KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Oktober 24, 2009

Shafie didakwa bolot projek BELB untuk kroni - Tian Chua

KUALA LUMPUR: Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato' Seri Mohamad Shafie Afdal didakwa mengguna kroni-kroninya sebagai 'broker' untuk menganugerahkan projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) di Sabah dan Sarawak kepada kontraktor-kontraktor yang sudi memberi komisyen kepada beliau.

Perkara tersebut didedah Pengarah Strategik KeADILan, Tian Chua dalam satu sidang media di Lobi Parlimen Isnin lalu.

"Broker menteri memberi jaminan, kontraktor akan menerima surat niat (letter of intent) atau surat tawaran (letter of award) dengan syarat komisyen sebanyak 15 hingga 20 peratus diberi kepada mereka," dakwanya.

Tian mendakwa, antara kroni-kroni yang terlibat termasuklah adik Shafie, Yusuf Afdal dan ahli Umno Bahagian Sandakan.

Tegasnya, semenjak Shafie dilantik sebagai menteri, semua projek BELB disemak semula dan dianugerahkan kepada syarikat-syarikat yang tidak memenuhi syarat-syarat Kementerian Kewangan dan kementerian itu sendiri.

Beliau juga mendedahkan pada awalnya iaitu 16 Mac lalu, kontrak BELB diberi kepada empat kontraktor dengan surat niat iaitu Akif Jaya Sdn Bhd (RM30 juta), Esajadi Gumi Asli Sdn Bhd (RM80 juta), Emas Ramai Sdn Bhd (RM80 juta) dan REMT Utama Sdn Bhd (RM40 juta).

Malangnya dakwa Tian, pada 18 Jun 2009 kementerian membatalkan kontrak yang dilantik itu tanpa memberi alasan. Pada 13 Julai lalu, kementerian mengeluarkan notis mesyuarat rundingan harga projek dan pada 14 Julai 2009 surat dikeluarkan.

Beliau mempersoalkan apa yang menghairankan dalam mesyuarat rundingan yang diadakan pada 14 Julai bagi projek BELB tidak disertai wakil Kementerian Kewangan, wakil Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri dan Wakil Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Bagaimana rundingan harga tanpa kehadiran wakil Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri (JPM)?" soalnya

Dakwanya lagi pada 15 Julai, minit mesyuarat diedarkan kepada kontraktor yang dianugerahkan kontrak.

Jadi, soalnya, bagaimana minit mesyuarat boleh disiapkan kurang daripada 24 jam?

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batu mendakwa antara yang perolehi kontrak tersebut ialah, Rumkaya Sdn Bhd (RM30 juta) dipengerusi Ketua cawangan Umno Sembulan, Manate Innovation sdn Bhd (RM30 juta) dan TBS Tenaga Sdn Bhd (RM40 juta).

Beliau mendakwa, jelas Shafie menggunakan kuasanya untuk kepentingannya demi mengorbankan kepentingan orang Sabah dan Sarawak yang amat memerlukan bekalan elektrik. Ini menunjukkan bagaimanan cara proses tawaran kontrak di kementerian tersebut dibuat tidak telus.

Sehubungan itu katanya, beliau meminta jemaah menteri menyiasat perkara tersebut sebelum kes itu dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sementara itu, Shafie Apdal menafikan tentang apa yang didakwa Tian Chua itu dan mencabar beliau mengemukakan bukti.

"Tunjukkan bukti kepada saya. Jangan hanya pandai bercakap melalui media supaya seluruh dunia tahu," katanya ketika menjawab pertanyaan pemberita mengenai dakwaan itu di lobi Parlimen, Isnin lalu.

Beliau turut menafikan menggunakan kroninya sebagai broker bagi memberi projek BELB kepada kontraktor yang sudi memberi komisen kepadanya. Shafie berkata, peguamnya akan meneliti perkara itu sebelum sebarang tindakan diambil.

Tiada ulasan: