KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Oktober 19, 2009

Diskriminasi di kalangan tahanan ISA - GMI

KUALA LUMPUR: Wujudnya diskriminasi di kalangan tahanan ISA, sama ada ketika di Kem Tahanan Kamunting mahupun selepas dibebaskan membuktikan akta itu merupakan satu undang-undang yang penuh keraguan.

Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh, berkata amalan diskriminasi yang berlaku itu membawa erti ISA adalah satu undang-undang bercirikan arbitrari atau subjektif.

"Ia bermaksud, terpulang kepada sesiapa untuk menentukan sesuatu sekatan atau undang-undang, sama ada bagi pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN), pegawai kem ataupun polis cawangan khas (SB)," tegas beliau kepada Harakah.

Katanya, tiada sebarang senarai yang jelas berkenaan sekatan-sekatan atau undang-undang yang dikenakan ke atas tahanan biarpun mereka dibebaskan dari akta berkenaan.

Malah, jelasnya amalan diskriminasi itu sudah wujud ketika di kem tahanan, dan berlanjutan apabila mereka dibebaskan.

"Memang wujud diskriminasi terhadap sesetengah tahanan. Atas sebab itu, GMI mempertahankan pendirian akta itu perlu dimansuhkan kerana tiada sebarang peraturan jelas yang menyebabkan penyelewengan mudah wujud," tegas beliau.

Harakah difahamkan, berlaku diskriminasi di kalangan tahanan apabila ada di kalangan mereka yang menerima 'layanan baik' dari pegawai kem seperti dibenarkan menerima juadah istimewa dari keluarga, dan bertemu keluarga secara bersemuka.

Manakala, terdapat tahanan yang hanya dibenarkan bertemu keluarga melalui interkom, tidak dibenarkan menerima sebarang juadah atau pemberian dari luar dan sebagainya.

Malah, terdapat bekas tahanan ISA yang dikenakan pelbagai sekatan seperti sekatan terhad, tidak dibenarkan bertemu media, aktif berpolitik, dan dalam masa sama ada tahanan yang dibebaskan tanpa syarat.

Justeru, berasaskan amalan tersebut juga, Syed Ibrahim berkata akta itu sememangnya tidak relevan kerana kemungkinan berlakunya penyelewengan itu sangat besar.

Tiada ulasan: