KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Oktober 19, 2009

Media baru gagal berperanan aktif, blogger tidak beri fokus - Dr Abu Hassan Hasbullah

KUALA LUMPUR: Selain faktor calon Barisan Nasional (BN), penglibatan media baru yang dilihat tidak banyak menyumbang kepada Pakatan Rakyat dikatakan antara faktor kekalahan PAS pada Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang, 11 Oktober lalu.

Pensyarah Kanan Pengajian Media Universiti Malaya (UM), Dr Abu Hassan Hasbullah berkata peranan media baru dalam membantu PAS menjawab pelbagai persoalan yang ditimbulkan pihak lawan dikatakan tidak banyak berperanan, berbanding pada pilihan raya kecil sebelum ini.

"Ini tidak bererti, media baru menyebelahi BN. Tetapi mereka agak kurang berperanan dalam membantu kempen PAS pada pilihan raya kecil kali ini, berbanding sebelum ini" tegas beliau ketika dihubungi.

Mengupas lanjut faktor kekalahan PAS selepas menang bergaya ke atas tujuh pilihan raya kecil, Abu Hassan berkata kelemahan jentera penerangan di kalangan Pakatan Rakyat juga menjadi sebab kekalahan tersebut.

Katanya, tiada sokongan yang cukup kuat di antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat telah menimbulkan masalah strategi, selain menunjukkan Pakatan Rakyat belum bersedia untuk berfungsi sebagai sebuah parti yang mantap bagi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Abu Hassan juga menegaskan kegagalan PAS di Bagan Pinang juga merupakan petunjuk bahawa masyarakat mengalami kekeliruan serius hasil krisis yang berlaku di negeri-negeri Pakatan Rakyat.

"Kekeliruan pengundi melihat krisis-krisis berkenaan, seperti kes Kampung Buah Pala di Pulau Pinang, krisis di Selangor, menjadikan mereka agak bimbang dan berhati-hati untuk memihak kepada Pakatan Rakyat, khususnya pengundi muda," kata beliau lagi.

Bagaimanapun, beliau berkata kemenangan BN di Bagan Pinang itu bukanlah kekuatan komponen itu atau kelemahan PAS, tetapi sebenarnya petunjuk tentang kuasa pengundi yang boleh berubah sekelip mata.

Justeru, kata Abu Hassan, sudah sampai masanya Pakatan Rakyat menilai semula strategi untuk berhadapan dengan rakyat kerana masyarakat kini bergerak dan tidak fanatik kepada mana-mana parti.

Jelas beliau, apabila rakyat berasa kurang yakin dengan mana-mana parti, maka keputusan seperti di Bagan Pinang akan berlaku di mana-mana pilihan raya bagi mereka membuktikan kuasa di tangan mereka.

"Sebab itu saya katakan, kemenangan di Bagan Pinang ini bukanlah merupakan kebangkitan BN, tetapi isyarat dan petunjuk kepada semua parti kuasa yang berada di tangan pengundi, dan mereka boleh berubah pendirian bila-bila masa sahaja," tegas beliau.

Tiada ulasan: