KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Oktober 19, 2009

Perhimpunan Umno: Umno akui amalkan rasuah pilihan raya

KUALA LUMPUR: Umno akhirnya mengakui mereka mengamalkan rasuah untuk memenangi pilihanraya dan ia membuktikan apa yang diperkatakan oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat terhadap amalan jijik pemimpin parti itu benar belaka.

Mengulas perkara berkenaan, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayob berkata apa yang dikatakan oleh wakil Umno Kelantan itu membuktikan pemimpin parti tersebut mengamalkan rasuah bukan hanya untuk memenangi jawatan dalam parti tetapi juga untuk memenangi pilihanraya.

Kata beliau, Pakatan Rakyat konsisten untuk memerangi rasuah dan menjadikan ia agenda besar pakatan pembangkang untuk dihayati oleh rakyat diperingkat akar umbi serta dapat dijadikan gelombang ketiga untuk menentang Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Apa yang jelas pemimpin Umno sendiri sudah mengakui mereka mengamalkan rasuah bukan hanya untuk menang jawatan parti tetapi juga untuk memenangi pilihanraya dan perkara yang sering dibangkitkan oleh pemimpin Pakatan Rakyat ini bukan semata-mata rekaan atau fitnah.

"Bila kita (PAS dan Pakatan Rakyat) mendedahkan soal rasuah yang diamalkan oleh Umno, kita bercakap berdasarkan apa yang mereka lakukan bukan menfitnah kerana mahu mendapatkan sokongan rakyat.

"Kerana rasuah ini merupakan satu barah yang perlu diperangi habis-habisan maka Pakatan Rakyat konsisten untuk menjadikan isu rasuah difahami rakyat diperingkat akar umbi seterusnya menjadikan ia sebagai gelombang ketiga yang akan menumbangkan BN," kata beliau.

Beliau juga menegaskan perubahan yang dilaung-laungkan oleh pemimpin Umno hanyalah bersifat kosmetik semata-mata selagi amalan rasuah dan perasuah masih lagi kekal menerajui parti tersebut.

Tuduh menuduh antara wakil Umno Kelantan dan Terengganu itu juga kata Salahuddin membuktikan pemimpin parti tersebut masih lagi bercakaran sesama sendiri dan tidak bersedia untuk melakukan perubahan yang dimahukan oleh ahli-ahlinya.

Rakyat, kata beliau, seharusnya melihat pendedahan yang dibuat oleh wakil Umno Kelantan sebagai satu perkara serius dan menilai dengan baik sikap pemimpin-pemimpin parti tersebut yang terlibat dalam mengamalkan rasuah yang boleh meruntuhkan sebuah negara.

Salahuddin juga berkata, beliau yakin akan ada lebih banyak pendedahan dibuat oleh pemimpin parti tersebut bila mereka bercakaran sesama sendiri.

Seorang lagi Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar ketika mengulas perkara berkenaan berkata apa yang diperkatakan oleh wakil Umno Kelantan itu tidak menghairankan kerana terbukti dalam Pilihanraya Kecil Dun Bagan Pinang, faktor rasuah, perasuah dan gangster menjadi faktor membantu kemenangan BN yang diwakili Tan Sri Isa Samad yang telah dibuktikan mengamalkan politik wang oleh Umno sendiri.

Kata beliau lagi, setiap kali menjelang pilihanraya kecil, pemimpin-pemimpin Umno-BN akan menjanjikan pelbagai projek semata-mata untuk memastikan rakyat terus mengundi mereka dan perbuatan ini merupakan satu amalan rasuah yang semakin serius diamalkan oleh pemimpin parti tersebut.

"Seolah-olah menjadi satu trend bagi pemimpin-pemimpin Umno-BN untuk menjanjikan pelbagai projek seperti mahu membina sekolah bila adanya pilihanraya kecil.

"Pemimpin-pemimpin Umno-BN juga menjadikan janji pembangunan kepada rakyat setiap kali ada kematian mana-mana wakil rakyat tidak kira dari Pakatan Rakyat atau dari BN.

"Semua ini merupakan perbuatan rasuah yang dilakukan bukan hanya di Terengganu atau Kelantan tetapi melibatkan di seluruh Malaysia dan ia bukan satu amalan baru," kata Mahfuz.

Beliau juga menjelaskan rakyat seharusnya sudah dapat menilai dengan baik bila pemimpin-pemimpin Umno sendiri sudah mengakui wujudnya amalan rasuah yang dilakukan untuk memenangi pilihanraya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Dato' Kamarudin Jaffar pula menegaskan tuduhan wakil Umno Kelantan terhadap Umno Terengganu membuktikan krisis dalam parti itu masih belum selesai dan perubahan yang mereka laung-laungkan hanya untuk mengaburi mata rakyat.

"Umno sudah mengakui mereka melakukan rasuah dan mereka juga tidak segan untuk memilih perasuah sebagai calon parti mereka dalam pilihanraya, jadi terpulang kepada rakyat untuk menilai perkara ini," kata beliau.

Justeru kata beliua, rakyat harus menilai kesungguhan Pakatan Rakyat yang mahu memerangi rasuah untuk dibandingkan dengan tipu muslihat Umno yang melaungkan perubahan tetapi masih bercakaran sesama sendiri.

Ketika perhimpunan agung Umno baru-baru ini, wakil Umno Kelantan, Dato' Noor Zahidi Omar menempelak wakil Terengganu Dato' Dr Haji Rosli Mat Hassan yang berkata Kelantan tidak mampu merampas semula negeri itu daripada PAS, walaupun hanya berdepan dengan Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat.

"Terengganu pun bukan kita tak tahu macam mana boleh menang. Wang ehsan banyak tuan-tuan," kata Noor Zahidi disambut gelak ketawa para perwakilan.

"Hari raya bagi wang ehsan, bagi basikal macam-macam. Bagi duit macam itu macam mana tak boleh menang?" katanya lagi.

Tiada ulasan: