KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Mei 29, 2008

Bebaskah Kita Daripada 'Gempa Bumi' Politik?

Apakah "gempa bumi" politik yang menaji Pak Lah pada PRU 12 lalu makin parah dengan "gegaran" Mahathir keluar Umno?

By MOHD. ARIF ATAN

SAYU di hati apabila mendengarkan 'jeritan' siren dan hon berkumandang melangit sehingga ke Tembok Besar China (Chang Cheng) pada 19 Mei lalu.

Penulis turut berkongsi kesedihan dengan seluruh 1.3 bilion warga Republik Rakyat China yang bertafakur selama tiga minit bermula jam 2.28 petang hari yang sama sebagai tanda berkabung atas bencana gempa bumi yang melanda wilayah Sichuan.

Serentak dengan itu, bendera merah China yang tertera sebutir bintang besar berserta empat bintang kecil berwarna kuning dikibarkan separuh tiang dengan acara rasmi yang penuh patriotik berpusat di Dataran Tian Men, Beijing.

Dalam masa yang sama, aktiviti bercorak hiburan juga dihentikan selama tiga hari.

Akhbar rasmi berbahasa Inggeris tempatan China Daily keluaran 25 Mei lalu melaporkan sejumlah 55,740 telah terkorban manakala 292,481 orang lagi cedera dan 24,960 masih belum ditemui.

Mungkin ratusan ribu nyawa lagi dipercayai menjadi korban di sebalik runtuhan sekian banyak bangunan yang menyembah bumi. Paling menyedihkan apabila kebanyakan murid sekolah tempatan turut terkorban di sebalik ranapnya bangunan sekolah mereka.

Dicatatkan juga kira-kira lima juta mangsa terselamat yang hilang tempat tinggal memerlukan bantuan khemah sementara serta bekalan makanan.

BekalanTinjauan penulis di pejabat pos (China Post) sekitar Beijing pula mendapati usaha giat menyiapkan bekalan bantuan kemanusiaan seperti pakaian terpakai untuk dihantar kepada mangsa terselamat.

Siaran televisyen tempatan turut melaksanakan tanggungjawab sosialnya dengan memberikan liputan meluas dan berkempen memohon sumbangan dan bantuan.

Gegaran dalam skala kecil berulang-kali kerap berlaku walhal masih ramai yang masih terasa gegaran berukuran 7.8 skala Richter pada 12 Mei lalu.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Hanya ketabahan dan sikap tidak berputus asa rakyat China dari pelbagai pihak membuatkan mereka saling membantu meringankan beban mangsa.

Kesediaan menghulurkan bantuan termasuk di kalangan komuniti sebangsa di seberang laut seperti dari Washington adalah pancaran daripada rasa perikemanusiaan dan semangat membantu sesama bangsa yang tinggi.

Apa pun, nilai patriotisme begitu terserlah di sebalik peristiwa malang '512' itu. Segenap lapisan rakyat China yang mendiami negara seluas 9.65 juta kilometer persegi itu membantu mana yang termampu.

Malah, rasa perikemanusiaan juga melangkaui sempadan geo-politik apabila masyarakat antarabangsa juga menghulurkan bantuan.

Semoga penghuni di wilayah Sichuan dapat segera bangkit daripada kesedihan. Bagi rakyat Malaysia pula ada baiknya dalam kita membantu meringankan beban mangsa, apa yang tersirat di sebalik bencana ini turut dijadikan iktibar.

Betapa bertuahnya kita menjadi warga di tanah air Malaysia yang dijauhkan Tuhan daripada bencana alam besar seperti gempa bumi di China mahupun ribut taufan di Myanmar.

Sedangkan gegaran kecil di sebahagian kawasan Lembah Klang dan Tawau pun kita begitu khuatir apatah lagi gegaran besar yang boleh meragut nyawa dan memusnahkan harta benda.

Namun, mengikuti perkembangan sosio-politik mutakhir timbul suatu persoalan: Mengapa kita yang hidup di tanah tumpah darah negara yang kecil ini begitu cenderung mewujudkan situasi seperti 'gempa politik' yang tiada kesudahannya?

Siapa yang akan berterusan menjadi 'mangsa' daripada siri-siri gempa politik yang berlaku ini jika bukan kira-kira 27 juta rakyatnya?

Sampai bila kita begitu gemar berselisih faham hanya atas rasa cauvinisme atau perbezaan pendirian politik sehingga kemakmuran dan keamanan yang ada tidak dimanfaatkan untuk mewujudkan sebuah bangsa Malaysia yang benar-benar bersatu-padu dan maju berasaskan acuan kita sendiri?

Kita mungkin boleh menarik nafas lega lantaran terhindar daripada bencana alam seperti gempa bumi.

Namun, 'gegaran' daripada gempa politik yang begitu kerap adalah jauh lebih berbahaya untuk jangka panjang ke atas kestabilan negara bangsa Malaysia. - Utusan Online

Tiada ulasan: