KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Oktober 19, 2009

Hukuman Islam boleh insafkan manusia, hanya yang menentangnya suka berdalih

KOTA BHARU: Tiba-tiba orang ramai yang memenuhi Dewan Konvensyen Kelantan Trade Centre (KTC) berderau darah melihat aksi seorang petugas menghukum orang yang bersalah di sebuah negara Arab.

Petugas terbabit kelihatan memegang sebilang pedang dan pesalah dibungkus kepala sambil duduk mencangkum. Orang ramai berada di keliling kawasan lapang tersebut menyaksikan detik-detik hukuman dijatuhkan dan sebuah kenderaaan nampak seperti ambulan bersiap sedia.

Sebelum menjatuh hukum, petugas berkenaan yang lengkap berpakaian jubah Arab mendekati pesalah yang sudah diikat beberapa kali. Tidak berapa lama selepas itu pedang digerakkan ke bawah dan pesalah dipercayai menemui ajal di situ.

Aksi yang agak mengerikan itu adalah sebahagian slot yang dipaparkan oleh pendakwah bebas, Ustaz Zawawi Yusoh menggunakan laptop ke skrin besar. Orang ramai dalam dewan mengucap panjang. Ada menutup muka selepas itu. Pastinya jantung mereka berombak kencang.

Pendakwah dari Human Touch Consultance itu memperkatakan tajuk Mukmin Profesional pada program pelancaran kutipan derma Akaun Amanah Kebajikan Darul Naim (Tabung Serambi Mekah) di sini, Khamis lalu.

Aksi yang mendebarkan itu turut disaksikan Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalannya, Dato’ Ahmad Yaakob, anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat dan pegawai kerajaan.

Seorang wartawan memberitahu darahnya masih berderau beberapa minit selepas menyaksikan aksi berkenaan. Aksi tersebut dibiarkan ditonton orang ramai tanpa dijelas lanjut Zawawi di negara mana ia berlaku dan apa kesalahan orang yang dihukum.

Katanya, orang ramai mungkin tahu hukuman kesalahan jenayah di negara Islam dilakukan di tempat awam bagi menginsafkan masyarakat. Ada pihak berhujah aksi seperti berkenaan wajar dipertontonkan kepada umum bagi memberi keinsafan kepada mereka yang melakukan jenayah.

Sebaliknya, dalam hukuman yang diamalkan di banyak negara termasuk Malaysia pesalah yang menjalani hukuman gantung dilakukan di tempat tertutup dan hanya disaksikan pegawai penjara sahaja.

Sedangkan hukuman dalam Islam termasuk rejam bagi kesalahan zina dilakukan di khalayak ramai kerana ia boleh mendatangkan keinsafan kepada manusia.

Agak menarik juga dipertontonkan gambaran berdasar kepada Hadis-Hadis Nabi Muhammad saw terhadap keadaan sebenar rumah yang didiami baginda. Lakaran artis secara grafik menggambarkan rumah baginda macam kotak yang mempunyai dua pintu dibina di lokasi masjid.

Manakala rumah kesemua isteri baginda digambarkan secara berderetan seperti rumah teres. Di tempat perbaringan Nabi Muhammad SAW diberi gambaran hanya ada alas seumpama tilam yang terletak di atas lantai tanpa katil.

“Biar pun digambarkan begitu dhaif, namun cahaya Islam yang dibawa Baginda telah terpancar ke seluruh alam,” kata Ustaz Zawawi.

Mengulas mengenai hukuman sebat enam rotan dan denda RM5,000 terhadap seorang model sambilan Kartika Sari Dewi Shukarno oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan atas kesalahan minum arak katanya, sepatutnya semua orang yang terlibat dengan penjualan arak dihukum.

Katanya, sama ada orang terbabit membawa atau menjual arak juga perlu dijatuhkan hukuman serupa. Model sambilan terbabit mengaku minum arak di sebuah hotel di Cherating tahun lalu. Sedangkan hukuman kesalahan tersebut dalam Islam disebat tidak kurang daripada 40 kali.

Sebelum ini Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya berkata, bukan sahaja orang yang minum arak perlu dihukum sebaliknya tauke yang jual arak wajar dikenakan hukuman takzir.

Tiada ulasan: