KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Oktober 24, 2009

Nizar Jamaluddin sanggah tuduhan liar Najib

KUALA LUMPUR: Kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak pada 18 Oktober lalu disanggah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Dato' Seri Nizar Jamaluddin dan menganggap ia suatu tohmahan jahat dan cubaan untuk memburuk-burukkan imej Adun Pakatan Rakyat di Perak.

Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak itu berkata, kenyataan Presiden Umno itu seolah olah menggambarkan Adun Pakatan Rakyat adalah kaki pukul dan samseng.

"Tuduhan ini tidak berasas dan cuba memburukkan imej Pakatan Rakyat Perak. Najib tidak sepatutnya membuat tuduhan seperti itu."

Menurutnya, Najib wajar melihat insiden pada Persidangan Dun Perak 7 Mei lalu, di mana kekecohan dimulakan Adun BN apabila merampas kerusi speaker V.Sivakumar secara paksa dan melantik R.Ganesan sebagai Speaker.

Persidangan itu juga katanya menjadi bukti bahawa yang mengganggu persidangan adalah Adun dari BN bukannya Pakatan Rakyat.

"Apa yang saya boleh gambarkan, pada 7 Mei lalu, yang buat kacau seawal jam 9.30 pagi adalah BN, kerana tidak menghormati Speaker yang sah," jelasnya lagi.

Nizar juga sekali lagi menegaskan akan hadir Persidangan Dun 28 Oktober ini berdasarkan notis panggilan yang dikeluarkan Speaker Pakatan Rakyat, Sivakumar bukan Ganesan.

Adun Pakatan Perak katanya tidak pernah sesekali mengiktiraf Ganesan sebagai Speaker Perak dan masih berpegang Sivakumar adalah speaker yang sah. Sehubungan itu katanya, notis panggilan sidang Dun yang dikeluarkan Ganesan adalah tidak sah.

"Kita akan lihat bagaimana keadaan nanti, kami akan bagitahu Ganesan bahawa dia bukan Speaker yang sah," katanya.

Sementara itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Perak menyifatkan kenyataan amaran Najib Tun Razak berkaitan Persidangan Dun Perak, 28 Oktober ini sebagai gambaran kejadian tidak diingini mungkin terpaksa dihadapi oleh Adun-Adun Pakatan Rakyat.

Ketuanya, Ustaz Zawawi Hassan, bimbang persidangan tersebut akan mengancam keselamatan Adun Pakatan Rakyat sepertimana yang berlaku semasa sidang Dun Perak, 7 Mei yang lalu.

"Polis yang sepatutnya menjaga dan melindungi Adun, telah dilihat bertindak sebaliknya seperti sidang 7 Mei yang lalu malah mencederakan Adun dan juga mereka telah bersekongkol mengangkat Speaker dan mengurungnya," ujar beliau.

Dewan Pemuda PAS Perak tegasnya akan memohon perkenan untuk mengadap Paduka Seri Sultan Perak supaya kemelut yang akan berlaku pada 28 Oktober ini dapat diselesaikan mengikut lunas Undang-Undang dan juga kehormatan demokrasi dipulihkan kembali.

Apa yang penting sekarang, kata Zawawi, keutamaan rakyat di dahulukan dalam menentukan siapakah yang telah di berikan mandat untuk terus memerintah kerajaan negeri ini. Beliau yakin Paduka Seri Sultan Perak akan memberikan perkenan untuk Pemuda PAS merafak sembah mengadap kelak.

1 ulasan:

org memali berkata...

janganlah sentiasa memberi sebab terlebih dahulu sebelum melakukan kesalahan . selalu sangat