KUALA LUMPUR: Keterangan pakar patologi dari Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand menjawab persoalan mengapa kerajaan enggan menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat punca terbunuhnya Teoh Beng Hock, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.
"Dalam keterangannya kepada mahkamah koroner yang menyiasat punca terbunuhnya Teoh, pakar itu menyatakan 80 peratus kemungkinan punca kematian Teoh adalah pembunuhan.
"Itulah juga punca mengapa kerajaan berdolak-dalik dengan alasan-alasan yang dipertikai dan diperlekehkan untuk menolak penubuhan suruhanjaya diraja menyiasat perkara itu," kata beliau.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu juga menyifatkan keterangan Dr Pornthip memburukkan lagi integriti Malaysia di mata dunia termasuk para pelabur.
"Masyarakat antarabangsa akan terus mempertikaikan integriti semua institusi yang berkaitan dengan perlaksanaan keadilan dan undang-undang di dalam negara kita.
"Keadaan tersebut akan melahirkan kebimbangan para pelabur kerana mereka tidak boleh menerima negara yang tidak mengamalkan perlaksanaan undang-undang yang adil dan tidak memihak," katanya.
Salahuddin mempersoalkan, mengapa keterangan pakar patologi dari negara kita sendiri amat jauh berbeza dengan kenyataan beliau?
"Mengapa ramai yang menyifatkan keterangan pakar patologi dari negara kita sendiri dalam perbicaraan itu kelihatan teragak-agak dan takut-takut?
"Adakah mereka takut penemuan mereka dirampas pula oleh pihak polis seperti yang berlaku kepada sampel pakar patologi forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dalam kes pembunuhan A Kugan?" katanya.
Beliau juga mempersoalkan adakah pakar patologi yang memberikan keterangan secara jujur akan diugut dengan tekanan bagi menutup perbuatan sebenar pihak tertentu yang berkhidmat untuk kepentingan Barisan Nasional (BN).
"Rakyat tidak lagi mudah diperbodohkan dan mereka mula membangkitkan kaitan kes terbunuhnya Teoh dengan keghairahan BN untuk merampas Selangor dari pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) seperti yang berjaya mereka lakukan di Perak," katanya.
Salahuddin berharap keterangan Dr Pornthip akan menguatkan lagi desakan semua pihak supaya ditubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat punca terbunuhnya Teoh.
Teoh ditemui mati ketika beliau ketika masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Mayat beliau ditemui di luar pejabat SPRM di tingkat lima Plaza Masalam Shah Alam pada 16 Julai lalu, iaitu hari yang sama beliau sepatutnya mendaftarkan pernikahan dengan tunangnya.
Menurut Dr Pornthip dalam keterangannya, setiausaha politik kepada anggota exco Selangor, Ean Yong Hian Wah itu mungkin telah dicekik sebelum jatuh dari tingkat 14 Plaza Masalam.
Menurutnya lagi, retakan pada tengkorak Teoh bukan satu kecederaan akibat terjatuh.
Manakala kecederaan pada lubang dubur Teoh, katanya, boleh disebabkan cucukan dengan objek sebelum dia jatuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan