KUALA LUMPUR: Research for Social Advancement (Refsa), sebuah badan bukan kerajaan (NGO) pada 26 September lalu telah mengadakan program forum ‘The Reformasi Generation Speaks’ yang diadakan sempena pelancaran buku Liew Chin Tong (DAP-Bukit Bendera), ‘Speaking for the Reformasi Generation’.
Program di Annexe Pasar Seni tersebut turut membariskan Adun Sri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan Adun Subang Jaya Hannah Yeoh.
Buku yang ditulis Chin Tong itu seakan-akan satu desakan kepada ahli politik lain terutama aktivis politik yang masih muda supaya giat menulis buku dan membuat analisa tentang masa depan politik negara terutama selepas era reformasi.
Generasi reformasi pada awalnya walaupun tidak tahu membaca arahnya pada peringkat awal, akhirnya yakin dengan barisan pembangkang mampu menjadi wadah masa depan Malaysia.
Biarpun pada awalnya masyarakat umum tidak meletakkan harapan kepada pakatan pembangkang, namun 8 Mac 2008 mengubah segala-galanya.
Kini generasi reformasi berhadapan dengan pelbagai cabaran pasca 8 Mac, termasuk institusi kerajaan dan campurtangan Kerajaan Persekutuan. Tambah pula Pakatan Rakyat sebagai satu wadah politik bersama masih perlu diperkuatkan.
Tugas generasi muda adalah melakar wawasan dan dasar-dasar Pakatan, yang dilihat dikesampingkan dalam sepak-terajang politik akhir-akhir ini. Usaha Chin Tong ini satu usaha positif ke arah budaya politik yang lebih berisi dan manusiawi.
Identiti kaum di mana-mana tetap penting. Di Singapura yang kononnya berpegang pada meritokrasi, atau Amerika yang berpaksikan kesaksamaan, identiti kaum terus wujud.
Ramai yang akur bahawa pasca 8 Mac rakyat masih berbelah-bahagi dalam isu Ketuanan Rakyat.
Tetapi, kesilapan Umno adalah menganggap identiti kaum tersebut sebagai isu terpenting yang dihadapi rakyat. Sedangkan, walaupun seorang individu itu mungkin masih punya kesedaran kaum, mereka mungkin meletakkannya pada prioriti yang kurang penting berbanding keadaan ekonomi, sistem pendidikan, masalah rasuah dan sebagainya.
Justeru itu, walaupun rakyat masih khuatir tentang isu kaum, mereka lebih mementingkan ahli politik, generasi muda khususnya, untuk mengubah ekonomi yang lesu, sistem pendidikan yang rosak dan masalah rasuah yang berleluasa yang dihadapi semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama mahupun parti politik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan