KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Oktober 24, 2009

Impian guru, pelajar Sek Kebangsaan Sri Perak berkecai. Nampaknya terus bersekolah di bawah flat 17 tingkat...

KUALA LUMPUR: Kelihatan sekumpulan kanak-kanak yang lengkap beruniform sekolah berkeliaran di sekitar flat DBKL Sri Perak. Ada yang berlari berkejaran sambil melintas jalan, ada yang melepak dan berborak kosong di koridor flat yang menempatkan bilik darjah Sekolah Kebangsaan Sri Perak.

Suasana ini, mungkin tidak kelihatan di kawasan flat lain tetapi di flat 17 tingkat Sri Perak menjadi 'alah bisa tegal biasa'.

Sebaik Krew Harakah mendekati pelajar-pelajar sekolah berkenaan, keramahan mereka cukup teruja apabila kami menyapa mereka sambil diminta menunjukkan bilik guru. Mungkin mereka sudah biasa menegur orang ramai yang lalu-lalang di kawasan sekolah itu.

Penempatan sekolah ini sebenarnya tidak kena dengan tempat dan kawasannya, bahkan tidak ada sempadan atau pagar yang memisahkan sekolah dengan kawasan penduduk.

Pengusaha kantin sekolah berkenaan yang dikenali sebagai Kak Lin, 55, turut menceritakan pengalaman anaknya yang mengajar di sekolah itu di datangi seorang budak remaja berbangsa India masuk ke kelas ketika sedang mengajar.

"Anak saya sedang mengajar, tiba-tiba anak muridnya datang membawa kawan mereka berbangsa India masuk ke kelas, tanpa meminta izin terlebih dahulu.

"Kalau di sekolah lain, orang yang tidak berkenaan tidak boleh masuk ke kawasan sekolah. Ini sudah masuk ke dalam kelas! Terperanjat cikgu sedang mengajar, boleh mengganggu pembelajaran anak-anak kita," tegas Kak Lin.

Keselamatan anak-anak sekolah turut terancam apabila ada sesetengah penduduk yang tidak ada kesedaran sivik, bertindak membuang sampah dari flat.

Menurut Kak Lin yang pernah menyaksikan perbuatan tidak bermoral penduduk di situ sehinggakan ada yang membuang botol ke bawah.

"Bahaya, untuk budak-budak sekolah. Ada berlaku kejadian, ketika anak-anak sekolah keluar rehat dan bermain di kawasan flat, hampir terkena sampah dari atas yang dilempar penduduk," ujarnya.

Bagaimanapun, beliau kecewa dengan sikap penduduk di situ seolah-olah tidak sedar akan kehadiran sekolah yang hampir 20 tahun beroperasi bagi membekalkan pendidikan kepada anak-anak mereka.

Memandangkan kawasan flat yang tidak ada had untuk orang ramai keluar masuk, membuatkan penjaja mencuri peluang berniaga di kawasan flat sekali gus menarik perhatian murid-murid sekolah.

Sebagai pengusaha kantin, bagi Kak Lin tindakan peniaga itu sedikit sebanyak menjejas perniagaannya apabila pelajar sekolah bertumpu ke arah penjaja.

"Penjaja dari luar datang menjual, 'jajan', di kantin kami dilarang menjual 'jajan'. Tidak sihat untuk pemakanan anak-anak sekolah. Budak pula suka sangatlah 'jajan' jadi mereka beli dengan penjaja.

"Tetapi, bila ada pelajar mengadu sakit perut, kita yang dipersalahkan. Sebab masing-masing ibu bapa tidak tahu anak-anak mereka membeli di luar kantin. Inilah menjadi masalah," katanya.

Dalam tinjauan krew Harakah mendapati persekitaran sekolah yang kurang menyenangkan, apabila mendapati sampah bertaburan dan rumput yang menyemakkan mata memandang.

Menurut seorang guru yang ditemui dan enggan dikenali berkata, kerja-kerja menyelenggaran kawasan flat berkenaan adalah dibawah bidang kuasa DBKL, di dalam bilik darjah dan koridor kelas adalah tugas pihak sekolah.

"Hampir seminggu, DBKL tidak datang menyapu sampah bahkan rumput pun tidak dipotong, kami pihak sekolah tidak bertanggungjawab," katanya.

Guru-guru di sekolah terbabit menghadapi masalah dalam meletakkan kenderaan masing-masing kerana kawasan parkir kereta tidak mencukupi, terpaksa berkongsi dengan penghuni flat.

"Kita tidak boleh ambil parkir kereta penduduk di sini, bahkan kalau kita parkir bukan di tempat yang sepatutnya, silap hari kena saman. Dalam flat pun DBKL menyaman," katanya.

Malah, Kak Lin turut melihat insiden penduduk yang panas baran bertindak memecahkan cermin kereta yang menghalang kereta penduduk.

"Ada sesetengah penduduk bertindak sesuka hati, terus memecahkan cermin kereta yang menghalang kereta orang berkenaan, tanpa rasa ingin bertanya siapa pemilik kereta itu," katanya bercerita.

Ketika diberi peluang meninjau bilik darjah yang serba kekurangan itu, krew Harakah turut sayu melihat kekentalan guru-guru yang tidak puas mencurahkan ilmu kepada anak murid mereka biarpun hanya ada empat orang murid dalam satu kelas.

Bilik darjah yang sempit dan terperap menyebabkan suasana pembelajaran yang kurang selesa. Sedangkan ia jauh berbeza dengan sekolah-sekolah lain yang lebih selesa dan mempunyai ruang udara yang sihat.

Sehubungan itu, seorang guru meluahkan perasaan kepada krew Harakah apabila tidak dapat menjalankan aktiviti luar darjah kerana persekitaran tidak mengizinkan.

Keadaan itu membuatkan 18 murid pra sekolah hanya mampu bermain di dalam bilik darjah mereka yang sarat dengan pelbagai alat bantuan mengajar.

"Susahlah, kami nak mendekatkan budak-budak ini dengan suasana luar misalnya belajar mendekati alam sekitar, sebab keadaan sekolah yang terdedah dengan kesibukan kenderaan dan orang ramai yang keluar masuk," kata guru berkenaan yang enggan disebut namanya.

Bahkan keadaan kelas pra-sekolah yang bersebelahan dengan jalan raya membuatkan guru-guru mereka tidak berani untuk membenarkan muridnya bermain di luar darjah.

"Inilah aktiviti budak-budak ini. Asyik terkurung dalam kelas. Kadang-kadang mereka pun macam bosan duduk di tempat yang serba sempit, kesian pun ada tengok mereka," luah guru berkenaan kepada krew Harakah sambil menunjukkan suasana dalam darjah itu.

Sekolah ini ditubuhkan sekitar tahun 1987 bagi menampung murid yang terlalu ramai. Bersebelahan flat ini terdapat satu lagi sekolah rendah, iaitu Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sentul yang sarat dengan pelajar.

Terdapat 32 orang guru yang mengajar di sekolah ini Sri Perak. Walaupun dalam suasana sekolah yang tidak memenuhi piawaian sistem pendidikan sebenar, sekolah ini masih terus berjalan. Dimaklumkan sekolah ini diklasifikasikan sebagai gred A iaitu memiliki 700 orang murid dan ke atas.

Seramai 204 murid dari pra sekolah hinggalah ke darjah enam yang masih meneruskan pembelajaran di sini.

Sebelum ini ada cadangan membina dan menyiapkan sekolah mengandungi 30 bilik darjah di atas sebahagian lot 133, Sekyen 85A Kuala Lumpur itu telah diluluskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan akan dilaksanakan oleh kontraktor Contracthouse Sdn Bhd.

Menurut papan tanda projek, sekolah itu dijangka siap pada 30 September 2009 dan dimulakan pada 1 April 2008 kira-kira setahun yang lalu. Tetapi impian guru-guru dan pelajar di sini untuk mendapatkan sekolah serba baru, berkecai setelah pembinaannya dibatalkan.

Tiada ulasan: