KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Oktober 10, 2009

Undi pos terdedah manipulasi BN - Salahuddin Ayob

BAGAN PINANG: PAS tidak menolak kemungkinan berlakunya penyelewengan dalam pengundian pos ekoran masih terdapat nama pesara tentera dalam senarai daftar pemilih tersebut.

Pengarah Jentera Operasi PAS Pilihan raya Kecil Bagan Pinang, Salahuddin Ayub berkata berdasarkan gesaan Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Dato' Muhammad Abdul Ghani agar para pengundi yang terdiri daripada bekas tentera menukar status anggota tentera yang tamat perkhidmatan daripada pengundi pos kepada pengundi biasa.

"Seruan beliau membuktikan masih terdapat senarai nama pengundi pos daripada kalangan pesara tentera yang belum dibersihkan daripada senarai daftar pemilih yang terkini.

"Besar kemungkinan akan berlaku penyelewengan pada pengundian pos kali ini jika hal ini dibiarkan berterusan," katanya pada satu sidang media harian PAS di Markaz Induk PAS, Jalan Pantai, Port Dickson.

Dalam satu laporan Bernama, Muhammad Abdul Ghani berkata ramai daripada bekas anggota tentera didapati tidak mendaftar sebagai pengundi biasa selepas mereka tamat perkhidmatan.

Ini sekaligus menunjukkan kemungkinan berlaku pengundian pos yang tidak dapat dibuat kerana pengundi yang kini bukan lagi anggota tentera tidak pulang mengundi kerana sudah berpindah dan tidak lagi mengundi di Bagan Pinang sebagai tentera

"Pengakuan Muhammad membuktikan terdapat nama-nama pesara tentera yang masih termasuk dalam senarai pengundi pos yakni masih berstatus tentera dan masih berkhidmat, menunjukkan senarai pemilih masih belum dibersihkan.

"Ini boleh membuka peluang kepada manipulasi kerana terdapat pengundi yang tidak keluar mengundi disebabkan berpindah selain tidak mengetahui nama mereka masih terdapat dalam senarai daftar pemilih," ujarnya.

Sementara itu, PAS dan Pakatan Rakyat menganggap tindakan BN memaksa dan menggunakan pelbagai teknik untuk memastikan pasukan tentera mengundi mereka sebagai suatu tindakan yang menghina kedaulatan sultan dan raja.

"Tentera terletak di bawah kedaulatan sultan dan tidak sewajarnya mereka dipaksa mengundi seorang calon yang didapati mengamalkan rasuah dan korupsi. Ini akan menghina dan mencemarkan sultan sebagai penaung kepada angkatan turus tentera tidak kira darat, laut dan udara," katanya lagi.

Ditanya mengenai nama pengundi bertindih yang dianggap sesetengah pihak baru sahaja dibangkitkan Pakatan Rakyat pada pilihan raya kecil ini, AJK PAS Pusat, Dr Zulkefli Ahmad menjelaskan terdapat lebih 2 juta nama yang diragui dalam senarai daftar pemilih.

"Kita sudah lama memperjuangkan isu senarai nama yang tidak bersih sebelum pilihan raya umum ke-12 lagi, tetapi ianya dibangkitkan sekarang kerana nama yang bertindih itu melibatkan pengundi di Bagan Pinang," ujarnya.

Turut hadir pada sidang media berkenaan, Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar, AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefli Ahmad, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, Ahli Parlimen Telok Kemang, Dato' Kamarul Baharian Abbas, Ahli Parlimen Rasah, Loke Siew Fook, Ketua Angkatan Muda KeADILan, Samsul Iskandar Mat Akin, Ahli Parlimen Machang, Saifudin Nasution, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof dan Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud.

Tiada ulasan: