KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Oktober 19, 2009

Perasuah menang, rakyat tidak berubah - Nizar Jamaluddin

KUALA LUMPUR: Kemenangan Tan Sri Isa Samad di Bagan Pinang 11 Oktober lalu bukan satu kegembiraan kepada Umno-BN, sebaliknya ia satu kemenangan bersifat 'rasuah'.

Menteri Besar Perak yang sah, Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin yang mengulas kemenangan Isa Samad itu berkata, ia satu 'kemenangan rasuah' yang memperlihatkan pengundi tidak menghiraukan kejelekan rasuah yang melingkari Isa Samad.

Bagaimanapun, beliau yang juga AJK PAS Pusat berkata, PAS menerima kekalahan calonnya, Zulkefly Mohamad Omar dan menyifatkan itu perkara biasa dalam sesuatu pertandingan.

Namun apa yang lebih mendukacitakan ialah soal moral kemenangan itu memperlihatkan pengundi tidak endah isu-isu yang melingkari Isa Samad lalu mereka memilih bekas MB Negeri Sembilan itu sebagai wakil mereka, katanya.

Paling menyedihkan kata Nizar, majoriti pengundi di Bagan Pinang adalah Melayu Islam yang seolah-olah mengiktiraf pemimpin dari kalangan perasuah padahal terang-terangan dalam al-Quran telah melarang umatnya terlibat dengan rasuah.

Katanya, masyarakat di Dun Bagan Pinang belum lagi melihat isu rasuah sebagai satu permasalahan besar sebaliknya menganggap ia sebagai isu kecil sehingga lebih mengutamakan populariti calon BN, katanya.

Beliau menegaskan, soal kualiti pemimpin hanya berpaksikan kepada orang lama yang banyak berjasa, bukan kualiti berlandaskan agama.

"Sebab itulah, Mohd Isa menjadi pilihan majoriti masyarakat di Dun berkenaan walaupun rekodnya buruk sebelum ini. Pengundi masih tidak dapat membezakan pemimpin berkualiti yang berlandaskan agama dengan pemimpin berkualiti berdasarkan pengalaman," ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fook pula berkata, kemenangan Isa adalah kemenangan peribadi dan bukan Umno-BN.

Apa yang pasti pengundi di kawasan itu masih memikirkan soal hutang budi terhadap jasa dan kepimpinan Mohd Isa yang pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun.

Walaupun Mohd Isa pernah dikaitkan dengan politik wang, namun masih tidak mampu mengubah pendirian pengundi di Bagan Pinang, meskipun masyarakat secara keseluruhannya jijik dengan perasuah, ujarnya yang juga Ahli Parlimen Rasah dan Adun Lobak.

Loke kecewa dengan kekalahan Zulkefly dengan majoriti yang tinggi, namun DAP melihatnya sebagai satu pengajaran juga kepada Pakatan Rakyat.

Tiada ulasan: