APAPUN muslihat dan strategi Tun Mahathir bertindak meninggalkan Umno yang diasaskannya (rujuk Umno Baru), kepimpinan anak Badawi tentu sekali malu sebagai seorang sang Presiden dan Perdana Menteri.
Bukan sahaja Tun, isterinya Tun Siti Hasmah dan anaknya Mokhzani juga "membelasah" anak Badawi semahunya dengan mengekor Mahathir keluar dari Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) yang dulu, kini dan selamanya tidak pernah bersatu dan berpecah-belah itu.
Tindakan mereka keluar Umno terbukti mencemaskan pemegang kuasa dalam parti pragmatis itu hingga terpaksa mengadakan mesyuarat khas semalam, membincangkan pengunduran Mahathir dari Umno.
Umumnya, pencacai Umno memberitahu media kononnya tiada apa-apa akan berlaku dengan langkah "jahat" Mahathir itu.
Musa Hitam, yang kini penasihat anak Badawi juga turut segar memperkatakan hal Mahathir meninggalkan Umno.
Katanya, "duri dalam daging" sudah terkeluar dan Umno akan pulih semula dengan ketiadaan Mahathir itu. Ramai yang bertepuk tangan dan tak terbilang dek jari yang bersedih dan hiba.
Terlalu awal untuk kita menelah apakah akan terjadi kepada jawatan Presiden Umno yang kini melekat erat oleh anak Badawi selepas Mahathir melancarkan "peluru berpandunya" ke Putrajaya.
Tiada siapa dapat menafikan kelicikan pengaruh Mahathir, sebagai negawaran ulung yang dihormati. Bagi saya, keluarnya beliau dari Umno tidak sedikitpun mengurangkan darjat negarawannya.
Sama seperti kritikan "cili apinya" sebelum PRU 12 dulu terhadap kepimpinan longlai anak Badawi.
Hanya pencacai PM dan Khairy barangkali yang berhempas-pulas untuk mencalar-balarkan imej Mahathir dalam negara ini. Seperti ligat dan pantasnya TV3, RTM dan Media Prima melekehkan tindakan Mahathir keluar Umno itu.
Seolah-olah, tiada meninggalkan bekas. Tiada kesan. Mari kita lihat seminggu dua ini, apakah yang akan terjadi.
Apa yang jelas, Harian Sinar hari ini, 22 Mei 2008 pada halaman N6 melaporkan "156 Ahli Umno Cawangan Sri Tanjung Bersetuju Keluar Parti" sebagai sokongan padu mereka terhadap Mahathir.
Mungkinkah? Mungkin... esok lusa lebih ramai ahli dan cawangan Umno dibubarkan kerana simpati dengan strategi Mahathir untuk memulih dan menyelamatkan Umno yang dituduh kian nazak di bawah jagaan anak Badawi!
Barangkali, undur dan keluarnya Mahathir dari Umno akan menjadi paku terakhir buat keranda anak Badawi dalam persada politik tanahair kita.
Siapa tahu?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan