KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Oktober 24, 2009

Bagan Pinang tidak butakan pengundi Perak

KUALA LUMPUR: Desas-desus pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak dalam tempoh terdekat semakin bertiup kencang berikutan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil Dun Bagan Pinang baru-baru ini.

Namun begitu, beberapa pemimpin Pakatan Rakyat yang ditemui menafikan kemenangan BN di Bagan Pinang baru-baru ini akan memberi kesan terhadap Pakatan Rakyat jika Dun Perak dibubarkan.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayob memberitahu Harakah apa yang berlaku di Bagan Pinang agak terasing berbanding dengan isu di Perak dan kemenangan BN itu tidak boleh dijadikan ukuran bahawa sokongan rakyat Perak juga sudah mula berubah.

Kata beliau, isu di Perak isu rampasan kuasa dan kuasa rakyat yang telah dirompak oleh BN yang ketika itu dketuai oleh Dato' Seri Najib Tun Razak dan ianya jauh berbeza dengan isu di Bagan Pinang.

Beliau juga yakin jika Dun Perak dibubarkan dalam tempoh terdekat, rakyat negeri itu akan bangkit menyatakan bantahan mereka terhadap apa yang dilakukan oleh pemimpin-peimpin BN di negeri tersebut.

"Ramai yang menganggap apa yang berlaku di Bagan Pinang akan turut memberi kesan jika berlaku pilihanraya kecil di tempat lain atau Dun Perak dibubarkan sedangkan isu di Bagan Pinang terlalu jauh beza dengan isu di tempat lain atau Perak.

"Saya rasa pada umumnya keutuhan dan kekuatan Pakatan Rakyat tetap berada pada tahap yang masih dikira terbaik namun tidak nafikan ada beberapa perkara dalaman tapi ia tidak akan menjejaskan," kata beliau.

Mengulas mengenai gambaran yang dimainkan oleh media arus perdana tentang Perdana Menteri, Dato' Seri Najib yang dilihat mampu menarik sokongan bukan Melayu tanpa bantuan dari parti komponen BN, Salahuddin berkata, "Itu kelebihan yang hanya dimainkan oleh media. Penerimaan rakyat tetap berpihak kepada Pakatan Rakyat biarpun Najib gah dengan slogan 1Malaysia."

Beliau juga yakin pengundi-pengundi muda dan peranan yang dimainkan oleh media baru akan memberikan kelebihan kepada Pakatan Rakyat kerana akses kepada maklumat serta laporan ketua audit negara yang memberikan laporan positif terhadap negeri-negeri Pakatan Rakyat akan dapat disebarkan dengan mudah.

Sementera itu, Pengarah Pilihanraya KeADILan, Saifuddin Nasution juga berkongsi pendapat yang sama dengan Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Saifuddin berkata, biarpun BN memperolehi kemenangan besar di Bagan Pinang tetapi ia bukan ukuran untuk mengatakan sokongan rakyat Perak juga sudah beralih arah berdasarkan apa yang berlaku pada ketika perhimpunan 1Malaysia di Ipoh pada 19 Oktober lalu.

Kata beliau, hingga hari ini BN terpaksa meminta rakyat Perak agar menerima dengan hati terbuka kerajaan yang ditubuhkan secara haram itu seterusnya mengakui bahawa Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar negeri itu yang sah.

Katanya lagi, tindakan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin BN yang meminta agar rakyat Perak dan pemimpin Pakatan Rakyat menerima kerajaan haram itu membuktikan bahawa sokongan terhadap BN masih berkurangan di Pantai Barat Semenanjung.

"Jika kemenangan besar BN di Bagan Pinang mahu dijadikan ukuran untuk membubarkan Dun Perak ianya satu langkah yang silap kerana situasi di Perak dan Bagan Pinang terlalu jauh bezanya.

"Rakyat Perak hingga hari ini masih lagi marah dengan peritiwa rampasan kuasa dan tindakan BN menafikan pilihan mereka dalam pilihanraya umum ke 12 yang lalu dan ini merupakan satu isyarat yang mungkin tidak difahami oleh pemimpin BN.

"Perhimpunan 1Malaysia yang diadakan di Ipoh baru-baru ini juga bukti bahawa BN terpaksa merayu agar rakyat Perak menerima mereka sebagai kerajaan dan ia juga bukti pengaruh Pakatan Rakyat masih kuat di negeri tersebut," kata beliau.

Ahli Parlimen Machang itu juga berpendapat, rakyat Perak sudah lama menunggu hak mereka sebagai penentu sesebuah kerajaan dikembalikan dan jika benar Dun Perak akan dibubarkan dalam tempoh terdekat ia merupakan satu perkara yang dinanti-nantikan oleh rakyat negeri itu.

Mengulas isu sama, Setiausaha DAP Perak, Dato' Nga Kor Meng pula yakin BN akan membubarkan Dun perak berasakan kemenangan besar pada pilihanraya kecil Bagan Pinang.

Menurut beliau jika benar, ianya bertepatan dengan desakan rayat negeri itu selama ini yang mahu kerajaan negeri dipilih semula oleh mereka.

"Jika benar, ini memang hasrat rakyat. Mengikut pungutan suara gabungan NGO yang diumum minggu lalu, 10 ribu yang ditemuduga, 92.15 peratus bersetuju Dun Perak dibubarkan," katanya ketika ditemui di parlimen.

Beliau yang juga Adun Pantai Remis berkata, Pakatan Rakyat Perak sememangnya menunggu perkara itu berlaku sebagai penyelesaian terbaik kemelut negeri itu yang sudah berlarutan hampir sembilan bulan lalu.

"Kita bersiap sedia sepanjang masa, kita yakin prestasi 10 bulan memerintah Perak dan sengat kerjasama PAS-DAP-KeADILan memmbuatkan rakyat akan bersama kita," ujarnya.

Krisis perlembagaan negeri Perak sekali lagi bakal mendapat perhatian apabila Speaker Pakatan, V.Sivakumar dan Speaker BN, R.Ganesan masing-masing memanggil sidang Dun pada tarikh sama 28 Oktober ini.

Kesemua Adun Pakatan Rakyat mahupun BN telah menyatakan komitmen untuk hadir pada persidangan tersebut berdasarkan notis panggilan dari Speaker masing-masing.

Tiada ulasan: