KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Oktober 19, 2009

Jadikan pengundi bukan Islam teras perjuangan - Mazlan Aliman

KUALA LUMPUR: PAS perlu menjadikan pengundi Melayu Islam sebagai teras perjuangan parti itu bagi memastikan ia dapat mengimbangi pengundi bukan Melayu yang dilihat merosot pada pilihan raya kecil Bagan Pinang, 11 Oktober lalu.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman menegaskan dengan sokongan pengundi Melayu, ia akan mampu mengimbangi sokongan bukan Islam sekiranya golongan bukan Islam beralih arah.

Katanya, keyakinan PAS dan Pakatan Rakyat terhadap kecenderungan pengundi bukan Islam sebelum ini menyebabkan PAS mengambil pendekatan yang agak perlahan dengan masyarakat Islam.

Bairpun mengakui terdapat ruang untuk mendekati pengundi Melayu, tegas Mazlan, Pakatan Rakyat dilihat lebih cenderung kepada sokongan bukan Melayu hingga 'terlupa' meraih sokongan pengundi Melayu.

"Pakatan Rakyat, khususnya PAS perlu memikirkan semula kecenderungan pengundi bukan Melayu yang dilihat boleh berubah bila-bila masa, memandangkan pilihan raya kecil Bagan Pinang ini menunjukkan kemerosotan undi golongan tersebut terhadap Pakatan Rakyat," tegas beliau.

Justeru, katanya PAS perlu memainkan peranan dalam masyarakat Melayu bagi mengimbangi keadaan tersebut, selain menggunakan sepenuhnya ruang yang ada bagi membuktikan Pakatan Rakyat mampu menjadi alternatif kepada Barisan Nasional (BN).

Beliau menegaskan, pengundi-pengundi Melayu yang dikatakan begitu setia terhadap BN sebenarnya boleh memberikan sokongan kepada PAS sekiranya mereka melihat PAS dan Pakatan Rakyat mampu membuktikan keupayaan mereka sebagai sebuah 'government in waiting'.

"Orang Melayu boleh datang kepada PAS jika mereka melihat PAS sebagai satu parti yang boleh diharap. Mereka sedar BN mempunyai pelbagai kelemahan dan penyelewengan, tetapi dalam masa sama tidak nampak PAS sebagai parti alternatif kepada mereka," kata beliau lagi.

Justeru, kata beliau mereka masih belum yakin terhadap kemampuan PAS dan Pakatan Rakyat untuk menjadi sebuah parti alternatif terhadap BN.

Dalam pada itu, Mazlan turut menggesa pimpinan PAS dan Pakatan Rakyat agar lebih fokus dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang, selain menjadikan pilihan raya kecil Bagan Pinang ini sebagai iktibar agar tidak terlalu selesa.

Tiada ulasan: