KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kecewa kerana kes pita video Lingam telah ditutup dan menyebabkan beliau tidak mendapat peluang untuk membersihkan namanya.
"Beliau tentu berasa lega, tetapi bagaimana dengan laporan suruhanjaya mengenai pengaruhnya terhadap saya dalam pemilihan hakim-hakim?" soal Mahathir dalam blognya.
Menurutnya, beliau sedang menunggu untuk hadir di mahkamah bagi mempertahankan dirinya berhubung isu tersebut, yang 'meletup' sewaktu pentadbiran Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.
"Ada banyak perkara yang hendak saya cakapkan mengenai percubaan untuk mempengaruhi saya dalam pelantikan hakim-hakim. Oleh kerana Lingam tidak ada kes untuk dijawab, jadi bagaimana ia memberi kesan terhadap tuduhan yang saya dipengaruhi olehnya, di mana pita itu adalah mengenai dakwaan perbualan telefonnya dengan individu-individu lain.
"Adakah dia kata saya memintanya bercakap dengan orang-orang berkenaan? Adakah nama saya terbabit dalam panggilan telefon itu? Persoalan-persoalan ini akan kekal dalam minda orang ramai yang membaca kesimpulan suruhanjaya tersebut. Jadi bagaimana sekarang?" ulasnya yang ternyata kecewa dengan kes pita Lingam itu.
Mahathir juga berkata, beliau telah dimaklumkan bahawa pada waktu "rejim lalu", semakan terperinci dibuat untuk mencari contoh-contoh di mana beliau telah menyalahguna kuasa atau menerima pemberian secara salah ketika menjadi perdana menteri.
"Nampaknya, tiada apa yang ditemui. Mungkinkah salah satu cara untuk kenakan saya ialah dengan menuduh saya dipengaruhi oleh Lingam dalam pemilihan hakim-hakim oleh saya?" soalnya.
Sebelum ini, panel lima anggota suruhanjaya mendapati klip video yang menunjukkan peguam Dato' V.K.Lingam sedang berbual di telefon dengan bekas Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim mengenai pelantikan hakim, adalah tulen.
Suruhanjaya itu memperakukan agar tindakan sewajarnya dikenakan terhadap enam individu - Lingam, Ahmad Fairuz, jutawan Tan Sri Vincent Tan, Setiausaha Agung Umno Dato' Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan seorang lagi bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohd Eusoff Chin kerana salah laku.
Suruhanjaya itu mendapati terdapat bukti mencukupi untuk menyiasat enam individu berkenaan bagi kesalahan itu mengikut Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi dan Kanun Keseksaan serta Akta Profesion Undang-undang 1976.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan