KLIK JOM FOLO DI SINI

Ahad, Mei 25, 2008

AMAT MALANG! Jika Pengundi Pakatan Rakyat JAUHKAN DIRI Nanti...

Peluang untuk menegur pemimpin perlu digunakan sebaik mungkin untuk mengingatkan mereka akan prinsip perjuangan. Setiap kesalahan perlu ditegur walaupun siapa jua pelakunya.

By DR. ROSLI ALLANI
Exco Dewan Pemuda PAS Pusat

KEKUATAN ekonomi sesebuah parti politik merupakan satu aset penting dalam meneruskan agenda perjuangan mereka.

Sebelum ini, dalam suasana kekangan politik dan ekonomi yang diamalkan oleh Kerajaan Pusat dari Barisan Nasional, sudah pasti kekuatan ekonomi parti pembangkang tidak akan dibiarkan berkembang. Segala tekanan diberikan kepada mereka.

Kelewatan geran perkapita, keistimewaan yang dinikmati oleh wakil wakil rakyat Barisan Nasional tidak lebih hanyalah untuk menyakitkan hati wakil wakil rakyat yang lain termasuklah pihak kerajaan yang telah mendapat mandat rakyat.

Ini berlaku kepada Kelantan untuk berbelas tahun sepanjang pemerintahan mereka. Tidak pelik sekiranya YAB Tuan Guru Menteri Besar Kelantan baru baru ini menuntut Kerajaan Pusat membayar pampasan kepada Kelantan.

Namun dengan adanya lima negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat dengan negeri Selangor mendahului dari segi kemajuan dan kekayaan berbanding dengan negeri negeri lain, parti komponen perlulah memikirkan langkah langkah terbaik untuk memperkuatkan ekonomi negeri negeri yang ditadbir.

Parti parti yang mendokongi perjuangan yang telah disatukan di bawah payung Pakatan Rakyat tentunya cuba mendekatkan segala jurang yang ada.

Usaha ke arah itu seharusnya dibuat sedapat mungkin demi mengekalkan kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat.

Walau apa pun yang diperkatakan, Makkal Sakti telah memilih calon selain Barisan Nasional di banyak tempat tanpa mengambilkira individu yang bertanding. Atas alasan apa sekalipun hakikat itu harus diterima.

Maka memperkuatkan imej parti dan pemimpin dari kalangan Pakatan Rakyat amatlah penting.

Antaranya memastikan segala janji janji dapat disempurnakan dengan sebaik mungkin.

Rakyat ingin melihat pemimpin yang menjadikan kuasa pentadbiran sebagai alat untuk memberi kemajuan dan kesenangan kepada mereka, bukan kesenangan kepada pemimpin sahaja.

Pemimpin mempunyai banyak privilege dan kelebihan yang sudah tentunya memudahkan mereka melaksanakan tugas. Namun ianya bukan sesuatu yang harus dibanggakan.

Tanpa rakyat yang mengangkat mereka, tiadalah hebatnya seorang pemimpin itu. Pemimpin disanjung atas komitmen dan perjuangan mereka, bukan sekadar penonjolan fizikal yang segak dan kemas.

Dasar setiap parti merupakan satu rujukan yang cukup baik untuk memperbetulkan kepimpinan yang tersilap langkah. Pemimpin juga adalah manusia.

Peluang untuk menegur pemimpin perlu digunakan sebaik mungkin untuk mengingatkan mereka akan prinsip perjuangan. Setiap kesalahan perlu ditegur walaupun siapa jua pelakunya.

Manusia itu bersifat pelupa dan mudah dilalaikan dengan urusan yang pelbagai.

Di atas imej yang baik juga Makkal Sakti menaikkan kerajaan Barisan Nasional pimpinan Pak Lah pada PRU 11, 2004.

Rakyat telah memberi beliau peluang dan empat tahun yang dilaburkan oleh Pak Lah untuk membalas kepercayaan rakyat itu tidak meninggalkan bekas yang baik untuk mengekalkan harapan dan kepercayaan yang diberi.

Di atas kesedaran ini, pemimpin tertinggi parti parti Pakatan Rakyat perlu menampilkan imej terbaik sesuai dengan semua latar belakang dan pengharapan rakyat demi meneruskan kesinambungan perjuangan yang tentunya diberi sepenuh perhatian oleh mereka.

Mereka juga perlu membersihkan imej parti dari kekotoran dan keburukan yang diakibatkan oleh beberapa individu yang hilang prinsip perjuangan.

Janganlah sebab nila setitik rosak susu sebelanga.

Kebenaran yang dicari sudah semestinya menuntut komitmen walaupun hasil itu belum tentu dapat kita lihat.

Namun membiarkan penyakit membarah di dalam jasad merupakan satu tindakan kurang bijak yang akhirnya bakal dizahirkan jua dengan kelesuan dan tanda tanda fizikal yang cukup untuk menjauhkan orang sekeliling kita.

Amatlah malang sekiranya yang menjauhkan diri itu adalah pengundi yang pernah memberi kepercayaan kepada kita!

Tiada ulasan: