YDP PAS Batu, Cikgu Ishak Surin berharap Ekspedisi Bermotorsikal Ke Kelantan akan menjadi acara tahunan PAS Kawasan Batu
By TARMIZI MOHD JAM
SEMUA mereka amat berpuashati. Menteri Besar, TG Nik Aziz Nik Mat bagaikan melayan tetamu dari deligasi luar negara. Sanggup melapangkan masa untuk bertanya khabar.
Mereka diberi jamuan makan tengahari di Rumah Rasmi Menteri Besar di JKR 10, Kota Bharu. Tok Guru menemani mereka sebaik selesai menyampaikan Kuliyah Pagi Jumaat di Bangunan PAS Jalan Dato' Pati.
"Bayangkan dah 10 kali kami ekspedisi ke Kelantan, sekarang baru dapat jumpa Tok Guru Nik Aziz," kata Pak Ghani yang mengetuai Ekspedisi Bermotorsikal 12 Perserta Ke Kelantan hujung minggu lalu.
Itulah yang saya rasai. Mereka sungguh terharu menceritakan hal itu kepada saya, Cikgu Ishak Surin dan Haji Ismail Yahya sekembali dari ekspedisi penuh makna itu.
Ada yang melinangkan air mata kerana dapat bertemu Menteri Besar, tokoh ternama dan disegani rakyat. Tidak menyangka mereka dilayan sedemikian rupa.
Exco Kanan Kerajaan Kelantan, Datuk Haji Husam Musa yang sepatutnya menyambut mereka, tidak dapat berbuat demikian. Husam menghulurkan sedikit wang saku kepada mereka sebagai tanda ukhwah.
Layanan kepada mereka agak istimewa. Barangkali lebih istimewa dari beberapa rombongan yang sedang menanti hari itu. Mereka dilayan khas di ruang istimewa dalam Rumah MB itu.
12 peserta terdiri dari ahli-ahli PAS Cawangan Kg. Bandar Dalam, Sentul dilepaskan perjalanan mereka oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Batu, Cikgu Ishak Surin dalam satu acara ringkas minggu lalu di hadapan Restoran Ipah Tom Yam.
Dalam ucapannya, beliau berharap acara Ekpedisi Bermotorsikal Ke Kelantan akan menjadi acara tahunan PAS Kawasan Batu disamping melebarkan lagi ke negeri-negeri Pakatan Rakyat yang lain.
"Jangan bimbang. Saya sudah hubungi kawan-kawan kita di Kelantan. Minta aturkan pertemuan dengan Tok Guru Nik Aziz," ujar Cikgu Ishak.
Saya yang mempengerusikan acara, memberi dan menyuntik kata-kata semangat kepada mereka. PAS Batu menyumbang 12 Tshirt Khas kepada para peserta dan bacaan doa diangkat oleh Ketua Urusan Ulama, Ustaz Azhar Yahya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan