untuk menampung perbelanjaan keluarga tapi tidak ingin meluaskan bidang ini secara komersil. Ibarat kata pepatah “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang”.

Dengan kempen berterusan kerajaan “Pertanian Suatu Perniagaan“ dengan pelbagai pameran penting sepertri MAHA, MIHAS dan lain-lain, apa pandangan Saudara tentang bisnes pertanian lima tahun akan datang...

Jika selepas pameran-pameran penting seperti MAHA & MIHAS dan lain-lain showcase dijalankan tetapi tindakan susulan untuk memperbaki kelemahan dan mengatasi apa jua masalah tidak dibuat, bagi saya segala kempen tersebut akan menjadi sia-sia. Tindakan susulan yang saya maksudkan adalah seperti;
(a) Sikap pegawai kerajaan dan bank perlu memberi komitmen dan kerjasama yang sepenuhnya terhadap penternak, petani dan peniaga. Lebih mesra dan bertanggungjawab bagi memenuhi hasrat kerajaan dalam menjayakan “Pertanian Suatu Perniagaan”.
(b) Perubahan minda penternak, peniaga dan petani perlu supaya dapat menerima cabaran dan pandangan lebih jauh ke hadapan.
(c) Pihak kerajaan patut menubuhkan satu badan khas yang memantau supaya rancangan kerajaan dan peruntukkan dapat dilaksanakan dengan sempurna sampai ke tahap daerah, agar mereka yang memerlukan khidmat nasihat dan pembiayaan tidak dipinggirkan oleh birokrasi yang melampau.
Sekiranya tindakan susulan yang disebut diatas tidak dipandang serius dan tidak diendahkan maka perancangan pertanian lima tahun akan datang tidak akan mencapai apa-apa kejayaan. Percayalah. Inilah kekangan yang sedang kami atasi di PPUMM.


Nota: Anda boleh mendapatkannya di kedai-kedai buku atau pesan terus dari Yayasan Muslimin Malaysia Berhad, No. 11C, Jalan SG3/17, Pusat Bandar Sri Gombak, 68100 Batu Caves, Selangor Darul Ehsan - Tel: 03-61884064 Faks: 603-61884085 - Emel: ymmb2u@yahoo.com.my

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Ι was rеcommendeԁ this website by my couѕin.
I am not sure whеther this post is written
bу him as nobody elѕe knoω such detaileԁ about my problem.
You аre amazing! Thanks!

my wеbρage: payday loans