KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Oktober 24, 2009

"Adun BN yang buat kecoh, kita pula dituduh" - Ngeh Koo Ham

MUQADIMAH: Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak akan berlangsung pada 28 Oktober ini. Apakah yang akan terjadi apabila dua speaker iaitu V Sivakumar dan R Ganesan akan memainkan peranan mereka dalam sidang dewan ini? Apakah akan tercetus kekecohan sebagaimana sebelum ini? Pengerusi DAP Perak yang juga Adun Setiawan, Dato' Ngeh Koo Ham mempunyai hujahnya dalam isu ini. Ikuti temubual SALMIYAH HARUN bersama beliau di lobi Parlimen Khamis lalu.

Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak sudah memberi amaran jangan ada pihak yang cuba bertindak menghalang sidang Dun Perak 28 Oktober ini? Apa pandangan Dato'?

Sebenarnya sehingga kini Adun Pakatan Rakyat tidak pernah berlaku kasar. Sungguh pun kita digulingkan secara tidak demokratik dan tidak sah tetapi kita setiap masa bertindak secara aman.
Mereka yang melakukan kekasaran ialah BN dan pihak polis dibawah arahan BN. Pada 3 Mac 2008 apabila kedua-dua pihak mengaku speaker yang sah adalah Sivakumar, dia telah memanggil kami bersidang.
Mereka yang menghalang kami bersidang adalah pihak polis, sedangkan speaker yang sah panggil kami kenapa pihak polis pula bertindak menghalang kami. Datangnya FRU dan kereta kebal yang menghalang kami masuk ke dewan.
Kita difahamkan mereka yang bertindak kasar adalah kumpulan samseng yang datang sambil tunjukkan pistol, tetapi polis tidak pula mengambil tindakan. Ekoran itu kami terpaksa beralih ke bawah pokok demokrasi.
Pada 7 Mei pula, saya hendak tanya siapa yang melakukan kekecauan? Sedangkan kami tidak berbuat demikian. Kita bantah BN, biarpun speaker pada masa itu sah bagi kedua-dua pihak, yang duduk atas kerusi speaker.
Kita hanya membantah apabila mereka membuat persidangan kecil di kerusi speaker. Kita menegaskan tindakan itu tidak betul dan salah. Mulut sahaja yang menegur tanpa ada tindakan kasar. Tetapi tiba-tiba polis masuk bawa pistol, pukul kita dan secara keras mengheret keluar Sivakumar. Siapa yang kasar? Siapa yang mulakan kekecohan? Jadi kita minta BN ikut undang-undang. Rakyat sudah jelas orang yang tidak mengikut undang-undang adalah BN.

Pakatan Rakyat tetap tidak mengiktirafkan Speaker BN R Ganesan. Bagaimana kedudukan beliau sekarang?

Ganesan bukan speaker yang sah. Bagaimanapun BN mengisytiharkan dia speaker yang sah. Bahkan menuduh Speaker Sivakumar mencuri jubah yang dipakainya. Padahal mencuri itu mengambil barang orang lain! Tetapi jubah itu sudah jadi hak dia.
Sebab itu, saya tegaskan rakyat mesti menolak BN kerana mereka sudah keterlaluan. Apa yang tidak betul sudah jadi betul.
Kita mesti faham kerajaan yang wujud sekarang kerana adanya perlembagaan sama ada persekutuan atau negeri. Sultan wujud pun dibawah peruntukan perlembagaan ataupun Undang-undang Tubuh Negeri Perak begitu juga Dun, Menteri Besar, Exco dan Speaker Dewan.
Kita tahu undang-undang Perak, speaker dilantik dan dipilih oleh ahli Dun. Malangnya BN tidak ikut undang-undang. Apa-apa keputusan mesti dibuat apabila mulanya persidangan.
Raja Muda Perak hanya membuat pembukaan pada jam 3.06 petang, jadi takkan apa-apa keputusan bermula sebelum masa itu sah? Bagi Pakatan Rakyat, kita ikut semua secara terperinci undang-undang yang ditetapkan. Ini prinsip kita.
Sultan pun kena ikut undang-undang juga, sebab institusi itu sendiri diwujudkan oleh perlembagaan. Dalam Undang-undang Tubuh Negeri Perak, kalau sultan melakukan kesalahan dia boleh didakwa di mahkamah khaslah dan kalau dihukum satu hari penjara ia akan dilucutkan jawatannya.
Maksudnya sistem yang sedia ada ini bukan sistem raja mutlak seperti raja-raja zaman dahulu. Jadi harap semua faham. BN senantiasa tidak mahu ikut demokrasi, semua ini adalah salah guna kuasa atas nama sultan.

Bagaimana kedudukan Speaker Sivakumar sekarang. Adakah beliau masih sebagai speaker yang sah menjelang persidangan nanti?

Pada pandangan kami dia sah kerana dia tidak pernah dilucutkan jawatannya bahkan dia dipilih secara sah. Pada persidangan itu, buat masa ini kita tidak mengiktiraf Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah sementara Mahkamah Persekutuan belum lagi menetapkan siapa menteri besar yang sah.
Kita akan hadir sidang Dun Perak nanti atas jemputan Speaker Sivakumar bukannya Ganesan. Tidak malulah mereka (BN) kerana Ganesan bagi kami dia tidak sah. Dalam persidangan itu kita akan hadir sebagaimana sebelum ini, iaitu langsung tidak akan buat kacau seperti mana dituduh dalam sidang sebelum ini.
Kita buat ini sebagai meluahkan suara rakyat. Kita tidak mahu negeri ini kucar-kacir dan tidak mahu membuat kekacauan sehingga mengganggu kerja harian rakyat negeri ini.

Pada 28 Oktober ini, apakah akan timbul lagi kekecohan sebagaimana sebelum ini. Sebab ada dua speaker dari Pakatan Rakyat dan BN. Bagaimana akan berlakunya persidangan?

Kita akan hadir juga dalam sidang itu nanti, dan kita yakin Adun Pakatan Rakyat tidak akan melakukan sebarang tindakan yang boleh menimbulkan kekecohan. Apa yang membimbangkan puak-puak BN lah yang sentiasa memulakan kekecohan dulu.
Saya rasa mereka (BN) akan membenarkan kita masuk bersama dalam dewan sebab kita ada speaker yang sah iaitu Sivakumar. Jadi BN pun akan hadir mereka tidak boleh halang kita. Apa yang saya tegaskan, sebenarnya polis tidak boleh masuk ke dalam dewan, seperti juga di Dewan Rakyat.
Sebab dewan sudah ada bentara yang memainkan peranan sebagai menjaga keselamatan. Polis tidak boleh masuk sebab bentara adalah sebahagian daripada jentera eksekutif, jadi kita ada bentara sendiri.
Malangnya polis sudah melampaui tempat yang tidak perlu dia masuk. Jadi rakyat mesti tahu sistem demokrasi negara kita.

Bagaimana dengan dua Adun lompat, Osman Jailu dan Jamaluddin Radzi, benarkah mereka ada menjalin hubungan dengan Pakatan Rakyat, kononnya untuk merujuk semula?

Dato' Seri Nizar Jamaluddin ada terjumpa dengan dua Adun itu. Mereka memohon maaf bukannya menyatakan untuk kembali kepada Pakatan Rakyat. Tetapi bagi kita tidak boleh terima mereka berdua, kerana sikap mereka yang tidak bersih.
Kalau mereka berdua insaf mereka boleh isytiharkan tidak lagi menyokong BN supaya Dun boleh dibubarkan. Inilah salah satu cara untuk mereka menyatakan kemaafan kepada rakyat negeri Perak. Dengan cara itulah mereka boleh menebus dosanya terhadap rakyat Perak. Tetapi kami menegaskan tidak akan menerima mereka berdua sebagai ahli Pakatan Rakyat.

Bagaimana reaksi rakyat Perak pada hari ini, adakah mereka masih berpendirian mahukan Dun dibubarkan?

Daripada tinjauan kita buat, 90 peratus rakyat Perak mohon Sultan Perak perkenankan untuk bubarkan Dun Perak bagi membuat pilihan raya baru. Bagaimanapun Zambry menafikan perkara itu. Cara yang terbaik adalah bubar Dun.

Apa harapan Dato' kepada seluruh rakyat negeri Perak?

Saya pernah menyatakan bahawa untuk rakyat Perak sudah sampai masanya tidak menjemput Exco BN atau pemimpin BN untuk merasmikan program-program, sebagai menyampaikan mesej kepada mereka bahawa mereka sudah melanggar hak rakyat.
Lagi pun sebagai desakan supaya BN kembalilah kepada pangkal jalan iaitu sistem demokrasi yang telus. Hormatilah tuntutan rakyat sebagai penentu siapa yang berhak menerajui negeri Perak. Malangnya mereka (BN) ini 'muka tembok'. BN memang tidak malu.
Penglibatan rakyat Perak ini supaya BN sedar menerajui negeri yang tidak diiktiraf rakyat adalah satu tindakan yang memalukan. Ini mesej penting yang perlu diterjemahkan oleh rakyat Perak.

Tiada ulasan: