KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, Oktober 09, 2009

Pengundi Bagan Pinang diingat ambil serius isu integriti

KUALA LUMPUR: Rakyat Bagan Pinang perlu melihat skop yang lebih meluas iaitu isu peringkat nasional khususnya yang membabitkan integriti pemimpin BN berbanding isu tempatan yang boleh diselesaikan dengan segera.

Penyelarasan Suaram Arutchelvan berkata, isu tempatan yang berlaku di Bagan Pinang setakat masalah jalan raya atau longkang tersumbat boleh diselesaikan dengan segera berbanding isu nasional.

Katanya, isu nasional yang wajar dinilai oleh rakyat Bagan Pinang menjelang pilihan raya nanti termasuklah dasar BN selama ini dan calon mereka sendiri.

"Isu rasuah itu sendiri, yang mana ia cukup sinonim dengan calon yang bertanding, inilah yang dikatakan isu nasional," katanya kepada Harakah.

Jelasnya, rakyat Bagan Pinang seharusnya melihat antara Pakatan Rakyat dan BN yang mana lebih baik untuk masa depan Malaysia, inilah isu yang sebenarnya.

"Jika mereka mengutamakan isu nasional, undi-undi rakyat Bagan Pinang akan menjadi paltform untuk Pakatan Rakyat meneruskan agendanya," kata beliau yang juga Setiasausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Aru tidak menafikan Isa Samad sememangnya calon yang lama di Negeri Sembilan bagaimanapun ketokohan beliau tidak selamanya bertahta di hati rakyat.

Misalnya, kata beliau, dalam dua pilihan raya lalu ketika pembangkang bernaung dalam Barisan Alternatif mereka dihalang memasuki ladang untuk berkempen tetapi kini Pakatan Rakyat bila-bila masa sahaja boleh menyantuni masyarakat ladang.

"Kalau dulu memang kita tidak boleh masuk, sekarang dua per tiga masyarakat ladang khusunya kaum India sudah tinggal di taman-taman yang boleh mengakses berita alternatif, sekali gus mengubah persepsi mereka terhadap Pakatan Rakyat," katanya.

Justeru, katanya, pengaruh Isa Samad lebih kepada sentimen di kalangan mereka yang berusia, sebaliknya orang muda cenderung kepada Pakatan Rakyat.

Bagan Pinang petunjuk awal Pakatan Rakyat rampas N Sembilan - Dr Abu Hassan

KUALA LUMPUR: PAS perlu menang dalam Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang untuk memberi petunjuk awal potensi pembangkang untuk merampas Negeri Sembilan di tangan BN dalam Pilihan Raya Umum ke 13 nanti.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah berpendapat, dengan kemenangan tersebut katanya, amat perlu bagi PAS untuk mengurangkan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan.

"Kemenangan tersebut akan memberi petunjuk dalam pilihan raya akan datang kerana jika kawasan yang mempunyai undi pos yang terbesar di negara ini boleh ditakluk oleh PAS, ia akan memberi suasana yang berbeza.

"Biasanya kawasan sebegini telah diketahui aliran pengundiaannya di Pantai Barat. Khususnya Negeri Sembilan yang memang diketahui sebuah negeri yang ditadbir BN sekian lama dan tidak mempunyai tentangan kuat pembangkang sejak merdeka lagi. Cuma dalam pilihan raya umum baru-baru ini pembangkang mula merampas kerusi BN di negeri tersebut," tegasnya sewaktu dihubungi.

Justeru, beliau yang juga pengasas Zentrum Future Study menegaskan, PAS mempunyai peluang untuk memenangi pilihan raya tersebut dan kemenangan banyak bergantung kepada sejauh mana PAS mengangkat sesuatu isu yang boleh memberi kefahaman kepada pengundi tentang matlamat PAS di tempat tersebut.

Beliau juga menyatakan peratusan sokongan pengundi muda dan pengundi warga emas yang seimbang memberi petunjuk yang berbeza berbanding Pilihan Raya Umum ke 12 yang lalu.

"Selain isu-isu tempatan, pengundi Bagan Pinang juga boleh didedahkan dengan isu-isu nasional seperti isu rasuah. Walaupun isu peribadi tidak begitu mempengaruhi pengundian, isu nasional mungkin akan membuka sedikit ruang.

"Pengundi akan menilai secara keseluruhan isu di peringkat nasional sama ada daripada segi ekonomi atau pentadbiran. Dan pengundi muda akan lebih memfokuskan kepada isu nasional," katanya.

Isa calon toksid dan dia bukan anak tempatan Negeri Sembilan

TELOK KEMANG: Bekas Yang diPertua PAS Kawasan Telok Kemang, Dr Rosli Yaakob menyifatkan calon BN, Tan Sri Isa Samad sebagai calon 'toksid' yang penuh dengan kekotoran tercemar dan menyangkal beliau anak tempatan Bagan Pinang.

Beliau yang juga bekas Pesuruhjaya PAS negeri itu mengungkapkan Tan Sri Isa Samad sebagai calon toksid kerana rekod rasuah yang dimiliki dalam pemilihan Umno selain kegagalan 22 tahun menerajui Negeri Sembilan.

"Calon Umno ini adalah calon toksid. Kalau yang banyak aset buruk ini samalah dengan toksid. Saya yakin rakyat akan tolak Isa Samad," katanya.

Ketika Isa menjadi Menteri Besar, beberapa isu mengelilinginya terutamanya sikap kekronian yang diwarisi dari tuannya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tanah-tanah yang kosong pastinya akan diintai Isa Samad untuk dijual kepada tauke dan pemodal Umno bagi mengisi kantungnya, kata Dr Rosli.

Walaupun ramai yang menyatakan kononnya Isa sangat rapat dengan penduduk di Bagan Pinang khasnya, namun rekod menjual tanah dan pesisir pantai pastinya menggamit minda pengundi.

Siapa yang tidak kenal dengan Menteri Besar yang menerima jolokan '10 percent (10 peratus)' ini? Setiap projek pembangunan yang mahu dilakukan pastinya mengutamakan kantungnya terlebih dahulu, tegas beliau.

Dr Rosli juga menyifatkan satu kesilapan besar pihak media yang mendakwa Isa Samad adalah anak tempatan Negeri Sembilan.

"Isa Samad bukan anak jati Negeri Sembilan. Dia lahirpun di Melaka iaitu di Sungai Udang. Kenapa pula dia nak kata di anak tempatan? Yang anak tempatan ialah calon PAS. Dia anak jati Negeri Sembilan lahir di Lenggeng," ujarnya.

Mengulas mengenai isu yang boleh dimainkan di Bagan Pinang, beliau yang tidak asing di Dun tersebut menyatakan, isu kebajikan rakyat, isu saliran, tanah, jalan raya dan janji kosong BN menjadi fokus utama.

Malah, isu ini juga katanya mula meniti dan membayangi pengundi di sini sejak terdedahnya beberapa kebobrokan Umno/BN. Isu Isa tidak sehaluan dengan Menteri Besar kini, Dato' Seri Mohamad Hassan juga boleh memberi 'nilai tambah' kepada calon PAS.

Tegasnya lagi, isu integriti calon yang sangat berbeza perlu menjadi pertimbangan pengundi yang kini dalam 'mood' mahukan perubahan setelah tertipu dengan BN selama 52 tahun.

"Dengan adanya wakil kita (Zulkefly) di Dun Negeri Sembilan, ia akan menambah kekuatan, dan sekaligus boleh menyampaikan rintihan rakyat terbanyak yang tidak diendahkan Umno sebelum ini," ujarnya.

Isa hasilkan banyak pembangunan terbengkalai, jadi apa yang nak diharapkan!

BAGAN PINANG: Calon BN, Tan Sri Isa Abdul Samad layak digelar 'Ikon Palsu' selepas berjaya menghasilkan banyak projek terbengkalai semasa menjadi Menteri Besar Negeri sembilan selama 22 tahun.

Pengarah Jentera Operasi PAS Pilihan Raya Kecil Dun Bagan Pinang, Salahuddin Ayub menjawab tohmahan yang dilemparkan ke atas PAS sebagai parti yang tidak membawa pembangunan.

"Jika ada pihak yang menyatakan kalau kita (PAS) menang tiada sebarang usaha yang boleh mengubah keadaan sekarang ini seperti menyelesaikan isu-isu pencemaran alam sekitar dan projek terbengkalai.

"Saya rasa keadaan yang sama akan berlaku sekiranya Isa menang," katanya pada satu sidang media harian PAS di Markaz Induk PAS, Jalan Pantai, Port Dickson.

Hal tersebut jelasnya disebabkan kesemua kerja itu termasuk dalam bidang kuasa pihak berkuasa di peringkat Kerajaan Pusat dan bukan Kerajaan Tempatan.

"Kita lihat banyak projek pembangunan semasa BN memerintah terbengkalai dengan masalah perparitan sehingga menyebabkan pencemaran alam sekitar terjadi akibat kegagalan pengurusan.

"Jika Isa menang dia tidak perlu menyelesaikan masalah-masalah sebelum ini kerana ianya terkandung dalam bidang kuasa Kerajaan Pusat.

"BN tidak perlu tuduh PAS tolak pembangunan kerana Isa perlu menghitung projek-projek pembangunan yang terbengkalai semasa beliau menjadi Menteri Besar sebelum ini," ujarnya.

Salahuddin menunjukkan bukti projek pembangunan palsu yang dijalankan oleh Umno-BN selama menjadi wakil rakyat di Bagan Pinang sebelum ini.

"Ini dia contoh dan bukti projek-projek palsu iaitu di kompleks hantu di Pantai PD1, Batu 6, Telok Kemang. Rumah hantu milik DBKL di Batu 6, Telok Kemang, projek terbengkalai Hotel Mingcourt Vista Hotel, dan menara hantu di Batu 8, Telok Kemang," katanya.

Justeru, beliau menegaskan tindakan BN memainkan isu kemenangan calon PAS tidak memberikan apa-apa kesan adalah tidak tepat dan tidak relevan sama sekali.

S Subramaniam seru penyokong MIC undi PAS untuk kesatuan tulen

TELOK KEMANG: Pengundi Bagan Pinang khususnya kaum India yang masih menyokong MIC perlu meninggalkan parti itu kerana ia terbukti dimonopoli untuk kepentingan Presidennya, Dato' Seri S.Samy Vellu sahaja.

Menurut bekas timbalan menteri kabinet, Dato' S.S.Subramaniam, tiada guna untuk berkhidmat bersama sebuah parti dan kepimpinan BN untuk kepentingan beberapa individu sahaja.

"Apa guna kita teruskan kerana ianya untuk kepentingan dua, tiga kerat sahaja dan mereka mengambil kesempatan untuk membolot kekayaan melalui rakyat dan negara," katanya dalam satu ceramah di Pusat Penyelarasan Jentera Operasi DAP Pilihan Raya Kecil Dun Bagan Pinang di Batu 9, Telok Kemang.

S Subramaniam yang telah 30 tahun berjuang bersama MIC berkata, beliau kesal selepas mengetahui perjuangan itu hanya untuk membantu Samy sahaja.

"Kita telah bagi banyak duit kepada MIC tetapi akhirnya kita dapat tahu semuanya diberikan kepda samy Vellu sahaja. Kenapa jadi begini?" soalnya.

Beliau juga menempelak konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Razak sejak menjadi Perdana Menteri. Semua itu hanya omongan kosong untuk mengukuhkan BN yang ditolak rakyat.

"BN ada 14 parti komponen tetapi setiap parti komponen seperti MIC dan MCA ada dua kumpulan. Mereka sudah berpecah. Ini membuktikan tiada 1Malaysia dalam BN, tetapi ada 2Malaysia. Bagaimana boleh dikatakan 1Malaysia apabila parti dalam BN mengamalkan perkauman," ujarnya.

Oleh itu, tegas S Subramaniam lagi, jika ingin merasakan praktikal satu keluarga dan perpaduan, beliau menyeru agar pengundi Bagan Pinang mengundi calon Pakatan Rakyat, Zulkefly Mohamed Omar.

Rakyat Malaysia juga ujarnya perlu menolak calon BN yang secara terang-terangan terbukti bersalah akibat amalan rasuah.

PAS seru tentera tolak calon rasuah Bagan Pinang

KUALA LUMPUR: Tindakan tentera Thailand dibawah pimpinan Jeneral Sonthi Boonyaratglin yang mengulingkan Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra pada tahun 2006 wajar diambil iktibar oleh anggota tentera di Malaysia, tegas Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Katanya, PAS tidak menyeru anggota tentera merampas kuasa, tetapi tentera di Malaysia wajar mempelajari insiden itu dengan sebaiknya kerana tentera di negara itu telah menolak pemimpinnya kerana terlibat dengan rasuah.

Dalam Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang, tegas beliau, calon BN, Tan Sri Isa Samad mempunyai rekod rasuah yang sahih dan telah digantung keahlian selama 3 tahun oleh Umno setelah didapati merasuah perwakilan bagi merebut jawatan Naib Presiden parti itu pada tahun 2004.

Beliau berkata, Thaksin yang belum dibuktikan bersalah oleh mahkamah telah ditolak oleh tentera, maka wajarkah Isa yang sudah dibuktikan bersalah tidak diundi oleh pengundi pos kalangan tentera di Bagan Pinang.

"Sebagai anggota keselamatan negara, tentera bukan sahaja wajib melindungi rakyat dari serangan musuh luar tetapi tentera juga wajib melindungi rakyat dari penguasaan pemimpin yang rasuah seperti calon BN di Bagan Pinang," tegas beliau.

PAS katanya, mengajak pengundi pos tentera di Malaysia khususnya di Bagan Pinang untuk melihat tindakan tentera Thailand itu sebagai satu cabaran buat mereka merubah landskap politik negara ke arah kepimpinan bersih dan amanah.

Ustaz Idris menyeru agar anggota tentera mengunakan kuasa undi mereka untuk membuat perubahan dan menolak pemimpin rasuah yang ditawarkan oleh BN melalui calonnya, Isa Samad.

Jangan cuba pangkah bagi pihak pengundi pos

KUALA LUMPUR: PAS memberi amaran kepada pengundi yang cuba memangkah kertas undi pengundi pos yang tidak hadir di Bagan Pinang.

Ahli Jawatankuasa Khas Pengundi Pos, Suhaizat Kaiat berkata, mereka yang berbuat demikian akan dikesan melalui sistem pengesahan yang mendapat kerjasama daripada wakil mereka di dalam dan luar kem.

"Jangan cuba-cuba memanipulasi iaitu memangkah undi pengundi pos yang tidak hadir, jangan jadi pengundi 'setan'," katanya kepada Harakah.

Beliau juga yakin akan ada pertimbangan anggota tentera untuk mengundi PAS dalam pilihan raya kecil itu nanti, bagaimanapun kesahihan itu sukar dikenal pasti.

Beliau juga memberi jaminan akan memberi khidmat guaman percuma kepada mana-mana tentera yang dikenakan tindakan daripada kementeriannya jika mengundi PAS.

"Pemuda PAS sanggup memberi khidmat, tentera tidak perlu takut. Keluarlah beramai-ramai mengundi," katanya.

Presiden PAS yakin tidak mustahil Zulkefly menang

TELOK KEMANG: Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan tidak mustahil PAS boleh menang dalam Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang, walaupun laluannya sukar.

Menurut Ustaz Hadi, senario dalam pilihan raya umum lalu di Dun ini menunjukkan berlakunya lonjakan atau peningkatan undi yang ketara.

PAS melalui calonya, Ramli Ismail berjaya meningkatkan lebih 4000 undi, berbanding beberapa pilihan raya terdahulu, katanya.

"Kita berjaya capai lebih 4000 undi, sementara BN menang sekitar 6000 undi. Ini pencapaian yang kita tengok maju ke hadapan. Kita sedar payah menang tetapi tak mustahil kita menang di sini. Kita akan cuba mencapai kemenangan, " katanya kepada pemberita semasa ditemui di Pusat Penamaan Calon Dun Bagan Pinang dekat sini.

Ujar Ustaz Hadi lagi, semuanya terpulang kepada rakyat kerana merekalah yang berhak menentukan siapa wakil mereka di sini.

Bercakap mengenai calon PAS pula, Ustaz Hadi menyatakan isu Zuklefly Mohamad Omar bukan orang Bagan Pinang tidak timbul sebenarnya.

Ini kerana Zulkefly adalah anak watan Negeri Sembilan yang ditawarkan PAS sebagai calon dengan wibawa yang tinggi, bersih dan profesional.

Mengulas isu dan method kempen, Ustaz Hadi berkata pihaknya akan menjalankan kempen dari rumah ke rumah disamping ceramah penerangan isu-isu semasa.

"Nasihat saya kita kempen secara menerang bukan menyerang, sebarang ketegangan hendaklah dielakkan," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden KeADILan, Mustaffa Kamil Ayub yang ditemui di lokasi yang sama turut yakin, peluang PAS tetap ada.

KeADILan katanya akan membantu sebaik mungkin jentera PAS bagi memastikan riwayat Umno di Bagan Pinang khasnya, Malaysia amnya tamat.

Mengulas mengenai pencalonan Isa Samad sebagai wakil BN, Mustaffa menyifatkan Umno ketandusan dan terdesak mencalonkan perasuah mewakili mereka.

Apa yang pasti, Umno/BN kini tertekan dengan kekalahan demi kekalahan sejak lapan pilihan raya kecil lalu,katanya.

Namun, dengan mood rakyat yang memihak kepada Pakatan Rakyat sejak 2008, beliau yakin peluang PAS melalui calon yang bersih dan berwibawa ini tetap ada.

Dalam pada itu, Setiausaha Parti Sosialis Malayisa (PSM), S Arutchelven pula menyatakan keyakinan PAS akan menang di Bagan Pinang.

Dengan mood pengundi yang ada, ditambah peratusan undi bukan Melayu yang mencecah 33 peratus, peluang Pakatan Rakyat melalui calon yang bersih tetap ada, katanya.

Beliau sendiri telah mengadakan tinjauan pandangan dan isu di beberapa ladang termasuk di Atherton dan Sua Betong menunjukkan peningkatan sokongan yang agak baik kepada Pakatan Rakyat.

Isu gaji minima dan kebajikan pekerja ladang menjadi fokus PSM dalam kempen di Bagan Pinang khasnya di UPU yang memiliki pengundi bukan Melayu yang ramai.

PAS anggap kenyataan Mahathir khurafat, kononnya hanya BN saja yang boleh memerintah

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad membidas kenyataan Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad negara akan menjadi malap dan buruk sekiranya pentadbiran kerajaan berpindah daripada BN kepada pembangkang.

Idris menyelar kenyataan Mahathir itu serta menyifatkan mantan Presiden Umno itu mungkin sudah 'nyanyuk', 'buta huruf' serta gagal membaca fakta yang sebenar tentang kejayaan yang telah dicapai apabila pembangkang berjaya memerintah beberapa buah negeri.

"Umno sahaja yang memerintah merupakan satu kenyataan khurafat Mahathir sedangkan telah terbukti rakyat telah menolak BN dalam Pilihan Raya ke 12 lalu apabila lima buah negeri jatuh ke tangan Pakatan Rakyat..

"Teori Mahathir itu perlu ditolak. Kita juga dapat lihat kerajaan Kedah
yang terpaksa memikul 'biawak hidup' Umno. Hampir RM2.3 bilion kerajaan Kedah terpaksa menanggung hutang yang begitu teruk," katanya.

Idris juga memberi contoh bagaimana kerajaan PAS dapat mentadbir Kelantan walaupun mendapat kekangan perbelanjaan daripada kerajaan Persekutuan.

Katanya, kenyataan Mahathir juga dianggap tidak berasas kerana sewaktu pemerintahan PAS di Terengganu, kadar kemiskinan di negeri tersebut dapat dikurangkan dalam tempoh empat tahun pemerintahannya.

Selain itu katanya, pemerintahan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang tidak menjejaskan kedatangan pelabur asing ke negeri tersebut dan diisyitharkan oleh Transparency International berjaya mengurangkan kos perbelanjaan sebanyak RM 36 juta.

Ustaz Idris juga menegaskan dakwaan Mahathir juga tidak relevan kerana pemerintahan Pakatan Rakyat di Selangor berjaya 'merakyatkan' ekonomi negeri tersebut.

"Sewaktu pemerintahan BN di negeri Selangor, kita dapat lihat bagaimana mereka menghabiskan wang rakyat. Khir Toyo membuat lawatan ke luar negara dengan perbelanjaan yang agak besar, menggambarkan bagaimana wang tersebut masuk ke kantung BN dan rakyat tidak mendapat apa-apa.

"Sebaliknya di bawah kepimpinan Pakatan Rakyat, kita merakyatkan ekonom sehingga rakyat dapat merasa. Kita memberi air percuma kepada rakyat. Wang tersebut dihabiskan untuk rakyat bukan untuk kroni-kroni," katanya.

Terdahulu, Mahathir dalam sidang media pada majlis wacana Dari Minda Tun, Ketuanan Melayu di Dewan Aspirasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu menyatakan negara akan malap jika diperintah pembangkang kerana kebanyakan pemimpin pembangkang sanggup menukar pendirian semata-mata untuk mendapat populariti dan sokongan rakyat.

Ketua Putera Umno, Azeez Rahim bohong dan sengaja cetus provokasi

KETUA Putera Umno, Dato' Abdul Azeez Abdul Rahim berbohong apabila mendakwa beliau dipukul oleh sembilan pemuda PAS semasa hari Pilihan Raya Kecil Dun Bagan Pinang, 3 Oktober lalu.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayob mendakwa Ketua Putera Umno itu hanya mereka-reka cerita yang dia dipukul oleh penyokong pembangkang sewaktu penamaan calon Sabtu lepas.

"Beliau datang dekat saya. Saya lihat dengan mata kepala saya, dengar dengan telinga saya, dia (Azeez) kata dipukul oleh sembilan orang pemuda PAS," cerita Salahuddin mengimbas pertemuan mereka selepas kejadian itu pada hari penamaan calon.

"Bayangkan kalau sembilan orang yang pukul, mesti ada berlaku kesan tumbukan lebam. Azeez datang dekat saya semalam (3 Oktober) untuk berjumpa, tetapi saya sendiri tengok baju putihnya bersih, senyumannya menarik. Saya pegang pipi dia tanya betulkah kena pukul?

"Dia (Azeez) jawab ya. Tapi saya tengok tak nampak apa-apa kesan. Ini menunjukkan Azeez berbohong kepada rakyat dan media. Beliau bercakap bohong. Azeez merupakan tokoh provokasi Umno," tegasnya.

Salahuddin mengulas dakwaan Dato' Abdul Azeez Abdul Rahim yang juga ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno yang dia telah dipukul oleh penyokong PAS. Bercakap dalam satu sidang akhbar, Salahuddin menyifatkan dakwaan Azeez itu sebagai satu pembohongan untuk mengelirukan rakyat.

Menurut Salahuddin, pada Pilihan Raya Kecil Kuala Terenganu, Azeez pernah langgar undang-undang masuk dalam kawasan pengundi. Dia sengaja mencetuskan kontroversi bagi mnedapatkan publisiti murahan.

"Jangan percayalah auta Azeez dipukul 9 orang. Dia sengaja lalu di kawasan yang sudah diwartakan SPR dan polis untuk Pakatan Rakyat. Apa niat dia memasuki kumpulan penyokong pembangkang itu?" tanya Salahuddin.

Dalam laporan akhbar harian, Azeez kononnya dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) 4 Oktober lalu, sehari selepas penaman calon setelah cedera di muka, leher dan tengkok ekoran insiden ditumbuk penyokong PAS.

Azeez dalam kenyataanya mendakwa mengalami kecederaan di muka dan leher sewaktu melindungi Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Dato Ismail Sabri Yaakob dari dipukul.

Bagaimanapun, PAS menyifatkan Azeez berbohong bagi tujuan mengutip keuntungan politik di Bagan Pinang dan untuk kepentingan politiknya sendiri.

Provokasi BN, naikkan semangat kerja petugas Pakatan Rakyat

KEMPEN Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang masuk hari yang ketiga (5 Oktober 2009), dan kedua-dua parti yang bertanding terus memperkuatkan jentera penerangan dan kempen, ulas Wan Nordin yang bertugas di Bagan Pinang.

Di beberapa Unit Peti Undi (UPU) yang terletak tidak jauh antara satu sama lain, petugas-petugas masing-masing giat menggantung bendera, kain rentang dan tidak kurang yang mengedar risalah parti masing-masing.

Perang poster di tepi pantai sepanjang jalan Telok Kemang ke Pekan Port Dickson mula menghiasi liku-liku kempen kedua-dua calon.

Bermula sebelum penamaan calon lagi, kempen Umno-BN mula digerakkan dengan 'wang' diangkut ke sana ke mari dan janji-janji manis mujla dihamburkan kepada para pengundi dengan pelbagai gelagat.

Di Kampung Baru Sirusa, Desa Sirusa, Ladang Sua Betong, Ladang Atherton dan Telok Kemang serta di sepanjang jalan menuju ke pekan Port Dickson, jentera BN mundar mandir ke sana-sini dengan anak-anak mudanya menaiki motorsikal menunjukan aksi ala 'mat rempit'.

Walaupun akhbar milik Umno-BN menjalankan dakyah kononnya petugas Pakatan Rakyat ganas dengan dakwaan mengganggu jentera BN selain kes lakonan dipukul pemuda PAS yang disempurnakan oleh Ketua Putera Umno, Abdul Azeez Abdul Rahim, namun hakikatnya sebalik.

Jentera BN turut menggerakkan beberapa agensi kerajaan selain aksi liar anak-anak muda mereka melakukan provokasi setiap kali melintasi Markas Operasi PAS di Bagan Pinang atau terserempak dengan penyokong PAS.

Beberapa buah van dan kereta rasmi jabatan kerajaan dengan sengaja digunakan dalam program-program kempen BN, malah sekolah dan premis kerajaan dijadikan pusat menggempur minda rakyat.

Tidak kurang, kem-kem tentera yang begitu banyak menghiasi Telok Kemang terus menjadi sasaran BN dalam berkempen. Larangan agar kem tidak dimasuki unsur kempen tidak diendahkan. BN masuk dengan 'gambar' dan logo kementerian.

Kementerian Pertahanan antara yang menjadi sandaran kerana ia adalah kementerian yang menjaga hal ehwal anggota tentera.

Di sebelah malam, anggota polis dan pegawai cawangan khas (SB) dikerah seramai mungkin bagi mengawal ceramah PAS dan Pakatan Rakyat. Jalan raya sarat dengan kereta dan motorsikal berkuasa besar polis yang mundar-mandir semata-mata membawa VIP yang terdiri dari pimpinan Umno.

Paling menarik, petang 4 Ogos, ketika kempen diadakan berdekatan pusat penjaja di Batu 4, Jalan Pantai, seorang anggota pihak berkuasa tempatan dengan rakus membawa pisau untuk memotong kain pemidang kempen Pakatan Rakyat yang digantung.

Kain rentang yang mempunyai maklumat dan fakta penipuan Umno-BN terhadap rakyat Negeri Sembilan yang digantung oleh jentera yang dikepalai Ahli MT KeADILan, Badrul Hisham Shaharin mahu diturunkan. Difahamkan atas arahan atasan.

Namun berikutan sikap tegas calon PAS, Zulkefly Mohamad Omar mempertikaikan tindakan anggota itu yang bernama, Mohd Zulfikar, kain rentang itu tidak diturunkan.

Begitupun, tinjauan Harakah di sebelah malam pula mendapati sebaliknya. Kata Badrul Hisham kain rentang yang sama telah diturunkan dipercayai oleh petugas Umno-BN.

Di pihak Pakatan Rakyat khasnya PAS, kempen yang bermula agak perlahan, kini kelihatan semakin rancak. Kehadiran tokoh-tokoh besar seperti Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin di Batu 9, pada malam ceramah selepas penamaan calon mencuri tumpuan.

Kira-kira 1000 penyokong menghadiri ceramah beliau yang turut dikuatkan dengan kehadiran Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dan beberapa 'figur' KeADILan dan DAP setempat.

Begitu juga ceramah umum yang membabitkan Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mat Akin dan Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan di Telok Kemang yang mendapat tarikan ribuan penyokong.

Sementara di sebelah siangnya, kempen calon PAS banyak dibantu dengan pimpinan PAS, DAP dan KeADILan masuk ke kawasan kampung dan perumahan.

Program edar kueh bulan yang dijalankan oleh Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat yang dikepalai Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa dan pembantunya, Yau Con Seng mendapat sambutan baik pengundi Cina di Taman Orkid.

Kempen dijangka akan lebih rancak menjelang hari-hari terakhir termasuk pada 8, 9 dan 10 Oktober yang dijangkakan kehadiran Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim membawa 'misi' memugar minda pengundi.

PAS buktikan mampu tadbir Kelantan hampir 22 tahun

BAGAN PINANG: Kejayaan PAS mentadbir di Kelantan selama 19 tahun membuktikan parti itu mampu melaksanakan dasar 'Membangun Bersama Islam' seperti yang digariskan.

Calon PAS Pilihan Raya Kecil Dun Bagan Pinang, Zulkefly Mohamed Omar berkata negeri Cik Siti Wan Kembang itu berjaya dipimpin oleh golongan berstatus ulama walaupun dikenakan pelbagai sekatan dan tekanan.

"Kejayaan negeri yang dipimpin Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz membangunkan jiwa insan dan material di Kelantan membuktikan PAS dan Islam berupaya memerintah," katanya ketika berucap di majlis perasmian Pameran Kenali Kelantan bertema 'Kelantan Dinamik' di Unit Peti Undi (UPU) Bagan Pinang, baru-baru ini.

PAS sekarang, ujarnya bukan lagi sekadar sebuah parti politik biasa, bahkan ia sudah berupaya memerintah sebuah negeri.

"Ini merupakan bukti keupayaan PAS dan berharap pengundi memberi peluang untuk melakukan perubahan di Bagan Pinang pada kali ini," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato' Ustaz Ahmad Yaakob berkata program yang dianjurkan ini adalah bertujuan untuk memberi gambaran sebenar mekanisma dan program yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Kelantan dalam membangunkan negeri tersebut berpandukan Islam.

"Ia adalah sebagai penerangan secara terus daripada kami bagi menjawab segala tohmahan dan fitnah yang dilemparkan pihak yang tidak senang dengan kami sebagai sebuah kerajaan Islam," ujarnya dalam ucapan perasmian program tersebut.

Selain itu, beliau yang juga Yang DiPertua PAS Tumpat menegaskan Umno-BN tidak perlu takut dengan Islam yang dilaksanakan dalam bentuk amalan kehidupan apatah lagi sistem pemerintahan.

"Apa yang kita takut ialah BN tidak suka kepada Islam kerana PAS kini menjadi pemerintah di peringkat negeri dan pembangkang Persekutuan kini berusaha untuk menjadikan Islam sebagai dasar.

"Cuma yang menjadi kebimbangan adalah tidak kira siapa yang menyampaikan Islam ianya perlu didokong," katanya kepada mereka yang hadir.

Tegasnya, apa yang penting adalah menjadikan Islam sebagai budaya untuk mendaulatkan Islam agar ianya dapat dibuktikan kepada umum dan bukan sekadar retorik atau omongan kosong.

Walaupun peruntukan dari Kerajaan Pusat disekat ke negeri itu, ia tidak menghalang usaha untuk melaksanakan apa yang telah digariskan.

Turut berucap pada majlis tersebut, Exco Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi, Dr Mohd Fadzli Dato' Hassan, dan Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Menteri Besar Kelantan, Ir Abdul Ariffahmi Abdul Rahman.

Program 'Pameran Kenali Kelantan' yang diadakan di Bagan Pinang anjuran Kerajaan Negeri Kelantan merupakan kali pertama diadakan di luar negeri tersebut bagi memberi penerangan mengenai program dan inisiatif PAS sebagai sebuah kerajaan.

Hadir sama Exco Pembangunan Belia dan Sukan, Abdul Fatah Mahmood, Adun Bukit Tuku, Abdul Fatah Harun, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof, serta Timbalan Exco Urusetia Pembangunan Wanita dan Keluarga, Rohani Ibrahim.

Antara program menarik yang dianjurkan sepanjang program dari 3 hingga 10 Oktober itu termasuk pameran oleh agensi-agensi kerajaan seperti Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan, Perbadanan Menteri Besar Kelantan, urusetia Penerangan Negeri Kelantan, persembahan Dikir Barat, 'Bekwoh' atau Kenduri sekampung dan banyak lagi.

Kebimbangan PAS berasas, BN manipulasi lebihan kertas undi

BAGAN PINANG: PAS melahirkan rasa bimbang terhadap proses pengundian pos yang dijalankan pada 8 dan 9 Oktober ini, lebih-lebih lagi selepas pengundian itu selesai, kertas-kertas undi yang tidak digunakan kerana pengundi tidak turun mengundi akan dimanipulasi untuk memenangkan BN.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Pengundian Pos PAS Pusat bagi Pilihan Raya Kecil Dun Bagan Pinang, Suhaizan Kaiat berkata pada kebiasaan pengundian pos yang dijalankan sebelum ini, lebihan kertas-kertas undi yang tidak diguna akan dihantar semula kepada ketua-ketua kem tentera berkenaan.

"Kebimbangan kita adalah bila pengundi yang tidak keluar mengundi, kertas undi mereka akan diserahkan kepada ketua-ketua kem masing-masing dan ia boleh dimanipulasi pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya ketika ditemui Harakah.

Ujarnya, ketua kem tentera sepatutnya berhubung dengan pengundi yang tidak turun mengundi dengan memposkan kertas-kertas undi yang tidak digunakan.

Bagaimanapun, beliau membangkitkan kebimbangan terdapat risiko semasa proses menghantar kertas-kertas undi pos disebabkan tiada pantauan daripada agen-agen calon.

Suhaizan berkata hal demikian telah dibangkitkan ketika pertemuan yang dibuat bersama Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof baru-baru ini.

Beliau turut mengetengahkan mengenai isu tempoh pengundian yang dipendekkan kepada dua hari sahaja berbanding lima hari pada pilihan raya umum ke-12, Mac 2008 lalu.

"Semasa PRU 12, kira-kira lima hari diperuntukkan untuk proses pembuangan undi pos dijalankan tetapi kenapa kali ini hanya dua hari sahaja?

"Ia menjadi tanda tanya dan menimbulkan keraguan kepada Pakatan Rakyat, apatah lagi tempoh yang singkat ini boleh menyebabkan ramai yang tidak sempat mengundi sekaligus memberi peluang kepada insiden yang tidak diingini berlaku," tegasnya.

Beliau hairan mengapa tiada arahan khas dari Kementerian Pertahanan bagi mewajibkan tentera keluar mengundi.

"Walau bagaimana pun, saya merasakan tidak sewajarnya pihak penjawat awam saeperti tentera mengarahkan anggota bawahan untuk menyokong mana-mana pihak termasuk menggunakan teknik ugutan yang boleh menyebabkan pengundi berasa takut dan berasa tidak bebas untuk memilih," ujarnya.

Berdasarkan analisis daftar pemilih yang dibuat di Bagan Pinang terdapat sekurang-kurangnya 15 pusat berdaftar pengundi pos. Berikut jumlah pengundi pos yang berjaya dikesan mengikut lokaliti:

Pusat pemilih pos berdaftar dan jumlah

1. BALAI POLIS TELOK KEMANG = 28

2. IJED KEM KG SAWAH = 847

3. IJED KEM SI RUSA = 55

4. ILMI PORT DICKSON = 103

5. IPDA PORT DICKSON = 407

6. KAD KEM SUNGGALA = 1,130

7. KOMPENI KPD KEM SI RUSA = 265

8. MARKAS STAF GARISON = 1

9. MARKAS STAF STESEN PORT DICKSON = 98

10. PLATUN SERBA BHG. 1 KOMPENI ANGKUT = 2

11. PONDOK POLIS BATU = 2

12. PUSASDA KEM SI RUSA = 1,903

13. SEK. PENG. TENTERA DARAT PORT DICKSON = 57

14. SEKOLAH PERTUKANGAN PERINTIS = 105

15. WORKSHOP BRIGED KEM KG SAWAH = 165

Jumlah pemilih pos berdaftar di pusat = 5,168

Umno tidak belajar dari pengalaman, Tun M boikot Bagan Pinang!

KUALA LUMPUR: Umno menunjukkan kepada dunia bahawa ahli-ahlinya tidak belajar dari pengalaman apabila terus mendesak supaya Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dicalonkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Bagan Pinang, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kritikan Dr Mahathir yang semakin lantang menjadikan laluan Isa semakin sukar untuk menjadi calon BN di Bagan Pinang walaupun percubaan demi percubaan dibuat untuk mencalonkan bekas Naib Presiden Umno itu dalam pilihan raya kecil tersebut yang akan diadakan 11 Oktober ini.

"Kita tak banyak belajar, sebelum ini kita meletakkan seorang pembohong menjadi calon, yang dipecat oleh Majlis Peguam, yang menggunakan duit pelanggannya.

"Jika kita meletakkan calon seperti itu, sudah pasti kita akan kalah," Malaysian Insider memetik bekas Presiden Umno itu berkata.

Dr Mahathir juga membidas para pemimpin Umno di Telok Kemang yang mengungkit bahawa beliau juga pernah diusir dari Umno oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman tetapi kemudiannya diterima semula ke dalam Umno.

"Saya diusir bukan kerana rasuah atau politik wang tetapi kerana perbezaan pendapat dengannya (Tunku).

"Bila saya kembali (ke dalam Umno), ia kerana pandangan saya diterima. Saya tidak pernah mencuri wang," kata bekas Pengerusi BN itu.

Rabu lalu, Ketua Pemuda Umno bahagian Telok Kemang Mohd Faizal Ramli mempertahankan keputusan untuk menamakan Isa sebagai calon BN bagi pilihan raya tersebut.

Isa digantung keahliannya dalam Umno selama tiga tahun 2005 lalu kerana dituduh terlibat dalam politik wang ketika beliau muncul sebagai pemenang jawatan Naib Presiden dengan undi tertinggi pada pemilihan parti itu 2004 lalu, iaitu sebanyak 1,507 undi mengatasi Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam (1,329 undi) dan Timbalan Presiden Umno kini, Tan Sri Muhyiddin Yassin (1,234 undi).

Beliau kini ialah Ketua Umno Bahagian Telok Kemang dan kawasan DUN Bagan Pinang berada dalam bahagian itu.

Isa sebelum ini menolak pandangan yang menyatakan beliau akan menjadi liabiliti kepada BN jika dicalonkan dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang.

Cakap tak serupa bikin: Stesen bas Linggi gagal diusahakan calon BN

BAGAN PINANG: Apa lagi yang mahu dibangga rakyat Bagan Pinang, sekiranya jolokan 'anak tempatan' yang diberikan kepada calon BN, Tan Sri Isa Samad hanya jolokan 'kempen' menyedapkan hati semata-mata.

Sedangkan Isa Samad sewaktu menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun gagal dalam menunaikan janjinya kepada rakyat, hatta di Dun yang diwakilinya sendiri iaitu Linggi tidak mampu mengadakan stesen bas.

Seorang penduduk Linggi, Sulaiman Akil 66, yang ditemui Harakah pada 4 Oktober lalu berkata, sejak 20 tahun lalu projek membina stesen mini bas Linggi di Pekan Linggi tidak disempurnakan.

Walaupun setiap kali pilihan raya umum berlangsung, janji untuk menyiapkan stesen ini diulang-ulang, namun hingga kini stesen bas yang dimaksudkan itu hanya tinggal jajni kosong sahaja, katanya.

"Dia (Isa) nak bertanding pula di Bagan Pinang. Mengaku nak bawa pembangunan dan macam-macam, tetapi di Dun yang diwakilinya sendiri tak selesai.

"Tengoklah stesen bas ini (sambil menunjukkan tapak stesen) hanya ada besi terpacak. Ini kita boleh sebut satu kubur Isa. Semuanya gagal tak siap-siap sampai sekarang," tegasnya yang juga seorang peniaga di Pasar Linggi.

Beliau menyeru rakyat di Bagan Pinang agar tidak termakan dengan kata-kata Isa dan janji kosong BN yang hanya akan merugikan rakyat. Sejak berpuluh tahun lamanya Isa Samad menjadi Menteri Besar, tetapi pembangunan hanya untuk kroninya sahaja, kata Sulaiman lagi.

Dalam tinjauan Harakah di Dun yang pernah diwakili Isa selama 22 tahun mendapati, projek stesen bas yang didakwa tidak disiapkan itu, terbukti hanya tinggal beberapa batang cerucuk besi dan simen lantai.

Besi yang sudah berkarat terbiar, menjadikan tapak itu dihuni oleh lembu dan 'orang kurang siuman' yang mundar-mandir di situ.

Tinjauan di sepanjang jalan Pasir Panjang menuju ke Pekan Linggi pula mendapati, keadaan jalan sangat teruk. Beberapa projek naik taraf jalan yang dibuat sejak beberapa tahun lalu gagal diselesaikan mengakibatkan permukaan jalan berlubang-lubang.

Ini termasuk usaha meluruskan jalan yang bersimpang siur juga tidak selesai, yang tinggal hanyalah kon-kon di bahu jalan.

Banyak projek Isa Samad gagal ketika berkuasa

BAGAN PINANG: PAS membongkar projek-projek yang terbengkalai semasa calon BN, Tan Sri Isa Abdul Samad menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan sejak 1984 sehingga 2004 sebagai tanda kegagalan pemimpin Umno itu berkhidmat dan memajukan kawasannya, lapor Wan Nordin, Intan Abdullah dan Faiz Abdulah di Bagan Pinang.

Pengarah Jentera Operasi PAS Pilihanraya Kecil Dun Bagan Pinang, Salahuddin Ayub membangkitkan perkara itu sebagai membidas tuduhan Umno kononnya calon PAS, Zulkifly Mohamad Omar bukan anak tempatan di situ.

Beliau menegaskan perkara ini pada sidang media harian Pakatan Rakyat di Markaz Induk PAS, Jalan Pantai, dekat sini.

Katanya, apa guna Isa yang jadi anak tempatan tetapi gagal membangunkan kawasannya selama 22 tahun berkuasa sebagai Menteri Besar. Isu anak tempatan, tegasnya, terlalu kecil jika dibandingkan dengan kegagalan Isa sewaktu menjadi Menteri Besar dan Adun Linggi.

Salahuddin juga mendakwa, Isa juga ditolak menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum ke-12 2008 lalu kerana didapati bersalah terlibat dengan amalan rasuah dan ini sangat memalukan Umno apabila tokoh rasuah ini diangkat mejadi calon untuk wakil rakyat Bagan Pinang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian mendedahkan mengenai projek pembinaan jalan raya oleh Isa yang menghubungkan antara Jalan Pasir Panjang ke Linggi sepanjang 10 km yang terbengkalai sejak tahun 1978.

"Apa dia (Isa) buat selama 22 tahun jadi Menteri Besar sehingga jalan yang sepanjang 10 km ini terbengkalai begitu lama?" soalnya.

Salahuddin percaya, pengundi Bagan Pinang akan menolak calon BN dan memilih calon PAS pada pilihan raya kali ini, kerana mereka ada pilihan berbanding pilihan raya sebelum ini.

Zulkefly tegas beliau, pernah terlibat dengan projek Nur Incenarator di Broga sebagai bukti penglibatan beliau membela nasib rakyat sebelum menjadi calon.

Pada sidang media itu, Salahuddin memaklumkan pertemuan susulan yang akan diadakan dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung pengundian pos yang akan dijalankan pada 8 dan 9 Oktober akan datang.

"Kami akan bertemu dengan Tan Sri Abdul Aziz dan SPR esok (5 Oktober) bagi membincangkan secara lanjut mengenai pengundian pos serta persoalan-persoalan yang dibangkitkan oleh Pakatan Rakyat sebelum ini.

"Ini bukan untuk kepentingan kami sebaliknya bagi memastikan hak rakyat khususnya para tentera pada masa akan datang," tegasnya.

Kekalkan prinsip dan imej bersih tentera, tolak perasuah

BAGAN PINANG: Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Firdaus Jaafar merayu anggota tentera agar menolak calon Barisan Nasional, Tan Sri ISa Samad pada Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang, 11 Oktober ini.

Anggota tentera yang akan mengundi 8 Oktober ini perlu memikirkan tradisi tentera yang cukup bersih dari segala unsur rasuah atau penyelewengan, katanya.

"Mereka perlu memberi undi kepada calon PAS, Zulkefly Mohamad Omar yang ternyata bersih, berwibawa, tidak terbabit dengan rasuah dan tidak terlibat dengan salah urus tadbir. Yang penting seorang yang berjiwa rakyat," tegasnya.

Katanya, sikap dan keterampilan calon PAS ini bersesuaian dengan naluri anggota tentera yang bersih dan amanah serta menjunjung tinggi soal integriti.

"Calon BN sah seorang perasuah. Dalam pemilihan Umno empat tahun lalu beliau disahkan menggunakan rasuah untuk menang jawatan jawatan Naib Presiden Umno. Dalam pentadbiran selama 22 tahun banyak tanah tergadai, janji tidak ditunaikan, pelbagai penyelewengan berlaku.

"Justeru Isa Samad perlu ditolak penduduk Bagan Pinang," katanya lagi.

Mengulas mengenai kempen jentera Pemuda PAS di Bagan Pinang, Firdaus memaklumkan sejumlah 600 petugas pemuda sudah berkampung di Bagan Pinang. Pemuda dari seluruh negara diturunkan bagi membantu kempen dan mengerakkan jentera Pemuda PAS di sini, katanya.

Umno beli jentera Pakatan Rakyat?

BAGAN PINANG: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Keadilan, Badrul Hisham Shaharin mendedahkan kepada Harakah, Umno akan membeli jentera atau aktivis Pakatan Rakyat dalam usaha melumpuhkan kempen calon PAS di Bagan Pinang, lapor Wan Nordin di Bagan Pinang.

Beliau yakin maklumat yang diterima setakat ini, Umno/BN akan membeli jentera dalam masa terdekat, justeru hal ini perlu dipandang serius dan diambil langkah berjaga-jaga.

Sejak mutakhir ini, taktik demikian sering digunakan Umno/BN sebagai senjata yang berkesan walaupun di beberapa kali pilihan raya kecil sebelum ini mereka gagal mengalahkan Pakatan Rakyat, katanya.

"Saya difahamkan, akan ada yang menerima tawaran tersebut, dan inilah yang membimbangkan kita," katanya.

Bagaimana pun, ujar Badrul Hisham lagi, beliau akan memberi kejutan kepada Umno/BN apabila akan mendedahkan beberapa penyelewengan tanah, salah tadbir yang melibatkan calon BN, Tan Sri Isa Samad sewaktu menjadi Menteri Besar selama 22 tahun.

PAS kemuka tema "Bersama Kehendak Rakyat" di Bagan Pinang

‘BERSAMA kahendak rakyat’ dipilih sebagai ‘tema’ atau tagline Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang yang akan berlangsung pada 11 Oktober 2009.

Ini memberi gambaran bahawa rakyat memain peranan yang sentral dalam kehidupan bernegara. Rakyat merupakan asas (foundation) kepada negara. Ini juga bermakna negara (the state) dan aparat pentadbiran yang lahir darinya perlu akur kepada kehendak rakyat.

Ini amat bertepatan sekali kerana rakyatlah yang memberi kuasa kepada negara (melalui kerajaan yang ditubuh); maka sebagai balasan amatlah wajar bagi negara memenuhi tuntutan rakyat.

Secara umumnya terdapat dua bentuk tuntutan rakyat yang juga merupakan keperluan asasi (basic needs). Pertama, yang berbentuk kebendaan (material needs); dan kedua yang berbentuk bukan kebendaan (non-material needs).

Dalam sebuah masyarakat demokratik, tuntutan yang bersifat kebendaan ialah merujuk kepada keperluan makanan, pakaian dan tempat tinggal. Sekiranya rakyat diberi kebebasan untuk mengundi, maka secara logiknya mereka perlu turut dibekalkan dengan makanan yang sihat dan seimbang dan harga yang berpatutan.

Mereka juga perlu dibekalkan dengan pakaian yang sempurna. Akhirnya, mereka perlu dibekalkan dengan tempat tinggal (rumah) yang selesa.

Dalam konteks Malaysia, isu tidak cukup pakaian tidaklah begitu kritikal; tetapi isu perumahan dan makanan merupakan isu-isu yang amat penting untuk kehidupan rakyat.

Isu makanan masih tidak mampu ditangani secara berkesan oleh Umno/BN. Mereka seolah-olah tidak serius menangani isu yang begini penting untuk survival rakyat.

Isu kekurangan gula amat memalukan rakyat kerana ia mencerminkan kelemahan agensi penguatkuasaan kementerian berkenaan. Isu harga beras yang melambung tidak ditangani secara baik dan berkesan oleh kerajaan. Walhal, beras adalah makanan ruji rakyat.

Ini memperlihatkan kerajaan pimpinan Umno/BN tidak mempunyai perancangan jangka pendek dan panjang yang berkesan bagi menangani isu yang amat penting ini. Apa dah jadi kepada Dasar Makanan Negara? Isu keselamatan makanan (food security) seolah-olah tidak menjadi dasar teras negara.

Dalam hal ini kerajaan Umno/BN nampaknya lebih selesa untuk mengambil jalan pintas dengan mengimport beras dari luar negara (Thailand, misalnya) daripada meningkat prasarana pertanian bagi meningkat pengeluaran padi di negara sendiri atas pertimbangan kos.

Dasar ini mempunyai risiko yang tinggi. Dalam keadaan dunia yang tidak menentu dalam hal perubahan cuaca, mala petaka gempa bumi dan sebagainya, kita dapat gambarkan bahawa risikonya adalah lebih tinggi.

Memahami latarbelakang inilah dasar yang berkaitan dengan makanan yang akan digubal dan diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat mengambil kira realiti ini agar ia tidak membebankan rakyat.

Dalam kes perumahan ia adalah juga serius. Harga rumah melambung dengan begitu cepat sekali berbanding peningkatan pendapatan rakyat. Bagi mereka yang berpendapatan sekitar RM5000 sebulan adalah agak mustahil untuk mereka memiliki sebuah rumah yang selesa di sekitar Kuala Lumpur dan pinggirannya.

Secara purata rumah semi-D berkembar telah mencecah harga sekitar RM1 juta untuk satu unit rumah. Pekerja awam kumpulan sokongan yang bekerja di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan sebagainya yang gaji bulanan mereka tidak sampai RM 2000 berhadapan dengan masalah yang besar untuk memiliki rumah.

Jumlah pekerja kumpulan ini agak besar. Bagi mereka yang miskin di peringkat luar bandar, pengagihan rumah-rumah mampu bayar dan PPRT seringkali dipolitikkan.

Pakatan Rakyat akan menggubal dasar-dasar perumahan agar sebahagian besar rakyat memiliki rumah mereka sendiri dengan mengambil kira harga rumah semasa dan tahap pendapatan rakyat.

Dalam ertikata lain, Pakatan Rakyat tidak akan membenarkan kuasa pasaran yang akan menentukan segala-galanya. Kuasa pasaran yang ‘songsang’ (atau ‘tidak sempurna’) adalah pada hakikatnya bikinan segelintir pemaju perumahan yang ingin mengaut keuntungan segera tanpa mengambil kira kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.

Pentingnya rakyat memiliki rumah mereka sendiri dalam sistem demokrasi sehinggakan pemilikan rumah merupakan pra-syarat kepada kewujudan demokrasi itu sendiri sehingga terbit kata-kata seperti house-owning democracy.

Kehendak rakyat juga mencakupi keperluan yang bersifat bukan kebendaan (non-material needs). Ini termasuklah keperluan jaminan keselamatan (selain keselamatan makanan yang kita telah bincang di atas), rasa harga diri (self-respect) yang tinggi, jaminan sosial (social security) dan sebagainya.
Dengan memiliki jaminan-jaminan yang bersifat bukan kebendaan maka rakyat akan mempunyai harga diri yang tinggi dan ini membolehkan mereka menyumbang secara bermakna kepada kesejahteraan negara yang mereka sendiri membinanya.

Ini bermakna kesejahteraan negara dan rakyat merupakan satu simbiosis dan bersifat resiprokal. Semuanya ini akhirnya menyumbang kepada peningkatan ‘kedaulatan rakyat’ (people’s sovereignty) dan kedaulatan rakyat adalah juga merupakan teras kepada sistem demokrasi.

Dalam konteks kedaulatan rakyat ini, rakyat perlu secara rasional mengamalkan hak-hak asasi mereka sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan negara. Hak untuk bersuara secara rasional dan objektif berdasarkan fakta-fakta yang sahih perlu diberi kebebasan yang seluasnya.

Membudayakan hak ini akhirnya melahirkan satu sistem demokrasi yang mementingkan hal-hal sentral yang berkaitan dengan ketelusan (transparency) dan pertanggungjawaban (accuntability). Dua elemen ini penting bagi menghapus penyakit kronisme dan penyalahgunaan kuasa yang begitu berakar-umbi dalam budaya Umno/BN.

PAS sebagai sebuah Gerakan Islam, mempunyai sumbangan yang tersendiri bagi memperkukuhkan perspektif di atas. Di samping mengambil kira perspektif keperluan kebendaan (harta) seperti yang dirujuk dalam perbincangan di atas, Islam memberi jaminan keselamatan kepada agama, akal, maruah dan keturunan.

Malah keempat-empat angkubah ini adalah berkaitan di antara satu sama lain. Apabila selamatnya agama maka secara logisnya selamatlah akal, maruah dan keturunan. Keperluan maruah boleh dikaitkan dengan keselamatan sosial secara umum.

Warganegara yang terikat dengan nilai-nilai ini akan menjadikan mereka seorang warganegara yang bertanggungjawab dan berintegriti. Persekitaran sosio-politik ini yang ingin dibina oleh Pakatan Rakyat dan calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat mempunyai latarbelakang yang bersih, berpendidikan tinggi dan berintegriti secara umumnya.

Ini amat jelas apabila beliau dibandingkan dengan calon Umno/BN yang mempunyai latarbelakang yang boleh dipertikaikan. Dari sudut latarbelakang calon, contoh model (role-model) seorang ahli politik yang berintegriti jelas ada pada calon PAS dan bukan pada calon Umno/BN.

Kepimpinan politik yang tidak menitikberatkan faktor integriti dalam pimpinannya akan mendorongnya untuk menerima elemen-elemen negatif seperti kronisme dan rasuah sebagai sesuatu yang biasa.

Malah ia juga dilihat sebagai satu sistem yang integral dalam penerusan sistem tersebut. Ia telah diinstitusikan dalam sistem berkenaan. Ia telah membarah dalam sitem yang dimaksudkan.

Dari sudut ini, adalah sesuatu yang aneh dan kelakar apabila Umno/BN mengisytiharkan perang terhadap rasuah kerana secara hakikinya ini bermakna mengisytiharkan perang ke atas diri mereka sendiri!! Dalam bahasa yang mudah mereka bersendiwara.

Sistem politik bentuk ini sudah semestinya menafikan kehendak-kahendak asasi rakyat yang berbentuk kebendaan dan bukan kebendaan sebagaimana yang kita bincang secara ringkas di atas.

Dengan menggunakan tema ‘Bersama Kahendak Rakyat”, Pakatan Rakyat (melalui calon PAS) secara ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk mewujudkan satu sistem alternatif yang bebas dari persoalan kronisme dan rasuah dan meletakkan kepentingan dan kesejahteraan rakyat sebagai tunggak perjuangan politik.

Dengan mengemukakan satu sistem politik alternatif yang berteraskan integriti, maka Pakatan Rakyat secara realistik dapat benar-benar merealisasi dan mendahului kepentingan rakyat. Ia memberi alternatif yang juga realistik kepada retorik politik tajaan Umno/BN yang sedang heboh ditaja iaitu ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.

Ditulis Oleh DR WAN ABDUL RAHMAN WAN AB LATIFF
Penulis adalah Pengarah Jabatan Penyelidikan PAS Pusat

Kempen mesra calon PAS, Zulkefly Omar cuit hati pengundi

LEBIH kurang sebulan lalu, Ustaz Salleh Man berjaya dalam percubaan kali keempat dengan memenangi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Permatang Pasir, Pulau Pinang, Lapor Wan Nordin Wan Yaakob dari Bagan Pinang.

Kini, di Bagan Pinang, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkifly Mohamad Omar sedang mencuba nasibnya. Dun Bagan Pinang bukan asing bagi Zulkefly yang dipertaruhkan PAS bagi menentang Tan Sri Isa Samad yang kononnya popular di sini.

Pilihan raya bukan sesuatu asing bagi Zulkefly kerana beliau telah bertanding dalam pilihan raya umum tiga kali, sebelum ini di Dun Lenggeng. Walaupun tewas tiga kali, namun azamnya tetap tinggi membantu parti dan memperjuangkan dasar Islam serta kesejahteraan sejagat.

"Sebelum ini saya dah banyak kali bertanding, walaupun tewas namun bagi saya apa yang penting ialah mesej yang saya ingin sampaikan kepada rakyat. Kemungkinan keadaan belum untuk menang, tetapi bagi kita yang pentingnya, setiap kali berhadapan dengan pilihan raya, memang kita tidak mahu memberi satu laluan mudah untuk dimenangi Umno-BN," tegas Zulkefly.

Namun kata Pesuruhjaya PAS itu, apabila setiap kali ada pilihan raya, beliau sudah dapat mengurangkan majoriti BN. Sejak sebelum penamaan calon lagi, Zulkefly sudah mula 'berkampung' di Bagan Pinang, beliau tidak 'kekok'dengan masyarakat di sini.

Sebaik selesai langkah pertama iaitu penamaan calon dan sah menentang Isa Samad, beliau mula menjalankan kempen setiap hari di masjid dan surau dengan mengimarahkannya sebaik subuh meniti hari.

Seusai subuh, Zulkefly mula menggerakkan langkahnya beramah mesra dengan kariah masjid di beberapa buah masjid sekitar Bagan Pinang termasuk di Telok Kemang dan Sunggala serta di Garrison.

Menyingsing sahaja fajar, beliau mengatur langkah ke beberapa kawasan terutamanya di pasar-pasar kecil sekitar Telok Kemang bagi menyantuni peniaga dan pembeli. Sikapnya yang ramah dan mesra mudah mendekati setiap insan menyebabkan kempen berlangsung mudah dan lancar.

Sekitar jam 8.30 pagi, beliau akan singgah di kedai kopi untuk menyantuni sambil minum-minum pagi bersama pengundi.

Yang tua disapa mesra, yang muda disantuni penuh kasih sayang, wajahnya tetap ceria walaupun melalui jadual kempen yang sangat ketat hingga ke jam 12.00 tengah malam.

Di waktu tengahari pula, beliau masuk ke kampung-kampung untuk menemui pengundi, selain ke taman-taman perumahan. Setiap masalah penduduk didengar dengan teliti, janji tidak ditabur namun komitmen tetap diberi bagi membantu setiap yang mengadu.

Zulkefly yang sentiasa kemas berpakaian dan berkaca mata memberitahu pihaknya sentiasa bergerak tanpa menunggu pilihan raya umum atau pilihan raya kecil dipanggil.

"Gerakan kerja kita ini memang sentiasa dijalankan... sentiasa kita bergerak disemua peringkat, apatah lagi bila berlaku kejutan macam ini. Isu saya bukan anak Bagan Pinang tidak timbul. Ini kerana saya sering mengunjungi kawasan ini dan beberapa isu termasuk isu jalan raya dan tanah saya pernah kendalikan," tegasnya.

Menjengah kempen pilihan raya kecil yang memasuki hari ketiga (ketika ditulis) Zulkefly meneruskan gaya kempen yang mesra dan ramah. Mengenai peluang untuk merampas kerusi Dun Bagan Pinang, Zulkefly meminta rakyat melakukan perubahan dengan memberi peluang kepada PAS mewakili mereka di sini.

Sebaik disebut akan tanggungjawab yang besar dan menuntut komitmen yang tinggi dalam khidmat masyarakat sekiranya menang pada 11 Oktober ini, Zulkefly yakin beliau telah bersedia dengan pengalaman 'khidmat' kepada masyarakat tanpa sempadan yang terbekal sebelum ini.

Selaku pemimpin nombor satu PAS Negeri Sembilan, lokasi-lokasi jauh yang sering dikunjungi sekitar Negeri Sembilan bagi meneliti dan menyelesaikan masalah rakyat boleh membantunya dalam berkhidmat di Bagan Pinang.

"Saya sudah membuat persediaan. Sedikit lawatan untuk melihat di beberapa buah kampung. Analisis yang dibuat menunjukkan mereka mahu bersama PAS dan ingin sangat untuk melihat perubahan berlaku. Kita beranggapan mereka juga akan bersama-sama kita," tambah beliau.

Zulkefly juga menyentuh mengenai harapan rakyat khususnya pengundi kerusi Bagan Pinang.

"Kalau kita nak lihat, nak dibangkitkan isu pembangunan di Bagan Pinang ini sudah pun ada. Dari segi prasarana dan keperluan asas, tidak banyak yang boleh ditimbulkan."

Namun, isu kegagalan projek-projek pembangunan dan kesan pembangunan pelancongan yang tidak memihak kepada penduduk Bagan Pinang menjadi antara fokusnya. Begitu pun, Zulkefly tidak mahu menyerang peribadi Isa Samad yang terpalit rasuah dan salah urus tadbir ketika 22 tahun menjadi Menteri Besar.

Sebakliknya teman-teman pimpinan lain dalam PAS, DAP dan KeADILan yang menjalankan serangan-serangan bukan berbentuk peribadi, namun ia adalah satu pendedahan kebenaran.

Paling penting, usia yang muda dan rekod peribadi yang bersih, profesional, berjiwa rakyat dan memimpin boleh dipertaruhkan selain kejayaan Zulkefly mengusir projek Loji Insinerator di Broga aset terbaik.

"Saya difahamkan calon BN bukan orang tempatan di sini. Dia berasal dari Sungai Udang, Melaka. Sementara saya bukanlah anak tempatan Bagan Pinang, tetapi saya anak jati Negeri Sembilan," katanya.

Zulkefly yang melalui jadual kempen di sebelah petang dan malam dengan lebih bertenaga sudah melalui pelbagai ragam, tribulasi terhadap perjuangan dan politik.

Paling menarik sikap suka membantu yang dimiliki semula jadi dalam dirinya tertonjol, dan pada 4 Oktober ketika berkempen di tapak niaga Batu 4, Jalan Pantai kejadian penganiayaan terhadap peniaga diselesaikan secara spontan.

Ketika melalui kawasan peniaga, tatkala itu juga kontraktor yang mahu memasang kanopi yang menghalang kedai-kedai peniaga di situ cuba diselesaikan supaya ia tidak mengganggu peniaga yang telah lama mencari rezeki di situ.

Ucapan terima kasih bertali arus disampaikan dua peniaga yang dibantunya.

Zukefly meletakkan pencalonan ini sebagai satu amanah, yang penting baginya meneruskan kerjaya di samping untuk melaksana dan mengangkat selain menunaikan satu kewajiban dan tanggungjawab.

Sambil tidak menafikan Bagan Pinang sebagai kubu kuat BN di Negeri Sembilan, namun azamnya mengatasi kegentaran itu yang tidak menjadikannya tertekan. Amanah yang telah dipertanggungjawabkan oleh pimpinan PAS dan sokongan yang diberikan rakyat di Bagan Pinang menjadikan Zulkefly 'pejuang sejati'.

Usah biarkan dosa Isa terperap di Bagan Pinang

LEBUH raya Utara–Selatan menghala ke Seremban menjadi sendat 3 Oktober lalu. Hari itu hujung minggu. Hari tidak bekerja di negeri-negeri sebelah pantai barat. Tambahan pula kesyahduan Syawal masih lagi terasa.

Jam menunjukkan jam 4 pagi. Biasanya hanya bas ekpress atau lori panjang yang menguasai lebuh raya tahkala itu. Namun, pagi 3 Oktober dipenuh kereta dan van. Pemandu dan penumpang ramai beralas kopiah di kepala. Di Nilai dan Seremban, masjid dan surau tiba-tiba dilimpahi tetamu.

Itulah fenomena yang berlaku Sabtu minggu lalu. Ke mana mereka menghala, rupa-rupanya Bagan Pinang, Port Dickson. Kelibat mereka semakin jelas selepas fajar semakin menyinar.

Mereka bersesak-sesak mulai jam 8 pagi menghala ke Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson. Orang yang ditemui di lebuh raya awal pagi tadi rupa-rupanya kumpulan anak yang membawa semangat politik baru dari Kuala Lumpur.

Mereka tidak menghiraukan arahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya setiap parti mengawal penyokongnya di hari penamaan calon. Kenyataan itu berulang kali disebut SPR. Alasannya bagi menutup aib parti BN-Umno.

Kehadiran penyokong Pakatan di setiap tempat penamaan calon pasca Mac 2008 begitu merimaskan parti BN. Sokongan terhadap Pakatan Rakyat tidak pernah surut. Ia bermula di Permatang Pauh pada 26 Ogos 2008 dan sebelum ini di Permatang Pasir, 10 Ogos 2009.

"Ramai yang memberitahu kehadiran penyokong Pakatan di Bagan Pinang jauh lebih ramai berbanding di Bukit Gantang pada 7 April lalu," kata seorang kakitangan kerajaan dari Kedah.

Beliau turut berada di Bagan Pinang Sabtu lalu. Situasi itu seakan-akan menggambarkan fenomena tujuh pilihan raya kecil di Semananjung sedang berulang di Bagan Pinang.

Sedangkan ramai memberi gambaran awal Umno sudah menang di atas kertas. Penganalisis politik, Dato’ Cheah See Kian hanya minat berbicara sebesar mana majoriti BN, lapor sebuah laman web.

Bagaimanapun beliau melihat undi bukan Melayu menjadi faktor penentu pilihan raya kecil terbabit. Bagan Pinang mempunyai 20 peratus pengundi India dan 10 peratus Cina.

Manakala Dr Sivamurugan Pandian dari USM berhujah BN boleh memenangi kerusi terbabit tanpa banyak sokongan bukan Melayu.

"BN menang dengan majoriti 2,400 undi hasil sokongan pengundi Melayu manakala undi India dan Cina pergi kepada PAS," katanya.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM, Prof Dr Ahmad Atory Hussain tidak menolak faktor aura dan populariti Isa boleh membawa kemenangan kepada BN. Mereka sebenarnya cuba menyembunyikan fakta sebenar. Umno mempunyai kelebihan di Bagan Pinang kerana undi pos. Di Teluk Kemang terdapat banyak kem tentera.

Di Si Rusa mempunyai Ijed Kem Kampung Sawah, Ijed Kem Si Rusa, Ilmi Port Dickson, IPDA Port Dickson, Kem Sunggala, Kompeni Kem Si Rusa, Markas Staf Garison, Markas Staf Stesen Port Dickson.

Selain itu Platun 1 Kompeni Angkut, Pondok Polis Batu, Pusasda Kem Si Rusa, Sekolah Pengurusan Tentera Darat Port Dickson, Sekolah Pertukangan Perintis dan Workshop Briged Kem Kampung Sawah. Kesemuanya berjumlah 4,574 pemilih pos.

Dan apabila dicampur di Bagan Pinang ada 4,604 pemilih pos. Maka tanpa sembunyi lagi ramai pemerhati politik memberi kemenangan percuma kepada BN.

Namun, ia tidak semudah itu apabila diambil kira gelombang rakyat yang berlaku di bawah. Pemimpin Umno yang merasai fenomena tersebut hanya Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah.

Dr Mahathir dari awal lagi menasihatkan, "jangan calonkan Isa Samad. Tan Sri Isa sudah didapati bersalah, kalau Umno letak dia juga bermakna Umno tak ambil berat tentang kes-kes macam ini," kata Perdana Menteri ke-4 itu.

Ku Li pula menasihatkan Umno mengambil iktibar keputusan Pilihan Raya Kecil Permatang Pasir. Menurutnya, punca rasa tidak puas hati rakyat terhadap BN di situ kerana sikap angkuh dan korup calon.

Isa disabitkan dengan korupsi pada 24 Jun 2005 oleh Panel Lembaga Disiplin Umno. Pengerusinya, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Ismail menjatuhkan hukuman penggantungan keahlian selama enam tahun terhadap Isa.

Sebelum itu pada Perhimpunan Agung Umno, Isa menang jawatan Naib Presiden Umno. Bagaimanapun dia telah disabitkan bersalah atas 5 pertuduhan rasuah (politik wang). Antara pertuduhan yang dikemuka membabitkan penganjuran pertemuan, mengadakan majlis makan dan memberi wang untuk membeli undi.

Ketika itu, Isa merupakan Menteri Wilayah Persekutuan sejak 2004. Namun pada Jun 2005 jawatan menteri miliknya dilucut. Sebelum bertanding di kerusi parlimen Jempol, Isa mengetuai kerajaan Negeri Sembilan sejak April 1982 hingga Mac 2004.

Isa bertapak di Dun Linggi sejak 1978 - 2004

Nasib Isa sebenarnya begitu malang dalam Umno. Pada 1993 Isa pernah mencuba nasib bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno, namun tewas kepada Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik.

Dan pada pemilihan berikutnya beliau bertanding jawatan Naib Presiden Umno tetapi tewas. Isa hanya berjaya dalam Umno hanya kerana rasuah politik. Pada 2005 Isa meninggalkan Tan Sri Muhyiddin Yassin di kedudukan tiga selepas Dato’ Seri Ali Rustam di kerusi Naib Presiden.

Mengambil kira realiti yang berlaku itu, mampukah 13,664 pengundi Bagan Pinang bersekongkol dengan pemimpin yang terjebak dengan rasuah. Sedangkan pengundi di tempat lain menolak pemimpin yang dipalit rasuah.

Di sudut lain kemunculan Isa menjadi satu hambatan baru buat Dato’ Seri Mohamad Hassan. Kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan itu yang cuba menafikan berkali-kali renggang dengan Isa menjelaskan keadaan sebenar.

Di bawah Mohamad, BN Negeri Sembilan kehilangan banyak kerusi pada pilihan raya umum lalu. BN hanya bertahan di 21 kerusi Dun berbanding Pakatan (15 kerusi).

"Kekurangan enam kerusi membuktikan kepemimpinan Mohamad sudah tidak lagi diterima rakyat," kata pegawai penyelidik dari Pusat Kajian Strategik (PKS) Negeri Kelantan, Zainal Abidin Hussin.

Mohamad juga enggan mengulas sama ada Isa akan dilantik sebagai Exco kerajaan negeri sekiranya menang di Bagan Pinang pada 11 Oktober ini.

"Saya tidak mahu komen. Tunggulah menang dahulu," kata Mohamad seperti dilaporkan media.

Kini calon PAS, Zulkefly Mohamad Omar merapatkan saingan dengan Isa. Biar pun Bagan Pinang dilabel kubu kuat Umno dan kampung Isa, namun rakyat semakin dahagakan integriti dan keadilan.

Umno sudah terbukti gagal melahirkan pemimpin berintegriti. Isa antaranya produknya. Dosa Isa usah dibiarkan bermukim di Bagan Pinang. Kini hanya Zulkifly satu-satuanya pilihan yang ada.

Seperti kata Saiyidina Abu Bakar, ‘taatilah saya selagi saya taat kepada Allah’. Inilah jejak perjuangan Zulkefly. Dia tidak rela noda Umno terperap di Bagan Pinang.

RASUAH: Ayuh! Isa Samad mesti jawab kemusykilan rakyat ini!

EKORAN daripada Barisan Nasional mengemukakan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad selaku calon yang bertanding berdepan dengan Zulkefly Mohamad Omar dari PAS, maka banyak persoalan dapat dibangkitkan dan memerlukan jawapan.

Penjawab utama semestinya Mohd Isa sendiri selaku ‘tuan diri,’ kerana rakyat inginkan jawapan yang pasti. Kepastian itu adalah pemutus untuk rakyat bertindak sama ada mahu mengundi beliau atau menolak beliau.

Apa yang pasti, kesemua soalan adalah mencabar nilai-nilai integriti dan imej bersih (putih) atau kotor (hitam) peribadi Mohd Isa selaku calon pilihan raya kecil. Fakta dan persoalan yang dianalisis berikutnya merupakan titik-titik yang harus dilihat oleh pengundi secara khusus.

Ramalan Mahathir, Mohd Isa tidak menang

Dr. Mahathir meramalkan dalam blognya, di Bagan Pinang, saya percaya siapa juga yang dilantik sebagai calon, besar kemungkinan dia akan menang. Namun, realitinya imej Umno sekarang sudah banyak tercemar dengan politik wang semasa pemilihan Majlis Tertinggi.
Boleh dikatakan hampir semua yang dipilih terlibat dengan rasuah. Sesungguhnya orang ramai tidak lagi hormati Umno dan besar kemungkinan mereka tidak akan undi calon Umno dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.

Pertikaian pencalonan Mohd Isa

Kata Dr. Mahathir, "jangan calonkan Mohd Isa Samad". Imej Umno akan terjejas kerana dianggap tidak serius dalam memerangi politik wang sekiranya masih meletakkan mereka yang sudah didapati bersalah dalam rasuah politik sebagai calon.
"Tan Sri Mohd Isa sudah didapati bersalah, kalau Umno letak dia juga bermakna bahawa Umno tak ambil berat tentang kes-kes macam ini."
Adakah rakyat sedia menanggung segala dosa Mohd Isa yang sudah melanggari hukum Umno itu sendiri?
Tengku Razaleigh pun menasihatkan Umno supaya mengambil iktibar daripada keputusan pilihan raya kecil Permatang Pasir, dalam memilih calon yang sesuai bagi mempertahankan kerusi DUN Bagan Pinang. Menurutnya, punca rasa tidak puashati rakyat terhadap BN itu adalah persepsi bahawa mereka yang memegang kuasa adalah angkuh dan korup. Korup bermakna ‘pengamal rasuah,’ apakah Mohd Isa tidak korup?

Mohd Isa sebenarnya ‘perasuah’

Pada pagi 24 Jun 2005, Panel Lembaga Disiplin Umno yang dipengerusikan oleh Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Ismail telah menjatuhkan hukuman penggantungan keahlian selama 6 tahun kepada Naib Presiden Umno, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.
Mohd Isa telah disabitkan bersalah atas 5 pertuduhan daripada 9 pertuduhan asal rasuah (politik wang). Antara pertuduhan yang dikemukakan adalah berhubung amalan rasuah termasuk membabitkan penganjuran pertemuan, mengadakan majlis makan dan memberi wang untuk membeli undi.
Perbuatan rasuah ini telah dilakukan oleh Mohd Isa melalui agennya merangkap Setiausaha Politik beliau, Salim Shariff ketika bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan September tahun lalu.
Dalam pertandingan tujuh penjuru bagi jawatan itu, Mohd Isa berada di kedudukan teratas dengan 1,507 undi diikuti Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam mendapat 1,329 undi, manakala Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin di tempat ketiga dengan 1,234 undi.
Penggantungan ini telah mengesahkan segala desas desus berhubung kemenangan besar beliau dalam pemilihan Umno yang lalu. Ini sekaligus menunjukan bahawa UMNO bukan sahaja busuk diperingkat bawahan tetapi sememang membusuk dari peringkat atasan.
Keputusan yang dibuat oleh Lembaga Disiplin Umno ini benar–benar mencalarkan karier politik Mohd Isa. Beliau diminta berundur serta merta sebagai Ahli Parlimen. Meletakan jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan memandangkan beliau juga telah melanggar kod etika penjawat awam.
Jika dirujuk pada Akta Pencegahan Rasuah 1997, beliau kini seharusnya sudah merengkok didalam penjara. Perenggan ke 11, Akta Pencegahan Rasuah 1997 telah menyatakan bahawa;
11. Jika-
(b) mana-mana orang secara rasuah memberikan atau bersetuju untuk memberikan atau menawarkan apa-apa suapan kepada mana-mana ejen sebagai dorongan atau upah bagi melakukan atau tidak melakukan, atau kerana telah melakukan atau tidak melakukan apa-apa perbuatan berhubungan dengan hal-ehwal atau perniagaan prinsipalnya, atau bagi memberikan atau tidak memberikan sokongan atau tentangan kepada mana-mana orang berhubungan dengan hal-ehwal atau perniagaan prinsipalnya; dia adalah melakukan suatu kesalahan.
Perenggan ke 16 pula menyatakan bahawa;
16. Mana-mana orang yang didapati bersalah atas suatu kesalahan di bawah seksyen 10, 11, 13, 14 atau 15 boleh apabila disabitkan -
(a) dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada empat belas hari dan tidak lebih daripada dua puluh tahun; dan
(b) didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau sepuluh ribu ringgit, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Malangnya Umno telah memutar belitkan perkataan RASUAH kepada POLITIK WANG dan menghalang Badan Pencegah Rasuah untuk membuat siasatan berdasarkan perundangan negara dengan alasan bahawa perbuatan itu terkandung dalam soal-soal peribadi Umno.

Rasuah kerana nak menang

Keputusan pemilihan jawatan Naib Presiden Umno pada 23 September 2004:
1. Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad - 1,507 undi
2. Dato' Seri Mohd. Ali Rustam - 1,329 undi
3. Tan Sri Muhyiddin Yassin - 1,234 undi
4. Tan Sri Muhammad Muhd. Taib - 1,177 undi
5. Dato’ Mustapa Mohamed - 1,059 undi
6. Dato’ Seri Adnan Yaakob – 690 undi
7. Dato’ Shahrir Abdul Samad – 651 undi

Namun, kedudukan pencalonan adalah berbeza. Susunan populariti pencalonan adalah sepertimana berikut:
1. Tan Sri Muhyiddin Yassin - 159 pencalonan
2. Dato' Seri Mohd. Ali Rustam – 119 pencalonan
3. Tan Sri Muhammad Muhd. Taib – 88 pencalonan
4. Dato’ Mustapa Mohamed – 66 pencalonan
5. Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad – 37 pencalonan
6. Dato’ Seri Adnan Yaakob – 35 pencalonan
7. Dato’ Shahrir Abdul Samad – 25 pencalonan

Namun kemenangan itu sekejap sahaja kerana pada 25 Jun 2005 beliau dijatuhkan hukuman gantung dan hilang haknya sebagai Naib Presiden selama 6 tahun. Laporan Utusan Malaysia (26 Jun 2005) berikut adalah menyatakan tentang hukuman tersebut.
Kenyataan akhbar sebelum ini (pada 24 Jun 2005) mengesahkan Mohd Isa dipanggil membuat penjelasan berhubung dakwaan rasuah politik kepada Lembaga Disiplin Umno; "Maka, keputusan penggantungan Mohd Isa dibuat oleh panel lembaga itu yang bermesyuarat kira-kira dua jam bermula pukul 11 pagi semalam di Menara Dato' Onn, PWTC yang dihadiri oleh semua anggotanya dan dipengerusikan oleh Ahmad Rithauddeen adalah tepat. Surat penggantungan itu yang ditandatangani sendiri oleh Ahmad Rithauddeen telah disampaikan dengan tangan ke pejabat Menteri Wilayah Persekutuan itu sebelum pukul 4 petang, tidak sampai 24 jam selepas Mohd. Isa dipanggil memberi keterangan, kelmarin (24 Jun 2005)."

Badan Pencegah Rasuah pembela Mohd Isa

Walaupun, Mohd Isa telah disabit bersalah sebagai perasuah oleh Lembaga Disiplin Umno, namun BPR (kini SPRM) tidak melakukan apa-apa siasatan terhadap Mohd Isa.
Seksyen 22 (1) Akta Pencegahan Rasuah 1997. Meskipun, akta berkenaan memperuntukkan bahawa "Seseorang pegawai Badan yang menyiasat sesuatu kesalahan di bawah Akta ini boleh -
(a) memerintahkan mana-mana orang supaya hadir di hadapannya bagi maksud diperiksa secara lisan berhubungan dengan apa-apa perkara yang mungkin dapat, pada pendapatnya, membantu dalam penyiasatan kesalahan itu;
(b) memerintahkan mana-mana orang supaya mengemukakan di hadapannya apa-apa buku, dokumen atau apa-apa salinan diperakuinya, atau apa-apa benda lain yang mungkin dapat, pada pendapatnya, membantu dalam penyiasatan kesalahan itu; atau
(c) dengan notis bertulis menghendaki mana-mana orang memberikan pernyataan bertulis yang dibuat dengan bersumpah atau berikrar yang menyatakan dalamnya segala maklumat yang dikehendaki di bawah notis itu, iaitu maklumat yang, pada pendapat pegawai itu, akan dapat membantu dalam penyiasatan kesalahan itu." Adakah rakyat boleh menerima hakikat ini?

Calon kitar semula

Calon BN, Tan Sri Mohd Isa Samad menolak tanggapan pembangkang beliau adalah calon 'kitar semula' tetapi sebaliknya berkata, label itu lebih sesuai untuk pemimpin pembangkang, Anwar Ibrahim.
Persoalannya, rekod peribadi Mohd Isa adalah tidak cemerlang. Kini dianggap cemerlang pula bila dicalon di Bagan Pinang. Rekod perkhidmatan beliau (Menteri Besar sejak April 1982–Mac 2004; Menteri Wilayah Persekutuan sejak 2004–2005; Jun 2005 dilucut jawatan kerana rasuah) adalah dinamakan kitar semula (recycle) apabila diberi peluang bertanding semula selepas dihukum kerana rasuah.

15 isu mendera rakyat

Apakah kemenangan Mohd Isa nanti akan menyelesaikan masalah rakyat di Bagan Pinang, ataupun setidak-tidaknya dapat mengubati penderitaan rakyat akibat salah urus kerajaan BN. Antara isu tersebut ialah:

1. KENAIKAN HARGA PETROL
2. KOS HIDUP RAKYAT YANG TINGGI
3. KRISIS POLITIK DIPERAK
4. SURUHANJAYA PENCEGAH RASUAH MALAYSIA BERPOLITIK
5. BN/UMNO MEMPERALAT MAHKAMAH
6. KES RASUAH MCA MELIBATKAN PORT KLANG FREE ZONE
7. POLIS GAGAL BERKECUALI
8. MEMILIH MOHD ISA SAMAD MEWAKILI IMEJ PERASUAH POLITIK WANG
9. MEDIA ARUS PERDANA BERAT SEBELAH
10. KONSPIRASI KES LIWAT ANWAR IBRAHIM
11. TERUS MENGEKAL AKTA ZALIM MOHD ISA
12. BN YANG TUNGGANG-LANGGAN – MCA, MIC & PPP BERPECAH
13. SISTEM PILIHAN RAYA YANG DIRAGUI KETELUSANNYA
14. SEMANGAT PERKAUMAN YANG ANTI PERPADUAN
15. SLOGAN SATU MALAYSIA (1Malaysia) MENGGADAI HAK ANTARA KAUM

Pengundi pos

Jika ingin menang, perlu pandang berat untuk menarik undi pos. Apa yang berlaku sejak beberapa pilihan raya kecil lepas ialah angin perubahan sedang berlaku di kalangan anggota tentera dan mula bertiup dari Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PULADA) Kem Sirusa, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang.
Tersebar pula cerita di belakang tabir sebahagian pegawai tentera sudah kecewa dengan Zahid Hamidi selaku menteri yang gagal melayani secara terbaik kehendak pasukan tentera. Begitu pula, status kemewahan hidup keluarga tentera yang masih dalam kedhaifan.
Di samping janji retorik Najib yang ingin menjadikan Port Dikcson sebagai Bandar Tentera tidak lebih daripada omongan pancing undi. Kerana mereka tahu, yang bakal menikmati untung di sebalik projek itu adalah kroni dan bukannya warga tentera atau polis. Apakah jaminan Mohd Isa kedudukan tentera atau polis selaku pengundi pos akan terbela dengan seadil-adilanya?

Mohd Isa umpama dinosur

Pernah satu ketika Dr. Mahathir semasa menjadi presiden parti, mengingatkan ahli-ahli Umno agar jangan menjadikan seperti seekor dinosur – yang sudah tidak relevan dengan perubahan semasa.
Arus perubahan terkini dikenali sebagai globalisasi (dan mungkin telah berubah kepada pasca-globalisasi) dan tidak lagi lokalisasi. Mengungkapkan maksud yang sama, Najib pula mempopularkan perkataan Melayu glokal agar pemimpin Melayu terus maju ke hadapan.
Maka, keputusan mengangkat Tan Sri Mohd Isa sebagai calon, Umno/BN secara hakikinya telah menjadikan Umno parti yang tidak lagi relevan dengan perubahan zaman. Pencalonan Tan Sri Mohd Isa, mencetuskan persepsi betapa Umno/BN telah undur ke belakang dan memastikan imej Umno/BN bakal terkubur sebagai seekor dinosur yang hanya mempunyai nilai-nilai pra-sejarah yang tidak relevan dengan perubahan masa kini.

Ditulis Oleh WAN NIK YUSOF NGAH
Penulis adalah Setiausaha Jabatan Pilihan raya PAS Pusat

Undi pos dipangkah orang lain - Lt Kenel Malakan

MUQADIMAH: Wawancara bersama bekas anggota tentera, Leftenan Kernel, Malakan Kamarudin yang pernah berkhidmat antaranya di Port Dickson. Beliau pernah berkhidmat selama 30 tahun bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan menyertai misi-misi keamanan di beberapa buah negara dunia. Ikuti pendedah beliau berkenaan isu pengundian pos sewaktu berkhidmat.

Boleh saudara ceritakan pengalaman ketika berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama 30 tahun itu?

LT KERNEL MALAKAN KAMARUDIN: Saya berkhidmat selama 30 tahun dan jawatan terakhir saya ialah sebagai Lt Kernel. Saya pernah berkhidmat di Port Dickson selaku jurulatih kepada rekrut baru.
Sejak menjadi anggota tentera, saya tidak pernah menyertai mana-mana parti politik samada yang memerintah mahupun pembangkang. Ketika itu kami anggota tentera dilarang dari berpolitik atau menyertai mana-mana parti politik.
Saya faham kerana dalam perkhidmatan kami perlu menjalankan tugas dan amanah sepenuhnya selaku anggota tentera.
Namun sebaik kes kezaliman Tun Dr Mahathir Mohamad ke atas Dato'Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998 yang mengakibatkan pergolakan politik dalam negara, saya menyertai PAS, kerana saya yakin ia satu-satunya parti yang berasaskan Islam yang mendukung idelogi dan keadilan Islam itu sendiri.

Kenapa pilih PAS?

PAS tidak membezakan persoalan politik dan agama berbanding Umno yang lebih mengutamakan soal kronisme tetapi mengkesampingkan persoalan dunia dan akhirat yang lebih besar. Tiada erti la...

Boleh ceritakan pengalaman sewaktu menjalani pengundian pos, atau pernahkah melalui proses undi pos?

Selama 30 tahun, banyak kali pilihan raya yang berlaku dan sejak dari dahulu lagi, kami anggota tentera tidak merasai pengundian yang sebenar. Apa yang berlaku kami hanya tahu kertas undi kami itu telah dipangkah oleh pihak tertentu.
Kami sendiri tidak pernah merasai untuk memangkah kertas undi kami. Ia dikendalikan pihaklain. Saya juga tahu anggota lain tidak pernah tengok undi mereka itu. Apa yang sering kami didoktrinkan ialah kami jangan sesekali terlibat dengan politik, tetapi ada pihak yang ambil kesempatan dari hak undi kami terbabit dengan politik parti pemerintah.

Pandangan saudara dari sudut hak bagaimana?

Sepatutnya, hak untuk menyokong mana-mana parti politik sekalipun adalah hak setiap individu. Malahan hak ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Namun hak ini dinafikan oleh parti yang memerintah dengan pelbagai alasan yang dinyatakan kepada kami selaku anggota tentera.
Kami patutnya bebas untuk menyokong mana-mana parti politik. Ini yang patut disedarkan kepada setiap anggota dan kerajaan tiada hak untuk menghalang. Kami sepatutnya boleh diberikan kebebasan berfikiran dengan betul.
Tetapi oleh kerana dalam tentera kita diasuh dengan mengasingkan politik atau tidak boleh menyertai mana-mana parti politik, jadi ketika itu kami tiada gambaran yang jelas mengenai urusan politik dan pentadbiran negara.

Apa yang anggota tentera fikirkan bila tiba hari mengundi?

Sewaktu pilihan raya, kami tak sempat nak memikirkan persoalan politik negara. Walhal, itu adalah hak setiap individu. Kami diberitahu berhubung adanya undi pos.
Tetapi secara praktikalnya, kami tidak pernah tahu bagaimana prosesnya. Kami tak pernah diberikan hak mengundi ketika itu. Apa yang saya diberitahu, mungkin undi yang dipangkah telah disimpan di mana-mana tempat sama ada di markas atau sebaliknya tanpa pengawasan pihak lain selain pihak yang menguruskan atau mengendalikan kertas undi itu.
Ia boleh berlaku sebarang penyelewengan kerana parti-parti politik yang bertanding tidak mendapat akses untuk melihat proses pengundian, mahupun proses simpanan undi. Jika tiada pemantauan, apa sahaja boleh berlaku.

Ada cadangan dari beberapa parti politik agar sistem undi pos ini dimansuhkan, apa pandangan saudara sebagai orang yang lama dalam anggota tentera, wajar atau sebaliknya?

Saya sangat setuju kerana jika difikirkan secara logiknya, sekarang ini anggota tentera jarang sangat masuk hutan (operasi). Jika masuk sekalipun bilangannya tidak ramai.
Berbeza dengan zaman dahulu, ramai anggota yang terpaksa masuk ke hutan-hutan bagi memerangi pengganas yang jadi musuh negara. Ketika itu ada rasionalnya, undi pos itu. Tetapi kini adalah lebih baik dijalankan secara undi biasa iaitu sama dengan orang awam.
Kemudahan dah canggih dan banyak. Lagipun ia boleh mengelakkan sebarang penyelewengan pengurusan undi pos.

Apa seruan dan nasihat saudara selaku orang yang berpengalaman dalam tentera terutamanya yang akan mengundi di Bagan Pinang 8 dan 9 Oktober ini?

Apa yang penting ialah persoalan undi yang kita berikan itu. Kita perlu memikirkan persoalan syurga dan neraka, dosa atau pahala. Ini penting.
Kita jangan sesekali bersekongkol dengan pihak yang mengamalkan rasuah, yang mempersendakan agama, yang menolak hukum-hakam Allah SWT dan yang menzalimi rakyat.
Ingatlah, setiap undi kita adalah penentu masa depan negara. Samada kita mahu ke arah kehancuran atau perubahan.

PAS bimbang undi pos tidak telus - Presiden PAS

MUQADIMMAH: Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang cukup bimbang dengan undi pos di Bagan Pinang. Agak sukar katanya, untuk melihat penyelenggaraan yang telus terhadap undi pos. Ikuti pandangan beliau berkenaan isu ini.

Apakah misi PAS di Bagan Pinang?

DATO' SERI ABDUL HADI AWANG: PAS mempunyai misi tersendiri. Ia akan dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pilihan Raya Kecil yang dipengerusikan oleh YB Salahuddin Ayub. Ianya bergantung kepada keperluan semasa dimana manifesto yang telah dibentangkan pada pilihan raya umum dan pilihan raya kecil yang lain sebelum ini sudah cukup menjadi asas kepada PAS sebagai landasan perjuangan bagi penduduk Bagan Pinang.

Berkenaan undi pos. Mereka terbabit telah istihar dalam media arus perdana tentang ketaatan mereka kepada sultan dan akan menyokong kepada kerajaan sedia ada?

Itu menunjukkan satu cara yang tidak demokratik. Tiap-tiap individu di kalangan tentera mempunyai hak untuk memberi undi kepada calon yang mereka inginkan. Jadi, hak kempen bukan sahaja kepada satu parti BN tetapi mestilah juga diberikan kepada parti yang lain untuk menyampaikan maklumat.
BN bukannya Tuhan Yang Maha Suci daripada segala kekurangan bahkan mereka tetap mempunyai kekurangan sebagai makhluk yang mempunyai kelemahan. Adalah tidak wajar mereka berlagak perkasa dan hebat serta mengongkong pemikiran pengundi khususnya di kalangan tentera.

Apakah ada peluang dari undi tentera ini?

Kita yakin di kalangan tentera sudah mempunyai kesedaran yang sama dengan masyarakat umum. Mereka juga memberi undi kepada kita tetapi kebimbangan kita adalah ketelusan didalam undi pos sehingga pihak pengundi yang sebenar tidak dapat menyampaikan suara mereka dengan cara yang tepat kerana tidak dijamin amanahnya kertas undi pos ini.

Apa yang menyebabkan PAS bimbang dengan pengundi pos?

Di sana terdapat unsur ugutan apabila hilangnya kerahsiaan dalam undi pos. Undi pos ditahan dalam tempoh yang tertentu yang tidak boleh dijamin peti undi dan kertasnya selamat.
Kita juga mendapat maklumat, di sana terdapat nama-nama yang bertindih yang mana mereka boleh mengundi pos dan juga boleh mengundi di luar oleh orang yang sama sebagai orang awam. Ini akan didedahkan oleh Setiausaha Agung PAS ataupun Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat.

Apa yang Dato' Seri harapkan di Bagan Pinang ini?

Kita mengharapkan Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang ini menjadi satu anjakan kepada perubahan agar pihak SPR membuat perubahan yang radikal dan berani menghapuskan nama-nama yang bertindih.
Jika tidak, SPR masih lagi dihantui oleh campur tangan di belakang tabir oleh pihak yang berkuasa. Ini menunjukkan mereka bukanlah satu badan yang di atas. Walaupun demikian, kita tetap akan masuk pilihan raya dan kita cuba untuk menyanggah dan menentang sebarang penyelewengan yang tidak demokratik.

Jumaat, September 18, 2009

Agenda berterusan kuburkan politik Isa Samad di Bagan Pinang

Cadangan Pergerakan Wanita Umno yang mahukan calon Wanita diletakkan bertanding mewakili BN di DUN Bagan Pinang, 3 Oktober ini adalah usaha halus pihak tertentu dalam Umno menyekat bekas Naib Presiden Umno, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad kembali aktif dalam politik.

Hasrat Wanita disuarakan naib ketuanya, Dato' Kamalia Ibrahim dan kemudian disambut oleh ketuanya, Dato' Seri Shahrizat Abdul Jalil – yang secara kebetulan kedua-duanya ini adalah orang Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Senada dengan permintaan itu, Muhyiddin juga meminta Umno Negeri Sembilan menghantar lebih dari satu nama untuk memberi peluang pucuk pimpinan parti membuat pilihan, siapakah yang lebih layak diletakkan bertanding di situ, mewakili BN.

Lebih menarik, Menteri Besar Negeri Sembilan yang diketahui umum tidak mempunyai hubungan yang baik dengan Mohd Isa tentulah menyambut baik permintaan Muhyiddin itu, kerana inilah masa yang sesuai untuknya memberi alasan kepada Umno Bahagian Teluk Kemang, “bukan saya nak begini tetapi Kuala Lumpur yang tekan”.

Mustahil Mohd Isa sebagai Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang tidak tahu secara lazimnya, bahagian perlulah menghantar lebih dari satu nama ke Kuala Lumpur untuk ditapis.

Bukankah Mohd Isa pernah menjadi Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, yang mana semua yang ingin bertanding mesti melaluinya, sebelum diserahkan ke Kuala Lumpur.

Muhyiddin pula sepatutnya tidak perlu meminta mana-mana pihak bercakap bagi pihak dirinya jika beliau dan Presiden Umno, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak tidak mahukan Mohd Isa disenaraikan.

Kenapa tidak mahu berterus-terang? Kenapa Najib atau Muhyiddin tidak boleh menghubungi Mohd Isa sendiri untuk memaklumkan supaya hantarlah nama sesiapa sahaja asalkan jangan Mohd Isa?

Apakah Najib dan Muhyiddin tidak kenal Mohd Isa? Atau Najib dan Muhyiddin tidak tahu bagaimana untuk menghubungi Mohd Isa?

Umno Bahagian Teluk Kemang tentunya merasakan, meletakkan Mohd Isa pun belum ada kepastian untuk menang, apatah lagi jika nama lain dicalonkan.

Bagi mereka yang menyokong Mohd Isa percaya, dengan pengalaman dan kedudukan Mohd Isa sebagai Ketua Umno Cawangan Bagan Pinang dan Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang, kerja-kerja berkempen menjadi semakin mudah tetapi jika ada nama baru mahu ditonjolkan, ia akan menghadapi kesukaran.

Isu menamakan hanya Mohd Isa sahaja sebagai calon di DUN Bagan Pinang dibocorkan oleh Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Teluk Kemang Faizal Ramli.

Jika Faizal tidak mendedahkan keputusan mesyuarat AJK Umno bahagian, tiada siapa yang tahu bahawa hanya nama Mohd Isa sahaja dicalonkan.

Apa tujuan Faizal sebenarnya? Adakah dia mahu isu ini menjadi kecoh atau dia takut jika tidak mendedahkannya, Menteri Besar dan Perdana Menteri akan memilih sesiapa sahaja yang mereka tidak memerlukan persetujuan dari Umno Bahagian Teluk Kemang.

Walaupun Muhyiddin mungkin menafikan beliau bermasalah dengan Mohd Isa tetapi permintaannya supaya Umno Teluk Kemang dan Umno Negeri Sembilan mendapatkan lebih dari satu nama sebenarnya mentafsirkan Kuala Lumpur kurang bersedia menerima kembali Mohd Isa untuk aktif berpolitik.

Kemungkinan juga, usaha ini bagi menyelamatkan kedudukan Mohamad Hassan sebagai Menteri Besar dan mungkin juga tidak mahu Mohd Isa muncul semula menjadi orang penting dalam Umno di peringkat negeri dan Pusat.

Ingat! Politik kotor Umno. Hasrat Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu menjadi perwakilan (G7) di Bahagian Kubang Pasu pun disekat dengan pelbagai cara hingga menyebabkan bekas Perdana Menteri, bekas Presiden Umno dan bekas Ketua Umno Bahagian Kubang Pasu itu dikalahkan.

Ditulis Oleh IDRIS SAMAD