KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Oktober 10, 2009

Ops Sikap gagal didik pemandu, kemalangan maut terus meningkat

KUALA LUMPUR: Ops Sikap yang dilaksanakan kerajaan selama lapan tahun ternyata gagal mendidik rakyat menjadi pemandu berhemah, malah angka kemalangan maut terus meningkat pada setiap Hari Raya Aidilfitri.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Fomca, Mohd Yusoff Abdul Rahman, pemandu di negara ini hanya takut dengan perangkap laju dan jika didapati tiada perangkap laju maka mereka memandu sesuka hati hingga membahayakan diri dan pemandu lain.

"Kalau tak ada polis, dia akan pandu lebih daripada had laju. Di sini jelas mereka gagal untuk menyerapkan disiplin diri yang bersopan dan berhemah ketika di jalan raya," katanya kepada Harakah.

Beliau berkata, walaupun kerajaan mengadakan pelbagai kempen seperti Ops Sikap tetapi kemalangan jalan raya masih gagal dibendung secara berkesan sekalipun pelbagai media massa digunakan untuk tujuan menyedarkan pemandu agar berhati-hati di jalan raya.

Ops Sikap Ke-20 yang berakhir Isnin lalu, merekodkan jumlah kematian kedua tertinggi dalam sejarah operasi itu sejak diperkenalkan lapan tahun lalu dengan 261 pengguna jalan raya terbunuh.

Yusof berkata, banyak faktor yang menyumbang kepada peningkatan angka kemalangan tersebut selain ketiadaan lampu jalan, jalan yang kurang memuaskan dan paling terkesan ialah sikap pemandu itu sendiri.

Kebanyakan kes kemalangan berlaku di jalan-jalan negeri, persekutuan dan bandaran, tetapi kerajaan lebih banyak memberi perhatian di lebuh raya-lebuh raya.

Disebabkan kemalangan yang melibatkan penunggang motosikal paling tinggi, beliau menyarankan kerajaan agar segera mengadakan lorong-lorong motosikal, kerana kemalangan yang berlaku bukan antara motosikal dengan motosikal tetapi melibatkan kenderaan lain.

Kerajaan juga tegas Mohd Yusoff, perlu mendidik masyarakat mengenai kesan-kesan kemalangan sebagaimana dibuat ke atas bahaya merokok. Media massa boleh memaparkan kejadian ngeri sebagai usaha mendidik pemandu agar memandu dengan berhemah.

Tiada ulasan: