KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar menyangkal dakwaan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Bagan Pinang ekoran perubahan yang dibawa oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak termasuk slogan "1Malaysia".
Katanya, slogan "1Malaysia" hanyalah satu slogan kosong dan tidak ada pengisian yang baru yang boleh membawa kepada proses peningkatan undi yang membawa kemenangan kepada mereka.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan pimpinan BN yang menyifatkan kemenangan tersebut mencerminkan penerimaan rakyat terhadap gagasan kepimpinan "1Malaysia" yang dibawa Najib.
Katanya, BN yang memilih Tan Sri Mohd Isa Samad sebagai calon dilihat tidak lagi peka terhadap persoalan rasuah.
"Sekalipun 'Botak Chin' boleh memberi kemenangan kepada BN maka 'Botak Chin' yang akan jadi calon. Kalau seorang pengedar dadah antarabangsa yang akan memberi kemenangan kepadanya, maka dia juga boleh menjadi calon BN.
"Apa yang penting kepada BN bukan lagi nilai dan maruah parti tetapi yang penting ialah kelangsungan kuasa politik. Ia juga dilihat bukan lagi keperluan mendidik masyarakat untuk melihat betapa penting keperluan memilih pemimpin yang bersih," katanya sewaktu dihubungi.
Jelasnya, sekalipun seorang pemimpin itu 'kotor', BN akan tetap 'menggilap' dengan apa cara sekalipun menyatakan seorang pemimpin itu bersih walaupun hakikatnya calon itu perasuah.
Tegas Ahli Parlimen Pokok Sena itu lagi, BN tidak lagi melihat nilai pendidikan kepada masyarakat agar mempunyai pemikiran terbuka untuk membuat penilaian dengan bijaksana.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan