TELOK KEMANG: Ahli Majlis Tertinggi KeADILan, Badrul Hisham Shaharin menyifatkan kelakuan samseng pemuda Umno pada 7 Oktober lalu memukul dan menyerang petugas Pakatan Rakyat hanya menjadikan Bagan Pinang sebagai 'zon perang', lapor Wan Nordin Wan Yaakob.
Sambil mendakwa tindakan samseng itu turut didalangi pihak berkuasa, beliau melahirkan rasa hairan bagaimana ada kejadian yang berlaku di hadapan Balai Polis Telok Kemang tidak diendahkan pihak berkuasa polis.
Malah ujarnya, sewaktu ketegangan memuncak sekitar jam 3.00 hingga 5.00 pagi, beberapa panggilan dibuat kepada pihak polis, namun setiap panggilan tidak berjawab.
Beliau mendakwa, ada kemungkinan tindakan ini 'sengaja' dirancang hanya untuk memberi tekanan kepada petugas Pakatan Rakyat.
"Mereka yang diganggu termasuk petugas Pakatan Rakyat yang sudah berusia. Saya tahu Pemuda Umno ini mabuk dan baru keluar dari Umno Command Centre. Mereka buat 'road block' sendiri di Batu 4, mereka tahan siapa sahaja yang lalu yang pakai logo PAS," ujarnya ketika ditemui di Markas Utama di Bagan Pinang.
Badrul Hisham turut mendakwa, salah seorang anak pemimpin tinggi Umno di Negeri Sembilan terbabit dengan keganasan ini.
Beliau menamakan anak pimpinan Umno yang terbabit itu sebagai 'Bob' yang dibayangkan seorang yang bertubuh besar dan berkulit cerah.
Tindakan samseng jentera Umno itu sebenarnya hanya menjadikan suasana pilihan raya kecil Dun Bagan Pinang yang pada awalnya tentera, kini seperti 'zon perang'.
Justeru beliau menggesa pihak berkuasa segera mengambil tindakan tegas kepada mereka yang membuat 'onar' iaitu Pemuda Umno.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan