KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Oktober 19, 2009

Banteras undi pos dari dimanipulasikan oleh BN

MUQADIMAH: PAS menerima kekalahan teruk di Bagan Pinang. Sama ada kalah atau menang PAS tetap menegaskan undi pos mempunyai ruang yang cukup luas dimanipulasikan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Pengerusi Jawatankuasa Khas Undi Pos Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat yang memantau undi pos dalam pilihan raya kecil itu baru-baru ini mempunyai hujah-hujah yang kukuh berhubung dakwaan itu. Ikuti temubual Wartawan SALMIYAH HARUN bersama beliau di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut Khamis lalu.

Saudara kerap menyatakan kelemahan undi pos yang boleh dimanipulasi bila-bila masa sahaja. Sejauhmana kebenaran itu? Boleh Saudara ceritakan di mana ruang manipulasi itu?

SUHAIZAN KAIAT: Sebenarnya dalam undi pos ada empat proses. Pada 7 Oktober adalah proses pengeluaran. Kertas undi dikeluarkan kepada pengundi dan akan masukkan semua dokumen iaitu kertas undi, Sampul A, Sampul B dan Borang 2.
Semuanya dokumen ini dimasukkan dalam sampul utama yang akan tercatat alamat pengundi. Sampul utama diwujudkan oleh daftar pemilih. Masalahnya daftar pemilih, kita anggap tidak bersih sebab kita sudah hantar bantahan kepada SPR kerana ada 253 pengundi disahkan bertindih.
Ini bertentangan Seksyen 10 Akta Pilihan Raya 1958 yang menyebut tidak ada seseorang pun berhak dimasukkan dalam daftar pemilih sebagai pemilih lebih dari satu pilihan raya. Maknanya seorang pengundi mesti mengundi di satu tempat sahaja.
Dalam kes 253 ini adalah pengundi di Bagan Pinang, tetapi dalam masa yang sama boleh mengundi di mana-mana tempat misalnya di Kelantan, Terengganu, Kedah dan sebagainya sebanyak dua kali.
Di Bagan Pinang mereka mengguna kad pengenalan tentera dan di luar Dun ini mereka guna Mykad. Kita sudah bentangkan perkara ini pada SPR. Bagaimanapun, dalam kes Bagan Pinang SPR tidak boleh berbuat apa-apa tindakan.

Bukankah Bersih sudah membantah cara ini?

Bersih (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil) sudah membantah cara ini, tetapi sehingga kini SPR tidak buat apa-apa walaupun telah berjanji akan buat. Soalnya kita sudah 52 tahun merdeka, macam mana benda yang 'simple' tidak boleh diselesaikan oleh SPR.
Saya khuatir akan menimbulkan masalah nanti. Misalnya maklumat yang diberi oleh Mindef tetapi SPR sebagai badan pelaksana pilihan raya boleh menyenaraikan pengundi yang bertindih ini tetapi tidak boleh mendapatkan pengesahan daripada Mindef.

Maknanya SPR gagal mengesahkan dari Jabatn Rekod dan Pencen Tentera?

Ini masalah utamanya. SPR tidak dapat pengesahan daripada Jabatan Rekod dan Pencen Tentera (JRP). Kita sudah lama duduk dalam negara merdeka ini tetapi tidak boleh bekerjasama daripada dua jabatan yang berbeza.
Kenapa sampai begitu sekali? Sepatutnya benda 'simple' ini dapat diselesaikan. Ini merujuk kepada mereka yang sedang berkhidmat, maknanya mestilah JRP boleh mengesahkan bahawa pengundi itu berkhidmat dan berdaftar, yang sebelum ini perlu dimansuhkan.
Pengundi pos tidak boleh mengundi dua kali. Perkara ini satu kesalahan ikut Seksyen 10. Bagaimanapun, SPR menggunakan perkara 14 (Peraturan-peraturan Pilihan Raya) iaitu kalau pengundi ada dalam daftar pemilih dia menjadi asas kepada dia untuk mengundi.
Selagi ada nama dalam pemilih, ada asas untuk mengundi. Di Bagan Pinang, SPR boleh guna Perkara 14, sebab ia tidak bertembung dengan mana-mana pilihan raya kecil. Sepatutnya perkara ini sudah diselesaikan.

Difahamkan daftar pemilih yang diberikan kepada calon pada hari penamaan adalah tidak sama dengan daftar pemilih yang dikeluarkan pada hari mengundi. Ini macam mana?

Proses pengedaran dan pengundian, di sini ada dua katagori pengundi pos iaitu pengundi hadir dan pengundi tidak hadir. Pengundi hadir iaitu mereka yang berada di dalam kem dan boleh mengundi dalam kem.
Di sini SPR membenarkan ejen-ejen menyaksikan, mengawal ataupun berada semasa pengambilan kertas undi. Ejen kita sekadar melihat sahaja, mereka tidak boleh membuat semakan kerana daftar pemilih adalah berbeza dengan daftar pemilih yang dikeluarkan SPR.
Dan sebenarnya tindakan kem yang mengeluarkan satu lagi daftar pemilih, ini sudah satu kesalahan dan bertentangan dengan Perkara 14 (a), yang menyebut daftar pemilih yang dikeluarkan pada hari penamaan calon hendaklah naskah sahih yang akan digunakan oleh ketua pengurus di tempat mengundi pada hari mengundi.
Kem sepatutnya menggunakan daftar pemilih pada hari penamaan calon itu, bukan daftar pemilih yang dibuat sendiri. Bahkan senarai baru itu itu tidak diberi kepada ejen kita. Dalam daftar yang dikeluarkan oleh kem ini tidak ada nombor siri, tidak ada locality (lokaliti mewakili unit), tidak ada nombor tentera yang penuh ('T' tidak ada) hanya ada nombor sahaja, nama isteri tanpa nombor kad pengenalan, daftar pemilih itu berterabur tidak ikut susunan.
Sepatutnya mereka 'print' daftar pemilih ikut unit. Daftar pemilih baru itu tidak diberi kepada ejen kita sekaligus menyukarkan kita untuk menyemak. Kita tegaskan mengapa mereka gunakan daftar pemilih mereka sendiri?
Saya difahamkan daripada ejen kita sebahagian daripada daftar pemilih ini ditulis menggunakan pen. Kalau kita buat sendiri daftar pemilih ini, memang akan tertinggal nama penggundi. Bila tertinggal mereka pakai pen! Saya nak tanya kepada kem siapa yang memberi kuasa kepada mereka untuk keluarkan daftar pemilih itu?

Jadi, apa tindakan SPR terhadap daftar pemilih baru undi pos yang di keluarkan oleh pihak kem?

SPR pula sepatutnya, menegur kem mengapa buat macam ini! Malah SPR pula seperti setuju dengan daftar pemilih yang baru dikeluarkan kem. Sepatutnya pengerusi SPR menegur tindakan kem itu. Ekoran daripada itu, ejen kita yang dibenarkan masuk ke tempat mengundi, tidak boleh mengesahkan identiti pengundi sebab daftar pemilih yang berbeza, ejen kita pula tidak tahu jumlah pengundi yang datang.
Ini kerana ia disemak oleh pegawai tentera, kita tidak boleh menyemak. Inilah yang disebut SPR satu pengundian yang telus?
Pengundi yang tidak hadir, ada dua sebab iaitu bertugas dan berada di luar kem. Apa yang mereka buat? Serahkan sampul surat utama kepada JRP kemudian akan diserahkan kepada Unit Semboyan, mereka hantar surat itu macam hantar kad hari raya.
Unit Semboyan menjadi posmen untuk serahkan kepada pengundi. Bilangan pengundi pos yang tidak hadir sebanyak 2,911 orang pengundi. hHadir 1,699 orang. Kita tidak kata JRP dan Unit Semboyan melakukan perkara tidak elok, tetapi cara itu terdedah kepada manipulasi.
Saya sendiri menyaksikan satu penyerahan sampul utama. Satu keluarga suami isteri menyatakan kepada kita mereka akan menerima satu sampul utama yang akan diserahkan depan pasaraya jam 7.30 malam.
Bahawa ruang ini sangat besar dan terdedah kepada manipulasi. Dan perkara ini sepatutnya diambil berat oleh SPR. Di situ SPR tidak ada kawalan, parti politik pun tidak boleh mengawal. Semuanya kita serah kepada tentera.

Proses undi pos seterusnya...

Kita ada proses pembukaan, maknanya sampul utama tadi dibuka. Borang dua akan disemak. Ejen kita ada membantah, sebabnya petugas-petugas SPR tidak begitu mahir dalam pengurusan sampul.
Sepatutnya petugas SPR akan tunjuk Borang 2, tetapi tidak berbuat demikian. Ekoran itu kita bantah, tetapi seperti tidak diterima oleh SPR sedangkan itu prosedurnya. Saya tegaskan mereka seperti tidak terlatih, sehinggakan kita terpaksa bertegang leher dengan mereka. Akhirnya kita berkeras untuk ikut prosedur barulah mereka ikut.
Proses keempat berkenaan pengiraan kertas undi. Kita sangat-sangat rasa curiga bila ada tiga peti undi iaitu 14, 15 dan 16 semuanya datang dari Mindef. Ketiga-tiga peti undi ini PAS dapat '0', daripada 17 peti undi pos. Sebab apa?
Siapa yang mengundi di Mindef? Mereka yang mengundi adalah anggota tentera dalam proses peralihan, biasanya orang yang hendak pencen tidak banyak terikat dengan taat setia dan kritikal.
Kebanyakkan mereka ini lebih banyak mengundi kepada PAS, tetapi tidak munasabah dapat 'O' seolah-olah tidak ada langsung yang undi PAS. Benda ini dibuat tanpa kawalan ejen kita.
Saya tidak menuduh sesiapa. Saya kutip kisah Pak Abu Kasim yang mendedahkan kepada SPR dalam satu pertemuan, bahawa dialah yang mengundi untuk mewakili rakan-rakan dia, pada waktu itu ada pegawai di belakangnya.

Daripada proses undi pos itu, apakah usaha-usaha yang dilakukan oleh Jawatankuasa Khas Undi Pos Pemuda PAS untuk menekan SPR supaya tidak ada unsur-unsur manipulasi dalam undi pos?

Undi pos ini mengikut undang-undang, misalnya penyerahan yang dibuat oleh JRP dan Unit Semboyan sebagai dinyatakan oleh undang-undang tetapi, undang-undang itu sendiri yang longgar dan memberikan ruang manipulator untuk membuat manipulasi.
Undang-undang yang longgar! Masa mengundi mereka duduk dalam kem. Pengundian dalam kem tidak ada peraturan. Sengaja di buat oleh SPR kononnya untuk memudahkan pengundian. Tetapi yang asal termasuk dalam peraturan pilihan raya adalah menggunakan pos, itu pun banyak mencurigakan.
Maknanya, ejen yang duduk dalam kem untuk membuat semakan ini, adalah inisiatif yang dibuat oleh SPR sahaja. Sebenarnya pada saya sepatutnya undi pos ini dimansuhkan. Tidak praktikal.
Masa undi pos ini diwujudkan, waktu itu keadaan negara yang memaksa tentera kita berkawal sepanjang masa. Mereka susah mengundi pada zaman darurat. Kini tidak lagi berlaku perkara itu. Mengapa perlu menggunakan undi pos lagi?
Buatlah seperti biasa. Tetapi jika ada pengundi yang bertugas dan sukar untuk mengundi, nama mereka boleh diserahkan kepada SPR. Lagipun masa yang diberi adalah panjang antara empat hingga lima hari.
Daripada pemerhatian saya sendiri dari tahun 2004, kita dapat 31.38%, 2008 (26.28%) dan 2009 (14.41%) bertambah merosot. Kenapa semakin merosot dalam keadaan kita mengawal bersama-sama ketika proses undi pos ini berjalan.
Kita telah berjumpa SPR dua kali, buat report polis dua kali, kita buat kenyataan lima kali. Banyak usaha-usaha kita buat untuk memastikan proses undi pos berlaku adil. Daripada hipotesis saya semakin kita tekan manipulator semakin terancam. Oleh itu, mereka akan sedaya upaya dan apa jua sekali pun akan memastikan undi pos berpihak kepada kerajaan.

Bagaimana kita hendak berikan tekanan kepada SPR agar buat perubahan untuk undi pos?

Bagi saya SPR adalah pelaksana sahaja. Dalam perbincangan yang dilakukan, saya lihat SPR ada usaha untuk membuat pembaharuan tetapi kuasa mereka terhad. Misalnya sistem undi pos mereka perlu mendapat mandat daripada kabinet.
Macam mana kabinet hendak luluskan sesuatu tindakan yang boleh mengancam kepentingan Umno dan BN? SPR menjadi mangsa sebenarnya. Yang penting kita kena jelaskan tentang ruang manipulasi dalam sistem undi pos kepada rakyat.
Parlimen yang mempunyai undi pos yang terbesar adalah Pekan, tempat PM sendiri. Ada banyak kem di situ. Macam mana SPR hendak membuat perubahan dalam undi pos sedangkan undi poslah yang memenangkan PM.

SPR tertekan dan dipergunakan oleh kerajaan, apakah ada cadangan untuk mewujudkan badan khas untuk mengkaji sekaligus penggerak kepada ketelusan undi pos?

Pemuda PAS ada Jawatankuasa Khas Undi Pos, saya sendiri adalah pengerusinya. Kita berbincang dengan PAS Pusat bagaimana hendak menanganinya. Daripada Bagan Pinang kita sudah ada maklumat, macam mana kita hendak menanganinya.
Jawatankuasa ini, kita akan teruskan lagi bukan setakat di Bagan Pinang. Rakyat akan faham tentang prosedur undi pos dan kita mahu kerajaan mansuhkan undi pos, ini adalah sebahagian daripada tuntutan Bersih.
Harap undi pos pada PRU ke-13 akan dihapuskan. Jika perlu kita akan panjangkan masalah ini ke peringkat antara bangsa sebagaimana Akta ISA.

Himpunan Bersih yang telah diadakan sebelum ini antara himpunan yang berjaya 'menjentik' kerajaan, apakah mungkin ada perancangan untuk mengadakan demonstrasi Bersih kali kedua?

Kalau perlu demonstrasi, kita buat. Yang penting rakyat kena faham mengapa ada ruang manipulasi dalam undi pos dan rakyat kena faham sistem undi pos yang dijalankan hari ini.

Tiada ulasan: