KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Julai 20, 2009

RM254 bilion duit Petronas lesap akibat kontrak runding terus mainan BN!

KUALA LUMPUR: Lebih 80 peratus kontrak pembangunan negara dari tahun 2004 hingga 2009 diberikan secara runding terus menyebabkan negara kehilangan RM254 bilion dedah Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayob, lapor IRWAN MUHD ZAIN.

Tegas beliau akibat pemberian kontrak-kontrak untuk projek seperti Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), landasan berkembar keretapi dan beberapa projek lain yang dibuat secara tidak telus menyebabkan rakyat tidak dapat merasai hasil dari wang yang sepatutnya dinikmati mereka.

Salahuddin juga menegaskan wang berjumlah RM254 bilion itu sepatutnya dapat dinikmati rakyat dengan cara kerajaan membeli kesemua konsesi lebuhraya yang membolehkan rakyat tidak perlu lagi membayar tol.

"Kita (PAS) kesal kerana dari tahun 2004 hingga 2009, lebih 80 peratus kontrak pembangunan negara diberikan secara runding terus hingga menyebabkan wang berjumlah RM254 bilion lesap.

"Sepatutnya kontrak-kontrak untuk projek seperti PKFZ, landasan berkembar keretapi dan lain-lain dibuat secara telus bagi mengelakkan salah guna wang rakyat.

"Namun malangnya pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak mementingkan rakyat menyebabkan wang RM254 bilion lesap," tegas beliau.

Menyentuh mengenai royalti petroleum yang sepatutnya diserahkan kepada Kelantan yang berjumlah RM500 juta, Salahuddin sekali lagi mendesak Perdana Menteri membentangkan kertas putih ketika persidangan Dewan Rakyat sesi akan datang.

Tegas beliau,Kelantan berhak mendapat royalti tersebut kerana dengan wujudnya negeri itu maka kerajaan Malaysia berhak memiliki Zon Eksklusif Ekonomi (EEZ) yang mana telah ditetapkan dalam jarak 200 kilometer sesebuah perairan ia menjadi hak milik negara.

Selain itu juga, beliau menegaskan, melalui satu perjanjian antara Malaysia dan Thailand satu persetujuan telah dicapai untuk menubuhkan Malaysia Thailand Joint Development Area (MTJDA).

Menerusi perjanjian itu, Malaysia menerusi Petronas memperolehi 50% dari hasil penemuan di JDA yang begitu dekat dengan Kota Bharu sehinggakan pemancing tempatan pun boleh pergi ke pelantar tersebut.

"Jika Kelantan tidak wujud atau sebuah wilayah bebas, tentu sekali Malaysia tidak ada hak langsung ke atas hasil bumi dan lautan di situ.

"Sempadan perairan Malaysia disitu dipengaruhi oleh kewujudan Kelantan sebagai sebuah wilayah di dalam Malaysia," tegas sakahuddin.

Apa yang mengecewakan tegas Ahli Parlimen Kubang Kerian itu bila Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato' Mustafa Mohamed ketika di Dewan Rakyat menafikan bahawa hasil bumi itu adalah hak Kelantan kerana katanya ia adalah di kawasan pertindihan antara Malaysia dan Thailand serta Malaysia dan Vietnam.

Berbeza dengan kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Menteri Kewangan, Dato' Chor Chee Heung yang menegaskan kerajaan sedang mengkaji angka-angka yang dinyatakan untuk tujuan pemberian royalti.

Kenyataan yang bercanggah itu tegas beliau, menunjukkan Mustafa selaku Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan sanggup berbohong semata-mata mahu menafikan hak rakyat Kelantan.

"Amat malang bila seorang Menteri Umno yang merupakan anak jati Kelantan cuba menafikan hak Kelantan," tegas beliau.

Mengulas lanjut, Salahuddin mencadangkan agar Akta Petroleum Nasional 1974 yang dikenali sebagai Akta 144 dipinda bagi membolehkan negara membangunkan industri petro kimia.

Akta tersebut jelas beliau, boleh dipinda sepertimana kerajaan pada tahun 1987 meminda Akta Telekomunikasi 1965. Selain Akta Telekomuniksi, kerajaan juga jelas Salahuddin telah meminda Akta Multimedia 1988 dan menubuhkan Suruhanjaya Multimedia.

Salahuddin juga mencadangkan sebuah suruhanjaya yang dikenali Suruhanjaya Petroleum dan Mineral Negara (SPMN) ditubuhkan bagi membolehkan Petronas terus menjadi sebuah syarikat yang berdaya saing.

"Jika SPMN ditubuhkan, negara tidak akan rugi malah Petronas akan menjadi lebih baik daripada sekarang. Syarikat-syarikat petroleum seperti Shell, BP dan beberapa nama lagi dikenali sebagai '7 sisters' kerana keupayaaan mereka.

"Dengan penubuhan SPMN saya yakin Petronas juga akan mampu menjadi seperi syarikat-syarikat ini dan tidak mustahil disenaraikan sebagai '8 sisters'," jelas beliau.

Salahuddin menjelaskan SPMN yang dicadangkan itu harus melaporkan terus kepada Parlimen bukan kepada Perdana Menteri.

"Pengerusi SPMN dilantik oleh DYMM Agong tetapi hendaklah memberi laporan terus kepada Parlimen bukan Perdana Menteri bagi mengelakkan berlakunya salah urus hasil bumi negara," tegas beliau.

Justeru, beliau mencadangkan agar kerajaan mengambil serius pandangan yang diberikan kerana ianya untuk kepentingan negara dan rakyat.

Pemansuhan PPSMI bukti kejayaan perjuangan rakyat


KUALA LUMPUR: Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), Dato' Dr Hassan Ahmad menyifatkan pengumuman kerajaan berhubung pemansuhan PPSMI sebagai satu kejayaan perjuangan rakyat.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yasin yang telah memutuskan untuk memansuhkan PPSMI sepenuhnya mulai 2012.

"Pemansuhan PPSMI ini merupakan satu kejayaan perjuangan rakyat yang menuntut agar dasar ini dimansuhkan sejak ia dilaksanakan enam tahun yang lalu. Selaku pengerusi GMP saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memutuskan untuk memansuhkan PPSMI mulai 2012," katanya pada sidang media di Rumah Pena, 9 Julai lalu.

Hassan juga menjelaskan bagi GMP, pengumuman itu bererti mulai tahun 2010 pelajar baru tahun satu sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan, sekolah menengah tingkatan satu dan tingkatan empat akan memulakan sesi baru tahun 2010 dengan menggunakan bahasa kebangsaan atau bahasa ibunda sepenuhnya.

Untuk tujuan itu, katanya, kementerian seharusnya telah bersedia untuk menyediakan buku teks dan bahan-bahan yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa kebangsaan atau dalam bahasa ibunda.

GMP juga jelas beliau, berharap agar perubahan ini berlaku bukan sahaja di peringkat sekolah rendah atau sekolah menengah sahaja malah meliputi semua peringkat pendidikan termasuk universiti.

Hassan berkata GMP begitu prihatin terhadap para pelajar sekolah yang pengusaan ilmu sains dan matematiknya bertaraf rendah akibat kegagalan memahami berbahasa Inggeris. Sehubungan itu, GMP berharap pihak Kementerian Pelajaran akan megadakan kelas pemulihan untuk membaiki pencapaian mereka setaraf dengan mutu pelajaran sains dan matematik sebelum 2003.

Bagi menghargai sokongan rakyat terhadap perjuangan memansuhkan dasar itu, GMP kata Hassan, akan menganjurkan Sambutan Pemansuhan PPSMI pada 19 Julai nanti yang akan diadakan di Stadium Bandar Baru Bangi, Selangor bermula jam 9.00 malam.

Sementara itu, Persatuan Penulis Nassional Malaysia (PENA) menyifatkan keputusan kerajaan itu sebagai satu tindakan berani demi memastikan kedudukan bahasa Melayu.

Timbalannya, Mohamad Saleeh Rahamad, berkata PENA berasakan keberanian itu sangat penting bagi mengembalikan kepercayaan rakyat kepada kerajaan.

Bagaimanapun, katanya pihaknya berharap keputusan baru ini tidak akan berubah apabila situasi politik negara berubah.

"Dalam masa yang sama, pemimpin-pemimpin yang berada dalam barisan kabinet sewajarnya menginsafi tragedi yang berlaku dan seterusnya hendaklah bermunasabah diri. Jangan lagi terperangkap dalam sindrom takut untuk bersuara apabila berdepan dengan isu yang mencabar kedaulatan negara," kata beliau dalam kenyataannya kepada Harakah.

Itu bukan mansuh tapi tangguh, kita demo lagi! - A Samad Said


MUQADIMMAH: Sasterawan negara yang juga Penasihat Gerakan mansuh PPSMI (GMP), Dato' A Samad Said belum berpuashati lagi dengan keputusan samar Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Jasin yang mengumumkan pemansuhan PPSMI bermula 2012. Itu hanya penangguhan bukan pemansuhan, kata Pak Samad. Beliau mahu rakyat turun ke jalan raya sekali lagi, jika perlu desak kerajaan hapuskan terus. Ikuti wawancara ANIS NAZRI dan IRWAN MUHAMAD ZAIN bersama beliau di Rumah Pena, 9 Julai lalu.

Pada 8 Julai lalu, kerajaan mengumumkan keputusan memansuhkan Pelaksanaan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sepenuhnya pada tahun 2012. Apa pandangan Dato' berhubung keputusan itu?

DATO' A SAMAD SAID: Bagi saya, ia bererti tidak memansuhkan, tetapi menangguhkan PPSMI. Itu intepretasi sayalah. Tapi kalau 2012 akhirnya, ertinya mulai tahun depan sudah mula belajar dalam bahasa Melayu dan ibunda. Kalau 2012 bermula, ia menangguhkan bukan mansuh.
Bagi kita, andaian Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) 2012 sudah lengkap, sudah selesai. Bermula sesi persekolahan tahun depan untuk menuju ke proses itu. Itu fahaman saya dan GMP, sedangkan tiada dalam pengumuman kerajaan seperti itu.

Menurut Dato', apa sebabnya kerajaan tidak memansuhkan terus dasar itu, tetapi membawa ke tahun 2012?

Sebab kalau tarik ke 2012, ertinya kerajaan tarik ke pilihan raya umum. Ia boleh disifatkan sebagai umpan pilihan raya. Lepas pilihan raya, macam-macam boleh berlaku.
Sebab itu perlunya 'government in waiting' menang kerana akan automatik mansuh. Kalau Barisan Nasional (BN) menang, belum tentu. Dalam dunia politik, macam-macam boleh jadi.

Mungkinkah Dato' melihat antara sebab ia 'ditangguh' ke 2012 itu untuk menjaga kepentingan pihak-pihak tertentu yang terlibat dalam projek PPSMI seperti yang didakwa sebelum ini?

Saya harap tidak begitu kerana ini bukan kerja main-main. Perkara ini memang melibatkan masa depan anak-anak. Kalau rakyat diutamakan, seperti yang dislogankan, inilah (mansuh) yang harus dilihat kerajaan.

Tidak rasa lama sangat tempoh untuk memansuhkan dasar yang ditentang ini - membawa ke 2012?

Ada beberapa hal latar yang saya tidak tahu. Mungkin kesulitan untuk melaksanakan secara mendadak. Mungkin masalah gurunya atau lain-lain. Tapi saya fikir kalau Perdana Menteri keempat (Tun Dr Mahathir Mohamad) boleh lakukan dalam enam bulan (laksana PPSMI), anehlah kalau PM sekarang tidak boleh buat dalam tempoh dua tahun, apatah lagi dengan slogannya 'rakyat diutamakan'.

Jadi, boleh dikatakan Dato' masih belum berpuashati dengan keputusan kabinet ini?

Saya lega sahaja. Tidak bererti senang hati sebab memandangkan yang berjuang itu ramai. Kalau saya seorang, itu yang saya rasa. Mungkin ada cerita lain yang saya tidak tahu. Yang berjuang bukan saya seorang. Saya yakin bahawasanya kita bersetuju sampai 2012 ianya sudah selesai, mulai tahun depan.

Melihatkan kemungkinan dasar ini belum tentu dihapuskan pada 2012 nanti, dengan suasana politik yang boleh mengubah segala-galanya, mungkinkah Dato' atau GMP sendiri mempunyai langkah tertentu jika benar tidak berlaku pemansuhan?

Saya ini 'advisor' GMP saja. Tapi saya percaya, memang ada langkah-langkah yang boleh jadi drastik. Mungkin kembali semula ke jalanan. Saya fikir ada perancangan itu. Segala yang tidak selesai di dewan (Dewan Negara), kena perlu selesai di jalan dan demonstrasi jalanan sebenarnya halal, malah mesti digerakkan dengan lebih ramai lagi berbanding perhimpunan sebelum ini. Ini menunjukkan bahawa GMP tidak main-main sebab ia berkaitan dengan harapan masa depan.

Sejak PPSMI ini dilaksanakan, terdapat beberapa rundingan meja bulat kerajaan dengan NGO dan tokoh-tokoh bahasa. Sebelum membuat keputusan mansuh ini, adakah kerajaan memanggil wakil GMP untuk berbincang?

Itu tidak ada. Setahu saya tidak ada. Keputusan yang dibuat ini tanpa rundingan GMP. Ialah, GMP ini berada di luar, bukan dalam kelompok parti mereka. Tapi GMP ada cadangan untuk meminta kepastian atas beberapa perkara yang agak samar berhubung keputusan ini.

Apa yang Dato' fikirkan ada kesamaran mengenai keputusan tersebut?

Cara pelaksanaan itu yang bagi kami jelas bermula tahun depan, supaya aliran itu berakhir 2012. Tapi, dalam pengumuman kerajaan saya fikir itu tidak dijelaskan. Itu yang saya katakan tadi, intepretasi saya, ia menangguh dan menghampiri pilihan raya yang sudah tentu ada agenda lain. Yang boleh jadi lain pula.
Katakanlah BN menang, dia boleh jadi lain. Itu yang perlu sangat 'government in waiting' memang.

Maknanya, Dato' belum yakin sepenuhnya dasar ini dimansuhkan?

Keputusan ini melegakan, tetapi tentu sahaja dalam pengumuman itu ada 'bilik rahsia' dan saya tidak sempat masuk dalam bilik rahsia itu (Ketawa). Tidak salah kalau mereka tahu, itu pendirian saya.

Dalam isu PPSMI ini, apa seruan Dato' kepada pengundi di Manek Urai yang majoritinya adalah pengundi Melayu, yang mungkin akan terpengaruh dengan keputusan kerajaan ini?

Mereka tidak harus dengar apa yang dipaparkan dalam media utama, juga media elektronik kerana ia memang 'one-sided'. Bagi keperluan dan kepentingan masyarakat Manek Urai itu jangan mudah menerima janji.
Janji itu sebenarnya rasuah, misalannya janji untuk menjadikan masyarakat Manek Urai sebagai anak angkat. Tentu di sebaliknya ada janji. Sebab itu saya menterjemahkan rasuah ini bukan bererti wang tapi juga peluang. Itu rasuah yang belum diterjemahkan kepada wang.
Masyarakat perlu mendapat info yang jujur dan tidak berniat jahat. Saya memang percaya tidak banyak sedikit ada kebenarannya pengumuman PPSMI ini akan mempengaruhi pengundi, tetapi tidak banyaklah.
Tapi terpulang kepada kebijaksanaan masyarakat Manek Urai untuk menerima info tersebut. Jika media alternatif boleh percaya sebab dia media yang terdera. Media yang terdera ini biasanya lebih jujur, benar dan tidak memanipulasi yang keterlaluan, manipulasi itu ada tapi tidak keterlaluan. Itu pendapat saya.

Merah hitam tema pakaian Himpunan MANSUH 1 Ogos 2009!

KUALA LUMPUR: Sekretariat Himpunan MANSUH menyeru orang ramai supaya mengenakan pakaian bertemakan 'merah hitam' ketika sama-sama menyatakan sokongan dalam perhimpunan aman membantah akta zalim itu, 1 Ogos depan.

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh, berkata tema merah hitam yang dipilih sekretariat membayangkan hitamnya kehidupan mangsa-mangsa ISA, serta semaraknya kemarahan dan kebencian rakyat diterjemahkan dengan warna merah.

Beliau memberitahu program Himpunan MANSUH itu bermula jam 2 petang, dengan tiga 'checkpoint' iaitu Sogo, Masjid Negara dan Masjid Jamek, sebelum berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan 'Deklarasi Rakyat'.

"Himpunan MANSUH ini digerakkan bagi rakyat menyatakan sikap bantahan terhadap akta zalim yang digubal sejak 1 Ogos 1960, yang bererti sudah 49 tahun menzalimi rakyat Malaysia," tegas beliau dalam kenyataannya kepada Harakah.

Ia juga katanya sebagai kesinambungan pelbagai usaha Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dalam membawa kesedaran tentang kezaliman ISA, membela nasib keluarga dan tahanan, memansuhkan ISA dan menutup Kem Kamunting.

Justeru, Syed Ibrahim menyeru seluruh lapisan masyarakat yang cintakan keadilan, kebenaran dan keamanan untuk turut serta berhimpun pada 1 Ogos ini bagi menyatakan sikap tegas terhadap ISA.

Dalam pada itu, katanya siri ceramah umum sedang giat dijalankan seluruh negara hinggalah menjelang 1 Ogos ini. Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat berhubung himpunan MANSUH ini, boleh mengunjungi blog http://mansuhisa@wordpress.com.

100 hari Najib lebih banyak negatif dakwa Tun Mahathir


KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pentadbiran Datuk Seri Najib Razak "lebih banyak yang negatif daripada yang positif". Tambahnya, ia berdasarkan penilaian peribadinya terhadap pentadbiran Najib yang genap 100 hari.

Bercakap kepada pemberita di PWTC 10 Julai lalu, Dr Mahathir berkata, yang negatifnya termasuklah cadangan pembinaan jambatan ketiga antara Johor dan Singapura.

Bercakap selepas program "Wacana Kedudukan Institusi Beraja dan Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan dari Perspektif 1Malaysia", Dr Mahathir ditanya sama ada pentadbiran Najib telah membuat kajian mengenai cadangan pembinaan jambatan tersebut.

Menurutnya, pembinaan jambatan berkenaan tidak boleh menyelesaikan masalah kesesakan di Johor Bahru.

Satu perkara lagi yang dianggap negatif, menurut Dr Mahathir lagi, ialah pelantikan orang yang korup dalam pentadbiran Najib.

Apabila ditanya mengenai perkara positif mengenai pentadbiran Najib, Mahathir berkata: "Yang positif ialah Najib berjumpa ramai orang dan dia tidak tidur malam."

Jawapannya disambut dengan gelak ketawa para hadirin.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Dewan Undangan Negeri Sembilan (Paroi) Taufek Abdul Ghani menyifatkan 100 hari pentadbiran Najib Tun Razak tidak memberi apa-apa perubahan terutama dalam merangsangkan ekonomi negara.

Najib lebih berminat melaungkan slogan 1Malaysia berbanding berusaha untuk memulihkan ekonomi negara, ujarnya.

"Saya lihat Najib tidak ada perkara baru yang diketengahkan sepanjang 100 hari pentadbiran beliau selain lontarkan slogan 1 Malaysia," katanya semasa dihubungi.

Tegasnya, inilah masa yang sesuai untuk rakyat melihat Petunjuk Indeks Prestasi (KPI) Najib bagi menilai kemampuannya sepanjang menerajui negara sehingga hari ini. Jelasnya lagi, keputusan pilihan raya kecil Manek Urai 14 Julai sebagai platform untuk rakyat menilai KPI Najib Tun Razak.

"Kita mahu supaya rakyat buat satu keputusan mungkin di Manek Urai akan menjadikan satu platform untuk rakyat menyatakan bahawa pemimpin kerajaan mereka gagal dalam tempoh 100 hari ini," katanya.

Membandingkan kepimpinan Najib dengan Tun Mahathir, beliau berkata Mahathir bukanlah pemimpin yang bagus tetapi perancangan dan perubahan tidak dapat dinafikan.

Dalam membentangkan pakej rangsangan sebanyak RM70 billion menjelang Najib menjadi Perdana Menteri, Taufek berkata pakej itu seperti tidak wujud pada hari ini.

Apa yang paling penting, katanya, sewaktu proses peralihan kuasa sekurang-kurangnya Najib memiliki plan rancangan tindakan untuk menyelesaikan masalah ekonomi negara.

3 April 2009, Najib mengambil alih pentadbiran negara selepas Tun Abdullah Badawi, 11 Julai ini genaplah 100 pentadbiran beliau.

Hapus PPSMI belum boleh dipercayai 100 peratus

ALOR SETAR: Keputusan yang diambil kerajaan Umno/BN memansuhkan PPSMI hanya berkuatkuasa 2012 ini menunjukkan mereka lembab berfikir, bermotifkan politik dan belum boleh dipercayai sertaus peratus.

Demikian kata Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar semasa mengulas keputusan kerajaan yang mengumumkan pemansuhan PPSMI.

Beliau ditemui Harakah di Alor Setar sebaik pulang dari kempen Pilihan Raya Kecil Dun Manek Urai (Kelantan). Keputusan ini katanya adalah kejayaan rakyat menekan kerakusan dasar kerajaan yang hanya mementingkan soal keuntungan sebilangan kecil kroni, walhal dasar itu adalah memangsakan rakyat.

"Semasa Tun Mahathir Mohamad mengumumkan dasar itu dahulu, merekalah (Dato' Seri Najib, Muhyiddin Yassin, Hishamuddin Tun Hussien dan semua pemimpin BN yang buat keputusan memansuhkan PPSMI) juga yang mengampu dan mencanangkan bahawa dasar PPSMI itu baik," katanya.

Mereka juga kata Mahfuz yang menyokong betrsungguh-sungguh dan mempertahankan satu dasar yang merugikan rakyat dan menggadai masa depan anak bangsa. Ketika itu mereka ini lambat berfikir, tidak mempertimbangkan kesan buruk, akhirnya selepas enam tahun barulah dasar itu hendak dimansuhkan.

Lebih malang lagi, pemansuhan yang hanya akan berlaku tiga tahun lagi akan terus memangsakan lebih ramai pelajar yang kini sedang mengalami masalah kerana dasar yang 'tidak bijak' ini, ujarnya.

Walhal, ketika dasar itu diumumkan Tun Mahathir, pemimpin PAS, ahli bahasa dan kalangan pembangkang telah membantah keras pelaksanaannya dan pendirian itu konsisten hingga kini.

Beliau melihat, tindakan kerajaan yang hanya mahu memansuhkan PPSMI pada tahun 2012 adalah bermotifkan politik semata, walhal sepatutnya ia dihentikan segera pada tahun hadapan.

"Patutnya ia dimansuhkan hingga tamatnya persekolah akhir tahun ini. Maknanya tahun hadapan dasar itu tidak perlu lagi dilaksanakan. Kenapa mereka tidak mansuh segera, jawapannya ialah kerana masih ada projek termasuk membekal buku, laptop dan peralatan sebagainya yang diberi kepada kroni dalam dasar PPSMI ini," katanya.

Katanya, keputusan ini juga tidak boleh dipercayai akan pelaksanaannya tiga tahun lagi memandangkan dasar kerajaan sering bertukar.

Beliau bimbang, jika BN berjaya kekalkan kemenangan Kerajaan Pusat pada pilihan raya akan datang (ke-13), keputusan pemansuhan pastinya boleh berubah dengan pelbagai alasan.

"Ini sering berlaku kerana pemimpin yang ada hari ini jugalah yang mengampu dasar PPSMI ini semasa ia diumumkan Tun Mahathir enam tahun lalu," ujarnya.

Mengulas mengenai kenyataan Tun Mahathir yang menyelar keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI, Mahfuz berkata ia bukanlah selaran tetapi ia signal kepada rakyat yang dilontarkan bekas Presiden Umno itu yang menyatakan bahawa pemimpin kerajaan hari ini hipokrit.

Beliau menasihatkan rakyat terutamanya pengundi di Manek Urai yang akan membuang undi pada 14 Julai ini agar memberi signal kepada BN menolak hipokrasi kerajaan ini.

"Kena bagi signal bukan sahaja kita menolak PPSMI, kita juga menolak pemimpin yang hipokrit dan kerajaan yang tidak memikirkan kepentingan, masa depan rakyat," ujarnya.

Beliau percaya rakyat hari ini sudah tahu akan tembelang kerajaan Umno/BN, dan pastinya keputusan ini (memansuhkan PPSMI) tidak akan dilihat rakyat sebagai sumbangan kerajaan, sebaliknya ia adalah kegagalan kerajaan sejak dahulu dalam memikirkan masa depan rakyat secara serius.

Pertemuan Ustaz Azizan, Kit Siang tamatkan isu babi

KUALA LUMPUR: Segala masalah yang timbul dalam Pakatan Rakyat Kedah sudah selesai jelas Menteri Besar, Dato' Seri Ustaz Azizan Razak selepas mengadakan pertemuan dengan Penasihat DAP Kebangsaan, Lim Kit Siang di Kuala Lumpur 8 Julai lalu.

Ustaz Azizan menjelaskan satu jalan penyelesaian telah dicapai demi untuk memastikan kestabilan pentadbiran Pakatan Rakyat Kedah. Untuk mencapai tujuan tersebut sebuah sekretariat Pakatan Rakyat Kedah ditubuhkan bagi menyelesaikan segala masalah yang timbul selepas ini.

"Masalah yang timbul telah selesai dan semua pihak (DAP dan PAS) telah menjelaskan apa yang berlaku. Ini soal 'rumahtangga' kita selesai sendiri tak perlu orang lain nak risau dan heboh-heboh," jelas beliau.

Ustaz Azizan juga menjelaskan dalam pertemuan tersebut, beliau telah menerangkan mengenai isu kuota rumah kepada Lim Kit Siang dan pemimpin DAP yang turut hadir.

Pemimpin DAP, tegas beliau dapat memahami apa sebenarnya berlaku dan menerima penjelasan beliau termasuk soal kuil yang turut dibangkitkan dalam pertemuan tersebut.

Menjelaskan mengenai isu pusat penyembelihan babi, Ustaz Azizan menjelaskan pihak kerajaan negeri telah mencapai kata sepakat bersama Persatuan Penyembelih Babi di Kedah untuk membina satu pusat penyembelihan yang berteknologi tinggi.

"Pusat penyembelihan baru itu nanti berteknologi tinggi dan ia tidak akan menganggu penduduk dalam soal bau busuk dan persekitaran," jelas beliau dalam satu sidang media bersama Lim Kit Siang di sini petang semalam

Sementara itu, Lim Kit Siang pada sidang media itu menjelaskan DAP Kedah telah membentangkan memorandum isu yang menjadi perhatian rakyat dalam pertemuan hampir sejam bersama Menteri Besar Kedah itu.

Beliau turut gembira dengan hasil pertemuan tersebut kerana ia memberikan gambaran Pakatan Rakyat mampu menyelesaikan masalah yang timbul dalam masa yang singkat.

Ahli Parlimen Ipoh Timur itu juga menjelaskan, beliau akan memastikan akan ke Kedah sebulan sekali untuk memastikan kerjasama antara Pakatan Rakyat dapat dikukuhkan lagi.

"Segala masalah yang timbul dapat diselesaikan dengan bijak dan saya gembira dengan pertemuan ini. Hasil pertemuan ini ialah mengambil satu tindakan yang boleh mengatasi masalah yang dihadapi rakyat," jelas beliau.

Beliau juga menjelaskan, kerjasama kukuh antara parti dalam Pakatan Rakyat akan diteruskan untuk memastikan Barisan Nasional dapat ditumbangkan dalam Pilihan Raya umum ke 13 nanti.

Mewahnya lauk di Manek Urai, ramapi pula pemimpin BN tercekik!


BELUM pernah lagi lauk dihidang semewah ini dalam mana-mana kenduri pilihan raya kecil. Bagaikan hidangan masakan Minang di sebuah restoran Acheh, "bek woh"nya cukup lengkap dengan ayam kampung garing, pucuk ubi rebus, sup kaki sapi dan gulai babat, pece lele, ikan kecil rangup; siap dengan selesung cabai lumat.

Tidak hairanlah ramai yang bersendawa kekenyangan; baik penceramah atau bakal pengundi di DUN N41. Masing-masing kelihatan puas ketika mengunyah isi dalam setiap isu. Entah bagaimana, lauk lazat berupa isu yang dihidangkan oleh Umno kepada rakyat dan dikupas dengan rajin oleh penceramah PAS sekaligus di musim ini cukup menyelerakan.

Tak semena-mena rakyat Manek Urai yang sudah sedia cerdik menjadi bertambah terbuka minda mereka apabila setiap isu dibedah saban malam oleh pelbagai pihak secara "live". Dalam hal ini sayangnya, markas-markas Umno cukup malap.

Maka, mulai fahamlah penduduk Manek Urai yang pemimpin Umno cuma tahu menggunakan RTM, TV1, TV2, TV3 dan media-media cetak ejen Umno. Jika ada ceramah dari orang Umno sekalipun, ia tidak lebih dari buah-buah butir yang basi yang dipersembahkan secara kitar semula dari petikan pendirian Najib-Muhyiddin dalam Utusan Malaysia.

Pada malam Selasa lalu misalnya, rakyat Cucur Puteri A telah dikhabarkan tentang terdapatnya 6 telaga minyak yang berada di dalam perairan pantai Kelantan oleh Exco Kerajaan Negeri, Haji Husam Musa. Rupanya, emas hitamnya itu telah ditimba "senyap-senyap" sejak tahun 2003 lagi.

Jika royalti yang ditetapkan adalah 5% dari pengeluaran setahun, maka Kelantan sepatutnya dibayar RM 1.7 bilion oleh Kerajaan Persekutuan hingga tahun 2009. Jika tidak kerana kepintaran dan rapinya kerja rumah yang dilakukan oleh kerajaan dibawah pimpinan Tok Guru Nik Abdul Aziz tentu sekali tidak akan terbongkar kerja sulit yang mengaut keuntungan senyap yang sebesar ini.

Faham akan letak duduknya isu, setelah dimaklumkan bahawa Tok Guru Nik Aziz telah tulis surat kepada Perdana Menteri Malaysia sejak 17 Jun lalu, bagi menuntut hak rakyat Kelantan, saya melihat dan mendengar, hampir serentak bergema suara laungan padu berbunyi "Allahuakbar" dari seluruh arah penjuru dan ruang.

Tanpa berjanji dengan sesiapa, sikap Tun Dr. Mahathir yang turut mempersoalkan ke mana dibelanjakan wang sebanyak RM253.6 bilion yang dibayar oleh Petronas sejak enam tahun lalu kepada Kerajaan Persekutuan turut menambahkan rempah. Kerajaan Persekutuan tu kerajaan yang diterajui oleh Umnolah. Di sini, sekali lagi Umno tersedak dan terlekat tulang.

Maka, benar sungguhlah bagai dikatakan oleh Menteri Besar Kelantan yang turut menggulung pidato pada malam itu iaitu ceramah politik Islam itu tidak jauh bezanya dengan ruh khutbah Jumaat selagi masing-masing berpesan-pesanan menegakkan makruf, menentang kemungkaran dan menegakkan keadilan. Tidakkah penafian hak yang sedang dilakukan ke atas rakyat Kelantan dalam isu royalti oleh Umno ini perlu dibela dan dituntut?

Demi memperjuangkan keadilanlah maka PAS bersatu hasrat dalam sebuah Pakatan Rakyat. Dalam musim ini, bersama PKR dan DAP, PAS dilihat sedang menerajui sebuah serangan maut terhadap Umno. Parti keris bersilang yang kucar kacir itu sesungguhnya kini sedang diasak ke hujung gelanggang.

Di sinilah sedang berdirinya "Abe Uji kito" dalam pertarungan di Dun 41 dengan sepasang sarung boksing. Tegap berdiri tetapi masih tetap merendah diri, beliaulah orangnya yang sedang mewakili PAS dan Pakatan Rakyat di Manek Urai.

Penolakan jemputan Tok Guru oleh Perdana Menteri untuk menerima sebuah debat ilmiah berkaitan dengan "Umno sesat" juga sesuatu yang mendapat tempat di hati pengundi. Bagi Tok Guru, ia mudah. Dari memberi laluan murah kepada budak suruhan Umno yang cuba mencari populariti melalui laporan polis kerana istilah "Umno sesat" yang dilontarkan oleh Tok Guru - konon mengandungi elemen hasutan, Tok Guru pantas mengangkat sebuah hasrat bersifat "long shoot".

"Mari kita buka gelanggang debat dan membahasnya secara ilmiah," demikian tegas Tok Guru. Rakyat Manek Urai rata-rata tidak faham, kenapa ia diitolak dan dikira "tidak berfaedah" oleh Najib. Apakah ini bermakna, membawa sepasukan polis ke kantor Menteri Besar ke Kota Darulnaim nanti dikira lebih berfaedah dan tidak bersifat ugutan? Jika diikutkan ayat Tok Guru, "sesat ini istilah ugama. Ia bukan isu perlembagaan, akta atau undang-undang."

Jika pemimpin Umno teguh meyakini perjuangan kebangsaan Umno itu tidak sesat bahkan teramatlah suci, maka inilah peluangnya untuk mematahkan dakwaan PAS. Sekaligus, tidakkah ini peluang berkempen untuk memulihkan imej Umno dan mengedar borong keahlian Umno untuk persiapan PRU ke-13? Bagi PAS, perkara ini mudah.

Ini peluang berdakwah. Bagi pengundi Manek Urai pula yang sibuk berkebun, penolakan Umno untuk bersemuka adalah dalil yang terang betapa Nik Aziz berada di landasan yang betul manakala Najib tiada hujah. Umno berada di kandang yang salah. Najib tu Umno lah dan Nik Aziz tu, PAS lah.

Belum habis terkejut dengan berita penolakan Najib yang dijemput Nik Abdul Aziz, sebuah Malaysia digemparkan pula dengan sebuah "istana luarbiasa" bekas Menteri Besar Umno yang terletak di Seksyen 7, Shah Alam. Di muka depan akhbar The Star, 7 Julai 2009, bunglo bertaraf super ini dianggarkan bernilai RM24 juta.

Sangat sukarlah untuk dijawab oleh sesiapa apabila pendakwa mempersoalkan dari manakah duit diambil oleh bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor yang sebanyak itu? "Lagi-lagi pemimpin Umno" - sambil menampar kuat seekor nyamuk, demikian keluhan seorang pendengar ceramah yang duduk mencangkung di hadapan saya pada malam yang sesak itu.

Terkini pula, pecah sebuah pengakuan sikap degil pemimpin Umno yang berkeras membabi buta dengan pelaksanaan PPSMI. Setelah memperkosa bahasa sendiri selama 6 tahun cukup-cukup tapi enggan mengaku, membazirkan masa dan ribuan juta wang rakyat serta di bantah keras oleh 5 Sasterawan Negara termasuk hampir seluruh makhluk di akar umbi, maka baru hari ini (8 Julai 2009), Umno sedia mengaku salah. Jika dah salah, maka salahlah.

Siapa yang salah? Pemimpin negara kita yang diterajui oleh Umnolah. Dia yang salah dan dia akan kalah di Manek Urai, insya-Allah.

Dia kata dia parti kebangsaan tetapi dia bunuh bahasa Kebangsaan. Katanya, dia banggakan bangsa Melayu tetapi dia malu berbahasakan Melayu. Tidak hairanlah terkini, dia dibenci dan ditolak dengan kuat oleh orang Melayu. Terkini pula, Umno semakin dibenci oleh bukan Melayu.

Belum pun selesai krisis di Perak, Umno telah goncang Kerajaan Negeri Selangor. Sekarang, dia sedang tekun menyucuk jarum kebencian orang ramai di Kedah dan Pulau Pinang pula. Cerita ini cukup difahami oleh rata-rata rakyat baik di Manek Urai atau di mana-mana.

Isu perbicaraan kes Sodomi 2 yang dilambung di musim "kenduri di Manek Urai" pula dilihat lebih menakung simpati kepada Anwar Ibrahim dan bukan sebaliknya. Apa tidaknya? Apa lagi yang nak disabitkan apabila keempat-empat doktor yang membuat pemeriksaan rasmi terhadap Saiful sebulat suara menggesahkan yang tidak ada apa yang berlaku ke atas tubuh mulia beliau khususnya antara pusat dan dua lutut.

Apabila tidak ada "penetration", maka tidak adalah. Kata seorang peguam kawan saya, ini tiada kes kerana "no point of law".

Di tengah isu-isu besar ini, terdapatlah pula 1001 macam isu selingan dan isu tertangguh yang tidak pernah berpenyelesaian. Kisah BN atau disinonimkan dengan "Bini Najib" yang lucu. Kisah ubat kabaid C4 guna meletup Altantuya masih hidup bernyala.

Kisah keanehan dalam SD (statutory declaration) Balasubramaniam dan kehilangan beliau sejurus sesudahnya. Kisah ghaibnya Ayah Pin hingga sampai hari ini. Kisah komisyen pembelian kapal selam. Kisah keruntuhan bumbung stadium dan makmal komputer. Kisah ada orang politik dari Umno yang berada di belakang tiang-tiang retak MRR2.

Kisah Shah Rukh Khan yang menghina Nabi SAW sedangkan artis India yang dianugerahi pangkat Datuk oleh sebuah kerajaan negeri yang diperintah oleh Umno itu dilihat tidak terjejas apa-apa. Apa tindakan susulan Umno ke atas pendedahan kes murtad oleh Mufti Harussani yang katanya, melibatkan 300 ribu orang Islam?

Apa akan jadi dengan nasib insuran motor yang menjangkau RM200 sebuah setahun dan keberatannya syarikat-syarikat insuran untuk memberi perlindungan kepada kereta-kereta rakyat yang berusia melebihi 10 tahun? Bagaimanakah terjemahan sebenar slogan Najib berbunyi; rakyat didahulukan.

Jika betul-betul hasrat rakyat itu memang didahulukan oleh Umno, kenapa tidak dibuat pilihan raya di Perak sedangkan mengikut keputusan survey Merdeka Centre misalnya, inilah kehendak rakyat? Kemana dilenyapkan Islam Hadhari yang konon sebelum ini dipuji penuh mulut sebagai satu formula yang terpintar? Alih-alih, apa yang timbul ialah "Satu Malaysia", rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan.

Apa sangatlah yang "brilliant"nya tentang ketiga-tiga slogan ini. Bukankah isu muhibah, perpaduan dan kesatuan yang menuju kepada "One Malaysia" adalah bersifat sama jadi dengan kemerdekaan Malaysia sejak 1957 lagi. Ianya gagal kerana dasar-dasar ciptaan Umno yang gemar mengamalkan diskriminasi, pecah dan perintah. One Malaysia harus membawa semangat kesaksamaan antara negeri-negeri dan layanan yang samarata sesama manusia.

Jika inilah maksudnya, kenapa harus berdolak dalik dengan bayaran royalti 5% dari 6 telaga minyak yang berada dalam perairan Kelantan? Slogan Rakyat didahulukan atau pencapaian di utamakan adalah perkara-perkara basi.

Semaklah Pekeliling-Pekeliling kemajuan Perkhidmatan Awam (PKPA) Malaysia. Ia sudah berlambak; disogok ke minda rakyat sejak puluhan tahun. Muhibahlah. BCA lah. Prinsip Q lah. QCC lah. Rajah Tulang Ishikawa lah. CCC lah. Anugerah Inovasi Perdana Menteri lah. Kecekapan sistem delivery lah. Tradisi membela rakyatlah. Sembilan cabaran Wawasan 2020 lah.

Memetik perkataan Hishamuddin yang berbunyi "kita boleh menang jika kerja keras" dan kenyataan Mohyidin pula yang berbunyi, "kita boleh menang, jika pengundi atas pagar beri undi" sangatlah boleh membayangkan betapa Umno yang sedang rebah. Cerita mengenai teori "kalau-kalau" ini begini.

"Kalau rajin baca buku engkau Mat, walaupun kau lemah, kau boleh lulus Mat. Satu lagi masalah dengan engkau ni Mat, engkau dibenci oleh ramai orang. Kalau-kalaulah kau boleh buat orang sayang?" Ini ceritanya disebalik teori "kalau". Mat Jenin rosak kerana "kalaulah". Untuk seterusnya, kias-kias sajalah.

Bagi Abe Uji, saya lihat beliau seorang yang tabah. Rahsia beliau ialah tak banyak bercakap. Dia tahan diuji sebab itu beliau lebih banyak senyum dan suka merendah diri. Pada beliau, jasa dan bakti beliau boleh dibilang melalui khidmat beliau yang sudah-sudah. Dia dari kelompok rakyat dan cukup sesuai mewakili rakyat.

Apapun, tiba 14 Julai ini, maka kita berkendurilah. Dengan lauk pauk isu yang cukup mewah dan kita kebetulannya cukup memahami, Manek Urai cukup bertuah dianugerahi Abe Uji. Pada saya, dialah orangnya Insya-Allah - beliau mampu menggantikan Pak Su We, yang telah kembali kerahmat Allah. - Al-Fatihah.

Ditulis Oleh ANUAL BAKHRI HARON
Setiausaha Politik MB Kelantan

Kelantan mesti bertegas tuntut royalti minyak


BIAR pun kerajaan Barisan Nasional (BN) cuba menafikan pelantar minyak terletak di perairan Kelantan, namun data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan dan EPU menjelaskan keadaan sebaliknya, lapor SALMAH MAT HUSAIN.

Jabatan Perangkaan menyebut nilai kasar pengeluaran minyak pada 2004 di perairan Kelantan, Sabah dan Terengganu sebanyak RM47 bilion. Data tersebut secara jelas menggambarkan pelantar minyak benar-benar terdapat di perairan Kelantan.

Dan mengambil kira perkembangan itu, dari awal lagi Kerajaan Kelantan telah mewujudkan zon petrokimia di Pantai Senok, Bachok sejak lebih 10 tahun lalu. Kerajaan negeri telah menyediakan kawasan yang luas di Pantai Senok untuk dibangunkan projek hiliran petrokimia.

Malah kerajaan negeri juga telah menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) dengan Koperasi Usaha Bersatu (KUB) pada awal 1990-an.

Namun malangnya gas daripada perairan sempadan JDA telah didaratkan di Songkhla, Thailand biar pun prasarana sudah dibina kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).

PKINK telah membina dua kilang di kawasan terbabit yang menyediakan peluang pekerjaan kepada ramai penduduk tempatan. Dan mengambil kira fakta tersebut kerajaan negeri menuntut royalti bernilai RM1 bilion berasaskan operasi pelantar minyak sejak tahun 2004.

Penghulu Mukim Senok Timur (Kemayan), Haji Ahmad Daud ketika ditemui memberitahu dianggar seluas 5,000 ekar tanah penduduk di Kampung Senok, Sungai Kemasin dan sekitarnya disediakan untuk projek pendaratan gas dan petroleum di Pantai Senak.

Menurutnya, kawasan berkenaan juga dicadangkan sebagai tapak pendaratan gas, kilang, jeti, perumahan pekerja, pejabat dan pelbagai lagi.

"Kini rakyat masih menunggu janji Kerajaan Pusat untuk memajukan industri petroleum sebagaimana yang dijanjikan. Penduduk di kawasan itu juga telah membeli tanah di tempat lain sebagai persediaan untuk diduduki sekiranya tanah mereka diambil untuk membangunkan projek itu," katanya ketika ditemui di sini.

Menurut Ahmad sebahagian besar penduduk yang terlibat dengan aktiviti itu bersetuju dipindah sekiranya tanah mereka diambil kerajaan.

Katanya, beliau bersama beberapa pegawai dari sebuah syarikat ukur dan pemetaan bertemu penduduk kampung beberapa tahun lalu untuk bertanya khabar sekiranya tanah mereka diambil kerajaan.

Beliau juga mendedahkan orang kanan bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Tan Sri Annuar Musa serta pemimpin Umno lain turut membeli berpuluh ekar tanah di kawasan itu beberapa tahun lalu.

"Mereka mungkin mengharap dapat keuntungan berlipat kali ganda sekiranya tanah di kawasan itu dibangunkan dengan projek petrokimia," ujarnya.

Imam Muda Masjid Muhammadiah, Beris Panchor, Ustaz Qabil Shafie, 40 menuntut Kerajaan Pusat membayar royalti kepada Kelantan selaras dengan slogan

Katanya, rakyat telah mengetahui pelantar minyak memang terdapat di perairan Kelantan, biar pun cuba dinafikan pemimpin Umno. Beliau juga melahirkan keyakinan kerajaan negeri mampu mengurus royalti berjumlah RM1 bilion sekiranya dibayar Kerajaan Pusat bagi melaksanakan projek bagi manfaat rakyat.

Bekas pekerja KelOil, Abdullah Nawi, 45 berkata, tujuan penubuhan KelOil untuk melaksanakan projek hiliran projek petroleum. Namun katanya akibat kegagalan Kerajaan Pusat meneruskan projek pendaratan gas di Senok menyebabkan banyak projek dirancang kerajaan negeri gagal dilaksanakan.

"Saya bekerja dengan KelOil lebih 10 tahun, apa yang ada di situ hanyalah dua projek itu sahaja yang dibangunkan kerajaan negeri melalui PKINK sebelum ini," ujarnya.

Menurutnya telaga minyak memang terdapat pelantar di perairan Kelantan yang dinamakan Cakrawala, Puspa dan beberapa lagi.

Mengenai royalti pula katanya, Kerajaan Pusat tidak seharusnya berdegil menyembunyikan fakta sebenarnya. Sudah menjadi hak rakyat Kelantan untuk mendapatkan royalti itu.

"Di sini saya ingin mencadangkan supaya kerajaan negeri membawa ke tengah perkara itu bagi membolehkan royalti minyak dibayar. Kita tidak boleh berlembut lagi dengan Kerajaan Pusat," ujarnya.

Beliau juga berkata, sekiranya royalti minyak dibayar Kerajaan Pusat membolehkan kerajaan negeri melaksanakan pelbagai program untuk kebajikan rakyat.

Perang Babi: Masalah 30 tahun selesai dalam masa seminggu!


ISU penutupan pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya, Alor Setar, Kedah selesai dengan baik atas kebijaksanaan Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak, ulas IRWAN MUHAMMAD ZAIN.

Ustaz Azizan biarpun bertegas menutup pusat penyembelihan tersebut atas faktor pencemaran alam sekitar dan kesihatan penduduk setempat, tidak pernah mengenepikan keperluan masyarakat Cina untuk mendapatkan bekalan daging babi.

Sebagai pemimpin yang prihatin, Ustaz zizan bersama pentadbiran beliau telah bersetuju untuk membina sebuah pusat penyembelihan baru yang bertekonologi tinggi bagi mengelakkan timbul masalah bau busuk dan pencemaran alam sekitar yang boleh menjejaskan kesihatan penduduk setempat.

Memutuskan untuk menutup pusat penyembelihan babi tersebut bukan bermakna Ustaz Azizan menafikan keperluan masyarakat Cina, jauh sekali untuk bersikap perkauman kerana warga Cina di kawasan tersebut juga turut merungut dengan bau busuk dan pencemaran kesan dari penyembelihan terbuka itu.

Namun Menteri Besar Pakatan Rakyat Kedah itu mengambil keputusan tegas semata-mata kerana prihatin dengan masalah yang menimpa penduduk di Kampung Berjaya yang terpaksa hidup dalam keadaan alam sekitar yang tercemar akibat aktiviti penyembelihan babi secara terbuka sejak 30 tahun yang lalu.

Dalam masa yang singkat, masalah yang membelenggu penduduk setempat selama 30 tahun - yang gagal diselesaikan oleh Umno dan MCA - berjaya ditamatkan dalam tempoh yang singkat dan penuh bijaksana.

Ustaz Azizan memang dikenali sebagai seorang yang tegas. Namun ketegasan beliau itu bukan bermakna tidak mempedulikan kepentingan pihak lain cuma isu penutupan pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya ini cuba dieksploitasikan oleh media arus perdana dengan memberikan gambaran berlaku keretakan dalam Pakatan Rakyat Kedah.

Benar, DAP Kedah mengumumkan keluar dari Pakatan Rakyat tetapi keputusan tersebut dibuat tanpa berbincang terlebih dahulu dengan pemimpin PAS dan KeADILan. Keputusan terburu-buru itu juga dibuat atas salah faham dan mungkin terpengaruh dengan mainan media arus perdana yang cuba memberikan gambaran pentadbiran Pakatan rakyat Kedah meminggirkan kepentingan masyarakat Cina.

Tetapi setelah diadakan pertemuan antara Ustaz Azizan dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang, segala masalah dapat diselesaikan dan DAP Kedah tidak menolak kemungkinan untuk kembali menyertai Pakatan Rakyat Kedah.

Seperti kata Lim Kit Siang, pertemuan yang diadakan di Kuala Lumpur itu pada 9 Julai, berlangsung dalam suasana yang harmoni dan keputusan yang dibuat dengan penuh bijaksana.

Manakala bagi Ustaz Azizan pula, apa yang berlaku di Kedah merupakan masalah 'rumahtangga' yang boleh diselesaikan sendiri tanpa perlu pihak lain menyibuk untuk ambil tahu.

Bagi Umno dan Barisan Nasional (BN), selesainya masalah di Kedah merupakan satu tamparan kerana mereka mengharapkan kontroversi ini akan berpanjangan. Jika masalah penutupan pusat penyembelihan babi ini berterusan, Umno-BN akan menggunakan media milik mereka untuk memberikan gambaran kerapuhan Pakatan Rakyat. Gambaran seperti itu amat penting bagi Umno-BN dalam usaha mereka menagih kembali sokongan rakyat terutama ketika menghadapi Pilihan Raya Kecil Dun Manek Urai.

Namun malang bagi Umno-BN kerana Pakatan Rakyat yang baru berusia setahun lebih jauh lebih matang berbanding BN yang telah lama bergabung. Segala masalah dapat diselesaikan dengan segera dan bijaksana. yang lebih penting, masalah yang tidak dapat diselesaikan oleh Umno-BN selama 30 tahun, berjaya ditamatkan oleh Pakatan Rakyat dalam masa yang singkat.

Pertemuan rutin Pakatan Rakyat perlu, bukan saja dalam isu babi

MUQADIMMAH: Isu perobohan pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya, Alor Setar benar-benar menggamatkan seluruh negara. Ia bagai badai yang membalun, begitu pantas menghempas pantai. Media kuasaan BN cuba memanipulasikan isu ini sebagai senjata untuk menyerang kepimpinan Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak dan Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah yang dikepalainya. Menyelami sejauh mana kesan isu ini kepada Pakatan Rakyat, WAN NORDIN WAN YAACOB dan IZWAN ABDUL HALIM mewawancara Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Kedah, Dato' Mahfuz Omar di Alor Setar pada 9 Julai lalu.

Apa kesan sebenar propaganda yang dimankan oleh media kuasaan BN ini terhadap kerajaan Pakatan Rakyat Kedah, dan sejauh mana kerjasama Pakatan di sini. Boleh jelaskan?

DATO' MAHFUZ OMAR: Walaupun pada peringkat awal kita melihat isu ini agak menggemparkan hingga menarik perhatian pemerhati politik dari seluruh negara dan seluruh dunia, tetapi atas keterbukaan dan kebijaksanaan pemimpin kerajaan negeri dan pemimpin Pakatan Rakyat keseluruhannya serta keterbukaan pemimpin PAS yang menduduki kerajaan untuk mendengar segala permasalahan daripada pelbagai pihak, maka isu ini telahpun dapat diatasi dengan sebaik-baiknya.

Tapi, media kuasaan BN menggambarkan ia sebagai isu perkauman...

Walaupun media arus perdana yang didalangi pemimpin politik Umno-BN cuba mencetuskan satu kemarahan rakyat dari satu kaum kepada kerajaan Pakatan Rakyat yang diterajui oleh PAS dengan membawa isu itu ke dalam bentuk perkauman sempit, tetapi dengan penjelasan akhirnya masyarakat dapat terima bahawa ianya bukan isu perkauman tetapi ianya adalah isu tertunggak yang gagal diselesaikan oleh BN hampir 30 untuk menyelesaikan masalah ini.

Apa sebenarnya yang mereka cuba lakukan?

Apabila kita dapat selesaikan tanpa menimbulkan satu masalah besar kepada masyarakat khususnya kepada orang bukan Islam lalu mereka ‘divert’ isu itu menjadi isu perkauman. Isu tertunggak ini bukan isu perkauman. Ia melibatkan bantahan penduduk di situ baik Melayu mahupun bukan Melayu.
Berkaitan environment, kebersihan yang tidak terkawal, kesihatan dan sebagainya. Bila kita berjaya mengatasi ikemelut ini, Umno-BN mencemburui perkara ini lalu jadikan isu ini sebagai isu perkauman setelah perobohan pusat itu mereka gagal jadikan isu panas kerana masyarakat umumnya menerimanya malah persatuan sembelihan juga terima. Jadi mereka bawa ke media seolah-olah ia isu perkauman.

Sikap rakyat melihat isu ini macam mana?

Jelas kita lihat rakyat tenang dan satu demi satu persoalan yang dibangkitkan DAP Kedah itu kita dapat atasi dengan penuh kebijaksanaan oleh pemimpin kerajaan. Jadi saya melihat ini satu pengajaran penting untuk kita. Ia juga ekoran daripada mekanisma dalam Pakatan Rayat ini yang tidak begitu teratur dan tersusun.
Jadi dengan isu yang berlaku di Kedah ini, kita perlu fikir untuk ada satu rutin perjumpaan, ada sekretariat. Walaupun sekretariat ini secara prinsipnya sudah ada tetapi tidak begitu diperkasakan.
Oleh itu perlu diperkasakan supaya lebih kemas menjadi satu sekretariat yang ada rutin pertemuan untuk kita dapat berkomunikasi serta dapat faham memahami antara satu sama lain. Kalau tidak, nanti kita akan terbawa-bawa dengan masing-masing punya perjuangan dan mungkin mudah terperangkap dengan agenda musuh.

Adakah sepatutnya diadakan pertemuan yang lebih kerap antara pimpinan Pakatan Rakyat Kedah bagi membincangkan pelbagai isu?

Ya seharusnya begitu. Mereka seharusnya tidak membangkitkan perkara-perkara itu di luar. Kita bukan bertemu berasaskan kepada isu tetapi pertemuan rutin secara sebulan atau dua bulan sekali.
Sekaligus, kita dapat memahami dasar dan pentadbiran kerajaan itu sendiri. Kita juga dapat memahami bagaimana mengatur strategi politik dalam menghadapi pengaruh politik Umno-BN ke atas jentera kerajaan yang masih ada, maksudnya pegawai kerajaan.
Saya tidak menafikan bahawa ada pegaawai-pegawai yang bekerja secara profesional tetapi tidak boleh dinafikan masih wujud kepentingan politik BN ini ke atas jentera kerajaan yakni pegawai-pegawai.
Oleh itu, pimpinan Pakatan Rakyat dari PAS, KeADILan dan DAP perlu ada kebijaksanaan menghadapi situasi ini dan memahami masalah dihadapi oleh mereka yang diamanahkan untuk memimpin kerajaan ini berhadapan dengan keadaan-keadan pengaruh politik BN ke atas jentera kerajaan itu sendiri.

Apa harapan Dato'?

Harapan saya, atas sifat saya sebagai ahli parlimen dan Naib Presiden PAS, Kerajaan Kedah sendiri harus menyedari perkara ini. Saya percaya YAB Menteri Besar sendiri menyedari pengaruh politik BN ke atas jentera kerajaan dan perlu di atasi segera.
Saya juga mengharapkan pegawai-pegawai menterjemahkan kata-kata bekas SUK dalam pertemuan bersama Menteri Besar bahawa mereka bekerja secara profesional. Pemimpin politik boleh datang dan pergi tetapi pegawai tetap kekal. Jangan jentera kerajaan ini hanya kerana seorang dua cuba untuk membawa agenda politik BN, boleh menyebabkan tercalarnya imej KCS keseluruhannya.

Adakah ini dalam pengetahuan dan ianya serius?

Saya harap Menteri Besar harus mengambil langkah-langkah segera terhadap permasalahan ini kerana kadang-kadang yang menimbulkan agenda politik ini cuba untuk menyebabkan kemarahan rakyat. Misalnya sekarang cubaan mencetuskan kemarahan di kalangan peniaga-peniaga kecil.
Jadi, kerajaan perlu powerfull ke atas PBT yang kadang-kadang bertindak diluar daripada perkiraan yang sepatutnya. Kenapa dulu mereka tidak bertindak? Seolah-olah kerana dulunya ada perkiraan politik untuk jaga kepentingan BN.

Maksud Dato' ada agenda BN di sebalik isu babi ini?

Saya juga boleh menyifatkan adanya agenda BN. Macam kes babi ini perlu dipersoalkan kerana ia kegagalan Majlis Bandaraya, dulu Majlis Perbandaran, kenaapa kes ini tidak dapat diselesaikan dulu?
Ini kerana Umno menjadi boneka kepada gerakan dan MCA, bila MCA dan Gerakan kata jangan buat jadi mereka juga tidak buat kerana hendak jaga kepentingan politik mereka. Saya setuju dengan penutupan tempat penyembelihan itu.
Tetapi saya tidak mahu penutupan itu ada agenda untuk mencetuskan kemarahan dan memburukkan keadaan. Bila media bertanya kepada pihak Majlis mereka mendakwa mereka hanya menerima arahan Kerajaan Negeri.

Ada tak lagi kes seumpama ini yang rasanya dilakukan sebagai percubaan untuk memburukkan imej Kerajaan Negeri Kedah?

Saya juga sudah bawa perkara ini ke pengetahuan YAB Menteri Besar supaya caj pasar ramadhan nanti jangan dinaikkan. Sudah ada di mana caj borang itu sebelum ini RM5 sekarang sudah jadi RM30.
Saya kata kepada Menteri Besar kalau tak boleh turun harga sekurang-kurangnya ‘maintain’ dengan yang lama. Jadi seolah-olah ada pihak PBT itu untuk menimbulkan kemarahan rakyat.
Misalnya di Pokok Sena sekarang mereka buat ‘check’ lesen di kedai-kedai runcit di kampung-kampung sedangkan mereka sudah berpuluh tahun berniaga. Jadi kenapa (dibuat) sekarang ini?
Hanya semata-mata hendak mencetuskan kemarahan rakyat kepada kerajaan negeri. Jadi kerajaan kena ambil serius perkara ini bila mana ada pegawai yang cuba mencetuskan kemarahan rakyat dari pelbagai segmen masyarakat.

Kesimpulan Dato', apakah kerjasama kembali terjalin dengan parti dalam Pakatan Rakyat setelah reda isu perobohan pusat penyembelihan babi ini?

Ia sudah terjalin kembali bila mana DAP Pusat merayu kepada DAP Kedah. Itu telah beri signal kepada DAP Kedah untuk tarik balik. Bagi saya sepatutnya tidak timbul merayu tarik balik bila mana DAP Pusat yang punya kuasa powerfull nak membatalkan keputusan negeri tapi mungkin DAP Pusat hendak menjaga hubungan dengan DAP negeri sebagai mekanisma mereka. Jadi itu saya lihat sebagai penyelesaian.

Isnin, Julai 06, 2009

AMARAN: JK Disiplin PAS akan bertindak jika ada ahli yang singkap kembali isu Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Disiplin PAS tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada mana-mana pihak dalam parti yang membuka kembali perbincangan mengenai Kerajaan Perpaduan.

Pengerusinya yang juga Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man berkata langkah itu berasaskan penetapan yang dibuat Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang agar isu kontroversi itu dihentikan serta-merta.

Menurut beliau, penegasan itu hendaklah dipatuhi semua peringkat kepimpinan parti memandangkan penetapan yang disepakati kedua-dua pemimpin parti itu diterima baik serta berjaya meredakan ahli dan penyokong di seluruh negara.

"Sebarang huraian dan kenyataan yang cuba membuka kembali perbincangan akan mengundang pelbagai reaksi dan membuka semula ruang fitnah dalam jamaah. Sekiranya fenomena ini berlaku, Jawatankuasa Disiplin parti akan bertindak dengan mengambil tindakan disiplin demi menyelamatkan parti dari pergolakan yang sangat merimaskan ahli-ahli," tegas beliau dalam blognya.

Tambah Tuan Ibrahim, ingatan ini perlu dilihat secara serius memandangkan PAS telah terlepas dari satu ribut yang menggoncang keutuhan dan setiakawan parti, dan sebarang pandangan yang berbeza boleh disalurkan melalui saluran rasmi parti, bagi mengelak ia disalahertikan oleh media arus perdana.

"Pandangan dan niat baik kita, belum tentu diterima baik oleh orang lain. Apatah lagi dalam suasana fitnah yang belum reda sepenuhnya ini. Saya peringatkan semua pihak, apa yang diingatkan oleh Rasulullah s.a.w tentang "Fitnah ialah sesuatu yang sedang tidur, jangan ada sesiapa yang mengejutkannya"," tambah beliau.

Ingatan Pengerusi Jawatankuasa Displin PAS ini dipercayai ditujukan kepada semua ahli parti yang sejak kebelakangan ini masih ada yang berminat untuk menimbulkan semula isu Kerajaan Perpaduan.

Pada 22 Jun lalu, Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat yang diwakili Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang bersetuju menolak agenda Kerajaan Perpaduan, sebaliknya memperkukuhkan pakatan itu dengan menyifatkan ia suatu percubaan Umno untuk memecah-belahkan PAS dan Pakatan Rakyat.

Hari yang sama, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam satu kenyataannya sejurus perjumpaan khas dengan pimpinan tertinggi parti di Pejabat Agung PAS, mengambil keputusan sebulat suara menghentikan serta-merta agenda Kerajaan Perpaduan seperti mana yang telah dicapai oleh Presiden PAS bersama Pakatan Rakyat.

Perjumpaan khas itu turut dihadiri oleh Presiden PAS Dato' Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Mursyidul Am, Dato' Dr Haron Din; Naib-Naib Presiden - Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahuddin Ayub dan Dato' Mahfuz Omar; Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali, bekas Naib Presiden, Ustaz Ahmad Awang, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan dan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat Ustazah Nuridah Mohd Salleh.

Korea Utara tuduh Bank Malaysia terbabit dalam transaksi penjualan senjata! - PKR

Kenyataan media Setiausaha Agung berhubung tuduhan Bank Malaysia terbabit dalam transaksi penjualan senjata oleh Korea Utara:

PARTI Keadilan Rakyat memandang serius perkembangan mutkahir di Laut Timur. Korea Utara telah pun melancarkan 7 peluru berpandunya ke arah bahagian pantai timur negaranya. Tindakan ini jelas menyalahi resolusi 1874 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang berusaha mengendurkan ketegangan di rantau itu.

Komuniti antarabangsa melahirkan rasa kesal dan mengecam keras pelancaran peluru berpandu tersebut. Resolusi 1874 yang diluluskan pada 12hb Jun 2009 itu mengharamkan sebarang ekspot senjata oleh Korea Utara.

Langkah ini bertujuan menyekat Korea Utara dari menggunakan dana hasil penjualan senjata bagi pembangunan program senjata nuklearnya. Makanya amatlah penting resolusi ini dipatuhi dengan kerjasama komuniti antarabangsa demi mewujudkan keamanan berkekalan, bukan sahaja di rantau Timur Jauh, bahkan juga di seluruh Asia.

Oleh itu adalah mengejutkan apabila beberapa laporan akhbar dari Korea Selatan mengaitkan bank di Malaysia digunakan untuk transaksi pembayaran penjualan senjata dari Korea Utara ke Myanmar.

Tambah membimbangkan apabila rombongan khas perlaksanaan resolusi 1874 dipatuhi yang diketuai Phillip Goldberg, dijadualkan ke Malaysia, bertujuan memastikan negara ini mematuhi perlaksanaan resolusi tersebut.

Sekiranya benar tuduhan yang dilaporkan akhbar terbabit (Korea Herald dan Korea Times), kita merasa kesal dengan kecuaian kementerian dalam negeri dan regulasi kewangan negara. Keadilan menekankan isu keselamatan dan kedaulatan negara tidak boleh dipandang remeh. Kerajaan mestilah bersikap telus serta bertanggungjawab, terutamanya apabila menangani isu sebegini.

Kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Akhbar Rumah Putih bertarikh 26 Jun 2009 menyatakan antara butir penting perbualan Presiden Obama dan Dato’ Seri Najib ialah memastikan perlaksanaan resolusi 1874 dipatuhi.

Ini jelas bercanggah dengan kenyataan Perdana Menteri Malaysia tersebut kepada media dan rakyat Malaysia berhubung perbualan telefon beliau dengan Presiden Amerika Syarikat itu. Dato’ Seri Najib sewajarnya menyampaikan maklumat yang tepat kepada rakyat.

Kita bimbang sekiranya terbukti tuduhan bank di Malaysia terbabit di dalam transaksi penjualan senjata oleh Korea Utara, negara ini akan dikenakan tindakan keras oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sepertimana yang nyaris dikenakan apabila syarikat Scomi Precision Engineering dikatakan terlibat di dalam menghasilkan komponen senjata nuklear.

SALEHUDDIN HASHIM
SETIAUSAHA AGUNG PARTI KEADILAN RAKYAT
5hb Julai 2009

Gangster sambut pertukaran pegawai polis di Johor?

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kubang Kerian mendedahkan di Dewan Rakyat bagaimana pegawai polis yang ditukarkan ke Ibu Pejabat Kontijen Polis Johor disambut oleh kumpulan-kumpulan gengster bukannya pegawai-pegawai atasan.

Selain menyambut pegawai-pegawai ini, kumpulan gangster juga turut mengarah dan mengaturkan kerja pegawai-pegawai yang baru ditukarkan ke Johor.

Tegasnya, beliau mempunyai afidavit tentang kegiatan yang dimaksudkan melibatkan pertukaran pegawai berpangkat ASP dan DSP.

"Ini telah menjadi suatu yang dikatakan sangat merbahaya terhadap keselamatan negara. Mereka telah membuat banyak aduan kepada pegawai-pegawai atasan mereka tetapi mereka menyatakan dalam afidavit mereka ini, mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana cengkaman yang terlalu kuat terhadap kumpulan ini kepada pasukan Polis Diraja Malaysia," tegas Salahuddin.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS menegaskan gangguan-gangguan dari kumpulan gangster ini menyebabkan ada pegawai polis tidak dapat menjalankan tugas dengan ikhlas dan telus.

Justeru, beliau mendesak agar kerajaan memandang serius perkara ini kerana ini melibatkan keselamatan negara.

Liputan bias: Wartawan RTM disaran halau keluar Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Radio Television Malaysia (RTM) yang membuat siaran langsung sesi Parlimen selama 30 minit disaran keluar dari Dewan Rakyat kerana tidak menyiarkan secara menyeluruh sebaliknya dibuat secara berpilih-pilih.

Terdahulu Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) yang bangkit sebaik sahaja sesi Parlimen bermula, berkata beliau mendapat panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada rakyat yang mengadu stesen milik kerajaan itu menayangkan program tersebut secara berpilih di samping menyelitkan program bual bicara.

"Saya difahamkan siaran langsung TV1 itu secara berpilih-pilih. Biarlah macam yang lepas, dari awal (10 pagi) sampai 10.30 pagi. Kalau ada pergaduhan biarlah rakyat menilainya," katanya.

Ekoran itu, beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat juga bersuara menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap siaran lansung RTM itu.

M. Kula Segaran (DAP-Ipoh Barat) turut bangun dan mendedahkan RTM beralih siaran kepada sesi interbiu bersama ahli parlimen BN sebaik sahaja pembangkang berucap.

N. Gobalakrishnan (KeADILan-Padang Serai) juga bangun meminta Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee memutuskan satu tindakan yang diambil terhadap RTM yang boleh mengelirukan rakyat.

Dalam pada itu, Chong Chieng Jen (DAP-Bandar Kuching), Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) serta M.Kulasegaran meminta Ronald menghalau petugas dan wartawan RTM yang bertugas di Parlimen, tetapi ia disanggah oleh wakil penyokong kerajaan hingga menyebabkan dewan riuh seketika.

Justeru, Ronald Kiandee meminta RTM supaya mengambil perhatian terhadap teguran oleh beberapa anggota Parlimen berkenaan mengenai siaran tersebut.

Jangan politikkan perobohan pusat penyembelihan babi - Dr Mujahid

KUALA LUMPUR: Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional, Dr Mujahid Yusuf berharap isu tindakan Kerajaan Negeri Kedah merobohkan pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak hingga boleh mengakibatkan terancamnya hubungan antara kaum di negara ini, lapor Nyza Ayob.

Beliau ketika menghubungi Harakah mmeberitahu, sebelum pusat penyembelihan tersebut dirobohkan, notis telah diberikan terlebih dahulu. Malah Kerajaan Negeri Kedah juga telah menangguhkan selama sebulan, sebelum perobohan tersebut.

"Kerajaan negeri Pakatan Rakyat Kedah memang telah berusaha untuk mencari tapak yang sesuai bagi menggantikan pusat penyembelihan itu. Dan pengusaha tersebut juga telah diminta mencari tapak yang sesuai. Namun menemui jalan buntu.

"Jadi dalam keadaan ini, tidak boleh menyalahkan kerajaan negeri. Saya difahamkan mereka telah mengenal pasti tempat baru yang hendak diberikan. Saya harap isu ini selesai segera dan saya minta DAP melihat perkara ini dengan fikiran yang terbuka," katanya.

Beliau yakin Kerajaan Kedah pimpinan Dato' Seri Azizan Abdul Razak akan berusaha sedaya upaya menyelesaikan isu tersebut kerana masalah yang timbul melibatkan persoalan pentadbiran.

Ekoran kejadian itu, DAP Kedah telah bertindak keluar dari gagasan Pakatan Rakyat kerana membantah tindakan perobohan pusat penyembeliahan babi itu. Pengerusinya, Thomas Su berkata, DAP Kedah memutuskan keluar dari gabungan Pakatan Rakyat di Kedah.

Katanya, keputusan itu buat ekoran kegagalan Kerajaan PAS Kedah memberi layanan saksama kepada semua rakyat negeri itu.

GMI mahu MB Pakatan Rakyat bantu Himpunan MANSUH, 1 Ogos depan


KUALA LUMPUR: Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kedah dan Selangor setelah bertemu Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, 2 Julai lalu bagi menggerakkan Himpunan MANSUH yang akan dianjurkan 1 Ogos depan, lapor Nyza Ayob.

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, selain mendapatkan sokongan kerajaan negeri Pakatan Rakyat, pertemuan tersebut juga supaya setiap negeri dapat mengerah seluruh rakyat daripada negeri masing-masing untuk turun pada perhimpunan tersebut.

Beliau yang dihubungi Harakah, berharap negeri-negeri ini dapat membantu mempromosi perhimpunan tersebut dengan memasang papan tanda serta kain rentang sebagai sokongan memansuhkan ISA.

Tambahnya lagi, jelajah ceramah ke seluruh negara telah bermula di Kuala Lumpur pada 28 Jun lalu dan akan diteruskan di negeri-negeri lain sehingga menjelang perhimpunan 1 Ogos itu.

Program tersebut merupakan kempen awal menjelang Himpunan MANSUH bagi meningkatkan daya kesedaran di kalangan rakyat tentang kezaliman ISA, membela nasib tahanan dan keluarga, dan mendesak kerajaan membebaskan tahanan.

Menyentuh mengenai sekretariat MANSUH, Syed Ibrahim menjelaskan, sekretariat terdiri daripada pimpinan PAS, DAP dan KeADILan, kalangan pimpinan Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta pelajar-pelajar.

Beliau juga menyeru seluruh rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat memberikan sokongan agar kerajaan memansuhkan ISA dengan menyertai perhimpinan tersebut.

"Kita tidak boleh membiarkan lagi ISA ini berpanjangan demi untuk menjaga masa depan generasi akan datang. Saya mengajak rakyat untuk memberikan satu mesej yang jelas kepada kerajaan untuk mengambil tindakan segera iaitu bukan mengkaji ISA tetapi memansuhkan terus akta zalim ini," tegasnya.

Jangan bergantung Dolar Amerika - Presiden PAS

KUALA LUMPUR: Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PAS- Marang) berpendapat ekonomi negara perlu dimerdekakan dan tidak lagi bergantung kepada Dolar Amerika.

Sebelum itu, beliau menyarankan untuk menghapuskan sistem riba, pakar ekonomi khususnya digesa mengkaji lebih mendalam alternatif yang terbaik dan berakhlak dalam pelaksanaan sistem perbankan Islam dan tidak hanya sekadar bergantung kepada konsep Al-Bai Bithaman Ajil.

Sewaktu membahaskan Rang Undang-Undang Bank Negara Malaysia 2009 di Dewan rakyat pada 1 Julai lalu Ustaz Hadi menegaskan, antara muamalat Islam yang perlu dilaksanakan ialah Al-Qardhul Hassan iaitu pinjaman tanpa faedah.

Jelasnya sistem Al-Qardhul Hassan menggalakkan produktiviti yang mana mempunyai barakah untuk menggalakkan rakyat bekerja dengan amanah dan ikhlas. Beliau turut menekankan, muamalat Islam juga perlu diperluaskan di peringkat antarabangsa.

Jelas Presiden PAS itu, sistem perbankan Islam kini telah mendapat perhatian masyarakat di beberapa negara Barat seperti England dan Perancis yang telah melihat kegagalan sistem liberal dan kapitalis. Semua mereka melihat amalan perbankan Islam tidak banyak terjejas dengan krisis ekonomi yang berlaku.

"Kita tahu banyak negara-negara Islam yang kaya membuat pelaburan di negara Barat. 99 peratus mereka membuat pelaburan di sana. Sedangkan di kalangan kita sendiri dalam keadaan yang merempat dan menyalahguna kekayaan.

"Dalam pertukaran wang asing, kenapa kita bergantung kepada dolar Amerika? Kita seharusnya memerdekakan ekonomi kita," katanya.

Sehubungan itu beliau turut menyarankan agar dinar emas digunakan bagi menggantikan dolar sehingga peringkat antarabangsa khususnya dalam menjalin kerjasama dengan negara-negara Islam bagi meningkatkan ekonomi negara.

Tidak wajar dikaitkan wacana ilmiah dengan kerjasama PAS-Umno - Sabky

KUALA LUMPUR: Wacana Ilmu yang dihasratkan Pemuda PAS bersama Pemuda Umno tidak wajar dimainkan media dengan mengaitkan sebarang usaha kerjasama politik antara kedua parti, sebaliknya ia hanyalah satu pentas untuk menyampaikan hujah.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ahmad Sabky Yusof, berkata ini kerana wacana yang dicadangkan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasruddin Hassan itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan cadangan Kerajaan Perpaduan yang menimbulkan kontorversi sebelum ini.

"Kami telah mengulangi penjelasan mengenai isu ini sebanyak dua kali, malah turut bertemu Pemuda Pakatan Rakyat untuk menyatakan perkara sebenar mengenainya. Alhamdulillah, mereka dapat menerima dan faham kedudukan sebenar," kata Sabky ketika dihubungi Harakah.

Menurut beliau, apa yang menjadi masalah ialah di kalangan ahli-ahli PAS dan juga penyokong PAS apabila melihat cadangan itu seolah-olah membentuk kerjasama dengan Pemuda Umno.

Katanya, ia berpunca dari permainan media yang cuba mengelirukan penyokong PAS dan Pakatan Rakyat bagi tujuan merenggangkan kekuatan Pakatan Rakyat itu sendiri, lebih-lebih lagi isu Kerajaan Perpaduan masih belum reda sepenuhnya.

Mengulas lanjut kemungkinan pelawaan itu diadakan pada 'masa yang tidak sesuai', hingga dimanipulasikan media, Sabky berkata Pemuda PAS meletakkan masa untuk berdebat bukan dilakukan dalam masa yang terdekat, tetapi selepas berakhirnya pilihan raya kecil Manek Urai.

"Kita juga tidak menjangkakan media cuba menggambarkan seolah-olah ada usaha kita untuk membentuk sebarang kerjasama, tapi dengan beberapa penjelasan yang dibuat Pemuda, kami berharap tiada siapa lagi mengaitkannya dengan kerjasama," tegas beliau.

Ditanya tentang kemungkinan akan mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap mana-mana media yang cuba memanipulasikan perkara tersebut, Sabky yang juga seorang peguam, berkata secara profesionalnya, Pemuda PAS akan meneliti setiap laporan yang disiarkan media sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

Jika terdapat mana-mana laporan yang terbukti memanipulasikan isu tersebut, Sabky menegaskan pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang.

Sebelum ini, pelawaan Ketua Pemuda PAS untuk berdebat dengan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin digambarkan seolah-olah ia merupakan lanjutan kepada perbincangan mengenai Kerajaan Perpaduan.

Gambaran media itu menimbulkan pelbagai reaksi kurang senang dan mengelirukan ramai pihak, lebih-lebih lagi isu Kerajaan Perpaduan sebelum ini belum reda sepenuhnya.

Demontrasi besar-besaran sekali lagi jika PPSMI tidak dihapuskan Julai ini!



KUALA LUMPUR: Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) memberi amaran kepada kerajaan BN, akan menganjurkan "Perhimpunan 100 ribu Mansuhkan PPSMI" sekali lagi untuk kali kedua jika dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) tidak dihapuskan pada bulan ini.

Menurut Ahli Jawatankuasa (AJK) GMP, Suhaizan Kaiat, perhimpunan yang dicadangkan itu dijangka lebih besar daripada 7 Mac lalu dan akan diadakan selepas hari raya Aidilfitri nanti.

"Kita beri kata dua kepada kerajaan BN sama ada hapuskan atau mereka akan menyaksikan perhimpunan kali kedua oleh beratus ribu rakyat selepas hari raya ini," tegasnya.

Katanya, GMP membuat cadangan demikian berdasarkan janji Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Perdana Menteri bahawa keputusan mengenai dasar PPSMI akan diumumkan awal bulan ini.

Suhaizan berkata GMP tidak mahu lagi keputusan yang diambil kerajaan tidak ada kata muktamad untuk menghapuskan PPSMI.

Pada 7hb Mac lalu lebih 100 ribu rakyat berarak dari Masjid Negara ke Istana Negara bagi mendesak kerajaan memansuhkan PPSMI.

Himpunan itu dianjurkan GMP dan dipimpin Pengerusinya, Dato’ Dr Hassan Ahmad dan Sasterawan Negara, Dato’ A Samad Said. Mereka berjaya menyerahkan memorandum bantahan tersebut kepada Yang diPertuan Agong.

PAS tentang meritokrasi Biasiswa Nasional jika mengetepikan prinsip keadilan sejagat


KUALA LUMPUR: PAS menentang penggunaan sistem meritokrasi sepenuhnya jika kaedah untuk menentukan penerima Biasiswa Nasional adalah keseluruhannya ditentukan oleh kecemerlangan akademik semata-mata.

Presidennya, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan menegaskan, sekiranya keadaan ini berlaku, PAS berpendapat kaedah pemberian biasiswa ini adalah tidak berasaskan kepada prinsip keadilan yang menyeluruh.

Terdahulu, media arus perdana melaporkan Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak telah mengumumkan kerajaan akan memperkenalkan Biasiswa Nasional di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mulai dari tahun hadapan dan pemberiannya adalah berdasarkan kepada sistem meritokrasi sepenuhnya.

Mengulas isu ini, Ustaz Hadi berkata, akibatnya, dasar yang pincang ini akan mewujudkan jurang yang semakin melebar dalam struktur masyarakat di Malaysia.

Katanya, PAS berpendapat faktor-faktor lain yang lebih menyeluruh seperti pertimbangan latarbelakang sosio-ekonomi keluarga, kedudukan geografi sekolah sama ada dalam atau luar bandar, infrastruktur dan kemudahan pembelajaran di sekolah, jumlah guru yang tidak seimbang dan sebagainya perlulah diambil kira.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan, PAS percaya pelaksanaan meritokrasi sepenuhnya dalam suasana pembelajaran pelajar yang berbeza dan serba kekurangan ini akan menyebabkan persaingan yang tidak adil, di mana tekanan akan menjadi lebih tinggi kepada kalangan pelajar yang mempunyai kekangan sosio-ekonomi dan kemudahan pembelajaran.

"PAS senantiasa menegaskan bahawa pertimbangan untuk melaksanakan pembahagian yang lebih adil adalah perlu mengambilkira struktur masyarakat ini, disamping pihak kerajaan menyediakan segala keperluan fizikal dan spiritual yang diperlukan oleh pelajar terlebih dahulu supaya suasana pembelajaran yang lebih baik dapat dialami oleh pelajar," katanya.

Ke mana lesapnya RM253.6 bilion duit Petronas?


KUALA LUMPUR: PAS mendesak kerajaan Barisan Nasional menjelaskan secara terbuka ke manakah lesapnya wang berjumlah RM253.6 bilion yang telah dibayar oleh Petronas kepadanya sejak enam tahun yang lalu, sejak 2004, lapor Irwan Muhamad Zain.

Naib Presidennya, Dato' Mahfuz Omar menegaskan wang sejumlah itu sepatutnya boleh digunakan untuk merangsang ekonomi negara dan mengatur langkah untuk mengelak dari turut sama terkena krisis ekonomi yang sedang melanda seluruh dunia sekarang.

Mengulas tulisan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Muhamad dalam blognya www.chedet.cc yang mempersoalkan ke manakah wang yang dibayar Petronas sejak enam tahun lalu dibelanjakan, kini timbul persoalan besar.

"Ia suatu jumlah yang besar. Dengan wang sejumlah itu ia sepatutnya boleh digunakan untuk mengatur langkah bagi mengelak krisis ekonomi yang melanda dunia. Wang itu juga jika BN cekap mentadbir boleh digunakan untuk merangsang ekonomi negara demi kebaikan rakyat bukan hanya kepada kroni.

"Malangnya dalam tempoh tersebut, kadar kemiskinan terus meningkat dan tidak nampak sebarang bentuk pembangunan dalam bentuk fizikal," tegas beliau.

Mahfuz mempersoalkan peranan Dato' Seri Najib Tun Razak dalam tempoh enam tahun itu yang membiarkan saja pembaziran dan salah urus tadbir negara dilakukan sewenang-wenangnya.

Najib, tegas Ahli Parlimen Pokok Sena itu, sepatutnya menyekat sebarang salah urus tadbir negara jika benar beliau seorang pemimpin yang bertanggungjawab. Pendedahan yang dibuat oleh Tun Mahathir tersebut, tegas Mahfuz, membuktikan satu lagi salah urus tadbir negara yang dilakukan oleh Umno dan BN.

Wajar bagi rakyat kata Mahfuz untuk menolak Umno-BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti dan ia harus dimulakan dengan menolak parti itu pada Pilihan Raya Kecil Manek Urai pada 14 Julai nanti, akibat kecuaian melampau sehingga Tun Mahathir yang menjadi Penasihat Petronas mempersoalkan perbelanjaan duit tersebut.

Tun Dr Mahathir menerusi blognya telah mempertikaikan ke manakah wang berjumlah RM253.6 bilion yang dibayar oleh Petronas kepada kerajaan dibelanjakan. Sebagai Perdana Menteri, Najib dipercayai tahu ke manakah duit tersebut di belanjakan dan pertanyaan Tun Mahahthir itu juga memberi signal jelas, sesuatu yang tidak elok telah berlaku ke atas duit sebesar itu.

Dalam tempoh enam tahun selepas Tun Mahathir melepaskan jawatan, bekas Perdana Menteri itu menegaskan pembayaran yang dibuat oleh Petronas telah meningkat dari RM168.8 bilion sejak 1981 hingga 2003 kepada RM253.6 bilion dari tahun 2004 hingga 2009.

Beliau membuat kenyataan tersebut sehari selepas Petronas mengumumkan pembayaran sebanyak RM30 bilion dividen kepada kerajaan dalam tahun kewangan berakhir Mac 2009. Kini timbul persoalan, apakah benar Tun Mahathir selaku Penasihat Petronas tidak tahu ke manakah duit sejumlah itu dibelanjakan atau ia sekadar signal untuk "memukul" Najib atas sebab-sebab tertentu?

Umno kembali gabra menolak isu debat – Tok Guru Nik Aziz

MUQQDIMMAH: NAMPAKNYA Umno benar-benar gelabah dengan pelawaan debat oleh Mursyidul Am PAS. Sedangkan ia tidak lebih sebagai satu pertemuan bagi merungkaikan segala isu yang berbangkit selama ini. Soal agama cuba diasingkan dengan politik. Itu pokok persoalan sebenarnya. Dan platform debat hanya sekadar mekanisme ke arah itu. Tidak semestinya perlu bertegang leher di atas pentas atau depan televisyen. Ia mungkin boleh jadi muzakarah atau wacana. Biar apa pun istilah yang digunakan ternyata perkataan debat begitu mengementarkan Umno. Ini secara tidak langsung juga menggambarkan Umno tandus pemimpin yang petah berhujah untuk menegak kebenaran. Bagi menyoroti apa rahsia di sebalik pelawaan debat itu, ikuti temu bual Mohd Nor Yahya bersama Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika menghadiri satu program di Manek Urai, Khamis lalu.

Boleh dijelaskan, sebenarnya apa sebab Tok Guru mempelawa Perdana Menteri berdebat?

TOK GURU NIK ABDUL AZIZ: Masalah debat dengan Umno telah lama diusahakan. Ia bukan cerita baru. Tentunya ramai masih ingat muzakarah di antara PAS dan Umno hampir diadakan, kemudian dibatalkan dengan alasan yang mungkin sengaja diadakan.
Begitu juga dengan pelawaan kerajaan negeri terhadap Timbalan Menteri Pelajaran, Dato’ Dr Puad Zakarshi sebelum ini hadir pada satu wacana di Balai Islam. Pada awalnya beliau sanggup datang, namun di saat-saat akhir membatalkan. Tentunya, orang ramai boleh memberi tanggapan sendiri terhadap apa yang berlaku itu.
Debat, mujadalah atau muzakarah lebih kurang sama. Namun pemimpin Umno masih lagi berdiam diri. Mereka tak mahu langsung apabila dipelawa debat atau muzarakh bagi merungkai masalah ummah.

Mengapa agaknya setiap kali diundang, pemimpin Umno ini enggan?

Saya pun hairan mengapa mereka enggan. Tidak mahu juga. Sedangkan debat atau muzakarah sebahagian daripada mekasisme berdakwah dalam Islam. Kita mahu bagi nasihat secara hikmah. Sama juga dengan kaedah yang digunakan kepada orang bukan Islam. Kita telah lama praktik cara itu di Kelantan. Berdakwah cara hikmat terhadap orang bukan Islam bagi mengeratkan hubungan antara kaum.
Saya sering kali hadir pada majlis-majlis yang dianjurkan penduduk bukan Islam. Apa yang menghairankan orang bukan Islam boleh menerima konsep muzakarah tetapi pemimpin Umno tidak boleh terima.
Sedangkan nasihat boleh diadakan dalam tiga keadaan iaitu lemah lembut, tolak ansur, ceramah atau usrah. Kaum-kaum bukan Islam telah berjaya kita dekati. Berdebat ini adalah cara terakhir untuk menyelesaikan sesuatu isu yang timbul. Dua perkara pokok yang hendak saya sebut iaitu kenapa Umno tolak Islam dan keduanya sebab apa Umno menentang PAS, sedangkan PAS melaksanakan apa yang disarankan agama Islam. Tengok apa yang kita laksanakan di Kelantan sekarang.

Mungkin ada sesuatu peristiwa yang mendorong Tok Guru pelawa Perdana Menteri berdebat?

Ianya bermula ekoran Pemuda Umno Kelantan membuat laporan polis terhadap saya. Mereka marah kerana saya sebut Umno lebih kurang sama dengan Ayah Pin atau Komunis. Apa yang saya maksudkan sekadar perumpamaan. Ini kerana apabila mana-mana pihak menolak agama dalam kehidupan seharian sudah tentu mereka juga sama dengan komunis atau Ayah Pin.
Begitu juga Umno. Mereka memisahkan agama dan politik. Sedangkan ia jelas bertetangan dengan ajaran yang dibawa Nabi Muhammad saw. Nabi juga ketua agama, pemerintah, panglima perang dan ketua negara. Ini bermakna politik atau bernegara tidak boleh dipisahkan dengan agama. Inilah yang saya sebut pada ceramah di Laloh sebelum ini. Tiba-tiba pemuda Umno melenting marah.

Bagaimana pula dengan Pemuda PAS dikatakan akan mengadakan dialog dengan Pemuda Umno?

Saya setuju diadakan diadakan dialog atau wacana. Tidak kira dengan siapa pun asalkan Pemuda PAS kekal berpegang perjuangan Islam. Jangan pula bila berdialog kita pula turut kehendak mereka. Forum, dialog merupakan cara dakwah. Saya serahkan kepada pemuda untuk fikirkan perkara itu.

Sekarang isu yang hangat dibincangkan di Kelantan iaitu tuntutan royalti petroleum. Ia bermula ekoran pendedahan oleh Jabatan Perangkaan dan Unit Perancangan Ekonomi Jabatan Perdana Menteri mengenai ada pelantar minyak di perairan Kelantan. Apa sikap Tok Guru mengenai isu ini?

Rasa rasa kecewa dengan sikap pemimpin Umno. Mereka buat tidak tahu adanya minyak di perairan negeri ini. Sepatutnya mereka turut menyokong usaha yang dilakukan kerajaan negeri bagi menuntut royalti tersebut yang boleh dimanfaat kepada rakyat Kelantan.
Dan segala usaha hendak mendapatkan royalti saya serahkan kepada Dato’ Haji Husam untuk meneruskan langkah-langkah sepatutnya bagi mendapatkan royalti. Bagaimanapun Ketua Pembangkang di Dun Kelantan, Dato’ Mohd Alwi Che Ahmad setuju untuk memberi kerjasama.
Saya sambut baik. Hendaklah ada usaha yang dilakukan pembangkang bagi membantu mendapatkan hak tersebut. Ini kerana laporan mengenai adanya pelantar minyak sudah ada dalam laporan Jabatan Perangkaan dan EPU.

Pada pendapat Toki Guru, bagaimana pula dengan calon PAS yang akan mempertahankan Dun Manek Urai pada pilihan raya kecil 14 Julai ini?

Saya sebenarnya sudah lama kenal Abe Uji. Beliau orang berjurus (baik) dan kaki masjid. Ini kriteria penting untuk menjadi seorang pemimpin. Orang yang mukmin sudah tentu tidak akan terlibat dengan unsur-unsur rasuah atau apa-apa penyelewengan.
Saya yakin dengan kemampuan yang ada pada Abe Uji. Dan secara kebetulan pula calon tersebut bertepatan dengan kriteria-kriteria yang ditetapkan. Orang ramai di peringkat akar umbi, cawangan PAS dan kawasan Kuala Krai yang menentukan. Kemudian kita di peringkat Perhubungan PAS negeri membuat keputusan hasil sokongan tersebut.
Biar pun pihak lawan cuba pertikaikan dari aspek pendidikan Abe Uji, namun ia tidak menjadi isu sangat. Cuma apa yang kita hairan mengapa orang yang berpendidikan tinggi tetapi ramai yang dilaporkan terbabit dengan rasuah atau pecah amanah.