Calon PKR Dun Bota, Usaili Alias (kiri), saya, Cikgu Alang dan Abang Jamaludin Teksi bergambar di barung pusat pengundian Lambor Kanan pada hari pengundian, 8 Mac 2008
By TARMIZI MOHD JAM
APABILA calon PKR Dun Bota, Usaili Alias yang juga rakan saya, meminta komen dari saya berkenaan trend pengundian hari itu (8 Mac 2008) di pusat mengundi Lambor Kanan, dalam Dun Bota, Parlimen Parit; tergamam juga saya dibuatnya.
Bukan tak mahu jawab dan berterus-terang. Tapi khuatir disalah ertikan. Cuma saya berkata, "harapan" menang ada.
Sekalipun hati kecil saya menafikan sekeras-kerasnya berdasarkan gerakerja yang dikatakan cukup dhaif sebagai persiapan menghadapi PRU Ke 12 itu.
Bagaimana untuk saya menyatakan "tidak" dalam suasana begitu. Usaili datang melawat barung tersebut sekitar jam 3 petang dan kebetulan saya ada di sana.
Saya baru selesai mengundi bersama isteri dan rakan saya, Abdul Razak Tajuddin. Kami bertolak dari Kuala Lumpur jam 8 pagi dan tiba sekitar 12 tengahari.
Macam biasa, saya meronda-ronda ke beberapa UPU pusat mengundi bertanya khabar dan bertemu kawan-kawan lama. Tak banyak yang mengejutkan. Bagi saya, ia hanya boleh bergantung kepada "harapan" saja.
Imam Emran Ahmadpun (Imam Masjid Ridwaniah dan JKKK Lambor Kanan) setuju dengan perkembangan yang tidak langsung menyamai semangat 99 dulu. Itu katanya kepada saya.
Namun begitu, Usaili dalam ulasannya memperkatakan ada banyak perubahan "positif" kali ini berbanding PRU 2004 lalu. Ia merujuk kepada beberapa tempat yang beliau singgah.
Saya berasa pelik juga dengan keyakinannya itu. Bagaimana dia bersifir? Barangkali saya salah. Saya memujuk hati kecil saya...
Tiga hari sebelum itu, saya sempat berkempen di Kg. Lambor Kanan. Berceramah selama satu jam. Saya seorang. Diundang oleh Cikgu Sha'ari Mahmud atau Cikgu Alang, Ketua Cawangan PAS Lambor Kanan.
Hampir 10 tahun saya menjadi Ketua Cawangan PAS Kg. Lambor Kanan. Cikgu Alanglah yang mengambil-alih jawatan itu, setelah saya lepaskan pada tahun 2003 hinggalah sekarang.
Dua lagi rakan saya yang datang bersama dari Kuala Lumpur, Ustaz Azhar Yahya (Exco Dewan Ulama PAS Wilayah) dan Dr. Mohd Hasyim (Presiden Kelab Universiti Ulu Klang) diusung oleh Ketua Penerangan PAS, Abdul Razak Taha ke Kg. Pendiat (Dr. Mohd Hasyim) dan Kg. Tengah, Parit.
Dalam kempen itu, saya dapati mereka yang keluar mendengar ceramah amat jauh berbeza dengan corak sokongan pada PRU Ke 10 tahun 1999. Ada kaum ibu, orang tua, anak-anak muda dan ramai juga ahli dan penyokong Umno setempat.
Jam 11.00 malam saya bergegas ke Kg. Tengah Parit. Dijadualkan satu lagi slot ceramah yang perlu diisi segera malam itu.
Sebaik saya tiba, penceramah yang sedang berceramah (Ustaz Azhar Yahya) menamatkan ceramahnya. Saya menyambung ceramah itu hingga jam 12.00 tengah malam.
Saya difahamkan, tiada ceramah-ceramah termasuk ceramah berkelompok dianjurkan sepanjang kempen 13 hari PRU itu. Kalau adapun program ceramah, ia hanya diisi oleh calon-calon.
Usaili Alias (calon Dun Bota), Ismi Mohd Taib (calon Dun Blanja) dan Dr. Najihah Ahmad (calon Parlimen Parit). Merekalah yang saban malam, berceramah memperkenalkan diri.
Sukar untuk saya menelah kenapa dan mengapa ia terjadi. Di mana penceramah-penceramah lain? Ustaz-ustaz? Atau jentera penerangan pilihan raya "lumpuh"?
Namun malam itu, saya beritahu kawan-kawan. Saya sudah ada keputusan PRU Ke 12 untuk ketiga-tiga kerusi di Parit itu.
Berdasarkan pengalaman, saya nak mengangak dan meneka. Kata saya kepada Ustaz Azhar dan Dr. Mohd Hasyim.
"Kalau begini gayanya, sukar PAS dan PKR nak menang. Tak perlu kajian detail. Cukuplah dengan apa yang kita lihat," tegas saya.
Malah dalam perjalanan balik ke Kuala Lumpur, sempat bertandang di Bilik Gerakan Telok Bakong bertemu Sdra. Rafie Kasini, mantan Setiausaha PAS Kawasan Parit.
Itulah juga keputusan (ramalan) yang saya maklumkan kepada dia. Nampaknya, dia bersetuju untuk dua Dun tapi yakin Parlimen boleh dimenangi calon PAS, Dr. Najihah Ahmad.
Telahan saya kepada Dr. Mohd Hasyim dan Ustaz Azhar, akhirnya menjadi kenyataan pada malam 8 Februari 2008 itu.
Bukan riak dan angkuh. Tetapi, gerakerja terancang perlu diurus dengan baik bagi mengukir kemenangan. Ia tidak boleh terjadi dengan sendirinya.
Tentu ada yang tidak senang dengan kenyataan ini. Tapi itulah realitinya dan tidak salah untuk saya memberi pandangan begini. Ini bukan menyalahkan si fulan aatu si fulan tetapi secara asasnya, persiapan pilihan raya amat diperlukan dalam kempen yang berkesan.
Semua Dun dan Parlimen, terus dikuasai oleh BN, sekalipun tsunami politik melanda Perak dan negeri-negeri lain...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan