KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub membidas kenyataan Timbalan Ketua Pemuda Umno, Dato' Razali Ibrahim yang mahu Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan disiasat di bawah Akta Hasutan.
"Jika mereka ingin buat apa jua tindakan, jangan lupa bahawa selaku Pengarah Jentera Operasi PAS, saya bertanggungjawab sepenuhnya atas kesemua laporan polis yang dibuat PAS atas dakwaan berlakunya keganasan dalam tempoh kempen pilihan raya Kecil Dun Bagan Pinang baru-baru ini," katanya kepada Harakah.
Beliau dengan tegas mengulangi kenyataannya bahawa beliau bertanggungjawab dengan semua pendedahan yang dibuat PAS berhubung kejadian keganasan yang berlaku terutamanya yang membabitkan petugas PAS dan Umno.
"Saya telah bekerjasama dengan polis dan terpulanglah kepada mereka untuk menjalankan siasatan," ujarnya.
Ditanya mengenai desakan Pemuda Umno untuk dibawa individu yang terbabit ke mahkamah, beliau menyatakan pihaknya tidak mahu bertindak mahupun memberikan ulasan yang boleh mengganggu siasatan polis.
Tegasnya, Pemuda Umno diingatkan agar tidak menafikan sebarang dakwaan yang dibuat berhubung keganasan dan insiden berdarah yang berlaku di Bagan Pinang.
"Pemuda Umno jangan cuba untuk nafikan dan tidak bertanggungjawab dengan apa yang telah terjadi," tegasnya lagi yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.
Salahuddin melahirkan rasa kesal atas sikap dan tindakan Pemuda Umno yang jelas membawa budaya samseng sehingga mencetuskan kekecohan dalam pilihan raya kecil tersebut.
"Saya bimbang keadaan Pemuda Umno sekarang ini kembali ke era Pemuda Tahan Lasak pada tahun 1960-an dahulu," ujarnya lagi.
Jelasnya, menurut satu kenyataan yang dibuat salah seorang Exco Pemuda Umno sebelum pilihan raya kecil Bagan Pinang, mereka berjanji akan menggunakan apa jua cara sekalipun termasuk menurunkan pemuda ala komando untuk memenangi pilihan raya itu.
"Saya rasa inilah punca awal segala insiden keganasan di Bagan Pinang baru-baru ini," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan