KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Oktober 24, 2009

Tian Chua hilang kelayakan wakil rakyat? Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu selepas ini...

KUALA LUMPUR: Ahli Palimen Batu, Tian Chua akan kehilangan kelayakan sebagai ahli parlimen jika gagal mengemukakan rayuan berhubung tuduhan menghalang tugas seorang anggota polis dan menggigitnya.

Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, 22 Okt lalu, membenarkan penangguhan perlaksanaan hukuman enam bulan penjara dan denda RM3,000 beliau atas tuduhan tersebut dan dibenar membuat rayuan dalam masa 14 hari.

Tian Chua ketika mengulas perkara itu berkata, beliau tidak fikir ianya satu penghakiman yang adil kerana mendakwa majistret dan pihak pendakwa bergantung kepada keterangan anggota polis terbabit dan berasaskan kepada bukti keadaan.

Beliau juga dilaporkan menafikan ada bukti jelas bahawa kejadian gigit itu berlaku dan mendakwa hukuman tersebut adalah untuk menghilangkan kelayakannya sebagai ahli parlimen.

"Saya akan terus berkhidmat kepada rakyat dan hukuman tersebut tidak akan menjejaskan agenda untuk perubahan dan pembaharuan," katanya.

Majistret Mohd Faizi Che Abu mendapati Tian Chua bersalah terhadap tuduhan tersebut. Katanya, beliau mendapati Tian Chua bukan saksi yang berwibawa kerana pembelaannya hanya merupakan penafian semata-mata.

Malah, kata Mohd Faizi, rakaman video yang dikemukakan oleh pihak tertuduh menunjukkan beliau menghalang dirinya ditangkap.

Katanya, walaupun rakaman video tersebut tidak menunjukkan berlakunya pelakuan menggigit, tetapi beliau percaya ia berlaku kerana anggota polis berkenaan memberi keterangan bahawa beliau menumbuk tertuduh dan Tian Chua bertindak balas dengan menggigit.

Mohd Faizi juga berkata, bukan anggota polis tersebut yang dibicara tetapi tertuduh yang menghadapi perbicaraan.

Katanya, beliau mendapati kewibawaan anggota polis itu tidak terjejas kerana beliau mengaku, dalam keterangannya, telah menumbuk Tian Chua.

Tian didakwa mencederakan konstabel Rosyaidi Anuar, 21, di depan bangunan Parlimen pada jam 10.45 pagi 11 Disember 2007 dalam satu himpunan anjuran Bersih. Himpunan tersebut bagi membantah pindaan perlembagaan untuk melanjutkan usia persaraan anggota Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dari 65 kepada 66 tahun.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan dan boleh berdepan dengan hukuman tiga tahun penjara atau didenda atau kedua-duanya sekali. Dengan keputusan terbaru Mahkamah Masjistret itu, Tian berdepan hilang kelayakan sebagai ahli parlimen mengikut Perkara 48 (1)(e) Perlembagaan Persekutuan.

Peruntukan itu menyebut seorang itu hilang kelayakan menjadi ahli parlimen jika dia telah disabitkan atas suatu kesalahan oleh sesuatu mahkamah di Persekutuan (atau, sebelum Hari Malaysia, di wilayah yang termasuk di dalam Negeri Sabah atau Sarawak atau di Singapura) dan dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada dua ribu ringgit dan dia tidak mendapat pengampunan bebas.

Sementara itu, selain menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan RM3,000 denda terhadap Tian Chua, Hakim Mahkamah Majistret, Mohd Faizi Che Abu juga pernah menjatuhkan beberapa hukuman penting sebelum ini.

Antaranya menjatuhkan hukuman denda RM700 atau tiga hari penjara ke atas Pengerusi U Mobile, Dato' Rosman Ridzuan selepas mengaku salah memukul bekas isterinya, Azura Ibrahim. Rosman adalah suami kepada aktres Noniswara Baharudin.

Hakim Mohd Faizi juga adalah hakim yang bertindak sebagai koroner yang memutuskan kematian aktres Sujatha sebagai kes bunuh diri. Sujatha ditemui mati bersebelahan dengan sekeping gambar lelaki iaitu S. Vell Paari, Ketua Maika Holding yang juga anak kepada Presiden MIC, S Samy Vellu.

Tian Chua pula ketika bertemu media di lobi parlimen berkata, semasa perbicaraan di mahkamah, tidak ada sebarang saksi dikemukakan oleh pendakwa yang menyokong dakwaan polis itu.

Video kejadian yang ditayangkan juga hanya menunjukkan pergelutan berlaku tetapi tidak menunjukkan dia menggigit polis berkenaan, kata Tian. Tian akan membuat rayuan ke atas keputusan mahkamah ini.

Tiada ulasan: