KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, Mei 06, 2008

Pemergian RUSTAM A. SANI, Gerakkan Semula PENA Catatan Saya!


Allahyarham Ahmad Boestamam dan anaknya yang baru kembali ke RahmatulLah, Rustam A. Sani dua minggu lalu

By TARMIZI MOHD JAM


DUA minggu lalu, seorang lagi rakan saya, Rustam A. Sani kembali ke RahmatulLah akibat serangan pelbagai penyakit yang dihadapinya. Arwah menetap di Bukit Lela, tidak jauh dari Greenwood.

Alangkah terkejutnya saya. Beliau masih muda dan ketajaman tulisannya cukup menerujakan sejak dulu lagi. Saya ikuti banyak pandangannya di Majalah Dewan Masyarakat dan sekarang di Mingguan Siasah. Selain itu, rajin juga saya jengah blog beliau.

Beberapa minggu sebelum itu, saya dan Cikgu Ishak Surin yang memang akrab dengan Rustam, ada cadangan untuk menginterbiu beliau. Mencatat sedikit cerita dan pandangan tentang ayahnya, Ahmad Boestamam.

Cikgu Ishak antara yang paling rapat dengan Boeastamam dan pernah menjadi wakil calon kepada tokoh kemerdekaan itu ketika Boestaman menang di Parlimen Setapak menumpaskan Aishah Ghani (Tan Sri) sekitar tahun 60an.

Masa begitu suntuk sebenarnya. Jika tidak dikutip segala maklumat itu, pastinya ia akan hilang ditelan liang.

Saya cuba mengungkapkan seberapa banyak maklumat berkenaan sejarah perjuangan silam, yang cuba dibenamkan pemimpin Umno untuk pengetahuan umum.

Barangkali, selain Cikgu Ishak sendiri yang terlibat dalam lakaran sejarah penting kemerdekaan, terdapat beberapa nama yang akan saya kunjungi segera termasuk Tan Sri Aishah Ghani, yang juga teman akrab Cikgu Ishak sewaktu dalam Parti Rakyat.

Boeastaman mengetuai API - Angkatan Pemuda Insaf dan Aishah Ghani pula mengepalai AWAS - Angkatan Wanita Sedar.

Pada pilihan raya umum lalu, selepas berceramah di Desa Rejang, Setapak ketika memperkenalkan calon PAS Titiwangsa, sempat saya diketemukan dengan anak Khadijah Sidek.

Satu pertemuan akan diadakan bersama saya dan Cikgu Ishak untuk mendekati sejarah silam ibunya. Barangkali, banyak kisah yang tidak diketahui umum sepanjang pembabitannya dengan PAS.

Khadijah pernah terpilih menjadi Ahli Parlimen Dungun mewakili PAS. Beliau juga pernah memegang jawatan Ketua Kaum Ibu PAS Pusat dan pernah dilantik Pesuruhjaya PAS Johor pada zamannya. Tentu menarik bukan...

Usaha menjejaki anak-anak Prof. Zulkifli Muhammad juga sedang dilakukan. Begitu juga dengan anak Panglima Jihad PAS, Hj. Hassan Adli. Insya-Allah minggu depan, saya akan ke rumah Dr. Norbit Mohd Noor di Taman Datuk Senu, Sentul.

Saya sudah bertemunya Ahad lalu, ketika PAS Kawasan Batu mengadakan Mesyuarat Agung Tahunannya di Markaz Tarbiyyah PAS Pusat, Taman Melewar.

Dr. Norbit adalah adik kepada Dr. Burhanuddin Al-Helmy, tokoh kemerdekaan yang hebat dan telah mengubah peta perjuangan kemerdekaan. Beliau akhirnya memimpin PAS dan meninggal dunia akibat seksaan kurungan ISA.

Sebenarnya ramai lagi yang perlu saya kunjungi... perasaan bimbang mula membuak-buak apabila kehilangan Sdra. Rustam A. Sani secara tiba-tiba. Lebih baik, angkat kaki segera bertemu mereka yang saya sebutkan tadi!

Saya dan keluarga mengucapkan sekalung takziah kepada isteri dan anaknya, semoga bersabar dengan pemergian yang abadi itu. Moga ruhnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan bertaqwa!

Tiada ulasan: