TELOK KEMANG: Bekas anggota tentera darat, Haji Omar Ismail yang berpangkat Pegawai Waran 1 sebelum pencen mendedahkan beliau hanya merasai sekali sahaja peluang memangkah undi pos dalam tempoh 21 tahun perkhidmatannya dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Selebihnya kata beliau, undi posnya 'mungkin dipangkah atau dipergunakan oleh pihak yang berkepentingan untuk memenangkan calon di pihak parti yang memerintah.
"Hanya sekali sahaja saya dapat merasai undi pos. Selebihnya tak pernah undi. Saya juga tak yakin undi yang saya pangkah itu betul dibawa ke tempat pengiraan undi kerana ianya dimasukkan dalam sampul dan dihantar melalui karung undi pos.
"Apa yang berlaku selepas itu saya tak tahu, namun berdasarkan kepada maklumat dan pengalaman mereka yang kendalikan itu, undi itu akan dimanipulasi oleh pihak yang berkepentingan," katanya kepada Harakah ketika ditemui di Markas Utama PAS bagi Pilihan Raya Kecil Dun Bagan Pinang pada 7 Oktober lalu.
Sewaktu menjadi anggota ATM, beliau juga merasai bimbang seperti anggota lain tiap kali berhadapan dengan pilihan raya.
Ini kerana katanya, anggota sering ditakutkan dengan kemungkinan akan ditukar ke tempat lain atau tidak dinaikkan pangkat hanya kerana memberi undi kepada pihak bukan parti kerajaan.
"Saya yakin undi kami, jika dipangkahpun ianya akan dimanipulasi," katanya lagi.
Sementara itu, Omar juga mendakwa terdapat senarai nama pemilih yang masih tidak dibuang oleh SPR walaupun seseorang tentera itu telah bersara.
Malah, sekalipun bekas tentera itu telah mendaftar sebagai pengundi awam, nama mereka kebanyakannya tetap akan tersimpan dalam daftar pemilih bagi undi pos, katanya.
"Ini sahaja jalan yang Umno/BN ada, menggunakan undi pos bagi meneruskan riawayat politik mereka," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan