KUALA LUMPUR: Kemenangan besar Tan Sri Isa Samad di Bagan Pinang membuktikan Umno tidak bersungguh dalam memerangi gejala rasuah baik dalam parti itu, mahupun dalam kerajaan.
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata, kejayaan di atas tiket calon yang sudah mempunyai rekod rasuah sekaligus BN sendiri tidak boleh diharap untuk menghapuskan amalan kotor itu.
Katanya, BN juga satu parti yang tidak ambil peduli soal rasuah sehinggakan mereka sanggup meletakkan calon seperti Isa Samad.
"Ini bukan satu perkara dan amalan baru BN, bahkan di Bagan Pinang sebagai mengesahkan budaya rasuah akan terus dihayati oleh BN kerana mereka telah meletakkan orang yang pecah amanah di Permatang Pasir, perasuah di Bagan Pinang," katanya ketika dihubungi.
Kemenangan Isa Samad juga tidaklah mengambarkan watak dan pemikiran politik rakyat Malaysia keseluruhannya tetapi ianya merupakan perkara yang terhad di Bagan Pinang dan yakin rakyat negara ini lebih baik dari itu.
Jelasnya, Pakatan Rakyat akan cuba untuk mendidik masyarakat supaya memilih seorang pemimpin yang bersih dan bukan dalam golongan yang mengamalkan rasuah.
"Ini budaya politik yang baru kita akan amalkan walaupun orang itu adalah orang Melayu, Cina dan India, mereka mesti tolak pemimpin yang rasuah, jika tidak mereka menyokong orang yang tidak ada kredibiliti," katanya.
Justeru, katanya, untuk menolak dan membanteras amalan rasuah secara total, rakyat Malaysia seharusnya menyingkirkan Umno dan BN dalam pilihan raya umum akan datang.
Mengulas dakwaan Perdana Menteri bahawa pembangkang bersifat 'talam dua muka', Khalid menyifatkan ianya satu kenyataan yang kosong dan tidak bermakna.
Tegas beliau, pihak kerajaan yang terdiri daripada polis, mahkamah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh bertindak ke atas mana-mana pembangkang jika terlibat dalam amalan tidak sihat itu.
Bagaimanapun, katanya, pihak berkuasa itu tidak boleh membuktikan adanya penyelewengan rasuah di kalangan pembangkang.
"Sedangkan badan-badan berkuasa kerajaan dalam membendung amalan rasuah itu pula tidak bertindak ke atas sesetengah pimpinan Umno dan BN walaupun terlibat dalam kegiatan kotor itu," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan