KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Oktober 24, 2009

Tiada rancangan tangani defisit belanjawan - Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim mendakwa terdapat beberapa kelemahan asas dalam pembentangan bajet kali ini termasuk tiadanya rancangan untuk menangani defisit belanjawan sedia ada walaupun unjuran tahun 2010 akan berkurangan daripada 7.4 peratus tahun lepas kepada 5.6 peratus.

Tambahnya, pengaliran masuk pelaburan asing turut menjunam dan merupakan satu angka yang perlu disiasat dan diteliti kerana ia tidak selaras dengan perkembangan di Asia terutama Cina dan India.

Tegas Anwar lagi, beberapa beban baru juga ditanggung rakyat kerana jumlah pendapatan kerajaan merosot dan pengurangan belanjawan pembangunan turun 11.2 peratus. Situasi ini juga katanya membimbangkan kerana apabila pendapatan merosot, belanjawan tidak meningkat, bermakna kerajaan tidak dapat mempertahankan pertumbuhan yang dijangka.

Beliau berkata demikian pada sidang media di lobi parlimen sejurus usai sesi pembentangan Bajet 2010 yang disempurnakan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak. Turut serta pada sidang media tersebut, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa, Setiausaha Agung DAP, Lim Guang Eng serta beberapa orang Ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh turut melahirkan kekecewaan seolah-olah kerajaan melupakan sektor pertahanan dalam pembentangan bajet kali ini.

Jelasnya, sepanjang beliau terlibat dengan pembentangan bajet, insentif untuk golongan tentera tidak pernah dilupakan tetapi kali ini ia tidak disebut.

"Baru sahaja menang Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang, golongan tentera dilupakan. Sepanjang ingatan saya, saya pernah mendengar, mengikuti dan membentang bajet dan ini merupakan bajet pertama yang tidak menyebut penghargaan atau apa-apa projek kepada golongan tentera dan polis," dedahnya.

Selain itu beliau turut melahirkan kebimbangan kerana proses penjualan pertama aset kerajaan iaitu tanah-tanah di sekitar Wilayah Persekutuan tidak telus.

"Kroni siapa dan keluarga siapa yang dapat membangunkan aset tanah yang begitu penting dan kritikal di Wilayah Persekutuan? Khazanah Negara ingin diswastakan pula. Saya tuntut perkara ini diberikan tekanan," tegasnya.

Tiada ulasan: