KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, Oktober 09, 2009

Undi pos dipangkah orang lain - Lt Kenel Malakan

MUQADIMAH: Wawancara bersama bekas anggota tentera, Leftenan Kernel, Malakan Kamarudin yang pernah berkhidmat antaranya di Port Dickson. Beliau pernah berkhidmat selama 30 tahun bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan menyertai misi-misi keamanan di beberapa buah negara dunia. Ikuti pendedah beliau berkenaan isu pengundian pos sewaktu berkhidmat.

Boleh saudara ceritakan pengalaman ketika berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama 30 tahun itu?

LT KERNEL MALAKAN KAMARUDIN: Saya berkhidmat selama 30 tahun dan jawatan terakhir saya ialah sebagai Lt Kernel. Saya pernah berkhidmat di Port Dickson selaku jurulatih kepada rekrut baru.
Sejak menjadi anggota tentera, saya tidak pernah menyertai mana-mana parti politik samada yang memerintah mahupun pembangkang. Ketika itu kami anggota tentera dilarang dari berpolitik atau menyertai mana-mana parti politik.
Saya faham kerana dalam perkhidmatan kami perlu menjalankan tugas dan amanah sepenuhnya selaku anggota tentera.
Namun sebaik kes kezaliman Tun Dr Mahathir Mohamad ke atas Dato'Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998 yang mengakibatkan pergolakan politik dalam negara, saya menyertai PAS, kerana saya yakin ia satu-satunya parti yang berasaskan Islam yang mendukung idelogi dan keadilan Islam itu sendiri.

Kenapa pilih PAS?

PAS tidak membezakan persoalan politik dan agama berbanding Umno yang lebih mengutamakan soal kronisme tetapi mengkesampingkan persoalan dunia dan akhirat yang lebih besar. Tiada erti la...

Boleh ceritakan pengalaman sewaktu menjalani pengundian pos, atau pernahkah melalui proses undi pos?

Selama 30 tahun, banyak kali pilihan raya yang berlaku dan sejak dari dahulu lagi, kami anggota tentera tidak merasai pengundian yang sebenar. Apa yang berlaku kami hanya tahu kertas undi kami itu telah dipangkah oleh pihak tertentu.
Kami sendiri tidak pernah merasai untuk memangkah kertas undi kami. Ia dikendalikan pihaklain. Saya juga tahu anggota lain tidak pernah tengok undi mereka itu. Apa yang sering kami didoktrinkan ialah kami jangan sesekali terlibat dengan politik, tetapi ada pihak yang ambil kesempatan dari hak undi kami terbabit dengan politik parti pemerintah.

Pandangan saudara dari sudut hak bagaimana?

Sepatutnya, hak untuk menyokong mana-mana parti politik sekalipun adalah hak setiap individu. Malahan hak ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Namun hak ini dinafikan oleh parti yang memerintah dengan pelbagai alasan yang dinyatakan kepada kami selaku anggota tentera.
Kami patutnya bebas untuk menyokong mana-mana parti politik. Ini yang patut disedarkan kepada setiap anggota dan kerajaan tiada hak untuk menghalang. Kami sepatutnya boleh diberikan kebebasan berfikiran dengan betul.
Tetapi oleh kerana dalam tentera kita diasuh dengan mengasingkan politik atau tidak boleh menyertai mana-mana parti politik, jadi ketika itu kami tiada gambaran yang jelas mengenai urusan politik dan pentadbiran negara.

Apa yang anggota tentera fikirkan bila tiba hari mengundi?

Sewaktu pilihan raya, kami tak sempat nak memikirkan persoalan politik negara. Walhal, itu adalah hak setiap individu. Kami diberitahu berhubung adanya undi pos.
Tetapi secara praktikalnya, kami tidak pernah tahu bagaimana prosesnya. Kami tak pernah diberikan hak mengundi ketika itu. Apa yang saya diberitahu, mungkin undi yang dipangkah telah disimpan di mana-mana tempat sama ada di markas atau sebaliknya tanpa pengawasan pihak lain selain pihak yang menguruskan atau mengendalikan kertas undi itu.
Ia boleh berlaku sebarang penyelewengan kerana parti-parti politik yang bertanding tidak mendapat akses untuk melihat proses pengundian, mahupun proses simpanan undi. Jika tiada pemantauan, apa sahaja boleh berlaku.

Ada cadangan dari beberapa parti politik agar sistem undi pos ini dimansuhkan, apa pandangan saudara sebagai orang yang lama dalam anggota tentera, wajar atau sebaliknya?

Saya sangat setuju kerana jika difikirkan secara logiknya, sekarang ini anggota tentera jarang sangat masuk hutan (operasi). Jika masuk sekalipun bilangannya tidak ramai.
Berbeza dengan zaman dahulu, ramai anggota yang terpaksa masuk ke hutan-hutan bagi memerangi pengganas yang jadi musuh negara. Ketika itu ada rasionalnya, undi pos itu. Tetapi kini adalah lebih baik dijalankan secara undi biasa iaitu sama dengan orang awam.
Kemudahan dah canggih dan banyak. Lagipun ia boleh mengelakkan sebarang penyelewengan pengurusan undi pos.

Apa seruan dan nasihat saudara selaku orang yang berpengalaman dalam tentera terutamanya yang akan mengundi di Bagan Pinang 8 dan 9 Oktober ini?

Apa yang penting ialah persoalan undi yang kita berikan itu. Kita perlu memikirkan persoalan syurga dan neraka, dosa atau pahala. Ini penting.
Kita jangan sesekali bersekongkol dengan pihak yang mengamalkan rasuah, yang mempersendakan agama, yang menolak hukum-hakam Allah SWT dan yang menzalimi rakyat.
Ingatlah, setiap undi kita adalah penentu masa depan negara. Samada kita mahu ke arah kehancuran atau perubahan.

Tiada ulasan: