KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Oktober 19, 2009

52 tahun merdeka: Masih ada sekolah di bawah flat DBKL

BANDAR BARU SENTUL: Sistem pendidikan negara antaranya sebagai pemacu kepada kemajuan sesebuah negara itu. Adanya pendidikan, wujudnya golongan intelektual, akhirnya menyumbang kepada pembangunan negara.

Bagaimanapun, sikap kerajaan yang seolah-olah memperlekehkan sistem pendidikan apabila mengamalkan diskriminasi khususnya kaum Melayu sendiri amat dikesali banyak pihak.

Perkara ini berlaku di tengah-tengah ibu kota kosmopolitan seperti Kuala Lumpur. Ianya pedih untuk didengar tetapi itu adalah realiti. Sekolah yang mendapat bantuan penuh kerajaan tetapi meneruskan pengajaran di bawah flat 17 tingkat, sudah lebih dari 20 tahun.

Minggu lalu, krew Harakah membuat tinjauan untuk mengetahui sejauh mana kebenaran wujudnya sebuah sekolah kebangsaan di bawah flat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di Bandar Baru Sentul.

Sebaik tiba di flat Sri Perak, dekat sini, akhirnya terpandang papan tanda Sekolah Kebangsaan Sri Perak. Macam tidak percaya wujudnya sekolah di bawah flat di tengah-tengah kota metropolitan ini.

Krew Harakah cuba mendapatkan respons daripada guru besar sekolah terbabit di pejabat yang agak kurang selesa dan sempit. Bagaimanapun, guru besar berkenaan enggan memberi apa-apa respons kepada pihak media.

Akhirnya, Naib Yang di-Pertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Rosnani Ahmad sudi ditemubual berhubung 'keunikan' Sekolah Kebangsaan Sri Perak itu.

Rosnani yang cukup mesra dipanggil Kak Ros, melahirkan rasa kecewa apabila kerajaan membatalkan pembinaan sekolah menggantikan sekolah sedia ada dalam kawasan flat Sri Perak ini, dua tiga bulan yang lalu.

"Kami dah perjuangkan selama 20 tahun untuk meminta kerajaan agar membina sekolah baru demi pendidikan anak-anak kami, akhirnya ianya dibatalkan begitu sahaja," jelasnya.

Selepas diuar-uarkan akan dibina bangunan sekolah yang baru, sudah tentulah ibu bapa, guru dan murid-murid gembira malahan ada yang sudah berangan-angan dapat bersekolah di bangunan baru yang lebih selamat.

"Awal tahun lalu, papan tanda sudah dinaikkan, jentera berat pun sudah bersiap sedia bahkan kawasan berkenaan pun sudah dipagar. 'Last' selepas raya, semua benda-benda itu di keluarkan balik. Maknanya tak jadilah nak bina sekolah. Dah lulus semua oleh kerajaan," katanya.

Kak Ros difahamkan peruntukan berjuta-juta ringgit untuk membina sekolah sudah diluluskan kerajaan, tetapi DBKL pula tidak meluluskan pembinaan bangunan sekolah tujuh tingkat itu, tanpa alasan.

"Duit yang diperuntukkan kepada pembinaan sekolah sudah beralih ke projek lain," katanya yang turut mengikuti taklimat serta melihat plan pembinaan sekolah berkenaan oleh kerajaan.

Jun lalu, krew Harakah difaham, PAS Kawasan Batu diketuai Yang Dipertuanya, Haji Ishak Surin, Timbalan Yang Dipertua, Haji Suhaimi Abdul Rahman, Naib Yang Dipertua, Tarmizi Mohd Jam, Ketua Dewan Muslimat, Hajjah Salbiah Abdul Wahab dan beberapa orang Exco mengunjungi sekolah berkenaan untuk mendapatkan gambaran dan meninjau projek ini.

Mereka berasa hairan bagaimana sekolah yang telah diluluskan peruntukan dan sudah dinaikan papantanda projek boleh ditamatkan serta merta.

Menurut Ishak, mustahil alasan bantahan sesetengah penduduk flat kononnya jika sekolah itu dibina akan menyusahkan mereka untuk meletakkan kenderaan menjadi topik lebih utama dari membekalkan pendidikan kepada anak-anak.

"Saya rasa ada yang tidak kena. Sebelum projek ini diluluskan, sudah tentu DBKL sudah bersetuju, tapak berkenaan digunakan. Kalau tidak, macam mana projek boleh lulus dan kemudian DBKL dengan mudah membatalkannya. PAS akan mengemukakan satu memorandum kepada Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan dan Kementerian Pendidikan dalam masa terdekat.

"Sebab, tak ada sekolah macam ini di Malaysia melainkan di Sentul ini. Tidak munasabah langsung sekolah dibuat di bawah flat. Tidak berpagar dan orang ramai boleh lalu lalang di kaki lima sekolah. Malah padang pun tiada. Sudah tentulah segala prasarana di sekolah ini pun, secara asasnya jauh ketinggalan mengikut kriteria sekolah kebangsaan sebenar," tegas Haji Ishak.

Cadangan membina dan menyiapkan sekolah yang mengandungi 30 bilik darjah di atas sebahagian Lot 133, Seksyen 85A, Kuala Lumpur itu telah diluluskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, dan akan dilaksanakan oleh kontraktor Contracthouse Sdn. Bhd.

Menurut papan tanda projek, sekolah ini dijangka siap pada 30 September 2009 dan dimulakan pada 1 April 2008, kira-kira setahun yang lalu.

Meninjau suasana yang tidak kondusif sekolah ini, kira-kira seramai 204 orang murid terpaksa mengharungi pelbagai risiko setiap hari apabila kenderaan penduduk flat Sri Perak keluar masuk. Terdapat juga kes pelajar kemalangan dilanggar kenderaan yang lalu lalang di sini.

Hasil tinjauan Krew Harakah mengesahkan memang pelajar sekolah berkenaan mudah terdedah kepada bahaya lalu lintas seperti kemalangan. Sekolah ini tiada berpagar dan membolehkan orang luar bukan sahaja mendekati sekolah malah boleh masuk ke kelas-kelas sesuka hati. Untuk ke kantin sekolah, pelajar terpaksa melintas jalan utama ke fat berkenaan, berhampir surau.

"Keselamatan anak-anak kita tidak terjamin, bahkan pernah ada murid sekolah membawa masuk orang luar ke dalam kelas semasa cikgu mengajar," ujar Kak Ros.

Bilik-bilik darjah termasuk bilik guru (pejabat) terletak di empat blok flat 17 tingkat itu. Persekitarannya bukanlah persekitaran sebuah sekolah. Tetapi inilah yang berlanjutan, hingga sudah ada pelajar awal sekolah ini, kini dewasa dan menjadi seorang guru mengajar di sini.

"Macam mana anak-anak kita hendak belajar, persekitaran yang bising dengan suara anak kecil menjerit, muzik yang kuat, orang ramai lalu-lalang bahkan penduduk yang memasak pun boleh mengganggu pembelajaran anak kita dengan bau masakan. Ini bukan persekitaran sekolah," tegas Ketua Dewan Muslimat PAS Batu, Hajjah Salbiah ketika diminta pendapatnya.

Hal ini juga turut diakui Kak Ros dan Haji Abdul Kadir Tauhid, yang tinggal di flat berkenaan.

"Setahu saya, yang menentang pembinaan sekolah atas sebab kehilangan tempat parking ialah penghuni flat yang tiada anak-anak mereka bersekolah di sini. Sebab itu tempat parking lebih utama dari sekolah," cerita Haji Abdul Kadir.

Bukan itu sahaja, kata Kak Ros murid-murid darjah enam yang menjalani peperiksaan UPSR baru-baru ini, turut terganggu dengan suasana hingar-bingar penduduk yang sukar dikawal.

"Walaupun letak notis 'peperiksaan sedang berjalan' tetapi penduduk buat tak tahu. Kita pun tak boleh salahkan mereka sebab itu kawasan mereka. Kewujudan sekolah itu sebenarnya tidak kena dengan tempatnya," tegas Kak Ros lagi.

Sekolah ini ditubuhkan sekitar tahun 1987 bagi menampung murid yang terlalu ramai. Bersebelahan flat ini terdapat satu lagi sekolah rendah, Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sentul yang sarat dengan pelajar.

Kini, saban tahun jumlah murid yang didaftarkan di Sekolah Kebangsaan Sri Perak semakin berkurang. Seramai 204 murid dari prasekolah hinggalah ke darjah enam yang masih meneruskan pembelajaran di sini.

Terdapat 32 orang guru yang mengajar di sekolah ini, walaupun dalam suasana sekolah yang tidak memenuhi piawaian sistem pendidikan sebenar. Di maklumkan sekolah ini di klasifikasikan sebagai sekolah gred A iaitu memiliki 700 orang murid dan ke atas.

Tinjauan Krew Harakah ke tapak pembinaan sekolah, tidak jauh dari flat yang menempatkan bilik guru, dipinggir Sungai Gombak itu, mendapati terdapat dua premis bangunan yang beroperasi iaitu Bilik Gerakan Umno/BN dan Rumah Penyelenggaraan Mayat Bukan Islam, selain sebahagian besarnya dijadikan tempat letak kereta penghuni flat.

Oleh SALMIYAH HARUN dan ZUHDI ZAID (Wartawan Pelatih UiTM)

Tiada ulasan: