KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, Oktober 23, 2009

Perubahan lipstik, Umno menuju rebah - Ustaz Idris Ahmad

UMNO memang akan ditalkinkan dan parti tersebut sudah tidak ada kekuatan. Roh kepimpinan yang ada hari ini bukan lagi berjiwa Umno seperti dahulu. Mereka yang berada dalam Umno hanya untuk meraih kekayaan dan kepentingan kroni. Itu antara pandangan yang diutarakan Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad sewaktu membicarakan soal ketidak upayaan Umno sebagai sebuah parti untuk orang Melayu. Butiran lanjut bersama NYZA AYOB.

Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Umno berkeyakinan dapat menjadikan Umno sebagai parti 'juara rakyat'. Apa respons Ustaz?

USTAZ IDRIS AHMAD: Itulah ucapan yang dibuat setiap kali Persidangan Agung Umno. Iaitu Umno mendahului rakyat. Tetapi dalam masa yang sama kualiti hidup rakyat ketinggalan. Hakikatnya apa yang berlaku hanya retorik semata-mata.
Selain itu kita dapat lihat, indeks inflasi semakin meningkat dan kos hidup rakyat semakin tinggi. Begitu juga apabila Umno bercakap untuk mendahului rakyat. Seharusnya mereka menyediakan mekanisma yang baik.
Jika kita lihat baru-baru ini tambang bas naik, tarif elektrik juga akan dinaikkan. Bagaimana ini dinamakan rakyat didahulukan. Semua ini, sebenarnya adalah retorik. Begitu juga dengan soal pendidikan. Sepatutnya jika beliau mengutamakan rakyat, pendidikan rakyat tidak harus diabaikan.
Tetapi apa yang kita lihat, para pelajar terpaksa membuat pinjaman pendidikan dan tidak mendapat kemudahan biasiswa. Apakah sebenarnya perubahan yang dibuat untuk rakyat.
Jadi, apa yang berlaku, hanyalah perubahan untuk memastikan pemimpin Umno itu kaya raya dan bukan untuk rakyat.

Adakah rampasan kuasa di Perak itu, 'mendahulukan rakyat'?

Jika betul-betul ingin mendahului rakyat, ia harus mengembalikan hak rakyat seperti kes yang berlaku di Perak itu. Umno tidak boleh merampas kuasa rakyat. Jika bercakap soal perubahan untuk rakyat, hak rakyat hendaklah dikembalikan. Sedangkan apa yang berlaku ialah penghinaan terhadap mandat rakyat.

Ustaz yakin empat rukun yang digariskan Umno iaitu Wahdatul Fikr, Wahdatul Qalb, Wahdatul Amal dan Wahdatul Hadaf mampu menambah sokongan masyarakat terhadap BN?

Apa guna bercakap tentang kesatuan fikrah, kesatuan tujuan, kesatuan hati dan kesatuan amal. Ia mungkin dilafazkan hanya di bibir sahaja. Ini kerana orang yang masuk Umno ini telah dididik oleh pimpinannya hanya sebagai satu transit untuk mengumpul kekayaan dan bukan untuk membela bangsa dan agama.
Apa yang dinyatakan dan dituturkan itu hanyalah sebagai 'lipstik' supaya apabila menggunakan perkataan atau istilah Arab ini, ia sedap didengar. Dan supaya ahli Umno yang lain berasa pelik dan kagum.
Ahli Umno suatu ketika dahulu pelik apabila Pak Lah menjadi imam solat Terawih. Sebab itu dalam Umno perkara sebegitu jadi pelik. Sedangkan dalam PAS perkara tersebut biasa. Dalam Umno perkara yang tidak bermoral adalah biasa bagi mereka manakala perkara yang baik menjadi pelik bagi mereka. Jika kita berada dalam Umno, perkara tidak bermoral dan tidak berakhlak seperti mengamalkan rasuah, menjadi biasa dan akan dikagumi.

Jadi empat rukun yang disebut itu hanya sekadar untuk menarik perhatian ahli Umno?

Jika mereka bercakap soal kesatuan hati, apakah tujuan sebenar mereka? Bukan untuk tujuan memperjuangkan bangsa tetapi untuk perjuangan 'perut' mereka sahaja. Jika atas kesatuan fikrah, apa fikrah yang mereka ada? Adakah Umno memegang fikrah nasionalis atau agama? Itupun tidak.

Sewaktu Perhimpunan Umno, ada perwakilan yang cadangkan ditubuhkan Dewan Ulama Umno. Adakah Ustaz yakin jika tertubuhnya Dewan Ulama Umno ini akan dapat membantu menyelesaikan segala kepincangan berkaitan agama?

Kita dapat melihat cadangan tersebut sebagai 'react' terhadap apa yang PAS telah buat. Jika adanya Dewan Ulama Umno ini, tetapi golongan ini tidak dapat menegur atau bertindak, apa gunanya? Ini seperti ulama terompah kayu.
Ia umpama menggunakan ulama ini seperti daun kari yang hanya digunakan untuk memasak dan hanya sekadar untuk mengambil bau sahaja tetapi dibuang sewaktu hendak makan.
Jadi, jika ditubuhkan Dewan Ulama Umno, nasihat tidak akan didengar. Bagaimana hendak ditubuhkan Dewan Ulama Umno jika nasihat mufti pun Umno tidak mahu dengar. Kita lihat peraturan hiburan yang dikemukakan Jakim ditolak. Begitu juga apabila mufti mengeluarkan fatwa haram meletakkan kalungan bunga di Tugu Negara, tetapi tidak dihindari.
Pemimpin Umno tetap melakukannya saban tahun. Begitu juga apabila mufti mengatakan konsert Sure Heboh haram, konsert tersebut tetap berjalan seperti biasa. Mufti merupakan satu badan rasmi yang mengeluarkan fatwa serta penasihat agama, tetapi Umno tidak ikut.
Jika Umno ingin menubuhkan Dewan Ulama, mungkin hanya menjadi bahan gelak ketawa orang sahaja kerana orang telah tahu sejauh mana keberkesanannya.

Ini bermakna, penubuhan Dewan Ulama Umno hanya untuk raih sokongan Melayu?

Ya, untuk mendapatkan sokongan Melayu. Umno terpaksa menggunakan agama. Umno memang memperalat agama. Manakala PAS memperjuangkan agama. Contohnya Umno apabila ingin meraih sokongan Melayu, akan menggunakan agama untuk tujuan politiknya.
PAS mengambil peluang untuk mengangkat darjat agama. Sebab itu kita letak ulama sebagai tempat rujukan PAS dan kita cuba mendaulatkan serta mengangkat martabat agama.

Dalam persidangan tersebut juga, terdapat perwakilan melahirkan kebimbangan hak-hak Melayu akan terhakis dengan konsep 1Malaysia. Bagaimanapun, Najib dalam ucapan penggulungannya menegaskan jangan menaruh syak terhadap konsep 1Malaysia...

Sebelum diisytiharkan konsep 1Malaysia, Umno telah lama menghakis hak-hak orang Melayu. Jika dilihat di Johor, berapa banyak tanah orang Melayu tergadai. Semuanya tergadai di tangan Umno dan bukan di tangan DAP atau PAS. Rezab Melayu hancur semuanya di tangan Umno.

Najib dalam ucapannya juga menegaskan Umno bukan parti yang mabukkan kuasa dan perkauaman sebaliknya parti yang pertahankan demokrasi serta berjuang untuk kesejahteraan rakyat.

Dari segi praktikalnya Umno merupakan parti yang kita dapat lihat dalam konteks perjuangannya. Apabila ingin meraih sokongan orang Melayu, mereka menggunakan isu seperti PAS menjadi 'kuda tunggangan' DAP.
Mereka yang bercakap soal perkauman. Tetapi bila di medan umum dia bercakap soal lain. Dalam masa yang sama dia cuba membentuk minda kononnya orang Melayu telah terancam akibat daripada PAS berkawan dengan DAP. Ini menggambarkan Umno satu parti yang memperjuangkan Melayu. Apakah itu tidak perkauman? Dan apakah rampasa kuasa di Perak itu demokrasi? Tidak mabuk kuasa?

Najib membidas ada pihak yang tidak sabar mentalkin Umno. Apakah parti ini sebenarnya sedang menuju ke situ?

Jika dilihat pada senario hari ini, Umno memang akan ditalkinkan. Umno sudah tidak ada kekuatan. Jika dilihat kepada roh kepimpinan yang ada pada hari ini, mereka bukan lagi berjiwa Umno seperti dahulu.
Mereka berada dalam Umno hanya untuk meraih kekayaan dan kepentingan kroni mereka. Berbeza dengan Umno zaman Tun Hussein Onn. Kita tengok Umno sewaktu itu memang memperjuangkan orang Melayu dan mengambil berat soal kemunduran orang Melayu serta pendidikan orang Melayu.
Tetapi kita lihat zaman kepimpinan Umno hari ini sewaktu zaman Najib dan Abdullah, kita tengok kebanyakan generasi Pemuda Umno, tidak ada lagi jiwa Umno seperti dahulu. Semuanya hanya untuk cari projek dan dapatkan projek supaya boleh jadi jutawan.
Jika dahulu kita lihat perwakilan Umno terdiri kalangan guru-guru Melayu yang memperjuangkan nasib orang-orang Melayu. Sekarang situasi berbeza. Sebab itu Umno hari ini hidup dengan kuasa. Jika ini keadaannya, Umno akan ditalkinkan tidak lama lagi.

Adakah benar Pakatan Rakyat hari ini bimbang dengan kebangkitan Umno sebagaimana yang didakwa Najib?

Kita tidak anggap pun Umno ini bangkit. Dia bercakap itu mungkin dalam mamai atau mimpi. Dia pun sebenarnya tidak faham apa yang dia cakap. Apa yang dia cakap itu sebenarnya satu ucapan yang tidak menjiwai penyokong-penyokong terutama generasi muda hari ini menganggap Umno satu parti yang korup dan tidak boleh diharap lagi.
Umno hanya ada kuasa tetapi tiada roh perjuangan. Dulu mungkin PAS dan Umno berbeza daripada segi dasar. Sekurang-kurangnya dahulu dari segi memperjuangkan hak orang miskin, kita bersama.

Tiada ulasan: