KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Oktober 19, 2009

PAS kalah di Bagan Pinang dengan bermaruah - Ustaz Idris Ahmad

UMNO terkejut dan gila kalau mereka kalah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Bagan Pinang pada 11 Oktober 2009. Ini adalah pertarungan jatuh bangun Umno/BN di negara ini.

Walaupun ini adalah pilihan raya kecil sahaja diperingkat Dewan Undangan Negeri sahaja, bukan parlimen, tetapi ia mempunyai implikasi yang besar dalam pemetaan politik negara.

Sekiranya kalah dalam PRK kali ini, maka BN kena bersedia untuk meninggalkan wasiat dan beli kain kafan untuk ditalqinkan. Kalaulah BN kalah maka ini adalah ukuran yang mudah untuk Pakatan Rakyat menguasai negeri selatan dan peringkat pusat.

Inilah PRK yang paling digeruni oleh BN berbanding dengan PRK di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau, Batang Ai, Penanti, Manik Urai dan Permatang Pasir.

Sebab itu mereka bekerja dengan sepenuh kekuatan tanpa menghiraukan undang-undang dan melanggar maruah dan integriti. Akhirnya rakyat telah menjadi hakim dengan keputusannya Tan Sri Isa Samad mendapat undi sebanyak 8013 berbanding dengan Zulkifli Mohammad Omar mendapat undi sebanyak 2578, bermakna majoriti yang diperolehi oleh Isa sebanyak 5435 undi.

Sebagaimana yang sedia maklum calon PAS yang hendak bertanding wajib berbaiah ikatan sumpah yang diikat dengan kalimah Wallahi, wabillahi, watallahi. Kalimah yang mengerunkan bagi mereka yang berbaiah setia dengan janji, bukan sahaja dengan parti tetapi juga dengan Allah SWT. Kalau ada calon yang belot Allah dan malaikat serta makhluk atas dunia ini akan melaknati mereka.

Selain daripada baiah mereka juga kena dilihat rekod peribadi yang tidak melakukan dosa besar dan mengekalkan dosa kecil. Majlis Syura perlu menapis dahulu dengan memeriksa latar belakang seorang calon. Inilah ketelusan yang tidak ada pada umno.

Maka sudah pastilah calon PAS seperti Zulkifli, kita pastikan tidak terlibat dengan gejala yang tidak bermoral seperti rasuah dan sebagainya. Ini adalah satu kelainan dengan umno, kerana mereka berpegang dengan prinsip “matlamat menghalalkan cara”. Dengan prinsip mesti menang, cara dan jalan bukan perhitungan. Maka inilah yang berlaku kepada calon Umno di Bagan Pinang.

Dalam masa yang sama, MCA telah membuat satu Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM). Perwakilan MCA menyokong usul undi tidak percaya ke atas Presidennya, Dato' Seri Ong Tee Keat dan menolak Dato' Seri Chua sebagai Timbalan Presiden.

Ini menggambarkan perwakilan MCA adalah perwakilan yang bermaruah dan berintegriti. Mereka tidak mahu pimpinan mereka yang dituduh terlibat dengan rasuah dan kegiatan yang tidak bermoral.

Mereka rasional dan mahu melihat MCA sebagai wadah perjuangan yang dipimpin oleh mereka yang bermaruah dan bermoral. Sepatutnya pimpinan Umno kena merasa malu kepada MCA yang bukan Islam tetapi tahu mana kaca dan permata.

Sebenarnya perwakilan MCA sinis terhadap sikap pimpinan Umno yang tidak serius soal maruah dan rasuah. MCA yang tidak beragama Islam pun tahu tentang harga diri sebagai pemimpin politik yang bermaruah, tidak mahu berkompromi dengan soal rasuah.

Tindakan yang berlaku dalam kepimpinan Umno akan terjejas dari sudut untuk proses dakwah dan melihat kemurnian Islam yang sebenar pada pandangan orang bukan Islam. Kalau inilah yang berlaku, Islam akan dipandang hina, kerana pemimpin Umno mendakwa sebagai pemimpin Islam sedangkan tidak jijik dengan rasuah.

Benarlah kata pujangga "Islam terhalang oleh orang Islam sendiri".

Umno boleh bersorak kegembiraan kerana memang dengan bergaya, tetapi semua pemerhati politik melihat Umno akan mengalami keruntuhan untuk jangka panjang. Sejarah di Bagan Pinang menjadi saksi untuk akan datang.

Apakah Umno tidak pernah mengambil pengajaran daripada banyak kerajaan yang kuat akhirnya ia akan lumpuh akibat rasuah. Jatuhnya regim Suharto di Indonesia yang memerintah selama 31 tahun (1967-1998) dan Marcos yang memerintah Filipina 1965-1986)

Siapa sahaja boleh menjadi pemimpin asalkan ada wang, soal maruah dan rasuah bukan menjadi perhitungan lagi dalam Umno. Selepas ini Umno akan ditimpa dengan wabak yang lebih barah daripada H1N1. Ahli tidak hormati pemimpinnya lagi.

Begitu juga apabila Badan pencegah Rasuah (BPR) ditukar kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya sebagai lipstik sahaja. Malahan indeks rasuah negara tetap berluasa.

Kajian Transparency International (TI), Malaysia terus merudum dalam Indeks Persepsi Rasuah apabila berada pada kedudukan ke-47 pada tahun 2008 sedangkan tahun 2007 indeks rasuah hanya tangga 43 Ibarat kata bangkai gajah tidak lagi boleh dilindungi.

Ketewasan PAS di Bagan Pinang satu kejutan supaya kita banyak bermuhasabah diri dan meningkatkan keupayaan kita dalam menggerakkan jamaah dan perjuangan kita. Walaupun musuh kita jahat dengan menggunakan apa sahaja untuk mereka menang, kita juga perlu untuk muhasabah diri supaya kita dapat memacu kejayaan dalam PRU yang akan datang.

Mungkin banyak lagi kerja yang kita kena buat. Kita perlu banyakkan ahli, cawangan, kekuatan dalaman kepada ahli dan pimpinan supaya hubungan dengan Allah terjalin. Ahli PAS tempatan perlu ada keberanian untuk menunjukkan syiar perjuangan kepada musuh.

Kita sekarang menikmati kemenangan hasil daripada keberanian dan kesungguhan orang yang terdahulu yang berani menghadapi apa-apa risiko yang dibuat oleh pihak lawan. Sebagai satu kata rangsangan seperti yang disebut oleh al-Syahid Sayyid Qutb - kebatilan walaupun nampak kuat tetapi tidak kekal, kebenaran walaupun lemah tetapi ia akan memperolehi kemenangan.

Ditulis Oleh USTAZ IDRIS AHMAD
Ketua Penerangan PAS Pusat

Tiada ulasan: