KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Oktober 24, 2009

Kelab Penyokong PAS akan jadi sayap parti, hasil 'engagement' PAS dengan pelbagai pihak

KUALA LUMPUR: PAS akan menaikkan taraf Kelab Penyokong PAS (KPP) yang semakin berkembang menjadi salah satu dari ’sayap baru’ dalam organisasi parti itu sebagai meneruskan 'lonjakan' ekoran kejayaan penubuhan kelab itu.

Satu pengiktirafan terhadap golongan tersebut akan dibuat, tegas Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sambil menyifatkan dasar ’Memasyarakatkan PAS’ dengan program ’PAS Untuk Semua’ (PAS For all) telah membuahkan hasilnya, apabila kedua-dua dasar itu menjadikan PAS parti politik yang digeruni oleh lawannya, Umno dan BN.

Menurutnya, persoalan sama ada ahli-ahli Kelab Penyokong PAS tersebut akan dipilih mewakili parti menjadi calon serta bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke 13 bergantung kepada keperluan ke atas perkara tersebut.

"PAS tidak gopoh (membuat keputusan) atas perkara ini kerana PAS masih lagi bersama Pakatan Rakyat yang juga sudah mempunyai calon-calon bukan Islam. Perkara mencalonkan (ahli Kelab Penyokong) akan dilihat dari segi keperluan pada masa depan," ujarnya.

Beliau menegaskan perkara ini selepas menyampaikan ucaptamanya di Ijtima’ Kepimpinan PAS Terengganu 2009 di perkarangan Markaz Tarbiyah PAS Kubang Lembek, Manir, pada 17 Oktober lalu.

Tegas Ustaz Abdul Hadi, bermula dengan konsep 'engagement' atau pertautan PAS dengan pelbagai pihak, kini hasilnya mula dikecapi dan berjaya membawa PAS ke pentas politik arus perdana.

"Kejayaan itu (memasyarakatkan PAS) bukan sahaja melalui ucapan, bahkan melalui kenyataan, di antaranya PAS telah berjaya menarik khususnya golongan terpelajar. Majoriti kalangan terpelajar menyokong PAS dan bersama-sama PAS, ini dapat dilihat bagaimana pengaruh PAS berkembang di kawasan-kawasan bandar dan pinggir bandar," ujarnya.

Ustaz Abdul Hadi berkata, program 'PAS For All' juga telah berjaya memecahkan tembok pemisah di antara PAS dengan masyarakat bukan Islam di negara ini dengan penubuhan Kelab Penyokong PAS (KPP) dan ia mendapat sambutan di luar dugaan dari kalangan bukan Islam.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Penyokong PAS, Hu Pang Chow mengalu-ngalukan saranan Presiden PAS itu dan berharap kepimpinan tertinggi parti dapat menyegerakan proses menaiktaraf kelab tersebut sebagai dewan.

"Kami minta pimpinan PAS mempercepatkan proses untuk menjadikan Kelab Penyokong PAS (KPP) sebagai sayap parti bagi memudahkan lagi kami membantu perjuangan PAS untuk kepentingan semua pihak," tegasnya kepada Harakah.

Katanya, masyarakat bukan Melayu kini menjadi aset penting yang direbut banyak pihak khususnya Umno-BN dalam menagih undi bagi mengukuhkan Bn dan kerajaan mereka di seluruh negara.

"Kita lihat selepas ini Umno pun mahu merebut sokongan bukan Melayu apatah lagi menjelang pilihan raya umum ke-13.

"Banyak kerja yang perlu dilakukan bersama Pakatan Rakyat dan Umno-BN akan menggunakan semua kemudahan yang dimiliki untuk memastikan sokongan pengundi bukan Melayu menjadi hak mereka," katanya.

Ditanya mengenai usaha yang akan dilakukan selepas dinaiktaraf sebagai sayap parti itu, Phang Chow menjelaskan pihaknya akan berusaha untuk memberi penerangan kepada masyarakat bukan Melayu mengenai konsep 'PAS For All' dalam erti kata yang sebenar.

"Kita akan memberi penerangan mengenai konsep 'PAS For All' kepada orang bukan Melayu. Ianya tidak sama dengan konsep 1Malaysia yang dilaungkan Umno-BN yang tiada pengisian dan sekadar slogan kosong semata-mata," ujarnya lagi.

Terdahulu, Jawatankuasa Pusat PAS masih beriltizam untuk menaikkan taraf kelab penyokong bukan Islam sebagai sayap parti bertaraf dewan walaupun terdapat pelbagai pandangan mengenainya.

Komitmen itu disuarakan oleh anggota-anggota jawatankuasa itu dalam mesyuarat hujung minggu lalu di Pejabat Agung PAS di Kuala Lumpur, kata Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasruddin Hassan.

"PAS Pusat (masih) menunggu draf cadangan menjadikan Kelab Penyokong PAS (KPP) sebagai sayap parti sebelum keputusan rasmi dibuat. Sama ada melibatkan pindaan perlembagaan atau penambahan peraturan kecil (dalam perlembagaan)," katanya ketika dihubungi.

Tambahnya lagi, isu menaikkan taraf KPP tidak dibincangkan secara khusus dalam mesyuarat tersebut, bagaimanapun, difahamkan draf awal jawatankuasa teknikal bagi mengkaji kemungkinan meminda perlembagaan parti bagi menaik taraf KPP telah diserahkan ke ibu pejabat parti itu.

Jawatankuasa teknikal ini telah mengadakan pertemuan di Kedah bulan lepas dengan penyertaan anggota Majlis Syura Ulama bagi membincangkan isu tersebut. Bagaimanapun jawatankuasa teknikal itu bersetuju memperkasakan KPP tetapi masih lagi dikawal selia di peringkat Jawatankuasa Pusat PAS, bukannya sebagai sayap parti.

Di Pulau Pinang, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr. Mujahid Yusof selepas menyampaikan sumbangan sempena sambutan Deepavali kepada penduduk keturunan India di Pokok Machang, Tasek Gelugor menegaskan KPP akan ditingkatkan status sebagai sebuah sayap PAS yang mempunyai perlembagaan mereka sendiri tidak lama lagi.

Menurut Mujahid, status KPP akan ditingkatkan untuk menjadi sayap parti dalam bentuk himpunan, dewan atau pun seumpamanya yang akan diputuskan kelak.

"Dengan status tersebut maka kelab ini dapat memainkan peranan yang lebih efektif lagi. Ianya juga akan mempunyai perlembagaan sendiri, pemilihan pimpinan, struktur organisasi dan perkara yang berkaitan dengan organisasi ini.

"Sebagai Pengerusi saya telah pun membawa perkara ini ke peringkat atasan dan ianya dalam proses 'drafting'. Kemungkinan menjelang akhir tahun ini apabila drafnya telah siap maka draf baru ini akan dicadangkan untuk sedikit pindaan supaya kelab ini mempunyai status dalam parti," katanya.

Tiada ulasan: