KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Mei 29, 2008

Kini Mantan SU Sulit Anwar Sertai Umno Selepas Ezam

Ditanya sebab Anuar Shaari meninggalkan PKR dan Anwar Ibrahim, beliau berkata, beliau telah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Anwar!

By AGENDADAILY

DALAM keriuhan akan berlakunya ‘pesta’ lompat parti kalangan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyertai pembangkang, suasana tersebut nampaknya terbalik apabila langkah permulaan yang dilakukan oleh Ezam Mohd Nor kembali semula menyertai UMNO disusuli dengan seorang lagi orang kuat penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) memohon untuk sertai semula UMNO.

Anuar Shaari, bekas Ketua PKR Bahagian Permatang Pauh yang juga bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menjawat Timbalan Perdana Menteri hari Khamis menyerahkan borang permohonan untuk menyertai UMNO kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Selain Anuar, beberapa bekas pimpinan khususnya dari Angkatan Muda Keadilan (AMK) turut mengumumkan keputusan mereka untuk memohon menyertai UMNO. Mereka ialah bekas Ketua Angkatan Muda Pemuda PKR Selangor SD Johari Md Yassin.

Bekas Ketua AMK Kedah, Khairul Anuar Ramli, bekas Ketua AMK Perlis, Daud Che Ghani dan bekas Setiausaha PKR Selangor, Nazmi Rosli. Selain itu turut sama mengumumkan permohonan menyertai UMNO ialah bekas Exco AMK Pusat, Azwan Din dan Abdul Ghani Harun.

Ezam yang mengadakan sidang media khasnya pagi Khamis menjelaskan, penyertaannya semula ke dalam UMNO kerana beliau tidak dapat menerima mainan politik asal berkuasa yang diamalkan oleh pemimpin PKR.

Selain itu, beliau turut menjelaskan, penyertaanya ke dalam UMNO kerana yakin dengan usaha terbaru Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mengembalikan integriti badan kehakiman negara dan memerangi gejala rasuah.

"Saya masuk politik berasaskan kepada cita-cita (membuat) perubahan... dan saya yakin lebih banyak perubahan akan dibuat (oleh Perdana Menteri) pada masa akan datang," katanya.

Menjawab soalan sama ada beliau boleh memainkan peranan aktif di dalam UMNO tanpa sebarang jawatan, Ezam berkata, sejarah membuktikan ramai yang memulakan perjuangan mereka tanpa sebarang jawatan dan beliau menyertai UMNO bukan kerana ingin merebut sebarang jawatan.

Sebaliknya kata beliau, matlamat perjuangannya mengatasi kepentingan politik.

Ditanya adakah beliau sedia jika ada pencalonan untuk beliau bertanding sebarang jawatan dalam UMNO, Ezam berkata, jika pencalonan itu untuk kepentingan Melayu dan negara, beliau sedia mempertimbangkannya.

Ezam turut menjelaskan kepada satu soalan, formula kerjasama Barisan Nasional (BN) adalah yang terbaik buat negara pada masa ini.

Kepada satu soalan, beliau berkata, beliau meninggalkan PKR kerana Anwar telah merubah asas penubuhan parti Keadilan iaitu parti pelbagai kaum yang berteraskan Melayu.

Sementara itu Anuar Shaari pula dalam sidang medianya berkata, beliau membuat keputusan menyertai semula UMNO kerana ingin kembali kepada perjuangan untuk agama, bangsa dan negara.

Ditanya sebab beliau meninggalkan PKR dan Anwar Ibrahim, beliau berkata, beliau telah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Anwar.

Tiada ulasan: