KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Oktober 24, 2009

Apa agenda tersirat Uda Holding di Kg Tanjong Tokong? Najib kena selesaikan kemelut penduduk di sini segera!

"PULAU Pinang bandar baharu, Kapten Light menjadi raja, kalau dikenang masa lalu, rasa menitis si air mata."

Sedih memang sedih. Jika Dato' Seri Najib ada belas ehsan, maka selesaikanlah kemelut Kg. Tanjong Tokong ini. Dahulukan rakyat seperti kehendak bapanya, Tun Abdul Razak yang banyak membantu rakyat. Kembalikan hak penduduk kampung di sini.

Dahulunya, Kg. Melayu Tanjong Tokong kaya dengan keindahan. Kedudukannya yang terletak di gigi air mejadikan ia sebuah perkampungan nelayan yang indah. Damai terasa apabila aliran air sesekali memukul tiang-tiang dan tangga rumah yang terbina di itu.

Terletak di bandar Georgetown, sebelum ini dikenali sebagai Tanjong Penaga. Kg. Tanjong Tokong merupakan satu penempatan yang penuh sejarah. Dengan kewujudan meriam besar di atas Bukit Paderi Tanjong Tokong, yang pada tapaknya tercatat ukiran '1785' - membuktikan kampung berkenaan telah wujud sekian lama sebelum penjajah menjejakkan kaki dan mengistiharkan pembukaan Pulau Pinang pada 1786.

Sayangnya, kini warisan dan tinggalan sejarah kampung berkenaan semakin terhakis. Keindahan dan kedamaiannya semakin lenyap ditelan zaman akibat mainan politik sempit BN. Sejajar perkembangan dunia, kampung berkenaan akan dibangunkan semula sesuai dengan keperluan penduduknya, begitulah omongannya.

Asalnya, penduduk Kg. Tanjong Tokong, (namanya Teluk Tikus) tidak bimbang apabila mendengar janji kampung mereka akan disusun semula. Segala perancangan dan pelan pembangunan diterima dengan hati terbuka. Lebih-lebih lagi, sudah sekian lama mereka hidup dalam suasana seperti 'zon Perang Dunia Kedua.' Ini jugha diakui mantan PM, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Langkah Umno menyerahkan tanah kampung itu kepada Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA), sebuah badan yang dipertanggungjawabkan untuk membangunkan tanah berkenaan diterima baik pada tahun 1974.

Kononnya untuk menyelamatkan tanah orang Melayu di Pualau Pinang. Tergambar di fikiran, penduduk di sini akan memiliki rumah sendiri yang lebih baik dan tersusun serta menjadi satu model sejarah terunggul di Pulau Pinang.

Namun, harapan tinggal harapan apabila UDA didakwa mengabaikan tanggungawab sosialnya untuk membantu penduduk kampung warisan tersebut. Tidak lain dan tidak bukan, UDA telah mengubah hasratnya dari tanggungjawab sosial kepada tangungjawab korporat apabila berubah dasar badan itu menjadi UDA Holding.

Ternyata tindakan itu menyebabkan penduduk kampung itu berang. Lebih-lebih lagi apabila UDA bertindak melalui mahkamah mengisytiharkan Kg. Tanjung Tokong sebagai kawasan setinggan, yang nyata akan menafikan hak mereka sebagai penduduk asal kampung tersebut.

Beberapa memorandum diserahkan persatuan penduduk kampung berkenaan sejak Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, pada tahun 1981. Sehingga kini, setelah Dato' Seri Najib Razak mengambil alih kepimpinan negara dari Tun Abdullah Badawi, penduduk kampung tidak berhenti-henti berusaha dan terus menyerahkan memorandum bagi meluahkan rasa hati mereka.

Kedatangan Pengerusi Persatuan Penduduk Kg. Tanjong Tokong, Mohamed Salleh Yahaya ke Pejabat Editorial Harakah, baru-baru ini jelas menggambarkan kekecewaan beliau dan penduduk dengan apa yang berlaku. Beliau bercetita panjang kepada saya dan Pengarang Berita, Tarmizi Mohd Jam.

"Penduduk tidak membantah sebarang pembangunan yang ingin dijalankan. Tepai projek pembangunan tidaklah wajar menghilangkan yang tradisi. Malahan pembangunan harus menggabungkannya dalam kerangka pembangunan yang seimbang dan lestari," tegas beliau dengan penuh harapan, sambil menunjukkan gambar-gambar dan peta membabitkan kampung berkenaan.

Apa yang dikesalkan, kata Salleh sebahagian tapak kampung itu ada yang sudah diratakan. Beliau mendakwa, bukan bagi tujuan penyusunan semula, tetapi ingin dijualkan ke pihak ketiga bagi mengaut keuntungan. Lebih-lebih lagi dengan kedudukan kampung itu yang dilihat begitu strategik antara pusat bandar dan kawasan pelancongan seperti Batu Feringgi, dan Tanjung Bungah.

Tindakan UDA itu menimbulkan persoalan dan tanda-tanya, mengapa ia tidak berlaku seperti yang sepatutnya? Lebih membingungkan, setiap kali perbincangan dengan UDA diadakan, badan itu bagaikan merahsiakan sesuatu berkenaan projek yang ingin dijalankan, sedangkan projek tersebut boleh diselesaikan pada 1990, ujar beliau.

Tidak banyak yang diminta penduduk kampung berkenaan, yang berjumlah sekitar 1,500 keluarga. Hanya mengimpikan kampung mereka dinaik taraf menjadi kampung tradisional tersusun yang berwajah baru menerusi pembangunan semula dengan mengekalkan seni bina Melayu nusantara.

Salleh menegaskan, mereka juga menuntut 'rumah diganti rumah' dari pihak UDA. Bermakna, jika rumah asal mereka dirobohkan, mereka minta dibina semula rumah baru dalam projek kampung tersusun. Sekiranya UDA enggan memenuhi tuntutan berkenaan, tanah milik mereka harus dipulangkan semula.

Selain itu juga, pengisytiharan Kg. Tanjong Tokong yang dikatakan kawasan setinggan harus ditarik kembali, dan dalam masa sama kerajaan perlu mewartakannya sebagai zon warisan, sebagaimana terwartanya 'Little India' yang tidak boleh diganggu-gugat oleh pembangunan komersial.

Begitu juga dengan situasi Kg. Bang Liau yang juga diwartakan sebagai kampung warisan. Kampung itu dipercayai tempat terawal pendaratan orang China di negeri yang mendapat jolokan sebagai 'Pulau Mutiara' itu.

Kenapa pula Kg. Melayu Tanjong Tokong yang terletak berhampiran Kampung Bang Liau begitu sulit diwartakan sebagai kampung warisan dan bersejarah, tanya Salleh.

"Sekiranya kampung kami dikatakan penempatan setinggan, ia bererti kami tidak mempunyai hak dan mereka (UDA) boleh berbuat apa sahaja yang dikehendaki mereka. Jadi, kami mahu ia diwartakan sebagai kampung warisan agar para penduduk mempunyai suara dan hak untuk menentukan hala tuju kampung tersebut, selaras dengan kenyataan bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Musa Hitam pada 1981," tegas beliau, yang mendakwa imej keMelayuan hampir pupus di Pulau Pinang setelah 50 tahun merdeka.

Ketika itu, Musa Hitam membatalkan projek UDA pada 12 September 1981, dengan menyatakan "Tanah-tanah di Tanjong Tokong adalah milik penduduk yang tidak boleh ditukar milik dan Uda akan hanya memajukannya jika diminta penduduk."

Salleh yang sudah puas berhadapan dengan media, termasuk media arus perdana, tidak jemu-jemu ke sana ke mari bagi meneruskan perjuangan penduduk kampung bagi mendapatkan hak mereka sebagai penduduk asal kampung itu.

Mengimbas kembali, UDA diberi hak milik pajakan 99 tahun oleh kerajaan negeri Pulau Pinang bermula pada tahun 1974. UDA dikenakan syarat dan sekatan khas untuk memulih, membangun semula dan memperbaharui kampung seluas 48 ekar ini.

Namun hal yang sebaliknya berlaku apabila pihak UDA cuba 'bermain tali' bertindak mengetepikan hak penduduk dengan membuat pembangunan sesuka hati tanpa berunding dengan para pemilik rumah bernombor dan penduduk.

Sepatutnya masalah pembangunan semula Kg. Tanjong Tokong telah selesai menjelang berakhirnya era Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1990 menerusi berbagai insentif dan dana di bawah Rancangan Malaysia.

Malangnya hal ini tidak disempurnakan sehingga kini. Kampung ini telah rosak kerana pihak UDA telah menghentikan sama sekali aktiviti pembangunan dari 1990 hingga 2003. Akibatnya, pertambahan penduduk yang mendadak di kampung ini menjadikan susun atur kampung ini rosak teruk.

Justeru, setelah lebih 50 tahun menanti, penduduk merayu Najib Tun Razak agar campur tangan segera bagi menyelesaikan isu ini dengan melibatkan Jabatan Perdana Menteri dan menubuhkan satu Jawatankuasa Perumahan Masyarakat Terpinggir Maritim agar orang Melayu mendapat perumahan sempurna, lestari dan berbentuk warisan.

Pulau Pinang, khususnya George Town telah diiktirafkan sebagai kota berwarisan tetapi malangnya, warisan Melayu tiada langsung dalam lingkungan warisan Pulau Pinang. Hal ini langsung diabaikan di pihak UDA Holdings. Orang Melayu tempatan gagal ditempatkan mengikut sasaran dan tempoh sesuai.

Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) ini amat berminat untuk membina rumah mewah RM 300,000 ke atas. Tuntutan rakyat ditolak dengan nyata. Perumahan mampu milik dan sederhana langsung tidak ada dalam masa 15 tahun ini.

Apa yang jelas, terdapat kepentingan melampau UDA Holding yang mewakili Kerajan Pusat dalam menyelenggarakan tanah Kg. Tanjong Tokong ini. UDA sepatutnya bertindak memulih, membangun semula dan memperbaharui kampung ini, tetapi semacam ada agenda tersirat untuk mengaut keuntungan lumayan pada kedudukan tanah yang amat kormersial ini.

Salleh menegaskan, jika benar Najib mahu mendahulukan rakyat, membela nasib rakyat khususnya orang Melayu, kemelut Kg. Tanjong Tokong ini patut ditangani secara adil. Jangan membodohkan penduduk dan mengisytiharkan penghuni warisan datuk nenek moyang mereka sebagai tanah setinggan.

Terdapat banyak mercu tanda, penempatan di sini diterokai oleh orang Melayu. Tetapi malangnya, usaha untuk menghapuskan bukti-bukti ini sedang dilakukan. Walhal, ia patut dipertahankan, dan dikembalikan kepada waris penduduk di sini.

Tiada ulasan: