KUALA LUMPUR: Penganalisis politik, Ghazali Mahyuddin berpendapat
masih terlalu awal untuk mengatakan kemenangan Barisan Nasional (BN) di Bagan Pinang sebagai petunjuk rakyat telah beralih arah kepada komponen itu.
Beliau berkata, ini kerana hanya satu pilihan raya kecil yang pertama kali dimenangi BN di Semenanjung sejak Pilihan Raya Umum 2008. Keadaan di Bagan Pinang itu memang sangat unik dari segi peratus undi pos yang sangat tinggi yang terdiri daripada tentera yang hanya setia kepada kerajaan.
Faktor calon di Bagan Pinang, Tan Sri Isa Samad juga katanya, memang tidak dapat dinafikan. Beliau memang seorang yang sangat popular, dan cukup dikenali oleh masyarakat setempat. Beliau disukai oleh penduduk malahan dari awal lagi orang Umno di sana akan memboikot pilihan raya jika Isa tidak dicalonkan.
"Ini menunjukkan awal-awal lagi sokongan kepada calon itu lebih utama dan juga hakikat banyaknya undi pos di sana. Jadi saya ingat ini dua faktor yang memainkan peranan yang penting.
"Soal dasar itu, saya ingat terlalu awal untuk berlaku perubahan yang mendadak. Baik penduduk Bagan Pinang atau penduduk Malaysia. Bukan faktor beralih arah kepada BN," katanya semasa dihubungi.
Dalam Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang 11 Oktober lalu, calon BN, Isa Samad menewas calon PAS, Zulkefly Mohamad Omar dengan majoriti 5,435 undi.
Mengulas lanjut, Ghazali berkata, kemenangan tersebut sebagai pakej penaik semangat atau moral bagi BN.
Beliau menegaskan, sebelum ini BN kalah tujuh pilihan raya kecil di Semananjung dan BN sangat memerlukan satu pilihan raya yang boleh menaikan semangat ahli-ahli Umno bagi membuktikan BN adalah parti yang masih lagi diterima rakyat.
Dengan itu katanya, pada pilihan raya kecil akan datang mereka tentu sangat ghairah untuk terus memenangi pilihan raya.
Walau bagaimanapun, Ghazali berkata, sama ada mereka akan menang atau tidak, banyak perkara yang harus diambil kira seperti tempat, calon, kubu kuat parti dan sebagainya.
"Jadi memang tidak bolehlah dikatakan pilihan raya akan datang BN atau Umno akan menang. Ia hanya jadi pencetus semangat sebab mereka begitu lemah dari segi semangatnya setelah kalah di tujuh pilihan raya di Semenanjung," tegasnya.
Mengulas mengenai kemenangan Isa beliau berkata, sebahagian rakyat jelas dengan latar belakang calon, sama ada rasuah, berintegriti atau tidak.
"Memang ada yang tidak kisah dengan isu tersebut tapi bagi setengah rakyat yang prihatin dia akan ambil perhatian benda ini. Bagi sebahagiannya itu ia melihat kepada populariti yang akan disumbang oleh calon sebelum ini," katanya.
Bagaimanapun tegasnya, pengundi harus memandang kepada hakikat integriti calon kerana ia sangat penting untuk melahirkan satu pemerintahan dan pentadbiran yang lebih telus, bersih dan amanah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan