KUALA LUMPUR: Laporan Suruhanjaya Diraja menyiasat video klip VK Lingam yang dianggotai ahli kabinet yang handal dalam bidang kehakiman dianggap tidak berharga kerana Peguam Negara mengatakan tidak ada kes sekali gus kes itu ditutup, demikian menurut Ketua Pembangkang Dato' Seri Anwar Ibrahim.
Beliau ketika membahaskan Rang Undang-undang Jawatankuasa Etika hakim 2008 di Dewan Rakyat berkata, kerajaan tetap bersikap sindrom penafian walaupun membongkar gambar avideo Lingam serta menubuhkan suruhanjaya.
"Suruhanjaya hanya untuk bagi pengakuan di lepaskan kerana undang-undang negara ini yang sepatutnya satu tetapi ada 'two sets of laws'. Satu untuk orang kaya atasan, satu untuk rakyat dan pengkritik kerajaan. 1Malaysia!," katanya.
Justeru persoalanya, soal Anwar apakah dengan mewujudkan kod etika hakim akan ada kuasa politik dan 'political will' untuk mengambil tindakan?
Katanya, kerajaan harus meneliti kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh mereka yang dianggap mempunyai kewibawaan dalam bidang kehakiman termasuklah Tun Suffian dan Tuanku Sultan Azlan Shah.
"Apakah kelulusan Jawatankuasa Etika Hakim ini benar-benar menjamin untuk mengangkat dan menambah keyakinan sistem perundangan dan badan kehakiman yang terhakis?" soalnya.
Tegas beliau, dalam mewujudkan etika kehakiman itu, kerajaan terpaksa melihat beberapa dokumen penting dalam negara maju yang mempunyai sistem dan badan kehakiman yang bebas serta berwibawa seperti Bangalore Principles of Judicial Conduct 2002.
Namun, katanya etika kehakiman tidak akan memberi apa-apa makna jika badan kehakiman itu tidak dapat pertahankan prinsip kebebasan.
"Etika tidak bermakna kalau kewibawaan hakim-hakim dalam menjalankan tugas itu tidak dapat dijamin. Ini termasuk isu-isu lain yang dirumuskan sebagai 'propriety', 'equality', competence and diligence. Ada dokumen yang begini, tetapi apabila kita lihat cadangan, ini cadangan hanya sekadar melepaskan batuk di tangga," tegas Anwar.
Beliau turut mempersoalkan Etika Hakim 2008 Fasal yang memaktubkan prosiding jawatankuasa dijalankan secara tertutup.
"Apakah dalam semua kes ia harus tertutup? Sepertimana dalam penghakiman N.H Chan atau dalam keputusan usul Suruhanjaya Diraja pita rakaman VK Lingam? Apakah prosiding itu juga harus rahsia? Kita lebih pentingkan keadilan untuk hakim, dan kita persetankan keadilan untuk rakyat," tegas beliau.
Dalam Fasal 15 berhubung keputusan jawatankuasa adalah muktamad, tidak boleh dicabar, dirayu, dikaji semula atau dibatalkan, bagi beliau ianya satu perkara yang aneh apatah lagi membabitkan hakim yang harus diberikan kelonggaran dan kebebasan untuk mencabar.
"Mengapa kita dalam kerajaan sekarang bimbang sangat untuk mengesahkan International Covenant of Civil and Political Rights (ICCPR)? Ini kerana ia juga akan menjamin bukan sahaja integriti para kehakiman, tetapi juga ada kaitan dengan rakyat," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan