KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Mei 29, 2008

SPR Sudah BERSIAP SEDIA Adakan PILIHAN RAYA TERGEMPAR?

Dr. Chandra Muzaffar, pemerhati politik tanah air dan hubungan antarabangsa berkata, kemungkinan untuk diadakan pilihan raya tergempar dalam waktu terdekat memang ada.

By G. MANIMARAN dan ZANARIAH ABD. MUTALIB

LEBIH 140,000 pekerja yang secara langsung terlibat dalam pilihan raya umum ke-12 telah dinasihatkan agar bersedia untuk membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menguruskan kemungkinan pilihan raya umum tergempar.

Sambil menegaskan tidak mahu membuat spekulasi mengenainya, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, beliau telah meminta mereka supaya bersedia untuk menghadapi apa saja kemungkinan.

Beberapa pemerhati politik, dengan mengambil kira senario politik semasa, tidak menolak kemungkinan pilihan raya boleh diadakan.

"Saya tidak mahu membuat spekulasi, kami tidak boleh membuat spekulasi.

"Bagaimanapun kami bersedia untuk apa jua kemungkinan. SPR berupaya untuk menguruskan pilihan raya (tergempar jika diadakan) kerana kami mempunyai segara infrastruktur (untuk mengadakan pilihan raya)," kata Abdul Rashid.

Pilihan raya tergempar merujuk kepada pilihan raya yang diadakan secara tiba-tiba tanpa sebarang penunjuk awal.

Abdul Rashid menyatakan demikian dalam temu bual khas dengan mStar Online di pejabatnya di sini.

Malah, Abdul Rashid menjelaskan, ketika mesyuarat postmortem pilihan raya umum ke-12 sejak dua bulan yang lalu, beliau telah menyeru agar membuat persedian yang sepatutnya.

"Saya telah memaklumkan mereka dalam pertemuan sepanjang dua bulan yang lalu, sila membuat persediaan kerana pilihan raya (tergempar) boleh diadakan bila-bila masa jua. Ini nasihat yang saya berikan kepada mereka," katanya.

Katanya, beliau memberikan nasihat sedemikian kerana ia merupakan sebahagian daripada fungsi dan peranan suruhanjaya berkenaan.

"Saya tidak membuat spekulasi apa-apa, ia tidak baik untuk membuat spekulasi kerana ia hanya politik sahaja," katanya.

"Sebagai badan fungsian, kita perlu membuat persediaan. Ia merupakan tugas kami, tugas anggota panel Suruhanjaya untuk memberikan nasihat (agar bersedia)," katanya.

Pertengahan bulan ini, Timbalan Pengerusi, Datuk Wan Ahmad Wan Omar memberitahu, pilihan raya umum yang baru boleh diadakan pada bila-bila masa meskipun tempoh mandat kerajaan yang memerintah kurang daripada dua bulan.

Undang-undang tidak menghalang daripada membubarkan Parlimen dan Dewan Perundangan Negeri.

Malah pada minggu lalu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, ahli-ahli Umno dan Barisan Nasional (BN) perlu bersedia untuk menghadapi pilihan raya tergempar ekoran tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad keluar parti.

Sementara itu, Dr. Chandra Muzaffar, pemerhati politik tanah air dan hubungan antarabangsa berkata, kemungkinan untuk diadakan pilihan raya tergempar dalam waktu terdekat memang ada.

"Ia adalah satu kemungkinan kerana ada laporan yang mengatakan terdapat ahli-ahli Parlimen yang akan masuk parti lain (Pakatan Rakyat). Jika ini berlaku, kemungkinan Pak Lah (Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi), dari segi lunas perundangan boleh menghadap Yang di-Pertuan," katanya.

Jika ramai wakil rakyat yang melompat parti, Yang di-Pertuan Agong boleh mengundang parti yang ada majoriti di Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan baru ataupun memberi perkenan bagi membubarkan Parlimen.

"Bagaimanapun saya tidak menganggap ia sebagai satu kemungkinan serius. Tetapi dalam politik kemungkinan-kemungkinan seumpama itu tidak boleh ditolak begitu sahaja," kata beliau yang juga Presiden Pergerakan Just.

Jika keadaan itu berlaku, jelas beliau, ia boleh menjadi detik bersejarah kerana tidak pernah berlaku di negara ini.

Prof. Madya Dr. Abdul Muati @ Zamri Ahmad, pensyarah komunikasi politik dari Universiti Putra Malaysia memberitahu, tiada keperluan untuk mengadakan pilihan raya tergempar.

Bagaimanapun, jelas beliau, peluang untuk diadakan pilihan raya tergempar memang ada jika ada ahli Parlimen yang melompat parti.

Malah, keputusan mengadakan pilihan raya tergempar juga bergantung sama ada parti pemerintah boleh memperoleh lebih banyak kerusi daripada sekarang.

"Berdasarkan sentimen semasa, Umno dan BN kemungkinan tidak akan memperoleh lebih daripada kerusi semasa.

"Sentimen sokongan kepada Pakatan Rakyat masih kukuh. Jadi, jika BN berpendapat bahawa ia boleh mendapatkan lebih banyak kerusi, maka pilihan raya tergempar mungkin diadakan," katanya lagi.

Dalam pilihan raya umum lalu, BN memperoleh 140 kerusi di Dewan Rakyat dan pembangkang pula 82.

Katanya, langkah mengadakan pilihan raya tergempar juga tidak begitu baik kepada ekonomi kerana ia boleh menjejaskan keyakinan rakyat.

"Ini kerana ia akan menggambarkan suasana negatif di kalangan pelabur. Oleh itu, jika benar-benar BN merasakan boleh menang banyak kerusi, ia akan mengadakan pilihan raya tergempar," katanya.

Bagaimanapun, Profesor Datuk Dr. Syed Arabi Idid yang berada di luar negara berkata, setakat ini tiada kemungkinan pilihan raya tergempar akan diadakan.

"Tiada nampak apa-apa sebab pilihan raya tergempar akan diadakan," kata beliau.

Tiada ulasan: