KEPUTUSAN Pilihan Raya Kecil (PRK) Bagan Pinang, Ahad 11 Oktober 2009 mengejutkan banyak pihak, termasuk Umno/BN sendiri. Mereka telah menjangka dari awal boleh memenangi pilihan raya ini, tetapi bukanlah dengan majoriti yang besar (5,435 undi).
Malah di sepanjang kempen Umno/BN, mereka berdepan saat-saat cemas apabila ada laporan dari pihak yang pro-Umno mengatakan peluang kedua-dua parti yang bertanding adalah 50-50. Malah pada pertengahan kempen, ada maklumat yang mendakwa pihak PAS/PR mendahului Umno/BN.
Berita ini telah mencetuskan serangan ala-komando oleh Pemuda Umno ke atas Markas Pemuda PAS Pusat yang menyebabkan beberapa orang Pemuda PAS tercedera. Bagi pihak PAS/PR, kekalahan besar ini mengejutkan kerana keputusan ini telah menterbalik (countervailed) trend politik yang berlaku sebelum ini iaitu Pakatan Rakyat telah memenangi tujuh pilihan raya kecil.
Apakah keputusan PRK ini merupakan satu anjakan paradigma dalam politik Malaysia?
Dalam ertikata ia mempunyai kesan di luar lingkungan Bagan Pinang dan menguntungkan Umno/BN secara jangka panjang. Atau ia hanya merupakan satu kemenangan tempatan dan secara khusus kemenangan untuk Isa Samad yang boleh dilihat sebagai a local warlord.
Sekiranya inilah hakikatnya maka ia bersifat sementara dan PR dan BN akan terus bersaing di pentas politik Malaysia. Persaingan ini boleh dilihat, secara asasnya, sebagai persaingan paradigma (competing paradigms).
Bagan: Asas Epistemologi
Mengikut Kamus Dewan perkataan ‘bagan’ mempunyai pelbagai makna. Antaranya ia merujuk kepada “tiang-tiang rumah yang baru didirikan”. Dalam nada yang sama ia juga merujuk kepada “tiang-tiang dan kayu palang tempat menjemur ikan”.
Bagan juga bermakna lakaran sesebuah gambar; dan akhirnya ‘bagan’ juga bermaksud ‘pengkalan’. Dalam konteks PRK Bagan Pinang, makna atau definisi ‘bagan’ di atas mempunyai implikasi yang menarik ke atas masa depan politik Umno/BN.
Apakah kemenangan Isa Samad merupakan ‘tiang-tiang rumah yang baru didirikan’? Atau ia merupakan ‘pengkalan’ (base) untuk Umno/BN terus maju ke hadapan? Makalah ini akan berhujah bahawa kemenangan Umno/BN di Bagan Pinang hanyalah merupakan ‘tiang-tiang rumah yang baru didirikan’ dan besar kemungkinan rumah yang cuba dibina ini tidak akan siap sebagaimana terbukti begitu banyak projek-projek perumahan yang terbengkalai apabila ianya dikendalikan oleh pemaju-pemaju perumahan yang ada kaitan dengan kepentingan Umno/BN.
Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang: Kuasa manipulasi dan provokasi
Untuk sekian kalinya PAS/PR berpartisipasi dalam sebuah pilihan raya di mana padang permainan adalah tidak rata. Padang permainan adalah lebih menguntungkan Umno/BN melalui kuasa manipulasi yang ada pada aparat kerajaan seperti SPR.
Penggunaan kuasa manipulasi oleh SPR yang paling klasik ialah undi pos khususnya di kalangan tentera. Umum mengetahui sekiranya sesebuah kawasan pilihan raya mempunyai kem tentera di dalamnya maka Umno/BN pasti akan menang.
Ini adalah kerana proses pengundian dalam kem-kem tentera adalah tidak telus sebagaimana yang berlaku di tempat-tempat mengundi awam. Terdapat bukti-bukti, dari pengakuan bekas pegawai tentera sendiri, hanya individu tertentu yang mengundi bagi pihak tentera dan mereka memangkah kertas-kertas undi tersebut bagi pihak Umno/BN.
Atas desakan pembangkang, prosedur pengundian dalam kem-kem tentera adalah dikatakan lebih terbuka. Wakil-wakil parti yang bertanding boleh menyaksikan proses pengundian. Dengan menyaksi proses pengundian ini tidak bermakna sistem pengundian secara pos ini bergerak ke arah yang lebih telus.
Kertas undi perlu disertakan dengan borang pengesahan yang perlu ditandatangani oleh pegawai atasan. Selepas pengundian dijalankan kertas-kertas undi perlu disimpan dalam bilik-bilik kebal untuk beberapa hari. Sejauhmanakah bilik kebal ini betul-betul kebal dan bebas dari campur tangan manusia yang tidak kebal tapi bebal?
Dalam kes PRK Bagan Pinang, SPR masih gagal untuk mempastikan satu proses pengundian yang bersih dilaksanakan di dalam kem tentera. Sungguhpun SPR telah membenarkan lapan orang wakil calon yang bertanding untuk menyaksikan proses pengundian ini tidak bermakna apa-apa dalam konteks meningkatkan ketelusan dalam proses pengundian.
SPR secara jelas mengelak dari menyelesai isu 253 pengundi tentera yang bertindih. Mereka didaftar sebanyak dua kali menggunakan kad pengenalan tentera dan kad pengenalan awam di dua tempat mengundi yang berbeza.
Atas kebimbangan bahawa pihak tentera akan menyokong PAS, maka SPR memanipulasikan senarai pemilih. Pada hari mengundi (11 Oktober 2009), senarai pemilih yang digunapakai oleh SPR adalah berbeza dengan senarai pemilih yang diserahkan kepada calon semasa hari penamaan calon (3 Oktober 2009).
Ini secara terang-terangan bercanggah dengan Peraturan 14A, Peraturan-Peraturan Pilihan raya (Perjalanan Pilihan raya 1981). Peraturan 14A dengan jelas menyebut: “Daftar pemilih yang dikemukakan kepada calon pada hari penamaan calon hendaklah merupakan naskah sahih daftar pemilih yang akan digunakan oleh pegawai pengurus dan ketua tempat mengundi sesuatu tempat mengundi pada hari mengundi”.
Tidak cukup dengan memanipulasi peraturan ini, terdapat kes-kes di mana nama pesara-pesara tentera (dan juga tentera yang masih berkhidmat) telah hilang dari senarai pemilih. Ada nama-nama di kalangan mereka dipindahkan ke Dun Linggi yang berhampiran.
Mereka ini telah dikenalpasti oleh Umno/BN dan agen-agen mereka sebagai lebih mirip untuk menyokong pembangkang. Satu sumber yang boleh dipercayai mangatakan sebelum hari penamaan calon, sokongan pihak tentera terhadap PAS adalah sekitar 70 peratus.
Bukan sahaja pihak tentera yang dimanipulasikan oleh Umno/BN dan agen-agen mereka. Pengundi biasa pun diugut dan dibeli. Ada dakwaan yang mengatakan undi tentera dibeli dengan harga RM 300 untuk setiap undi, Cina sebanyak RM 100 dan undi India juga sebanyak RM 100.
Bagi keluarga India, Umno/BN turut membekalkan satu set perhiasan (make-up) untuk para isteri sebagai persiapan menyambut Deepavali. Umno/BN telah belajar dari pengalaman mereka semasa berlangsungnya PRK Manek Urai dimana pembelian undi begitu berleluasa sekali; dan Umno/BN hampir-hampir menang dengan kaedah pembelian undi ini. Ada dakwaan yang mengatakan Umno/BN menggunakan sekitar RM 25 juta bagi menawan Manek Urai!
Tidak cukup dengan memanipulasi peraturan melalui SPR, Umno/BN turut menggunakan pendekatan provokasi secara terancang. Ia bermula pada hari penamaan calon apabila Ketua Putera Umno, Dato’ Abdul Azeez Abdul Rahim mendakwa beliau dipukul oleh sembilan orang pemuda PAS dan mengalami kecederaan yang serius.
Apa yang menghairankan ialah tidak ada satu gambar pun yang menunjukkan beliau dipukul. Dalam zaman ICT yang canggih ini, ini adalah sesuatu yang menghairankan. Sebelum ini apabila berlaku demonstrasi di Pantai Buruk, Kuala Terengganu dan kekecohan semasa penamaan calon PRK Permatang Pauh, polis mampu mengiklankan gambar-gambar mereka yang terlibat di muka hadapan Utusan Malaysia dan dalam slot berita TV3.
Kenapa dalam kes Bagan Pinang tidak ada gambar dan tindakan dari pihak polis? Jawapannya ialah kerana semua ini dirancang dan mendapat perlindungan pihak-pihak tertentu.
Media arus perdana memainkan peranan memutarbelitkan ‘peristiwa’ yang berlaku dengan meletakkan PAS dalam kandang orang salah, memberi imej bahawa PAS adalah ekstrim dan ganas, selari dengan imej yang dikongsi oleh kuasa besar barat seperti Amerika Syarikat dan Eropah bahawa gerakan Islam adalah gerakan yang ekstrimis.
Peranan media merupakan fasa dua dalam lakonan provokasi yang terancang ini. Fasa tiga ialah berlaku pada 7 dan 8 Oktober 2009 di mana sekumpulan (sekitar 200 orang) Pemuda Umno menyerang Markas Besar Pemuda PAS Pusat menyebabkan beberapa individu tercedera.
Fasa empat provokasi terancang ini ialah Umno/BN menaikkan papan tanda gergasi, sepanjang jalan utama Port Dickson, memperlihatkan betapa prihatin Dato’ Seri Najib dan isteri melawat Tuan Guru Nik Abd. Aziz yang sedang terlantar sakit. Berserta dengan gambar besar ini diselit sebuah Hadis menggariskan ciri-ciri mukmin sebenar seperti prihatin terhadap jiran, melawat seorang mukmin lain yang sakit dan sebagainya.
Gambar-gambar besar ini seolah-olah memberi legitimasi (dan bukannya menghalang) kepada Pemuda Umno untuk mengganas. Sudah sempurnalah ‘kitaran’(cycle) provokasi terancang ciptaan Umno.
Kesan daripada provokasi terancang ini nampaknya lebih menguntungkan Umno/BN. Mereka dilihat sebagai ‘mangsa’ dan PAS/PR sebagai ‘pemangsa’. Kesan secara langsung dapat dirasai apabila berlaku perubahan ‘mood’ di kalangan pengundi Cina.
Seorang pimpinan PAS Terengganu memberitahu saya berlakunya satu kes apabila pihak Muslimat Terengganu berkempen di kalangan pengundi Cina. Respons pengundi Cina amatlah negatif terhadap PAS. Kesan seterusnya terbukti apabila peratusan pengundi Cina yang keluar mengundi adalah lebih rendah berbanding PRU 2008.
Merujuk kepada provokasi terancang, teringat kita kepada apa yang berlaku di Terengganu pada PRU 1986. Pada masa ini, populariti Tuan Guru Haji Hadi begitu memuncak dan banyak penganalisis politik menyimpulkan Terengganu akan jatuh ke tangan PAS.
Pada malam pilihan raya, satu provokasi terancang berlaku. Sekumpulan anak muda berserban membuat bising dan kacau sekitar bandar Kuala Terengganu. Ini amat menakutkan pengundi Cina dan sudah semestinya pemuda berserban dikaitkan dengan PAS.
Terengganu yang sepatutnya menjadi milik PAS terus dikuasai oleh Umno/BN. Terdapat persamaan yang jelas apa yang berlaku di Terengganu pada 1986 dengan apa yang berlaku di pilihan raya kecil Bagan Pinang.
Kesimpulan: Persaingan paradigma
Kesan PRK Bagan Pinang terhadap masa depan politik PAS/PR amat bergantung kepada keberkesanan pendekatan, dasar dan program yang akan digubal dan dijalankan oleh PAS/PR dalam mendepani cabaran yang terbit dari pelaksaan idea 1Malaysia oleh Umno/BN.
Sungguhpun 1Malaysia dikritik oleh pembangkang sebagai satu slogan politik, ia mempunyai tarikan yang tersendiri di kalangan rakyat. Masyarakat Malaysia akan teruja dengan slogan-slogan baru; tambahan lagi di kalagan masayarakat Melayu yang mudah lupa.
Apa yang menarik ialah idea 1Malaysia adalah sesuatu yang tidak asli. Ia ditiru dari idea ‘Pakatan Rakyat’ itu sendiri dengan mendahului kehendak rakyat. Untuk membuktikan beliau perihatin terhadap rakyat, Najib turun ke jalan-jalan raya menemui rakyat.
Najib meniru cara bekerja bapanya yang turun ke desa-desa menemui rakyat. Rakyat teruja dengan pendekatan ini kerana ia berbeza dengan Perdana Menteri sebelum beliau. Najib terpaksa melakukannya kerana beliau sedar rakyat telah menolak Umno/BN pada PRU 2008.
Cara berkesan adalah turun dan berjumpa dengan rakyat, mendalami masalah yang dihadapi oleh rakyat dan cUba mengatasinya dengan program-program yang berkesan. Dalam konteks ini, sama ada di lihat dari sudut Pakatan Rakyat atau BN, aktor utama yang menentukan masa depan politik negara ialah rakyat.
Di sinilah berlakunya persaingan paradigma. Pimpinan Pakatan Rakyat mesti sedar apa yang dilakukan oleh Najib dan 1Malaysianya ialah merupakan satu percubaan yang serius untuk ‘mengambil angin dari sauh kapal‘ Pakatan Rakyat.
Sekiranya tidak ditangani dengan baik dan secara yang berkesan, ia boleh menenggelamkan kapal yang bernama Pakatan Rakyat ke dasar lautan. Sekiranya ini berlaku ianya sesuatu yang malang kerana parti-parti pembangkanglah yang mula-mula mengangkat mertabat dan kedaulatan rakyat ke persada politik Malaysia.
Ditulis Oleh WAN ABDUL RAHMAN WAN AB LATIFF
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan