DEBARAN sudah berakhir dan kini sahlah Pulau Batu Puteh menjadi milik kedaulatan kerajaan dan rakyat Singapura. Satu keputusan yang diminta oleh pemimpin Umno supaya tidak dipertikaikan.
Sebagai rakyat negeri Johor kita pastinya kecewa, sedih dan bengang dengan sikap pemimpin-pemimpin terdahulu dan sekarang ini yang masih lagi tidak sedar dengan kesilapan lampau.
Bicaralah apa sahaja, apapun rakyat tentunya sedih dan kecewa kerana walau apa jua asas undang-undang antarabangsa yang digunakan oleh ICJ, dari segi nilai sejarah, kedaulatan dan moralnya kita sudah kehilangan sebahagian daripada wilayah kedaulatan negeri Johor dan negara Malaysia.
ICJ yang bersidang di The Hague, Belanda melalui pengundian 12-4 yang berpihak kepada Singapura menetapkan bahawa negara jiran itu mempunyai hak kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh, manakala Malaysia pula melalui pengundian 15-1 diberikan hak kedaulatan terhadap Terumbu Karang Tengah.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Razali Ibrahim berkata, tuntutan terhadap pulau itu yang memakan masa yang lama kini sudah dianggap selesai dan kini kedua-dua negara perlu berbincang kaedah untuk membangunkan kawasan tersebut.
Persoalannya sekarang inikah sikap kita yang matang dalam mengurus negeri dan negara, kita bukannya hendak membangkitkan apa-apa jua sentimen yang menghasut tetapi cukuplah kita mengerti dan belajar dari kesilapan lantaran rakyat yang masih lagi percaya dengan kurafat hanya Umno sahaja yang mampu memerintah dan mentadbir.
Ironinya, keputusan ICJ itu sudahpun menggambarkan negara kita sangat mudah diperdayakan oleh pemimpin yang beretorik betul dalam semua hal walhal mereka semua memakai topeng badut kononnya menghiburkan rakyat yang rupanya membodohkan rakyat dengan mimik palsu pelakon upahan.
Sebagai rakyat Malaysia kita cuba diajar untuk menghormati apapun keputusan mahkamah sedangkan pemimpin cuba mengajar rakyat hidup dalam kepalsuan lakonan si tukang karut.
Dalam penghakiman kes tuntutan ini yang dibacakan oleh Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh, ICJ memutuskan Middle Rocks dimiliki oleh Malaysia.
Pulau Batu Puteh, yang berukuran lebih kurang separuh daripada keluasan sebuah padang bola sepak, terletak 7.7 batu nautika di luar pantai Tanjung Penyusoh di Johor.
Singapura memanggil pulau kecil itu dengan nama Pedra Branca (perkataan Portugis yang bermaksud Batu Putih).
Pertikaian antara Singapura dan Malaysia mengenai Pulau Batu Puteh bermula pada 14 Februari 1980, apabila republik itu membantah tindakan Malaysia menerbitkan sebuah peta pada 1979, yang dengan jelas menunjukkan pulau itu terletak dalam wilayahnya.
Pada Februari 1993, Singapura meluaskan tuntutannya ke atas Middle Rocks dan South Ledge, yang terletak berhampiran pulau itu.
Kes tersebut berlarutan hampir 28 tahun, sehinggakan rakyat Johor sendiri semacam dipaksa untuk mengadakan solat hajat untuk memohon kemenangan kes tuntutan Pulau Batu Puteh.
Rakyat yang sudah lama diajar oleh pemimpin Umno untuk memisahkan agama dengan politik mendapat reaksi dan respon yang hambar dari rakyat lantaran tidak faham agama dan siasah.
Jadinya tidaklah pelik solat hajat yang diadakan setiap kali selepas Solat Jumaat di masjid-masjid seluruh Johor semacam diboikot oleh rakyat.
Kini perhatian kita beralih pula kepada projek mega Pak Lah yang dinamakan 'Iskandar Malaysia' yang dicurigai bakal dileburkan juga kepada negara jiran Singapura yang sekarang ini sangat terdesak untuk melebarkan pulau Singapura yang semakin padat dengan rakyat dan pembangunan.
Pastinya Singapura tidak akan melepaskan peluang selaku opurtunis dengan pemimpin Umno sendiri lebih mementingkan diri sendiri untuk mengaut kekayaan negara kerana apa yang mereka fikirkan bukannya rakyat tetapi mereka lebih mementingkan tembolok mereka dan anak cucu cicit mereka....
Selamatkan Johor dan Malaysia...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan