MUQADIMAH: Sebelum ini, Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak telah membentangkan Bajet 2009 bertemakan 'Kerajaan Prihatin'. Menjelang pembentangan Bajet 2010, 13 Oktober akan datang, masih menjadi tanda tanya apakah bajet berkenaan akan benar-benar menepati citarasa 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.
Presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mohamud, antara individu yang sering melihat bajet sebagai jalan untuk membantu golongan bawahan, khususnya pekerja-pekerja awam dan swasta. Ikuti temubual ringkas ANIS NAZRI bersama beliau tentang jangkaan dan harapan berkenaan bajet 2010.
Pada 13 Oktober ini, Perdana Menteri akan membentangkan Bajet 2010. Apa jangkaan saudara terhadap bajet berkenaan?
SYED SHAHIR SYED MOHAMUD: Saya mengharapkan bajet kali ini lebih memihak kepada golongan bawahan sebab kita dapati dalam tempoh setahun ini, golongan tersebut benar-benar tertekan dengan keadaan ekonomi yang melanda negara dan pelbagai sebab lain. Walaupun dikatakan ada pembaikan, tapi ia belum dirasai di peringkat bawahan. Bagi saya, tumpuan perlu kepada golongan ini.
Bagi saudara, apa lagi yang perlu kerajaan lakukan bagi memastikan bajet kali ini benar-benar menjamin kebajikan rakyat?
Kalau memang pemerintah ini benar-benar prihatin dengan golongan bawahan, inilah masa yang sesuai untuk memperkenalkan gaji minimum bagi golongan bawahan yang berpendapatan rendah. Selain itu, perlu ada insentif-insentif lain yang wajar diberi kepada pekerja seperti mana yang dicadangkan MTUC sebelum ini, seperti elaun sara hidup sebanyak RM300, yang diperjuangkan sejak beberapa tahun.
Apa yang saya nampak, isu tersebut ada responsnya, tetapi agak tidak positif. Jadi, sekali lagi saya mengharapkan tuntutan seperti itu dipertimbangkan oleh pemerintah dalam bajet kali ini.
Biasanya setiap kali bajet, kerajaan akan memperuntukkan sejumlah besar untuk pembangunan. Bagaimana saudara melihat perkara ini dapat diseimbangkan dengan kebajikan rakyat dan pekerja?
Berkaitan hal-hal pembangunan ini, ia bukan hanya pembangunan di peringkat luar bandar. Apabila bercakap pasal kemiskinan, ia bukan saja luar bandar tetapi juga di bandar-bandar.
Kalau kita tengok di bandar-bandar, seperti contohnya di Lembah Klang sendiri. Kawasan-kawasan pinggir bandar seperti Subang Jaya, Kajang, Ampang, masih ada lagi kemiskinan.
Masih ada pekerja yang pendapatan mereka masih rendah. Bila sebut soal kemiskinan, ia bukan sahaja di luar bandar, tetapi kemiskinan dalam bandar juga perlu diberi tumpuan.
Mungkin kali ini kerajaan akan menitikberatkan soal kebajikan rakyat, lebih-lebih lagi dalam usaha memenangi hati rakyat yang semakin jauh terhadap Barisan Nasional (BN) sejak Mac 2008?
Soal retorik-retorik politik itu satu pasal. Dalam hal kebajikan ini, ia perlu diterjemahkan dalam tindakan yang sebenar. Kerajaan sebut nak bantu... nak bantu... nak bantu! Dah berpuluh-puluh tahun kata nak bantu, tapi tak bantu-bantu pun.
Jadi, ia perlu diterjemahkan kali ini. Ia mesti mencerminkan bajet yang memihak kepada golongan bawah, pekerja, dan juga pengusaha kecil.
Jadi, berdasarkan pengamatan saudara, bajet sebelum ini belum benar-benar menjamin kebajikan rakyat, dan pekerja khususnya?
Bukan soal ia tidak dilaksanakan, tapi ianya tidak benar-benar dirasai kesannya, khususnya kepada golongan berpendapatan rendah. Kita bercakap pasal bilion-bilion. Itu bilion, ini bilion.
Dapatkah orang merasainya? Itu yang dipersoalkan. Kalau pengusaha besar, mungkin dia rasa. Tapi, yang golongan bawah ini, adakah mereka merasainya? Saya simpulkan biarlah ia memihak kepada golongan bawahan kerana mereka adalah tulang belakang kepada negara.
Berdasarkan kepada keadaan tersebut, saudara belum yakin kerajaan akan benar-benar bersikap prihatin terhadap rakyat, lebih-lebih lagi dalam merealisasikan slogan 'rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan'?
Saya tidak tahu apa yang akan berlaku kerana ia belum dibentangkan. Namun, yang dinyatakan ada pengurangan-pengurangan dalam skop tertentu. Saya bimbang sekiranya dengan pengurangan ini, ia akan menjejaskan kebajikan pekerja.
Saya tidak tahu pengurangan apa, tapi saya memang bimbang dengan kenyataan awal tentang pengurangan tersebut. Selalunya, kita akan kata kalau nak selamatkan sesuatu, kita kena kurangkan sesuatu yang lain.
Tapi, macam saya katakan tadi. Saya tidak tahu pengurangan macam mana yang difikirkan kerajaan. Itu yang saya bimbangkan. Saya bimbang jika pengurangan tersebut akan menyumbang kepada kesusahan pekerja. Kita tidak tahu maksud 'rakyat didahulukan' yang dislogankan kerajaan. Saya bukan tidak yakin, tetapi ia meninggalkan satu tanda tanya yang besar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan